Salah satu faktor penting kekukuhan sesebuah organisasi ialah wujudnya kestabilan serta keharmonian peringkat dalaman sesebuah organisasi itu sendiri. Sekiranya di peringkat dalamam, sesebuah organisasi itu tidak harmoni, lambat-laun ia akan pecah dan hancur juga. Situasi sebegini tak ubah bagai retak menanti belah. Justeru, semua pentadbir tertinggi dalam sesebuah organisasi harus sama-sama berperanan agar keharmonian berkenaan sentiasa dapat dikekalkan. Ia bukan tanggungjawab seorang dua pimpinan sahaja, sebaliknya semua yang terlibat harus sama-sama berperanan dan bertanggungjawab mengenainya. Bak kata orang tua-tua, bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat. Jika tiada muafakat di antara sama-sama pimpinan, pasti ia tidak sekata. Bila tidak sekata maka akan rapuhlan sesebuah organisasi itu. Demikianlah.
Salah satu perkara penting yang harus difahami oleh setiap pimpinan dalam sesebuah organisasi ialah perlembagaan organisasi itu sendiri. Saya penuh yakin, setiap organisasi yang berdaftar (bukan organisasi haram), mempunyai perlembagaan organisasi masing-masing. Dalam perlembagaan tersebut terkandung tatacara pengurusan organisasi berkenaan, perkara-perkara yang dilarang, kewajipan setiap pengurus organisasi, tanggungjawab setiap ahli kepada organisasi berkenaan dan lain-lain lagi. Tujuan wujudnya perlembagaan sesebuah organisasi adalah untuk menentukan bidang tugas setiap ahli dalam organisasi berkenaan. Ia juga bertujuan supaya setiap ahli kepada organisasi berkenaan tidak menyalahgunakan kedudukan masing-masing untuk kepentingan peribadi, kroni atau nepotisme. Ia juga bertujuan supaya kepentingan majoriti ahli dalam sesebuah organisasi itu sentiasa terjaga dan terpelihara. Jika semua pihak memahami dan seterusnya mematuhi semua perkara yang telah ditetapkan dalam perlembagaan sesebuah organisasi, maka sudah pasti keharmonian dalam organisasi berkenaan akan sentiasa terpelihara.
Keharmonian sesebuah organisasi juga akan tergugat bilamana ada pimpinan yang mengamalkan kronisme atau nepotisme dalam tindak-tanduknya. Unsur kronisme dan nepotisme merupakan antara elemen yang boleh menimbulkan rasa tidak puas hati para ahli yang lain. Ia juga boleh menjerumuskan pimpinan yang terlibat kepada salah guna kuasa, salah guna wang organisasi serta penglibatan kepentingan peribadi yang tidak disedari. Bilamana organisasi berkenaan terlibat untuk mengenengahkan ahlinya yang layak untuk menerima bantuan yang melibatkan jutaan rupiah, maka kroninya yang akan dikehadapankan. Bahkan majlis penerimaan bantuan berkenaan pun disembunyikan daripada pengetahuan dan maklumat barisan pimpinan yang lain. Bilamana situasi sebegini berterusan, maka akan berleluasalah sikap tidak telus dan tidak tulus dalam organisasi berkenaan yang mana ia sepatutnya dibanteras hingga ke tulang sumsum. Ini sekadar contoh sahaja. Jika perkara seumpama ini dibiarkan, maka lambat-laun sesebuah organisasi itu akan terjerumus kepada kancah perpecahan yang bakal menghancurkan organisasi itu sendiri.
Di samping itu, perlakuan membocorkan butiran perbincangan peringkat pengurusan tertinggi organisasi merupakan satu lagi elemen yang boleh menjerumuskan sesebuah organisasi itu kepada situasi tidak harmoni. Ia mengakibatkan timbul rasa saling tidak mempercayai di antara sama-sama pimpinan tertinggi. Ia juga mengakibatkan para pimpinan tertinggi organisasi berkenaan tidak lagi berterus-terang dalam mesyuarat tertinggi kerana jika berterus-terang perkara berkenaan akan bocor juga kepada orang luar. Bilamana situasi ini wujud, maka sesebuah organisasi itu sebenarnya sedang melalui saat getir dalam pengurusannya. Perbincangan dan mesyuarat tidak lagi menjadi telus dan tulus. Bila mesyuarat tidak telus, tidak mungkin keputusan yang betul dan adil dapat dibuat. Bila ini berlaku, tunggulah saat organisasi berkenan untuk hancur dan musnah.
Selain itu, setiap pimpinan juga harus tahu bidang tugas masing-masing. Sesetengah perlembagaan organisasi sudah memperincikan bidang tugas setiap pimpinan mengikut status kedudukan masing-masingn dalam barisan pimpinan. Oleh itu, tidak menjadi kesalahan jika pemimpin paling tinggi ingin mengambil tahu semua hal dalam organisasi yang dipimpinnya. Bahkan menjadi kesalahan pula jika pemimpin paling tinggi mengambil mudah, tidak mengambil tahu dan hanya membiarkan orang lain yang menjalankan tugas dan membuat kerja bagi pihaknya. Pemimpin yang semacam ini patut dicampak dalam sungai Kelang sahaja. Apabila pemimpin paling tinggi ingin mengambil tahu segala hal ehwal dalaman organisasi pimpinannya, ia tidak boleh dikatakan busy body. Bilamana pemimpin nombor wahid dalam sesebuah organisasi menjalankan apa-apa kuasa yang telah diperuntukkan untuknya sebagaimana yang telah termaktub dalam perlembagaan organisasinya, maka pemimpin sedemikian tidak boleh disifatkan sebagai diktator. Apa yang lebih malang ialah bilamana ada pemimpin lain yang cuba menghalang pemimpin paling tinggi untuk menjalankan tugasnya seperti mengambil tahu semua hal dalam organisasi pimpinannya. Apa yang anehnya, bila tiba masa pertandingan jawatan, pemimpin yang sering menghalang pemimpin lain untuk menjalankan tugasnya tidak mahu pula bertanding untuk jawatan tertinggi!
Seperkara lagi, keharmonian sesebuah organisasi itu akan tergugat bilamana ada pemimpin yang suka sangat menjalankan tugas pemimpin lain tanpa diminta dan tanpa disuruh. Perbuatan pemimpin yang semacam ini mungkin ada kaitan dengan sikap kroni atau nepotismenya. Adakalanya bila pemimpin yang semacam ini diminta membantu pemimpin lain yang kurang pengalaman, dia tak mahu membantu pula. Ini mungkin ada kaitan dengan ketiadaan kepentingan kroni. Sebab itulah, bila diminta membantu, sama ada dia enggan membantu langsung atau membantu sekadar untuk melepaskan batuk ditangga semata-mata.
Selain itu, sesebuah organisasi juga akan terjerumus kepada kehancuran bilamana berlaku “organisasi dalam organisasi”. Hal seumpama ini boleh terjadi apabila dalam kalangan pemimpin tertentu ada mengamalkan sifat-sifat seperti ingin mencari nama peribadi, ingin mengutamakan kroni, ingin menaikkan nama sendiri dan sebagainya. Sebagai sebuah organisasi, kita seharusnya bergerak seiring sebagai satu keluarga tanpa sesiapa pun yang tertinggal di belakang. Bak kata nan baru dikarang:
Bila melangkah, biarlah sama derapnya;
Bila bersuara, biarlah sama nadanya;
Bila bercakap, biarlah sama bahasanya;
Bila bertindak, biarlah sama padunya.
Bagi saya, antara dosa dan kesalahan paling besar dalam kalangan barisan pemimpin tertinggi dalam sesebuah organisasi ialah bilamana dia cuba bersubahat untuk membelakangkan pemimpin yang lebih atas daripadanya. Apa yang lebih malang lagi bilamana persubahatan itu dilakukan bersama-sama dengan golongan yang berstatus kakitangan dalam organisasi berkenaan. Sebenarnya kesan daripada persubahatan tersebut lebih buruk lagi. Secara tidak langsung pemimpin berhati busuk seperti itu telah mengajar golongan yang berstatus kakitangan agar tidak lagi menghargai dan menghormati barisan pemimpin lain dalam organisasi yang sama. Persubahatan sedemikian juga akan menjerumuskan pihak-pihak yang terlibat kepada sikap menipu dan berbohong. Bila perkara seumpama ini dibiarkan berlaku, maka akan lingkuplah organisasi berkenaan.
Bukankah dalam Alquran Allah telah berfirman yang antara lain mafhumnya, “.... Dan bantu-membantulah dalam perkara kebaikan dan takwa, dan jangan sekali kamu bantu-membantu kepada perkara-perkara yang membawa kepada dosa dan permusuhan ....” (ayat 2, surah Almaidah (5), juzuk 6).
Khalifah Abu Bakar As-Siddiq ketika mula-mula dilantik selaku khalifah, antara isi pidato awal beliau ialah, “Hai sekalian muslimin, taatlah kepada aku selagi aku taat kepada Allah dan Rasulullah, dan jangan sekalian kamu taat kepada aku bilamana aku tidak lagi taat kepada Allah dan Rasulullah”.
Justeru, selaku insan yang telah dianugerahkan akal fikiran yang sihat dan waras, sepatutnya kita sudah berupaya untuk membezakan antara ajakan kepada perkara yang baik atau sebaliknya. Jika ajakan atau pakatan itu menjurus kepada kejahatan dan dosa, maka tidaklah boleh kita mentaatinya walaupun orang yang mengajak kepada perkara keji itu tokoh paling tinggi dalam sesebuah organisasi. Begitu jugalah sebaliknya.
Ingatlah, bangkai gajah tidak akan boleh ditutup dengan nyiru. Daging yang busuk, semakin lama disimpan semakin busuk baunya. Jangan lupa kepada janji Allah, orang yang berdosa dan tidak bertaubat dengan sebenar-benar taubat, lambat-laun akan terima balasan yang pedih daripada Allah. Janganlah kita menjadi orang yang tidak mengenang budi kawan-kawan lain yang sama-sama dalam satu barisan kepimpinan. Janganlah kita bersikap umpama kera diberi bunga atau bagai menolong anjing yang tersepit.
Jangan sekali-kali kita lupa, bilamana kita diberi kesempatan untuk memimpin sesebuah organisasi, ia sebenarnya merupakan peluang bagi kita untuk mecurahkan bakti kepada agama, kawan-kawan yang senasib, masyarakat dan juga kepada negara. Adalah amat malang sekali bilamana peluang yang ada kita gunakan hanya untuk kepentingan kroni, sanak family atau rakan-rakan rapat semata-mata. Bagi saya juga, adalah tidak sesuai dan tidak kena caranya bilamana kita memperkudakan organisasi yang kita pimpin untuk kepentingan periuk nasi sendiri. Adalah tidak kena caranya juga jika kita korbankan kerjaya utama kita kononnya semata-mata untuk organisasi yang sedang kita pimpin.
Firman Allah dalam Alquran yang antara lain mafhumnya, “Dan ingat-mengingatilah, maka sesungguhnya ingat-mengingati itu amat bermanfaat kepada sekalian orang yang beriman” (ayat 55, surah Az-Zariat (51), juzuk 27).
Kebiasaannya mana-mana organisasi pun, ia bukan milik individu, sebaliknya ia adalah milik ahli-ahlinya. Adalah tidak kena caranya bilamana ada yang cuba menjadikan sesebuah organisasi itu macam milik peribadinya. Adalah tidak kena caranya juga bila kita menjadikan sesebuah organisasi itu sebagai lubuk untuk memenuhkan poket kita, kecuali kakitangan yang ada hak mereka atas nama gaji atau upah. Sesungguhnya organisasi sukarela adalah tempat untuk kita membuat kerja-kerja sukarela dan saluran untuk kita mencurah bakti seikhlasnya kepada masyarakat.
No comments:
Post a Comment