Saturday, May 18, 2013

Cikgu Mohamed Ismail Kembali Ke Rahmatullah



Dengan penuh dukacita dimaklumkan bahawa Cikgu Mohamed bin Ismail telah kembali ke rahmatullah pada sekitar jam 9.00 pagi tadi. Berita ini telah dimaklumkan kepada saya oleh En. Fauzi Mansor yang juga merupakan Pengerusi Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Terengganu menerusi satu panggilan telefon pada sekitar 9.05 pagi tadi. Menurut maklumat mutakhir yang disampaikan kepada saya sebelum tulisan ini dipostingkan, jenazah beliau akan dikebumikan selepas solat asar hari ini juga.



(Saya dan Cikgu Mad pada tahun 2011)


Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kesihatan Cikgu Mad memang berada dalam keadaan yang tidak begitu memuaskan. Beliau dikatakan menghidap penakit barah hidung sejak beberapa tahun.


Cikgu Mad telah menerima pendidikan awal di SKPK Princess Elizabeth, Johor Baru. Selanjutnya beliau telah meneruskan pelajaran peringkat menengahnya di Kuala Terengganu. Selepas tamat persekolahan, beliau telah berjaya melanjutkan pengajiannya di Universiti Malaya. Beliau juga turut mengikuti pengajian diploma pendidikan di universiti yang sama.



(Cikgu Mad semasa menyertai sesi demo panel E-Braille anjuran UTM dan PERTIS di Terengganu pada tahun 2011)



Bermula tahun 1980, beliau mula berkhidmat sebagai guru di Terengganu. Beliau pernah berkhidmat di beberapabuah sekolah seperti SMK Padang Midin dan SMK Seri Nilam. Beliau telah bersara dari jawatannya pada bulan Januari 2012 ketika sedang menyandang gred gaji DG48. Untuk maklumat bersama, walaupun beliau seorang guru yang cacat penglihatan, sejak mula berkhidmat sebagai pendidik, beliau telah ditempatkan di sekolah biasa hinggalah ke saat persaraanya. Dengan erti kata lain, beliau tidak pernah berpengalaman mengajar di mana-mana sekolah pendidikan khas untuk murid cacat penglihatan. Justeru beliau merupakan antara guru cacat penglihatan yang berpengalaman luas bertugas di sekolah aliran biasa untuk murid yang tidak cacat. Pada tahun 2005, Cikgu Mad telah dianugerahkan tokoh guru untuk kategori OKU.



(Cikgu Mad Berucap dalam mesyuarat agung PERTIS kebangsaan tahun 2010)



Di dalam bidang kesukarelawanan pula, Cikgu Mad merupakan antara pengasas penubuhan Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) untuk negeri Terengganu pada tahun 2000. Jika saya tidak silap, Cikgu Mad merupakan pengerusi PERTIS Terengganu yang pertama. Pada tahun 2004, Cikgu Mad telah terpilih sebagai Yang Di-Pertua PERTIS kebangsaan. Beliau terus berkhidmat selaku YDP PERTIS sehingga bulan Julai 2010.



(cikgu mad ketika mengumumkan tidak bertanding untuk YDP PERTIS pada tahun 2010)



Kepada ahli keluarga Allahyarham Cikgu Mad, bersabarlah menerima ketentuan daripada Ilahi. Sesungguhnya masa untuk beliau mengadap Ilahi sebagaimana yang telah dijanjikan sudah pun tiba. Masa untuk kita menuruti beliau juga pasti akan tiba, hanya saatnya sahaja yang masih menjadi rahsia.


Marilah kita bersama-sama mendoakan semoga roh Cikgu Mad sentiasa dalam perlindungan serta dalam rahmat Allah hendaknya sepanjang masa.


Alfatihah ....







No comments: