Alhamdulillah, sebesar-besar syukur saya sekeluarga ke hadhrat Allah Yang Maha Besar. Sekitar jam 4.00 petang tadi, pesawat yang kami naiki dari Kuching (AK 5207) selamat mendarat di LCCT. Ketika itu, hujan turun renyai-renyai. Setelah semua urusan di lapangan terbang selesai, kami pun kembali ke rumah saya dengan menaiki kenderaan yang telah pun sedia menanti. Sekitar jam 5.40 petang, kami semua selamat tiba di rumah saya. Alhamdulillah!!!
Pada hemat saya, kunjungan ke Kuching kali telah mencapai matlamatnya. Kedua-dua ibu bapa saya tentunya gembira. Begitu juga dengan kakak ipar serta biras saya. Luqman dan Isteri juga tumpang gembira. Mudah-mudahan Luqman juga akan mendapat pendedahan yang sewajarnya mengenai kehidupan pelbagai yang punya warna-warni tersendiri.
Pada hemat saya juga, kunjungan ke Kuching kali ini tidak akan lancar tanpa bantuan dan pertolongan sahabat setempat yang begitu baik dan bermurah hati. Terima kasih yang tidak terhingga saya tujukan kepada En. Awang serta keluarganya yang telah sudi mengundang kami ke rumahnya untuk makan malam. Pelbagai juadah tempatan yang menarik dan lazat disediakan untuk kami. Selain itu, En. Awang juga turut mengunjungi kami di hotel dan seterusnya sempat minum-minum bersama-sama kami di sekitar Water Front. Beliau juga tidak ketinggalan membekalkan ole-ole Sarawak kepada kami untuk dibawa pulang ke semenanjung.
Saya juga tidak lupa untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Abang Pian yang turut menolong kami khasnya ketika kami menyusuri Sungai Sarawak dengan perahu dan juga menolong menguruskan pembelian beberapa jenis ikan sebelum pulang. Saya mula mengenali Abang Pian sewaktu mengunjungi Kuching bulan Jun lalu. Keramahan serta keikhlasan beliau membuatkan saya teringin menghubungi lagi beliau sewaktu kunjungan kali ini. Beliau turut meluahkan sedikit kekesalannya kepada saya kerana saya tidak memberitahunya seminggu lebih awal berkenaan kunjungan saya kali ini. Katanya lagi, jika saya memaklumkan kepadanya lebih awal tentulah rancangan lebih rapi boleh diaturkan untuk saya sekeluarga dalam kunjungan kali ini. Demikianlah tingginya hati budi orang tempatan yang saya kenali.
Di samping itu, saya juga tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada anak saudara kami yang tidak jemu-jemu mengiringi kami di sepanjang kami di Kuching. Tanpa pertolongannya rasanya pergerakan kami di Kuching tidak akan lancar dan licin.
Di sini, saya juga ingin meminta maaf kepada para penjenguk blog ini yang mungkin mengharapkan catatan yang lebih banyak mengenai kunjungan saya kali ini. Sememangnya saya ingin memuatkan seberapa banyak catatan sedemikian, namun demikian apakan daya, masa tidak begitu mengizinkan. Insha-Allah di lain ruang dan kesempatan saya akan cuba selitkan catatan sedemikian.
Sayugia saya tegaskan bahawa, tujuan saya memuatkan catatan kunjungan saya adalah sekadar untuk berkongsi pengetahuan dan juga pengalaman khasnya kepada rakan-rakan senasib mengenai tempat-tempat yang saya kunjungi. Mudah-mudahan catatan pengalaman yang tak seberapa seperti ini akan memberi manfaat kepada kita khususnya kepada sesiapa yang berhasrat dan merancang untuk mengunjungi tempat yang sama pada masa akan datang.
Kepada rakan-rakan di Kuching, terima kasih daun keladi. Insha-Allah jika ada izin dari-Nya kita akan bertemu lagi. Walaupun tarikh dan masanya masih belum pasti, ia pasti akan terjadi dengan kudrat dan iradat Ilahi.
lafaz takbir raya dan maknanya
5 months ago
No comments:
Post a Comment