Friday, March 24, 2017

Bengkel Yang Sia-sia




Pada awal minggu ini, saya telah menghadiri satu bengkel di sebuah hotel di Port Dickson, Negeri Sembilan. Bengkel tersebut adalah anjuran salah sebuah agensi di sebuah kementerian (bukan Kementerian Pendidikan Malaysia). Tujuan bengkel berkenaan ialah untuk menghasilkan satu modul bagi menghasilkan mereka yang boleh menjadi tenaga pengajar untuk Alquran Braille. Kumpulan yang terlibat dalam penghasilan modul berkenaan terdiri daripada 12 orang. 4 daripadanya adalah merupakan mereka yang cacat penglihatan termasuklah saya sendiri. Mengikut jadual, bengkel berkenaan akan tamat pada 24 Mac (Jumaat) ini.

Namun demikian, pada hari ketiga, selepas tamat sesi sebelah petang, saya dengan rasa yang sangat berat hati terpaksa meninggalkan bengkel berkenaan. Salin saya, seorang lagi rakan senasib juga telah membuat keputusan yang serupa. Bagi saya, kehadiran dan apa yang saya sumbangkan menerusi bengkel berkenaan tidak ada manfaat dan faedahnya. Bahkan saya berpendapat, apa yang saya utarakan menerusi bengkel berkenaan amat sia-sia dan tidak berguna langsung. Segala-galanya berpunca daripada seorang hamba Allah yang berstatus fasilitator yang berhati batu, berpandangan sehala dan bersikap amat tidak terbuka dalam mendengar dan meneliti pandangan daripada orang lain khususnya daripada saya dan rakan-rakan yang senasib dengan saya.

Hamba Allah berkenaan hanya boleh berbangga dengan penglibatannya dalam bidang yang sedang diceburinya sudah melebihi 20 tahun. Pada masa yang sanma, berdasarkan kepada penerangannya, beliau tidak sedar (mungkin tidak akan sedar buat selamanya) iaitu maklumat yang ada padanya mengenai golongan cacat penglihatan adalah di tahap zero. Apa yang beliau bangunkan adalah satu modul yang seratus peratus berasaskan garis panduan yang telah ditetapkan oleh agensinya sahaja. Dalam benak beliau langsung tidak ada istilah modifikasi dan ubah suai agar ia lebih mesra dengan golongan cacat penglihatan.

Sikapnya yang paling saya benci ialah bila dia bercakap, dia tidak ingin orang lain mencelah, tetapi bila orang lain yang bercakap, terutamanya saya, beliau sering mencelah dan potong cakap. Maka itulah, selagi orang sombong seperti beliau ini ada dalam bengkel seperti ini, maka sesi perkongsian input tidak mungkin berlaku.

Bila orang yang sentiasa merasakan dirinya tersangat pandai seperti ini terlibat dalam bengkel seperti ini, apa yang sering berlaku ialah modul yang akan dihasilkan nanti mungkin cantik pada mereka yang celik, tetapi ia tak ubah sekadar hampas kepada keperluan golongan yang cacat penglihatan. Hal seumpama ini bukan tidak pernah berlaku!

Jika hamba Allah yang berkenaan ada pengetahuan dan pengalaman tersendiri dalam bidangnya, saya juga ada pengetahuan dan pengalaman yang tersendiri dalam bidang yang hampir serupa. Bezanya ialah saya dan hamba Allah tersebut daripada agensi dan kementerian yang berbeza. Apabila saya cuba menyerapkan ciri-ciri yang lebih mesra dengan golongan cacat penglihatan dalam modul yang sedang dibangunkan, hamba Allah yang bodoh ini enggan menerimanya. Ia sekaligus menunjukkan si hamba Allah ini seorang yang sangat tidak terbuka, sangat rigid dalam mengaplikasikan garis panduan dan mungkin sekali punya pandangan yang sangat rendah terhadap orang seperti saya.

Sebelum ini pun, saya sudah berpengalaman bekerjasama dengan pihak-pihak lain seperti UTM, USIM, UKM dan sebagainya bukannya setahun dua bahkan bertahun-tahun lamanya. Saya tidak pernah bertemu dengan manusia yang sangat tidak terbuka dan amat sombong seperti si hamba Allah dari NOSS ini.

Rakan senasib yang turut sama meninggalkan bengkel berkenaan merupakan seorang pemegang ijazah dalam bidang pendidikan khas. Beliau baru sahaja memperoleh ijazahnya sekitar setahun dua yang lalu. Sepatutnya ilmu bidang pendidikan khas yang masih segar dalam diri dan mindanya dapat dimanfaatkan bagi memantapkan lagi modul yang sedang dibangunkan. Sayangnya, ia tidak mungkin berlaku selagi orang seperti si hamba Allah ini masih wujud. Kesempatan yang ada telah dipersiakan dengan begitu sahaja. Sekiranya keadaan ini berlarutan, modul yang dihasratkan itu mungkin akan dapat dibangunkan juga tetapi ia tidak lebih daripada modul untuk syok sendiri semata-mata.

Perlu saya jelaskan di sini, saya tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan ahli-ahli bengkel yang lain. Saya akui, adakalanya keadaan agak stress, tetapi ia dapat dikendurkan bila ada sikap saling memahami antara kami. Namun demikian, bila si hamba Allah yang sombong dan jahil terhadap keperluan golongan cacat penglihatan ini turut serta, keadaan menjadi benar-benar stress yang sukar untuk dikendurkan.

Bila insiden seperti ini terjadi, ingatan saya terus menerpa kepada Cikgu Ahmad Bustamam, Cikgu Norazlan, Prof. Madya Dr. Mohamed Hussein, Prof. Madya Dr. Zarhamdy, dan yang seumpamanya. Mereka ini, walaupun celik mata, tetapi amat memahami keperluan golongan seperti saya. Mereka tidak pernah sombong dengan nikmat penglihatan yang mereka ada. Mereka sentiasa bersedia mendengar, meneliti dan mempertimbangkan apa yang saya sumbang dan sarankan. Dengan erti kata lain, tiada masalah langsung untuk saya bekerjasama dengan mereka. Sebab itulah kerjasama yang terjalin selama ini sering membuahkan hasil yang cukup memberangsangkan. Ia amat berbeza dengan si hamba Allah yang seorang ini.

Oleh itu, suka saya nyatakan di sini, selagi orang seperti ini wujud dalam bengkel berkenaan, saya tidak akan sudi untuk menghadirinya lagi. Carilah sahaja orang lain yang sanggup untuk angguk dan tunduk terhadap telunujuk dan kehendak orang seperti beliau.


1 comment:

serikinda said...

sabar cikgu zakaria. macam tu la karenah manusia.