Setinggi-tinggi syukur ke hadhrat Ilahi kerana masih memberi peluang dan kesempatan kepada kita untuk bertemu lagi dengan Ramadhan kali ini. Bukan semua makhluk beroleh peluang seperti ini. Mereka yang telah pun mendahului kita menyahut ketentuan Ilahi untuk menemui-Nya lebih awal daripada kita sudah tidak lagi berpeluang untuk bertemu dengan Ramadhan kali ini.
Sesungguhnya kehadiran Ramadhan amat dinantikan oleh ereka yang menyedari dan mengetahui seribu satu kelebihan dan fadilat yang terdapat dalam bulan ini. Sesungguhnya juga akan beruntunglah mereka yang benar-benar berupaya memanfaatkan sepanjang bulan ini dengan apa jua amal dan aktiviti yang diredhai Allah. Amat rugilah pula orang yang membiarkan Ramadhan berlalu tanpa apa jua amal dan aktiviti yang disuruh oleh Allah dan rasul-Nya untuk kita melakukannya.
Justeru, marilah kita sama-sama manfaatkan bulan mulia dan penuh barakah ini dengan memperbanyakkan amal solih semaksimumnya. Jangan lupa bahawa dalam bulan ini juga akan ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan khususnya bagi mereka yang menghidupkan malam berkenaan dengan pelbagai amal solih sperti mana yang dituntut.
Di samping mengekalkan pelaksanaan ibadat wajib, marilah kita sama-sama tingkatkan pelaksanaan ibadah sunat pula. Antara ibadah sunat termasuklah tadarus, solat sunat tarawih, sedekah, memberi makan kepada orang yang berpuasa ketika berbuka atau sahur, menghadiri majlis ilmu dan banyak lagi.
Bersempena dengan kehadiran Ramadhan, saya dan keluarga mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat menyambut Ramadhan 1434 Hijri kepada seluruh muslimin dan muslimat di mana jua berada. Mudah-mudahan Ramadhan kali ini akan lebih baik untuk kita daripada sebelumnya, insha-Allah.
No comments:
Post a Comment