Wednesday, June 4, 2014

Prof. Madya Dr. Muhammad Mustaqim Penerima Anugerah Khas PERTIS 2014




(Kemas kini telah dilakukan pada 1 Disember dengan memasukkan video yang berkaitan)



Pendahuluan

Anugerah Khas PERTIS telah mula diwujudkan pada tahun 2010. Ia akan dianugerahkan bersempena dengan mesyuarat agung tahunan PERTIS yang lazimnya diadakan pada bulan Mei atau Jun setiap tahun. Anugerah Khas ini dianugerahkan kepada individu/pihak yang telah banyak menyumbang, menabur jasa bakti atau yang telah menghasilkan sesuatu yang memberi manfaat sama ada kepada PERTIS atau kepada masyarakat cacat penglihatan di negara kita. Sehingga kini sudah 10 individu/pihak yang telah dianugerahkan dengan Anugerah Khas tersebut. Setiap penerima anugerah ini akan menerima sijil dan cenderamata kecil. Sehingga kini, pemberian berbentuk kewangan masih belum disertakan. Salah seorang penerima Anugerah Khas PERTIS bagi tahun 2014 ialah Yang Berbahagia Prof. Madya Dr. Muhammad Mustaqim bin Mohd Zarif. Beliau merupakan pensyarah di Fakulti Pengajian Quran Sunnah (FPQS), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Latar Belakang



Yang Berbahagia Prof. Madya Dr. Muhammad Mustaqim bin Mohd Zarif lahir pada 1977 di Kuala Lumpur. Beliau telah menerima pendidikan rendah di Sekolah Kebangsaan (1) Kuala Ampang, Selangor. Selanjutnya beliau telah menuntut di Madrasah Irshadiah Addiniah, Batu 26 Bagan Datoh Perak untuk pendidikan menengah. Beliau telah berjaya memperolehi Sarjana Muda dengan Kepujian dalam bidang Quran Dan Sunnah dari universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Seterusnya beliau telah berjaya memperoleh ijazah Sarjana dalam bidang yang sama dan dari universiti yang sama. Selanjutnya beliau telah berjaya memperoleh ijazah Doktor Falsafah (phD) dalam bidang Islamic and Middle Eastern Studies, dari University of Edinburgh, Scotland. Prof. Madya Dr. Mustaqim mula berkhidmat di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) selaku pensyarah pada 3 Mac 2003.

Penglibatan Dalam Bidang Braille

Prof. Madya Dr. Mustaqim mula tercebur dalam bidang Alquran Braille setelah berkhidmat di USIM. Setelah berjaya menguasai asas Alquran Braille dengan begitu baik, beliau terus mengorak langkah tanpa menoleh ke belakang lagi dalam bidang tersebut. Walaupun beliau seorang yang berpenglihatan dan bidang Braille pula tiada apa-apa kepentingan kepadanya, namun ia bukan penghalang untuk beliau memberi komitmen yang cukup jitu dalam bidang berkenaan.

Bermula tahun 2009, Prof. Madya Dr. Mustaqim mula mengajar kursus yang berkaitan dengan Alquran Braille di Fakulti Quran Sunnah, USIM. Uniknya, selain daripada beliau selaku orang yang berpenglihatan, para penuntutnya juga terdiri daripada mereka yang berpenglihatan juga. Apa yang istimewa ialah, sehingga kini Fakulti Quran Sunnah dan USIM merupakan satu-satunya IPTA yang menawarkan kursus sedemikian di negara kita.



Selain daripada memberi kuliah, beliau tidak jemu untuk mempertingkatkan kemahirannya dalam bidang Alquran Braille. Hasilnya, kini beliau berupaya membaca dan menulis Alquran Braille dengan baik. Beliau turut melaksanakan usaha pengumpulan naskah-naskah Alquran Braille dari negara-negara lain. Hasilnya kini Fakulti Quran Sunnah, USIM, sudah pun mempunyai galeri Alquran Braille yang menghimpunkan koleksi naskah-naskah Alquran Braille daripada beberapa buah negara.

Prof. Madya Dr. Mustaqim merupakan orang yang telah berjaya membaca fatwa mengenai Alquran Braille yang dikeluarkan oleh kerajaan Mesir yang ditulis dalam tulisan Arab Braille tanpa baris yang terkandung dalam Alquran Braille cetakan 1964 yang masih tersimpan di pejabat PERTIS Malaysia. Mungkin kerana kagum dengan kebolehannya membaca Alquran Braille, Dr. Mustaqim telah dihadiahkan senaskah Alquran Braille semasa melaksanakan usaha pengumpulan Alquran Braille di negara Jordan.

Sumbangan

Usaha-usaha tanpa henti yang beliau laksanakan telah berjaya menghasilkan bahan-bahan ilmiah berkaitan Alquran Braille yang selama ini amat jarang diberi perhatian. Hasil kajian beliau termasuklah penulisan buku, kertas kerja, penulisan jurnal dan sebagainya.

Buku-buku yang pernah beliau tulis termasuklah:

1. Braille al-Quran: Sejarah dan Kaedah, Nilai, (Penerbit USIM), 179 halaman.

2. Pembangunan Braille al-Quran Rasm Uthmani, Nilai, (Penerbit USIM), 162 hal.

Khabarnya beliau sedang dalam proses untuk menghasilkan buku ketiga mengenai Alquran Braille. Mudah-mudahan usahanya akan beroleh kejayaan, insha-Allah.

Antara ARTIKEL JURNAL yang pernah beliau hasilkan termasuklah:

1. Hukum Penulisan al-Quran Braille Rasm Uthmani, “Jurnal al-Basirah” (Universiti Malaya) 2(2): hal. 213-224. (2012)

Antara pembentangan dalam seminar yang pernah beliau laksanakan termasuklah:

1. Uthmanic Model of Quranic Orthography in Braille, Creativity and Innovation Seminar: Inspiring Islamic Innovative Minds (Seminar Proceeding: CD-Rom), Nilai: Fakulti Sains dan Teknologi, USIM, 25 Okt 2013.

2. Penulisan al-Quran Braille: Cabaran dan Penambahbaikan, Program Perkongsian Ilmu Mesyuarat Penyemakan dan Penilaian Teks al-Quran Bil. 1/2012 Kementerian Dalam Negeri Malaysia Kuala Lumpur: Quality Hotel City Centre, 1 Mac 2012.

3. Penghasilan Bahan Bacaan Braille di USIM: Projek Transkripsi Buku IQRA” Seminar Perkhidmatan Perpustakaan kepada Golongan Khas. Pulau Pinang, 14-16 Dis 2010: 10 halaman.

4 Beberapa Pemerhatian Mengenai Penggunaan Kontraksi dalam Penulisan Braille al-Quran di Malaysia, Seminar Wahyu Asas Tamadun (SWAT 2009). Nilai: FPQS, USIM, 28-29 Julai 2009: 1-14.

5 Pengajaran Braille al-Quran di IPTA Malaysia: Kajian Kes di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Seminar al-Quran 2008 Peringkat Kebangsaan. Kuala Terengganu: Universiti Darul Iman Malaysia, 19-20 Ogos 2008.

Antara penyelidikan yang pernah beliau laksanakan termasuklah:

i) 2010-2014- Ketua projek Pembangunan Braille al-Quran Rasm Uthmani. Pembiayaan USIM.

ii) 2005-2008- Ahli projek Metode Pengajian Braille al-Quran. Pembiayaan KUIM.

Antara sumbangan beliau yang lain ialah:

i) Penyelia projek Latihan Ilmiah pelajar tahun akhir Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM berkaitan Braille, antaranya projek membraillekan buku Panduan Ibadah Haji terbitan Lembaga Tabung Haji dengan kerjasama PERTIS.

ii) Pernah memegang jawatan sebagai pemangku penyelaras Institut Quran Braille (IQ Braille) USIM selama 2 tahun (1 Okt 2011 hingga 30 Sept 2013).

iii) Menggerakkan usaha pelaksanaan projek Pembangunan Mashaf Braille Malaysia dengan kerjasama USIM, JAKIM, KDN, PERTIS dan organisasi OKU Penglihatan lain di Malaysia.

Antara anugerah yang pernah beliau menangi berkaitan dengan penglibatannya dalam bidang Alquran Braille termasuklah:

- Anugerah Utama Inovasi Islam dalam Ekspo Inovasi Islam (i-Inova 2013) anjuran USIM, USM dan Akademi Sains Malaysia

- Anugerah Khas Ibn Maqtum dalam Ekspo Inovasi Islam (i-Inova 2013) anjuran USIM, USM dan Akademi Sains Malaysia

- Pingat Emas dalam Ekspo Inovasi Islam (i-Inova 2013) anjuran USIM, USM dan Akademi Sains Malaysia

- Pingat Perak dalam International Conference and Exposition on Invention of Institutions of Higher Learning (PECIPTA 2013) anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia

Penutup



Hasil kerja keras yang tidak pernah kenal titik nokhtah, kini Prof. Madya Dr. Mustaqim merupakan tokoh pakar rujuk yang amat disegani dalam bidang Alquran Braille khususnya di negara kita. Berdasarkan hasil sumbangan yang beliau curahkan, intelektualisme dan kredibiliti beliau dalam bidang Alquran Braille sama sekali tidak boleh diketepikan. Justeru, anugerah yang telah diberi kepada beliau baru-baru ini amat kecil jika hendak dibandingkan dengan sumbangan yang telah beliau lakukan. Seluruh warga PERTIS merasa amat bertuah dan berbangga punya insan seperti beliau. Semoga Allah memberkati usaha beliau untuk selama-lamanya dunia dan akhirat.

Maklumat Tambahan

Senarai Penerima Anugerah Khas PERTIS Sejak Tahun 2010

Tahun 2010:
1. Cikgu Osman bin Isa.
2. Pn. Raja Aishah binti Raja Adnan.

Tahun 2011:
1. Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
2. Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu.

Tahun 2012:
1. World Wide Holdings Bhd.
2. Fakulti Pengajian Quran Sunnah (FPQS), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Tahun 2013:
1. Yayasan May Bank.
2. Ustaz Hamdan Yusi bin Yusuf.

Tahun 2014:
1. Am bank Islamic.
2. Prof. Madya Dr. Muhammad Mustaqim bin Mohd Zarih.


(Untuk menonton majlis penganugerahan yang telah dilangsungkan, sila klik di bawah)


Prof. Madya Dr. Muhammad Mustaqim Penerima Anugerah Khas PERTIS 2014

Coretan Mesyuarat Agung PERTIS Ke-19




Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada barisan pimpinan Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) yang baru. Majoriti ahli telah memberi kepercayaan yang tidak ternilai kepada anda untuk meneruskan kesinambungan kepimpinan PERTIS. Kini di bahu anda terpikulnya amanah dan tanggungjawab bagi memacu PERTIS ke tahap yang lebih cemerlang dan gemilang daripada sebelumnhya.



Di sini, untuk sekian kalinya, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada para tetamu jemputan yang sudi hadir dalam majlsi perasmian mesyuarat agung tahunan berkenaan. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga saya tujukan kepada Dato’ Dr. Mohd Fakhrudin bin Abdul Mukti, mantan duta besar Malaysia ke Mesir kerana kesudiannya untuk merasmikan mesyuarat agung kali ini. Selain itu, saya juga mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Tn. Hj. Wan Muhammad bin Wan Endot, Timbalan Pengarah, Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan Malaysia, atas kesudiannya menghadiri majlis perasmian kali ini. Memang saya ada mengundang BP-Khas, tetapi saya sama sekali tidak menduga yang hadir ialah timbalan pengarahnya.



Di samping itu, saya juga ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada para sukarelawan sama ada dalam kalangan ahli PERTIS sendiri mahupun para individu luar yang sememangnya diundang khas untuk berfungsi selaku sukarelawan. Dengan kerjasama baik daripada kalian, perjalanan mesyuarat agung kali ini telah berjalan dengan cukup baik dan lancar. Kehadiran dan pertolongan kalian juga telah banyak memudahkan ahli-ahli mesyuarat dalam pelbagai urusan. Di sini saya ingin memohon kemaafan khususnya kepada para sukarelawan jika kedapatan sebarang hal yang telah menggores hati ketika melaksanakan tugas di sepanjang mesyuarat berlangsung. Saya akui karenah para ahli PERTIS memang pelbagai. Ada yang begini dan ada pula yang begitu. Saya amat berharap, kalian semua tidak serik untuk menabur bakti lagi kepada insan seperti kami pada masa akan datang.





Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada dua penerima Anugerah Khas PERTIS 2014 iaitu Prof. Madya Dr. Muhammad Mustaqim dan juga Am Bank Islamic. Mereka memang layak untuk menerima anugerah berkenaan tahun ini. Saya akan cuba berkongsi hasil sumbangan salah seorang penerima anugerah berkenaan menerusi blog ini dalam kesempatan selanjutnya, insha-Allah.



Barisan pimpinan PERTIS bagi sesi 2014-2016 ialah seperti berikut:
En. Mohamad Faizal bin Che Yusuf (Yang Di-Pertua);
En. Zamzuri bin Ghani (Naib Yang Di-Pertua);
Pn. Norlita Hanim binti Md Taha (Setiausaha Agung);
(Bendahari Pusat akan dipilih kemudian oleh AJK Pusat);
Cikgu Wan Mohd Suhaimi bin Wan Zawil Abidin (AJK Pusat Biasa);
Pn. Sariyah binti Nordin (AJK Pusat Biasa);
En. Osman Nordin Omar (AJK Pusat Biasa).

Pemeriksa kira-kira dalaman untuk tahun 2014 pula ialah Cikgu Mohd Jais Ismail dan En. Mohd Bukhari bin Zakaria.

Saya juga bersyukur ke hadhrat Allah yang tidak terhingga kerana mesyuarat agung kali ini telah berjalan dengan lancar dan penuh tertib sama ada sewaktu majlis perasmian mahupun semasa mesyuarat berlangsung. Tiada sebarang insiden yang tidak dikehendaki berlaku. Selain itu, para ahli juga cukup matang dalam membangkit dan membahaskan isu-isu berbangkit. Tiada sebarang provokasi melampau dilontarkan. Tiada sampukan tidak beradab kedengaran. Sepertimana yang sering saya tegaskan, perbezaan dalam kalangan sesama kita adalah perkara biasa, tetapi janganlah perbezaan berkenaan mengakibatkan kita tidak rasional, emosional dan tidak profesional. Amat malang jika perselisihan dalam mesyuarat terbawa-bawa pula hingga ke luar mesyuarat.

Mengikut rekod pendaftaran, kehadiran dalam mesyuarat kali ini juga memberangsangkan. Seramai 173 orang telah hadir. Dari jumlah tersebut, seramai 132 orang adalah ahli biasa. Manakala 23 orang pula merupakan ahli sekutu PERTIS. 4 orang adalah anak-anak ahli. 3 orang adalah bukan ahli. 11 orang pula merupakan sukarelawan daripada luar.

Walau bagaimanapun, terdapat segelintir kecil ahli mesyuarat yang telah tidak hadir dengan alasan yang tidak munasabah atau tidak memberitahu kepada PERTIS sebenarnya anda tidak berminat untuk hadir. Anda yang tidak hadir perlu faham iaitu setiap ahli PERTIS yang hadir hanya diminta membayar sebanyak RM 60.00 sahaja (bagi pakej dengan penginapan) sedangkan pada masa yang sama PERTIS telah membayar lebihan sekitar RM 160.00 untuk setiap orang ahli yang hadir. Jadi, bagi ahli yang telah tidak hadir tanpa alasan yang munasabah, anda sebenarnya telah membazirkan wang persatuan. Apa yang paling saya kesal ialah ada seorang bekas AJK Pusat yang tidak hadir langsung sedang tempat beliau telah dibayar penuh oleh PERTIS atas kapasitinya selaku AJK PERTIS. Di saat-saat pihak PERTIS masih menghubungi beliau dan saya dimaklumkan beliau memberitahu akan hadir. Golongan seumpama ini sebenarnya telah menyusahkan PERTIS. Ingat, hari ini anda menyusahkan orang, esok lusa belum tahu lagi siapa sebenarnya yang akan menerima susah!!!

Sehingga tulisan ini saya tulis, persoalan mengapa saya tidak bertanding untuk mempertahankan jawatan selaku Yang Di-Pertua PERTIS masih menjadi bual bicara dalam kalangan rakan dan taulan. Sebenarnya hasrat saya untuk melepaskan jawatan selaku YDP PERTIS bukan saya putuskan sejak sehari dua yang lalu. Saya telah pun memikirkannya sejak dua tahun yang lalu. Saya pernah menyatakan hasrat saya kepada presiden SBM sekarang sewaktu beliau berkongsi luahan rasa sejurus berakhirnya mesyuarat agung khas SBM pada 16 Disember 2012. Semasa kami berbalas SMS dan salah satu daripada SMS saya kepada beliau ada menyatakan bahawa saya akan memegang jawatan YDP PERTIS sehingga tahun 2014 sahaja. Masih simpan lagi ke SMS saya, Tuan Haji?

Beberapa hari sebelum berlangsungnya mesyuarat agung tahunan PERTIS, kisah mengenai kemungkinan saya tidak akan bertanding semakin kerap kedengaran. Pada masa yang sama, saya berada dalam keadaan yang agak sukar dan serba salah. Ada antara AJK Pusat ketika itu memaklumkan bahawa mereka hanya akan menawarkan diri untuk menjadi calon sekiranya saya turut sama bertanding. Saya sama sekali ingin mengelakkan seseorang itu menjadi calon hanya semata-mata kerana saya. Mereka harus yakin dengan kekuatan dan kebolehan diri sendiri. Saya tidak mahu mereka menyandarkan keyakinan diri mereka kepada saya. Saya Cuma seorang insan biasa yang punya terlalu banyak kelemahan. Adalah lebih praktikal jika mereka sandarkan keyakinan diri masing-masing hanya kepada Tuhan Yang Esa. Maka itulah akhirnya saya sekadar mendiamkan diri sahaja bila persoalan sama ada saya akan mempertahankan jawatan YDP diajukan kepada saya.

Kini sudah tiba waktunya untuk saya melepaskan jawatan selaku YDP PERTIS. Saya amat sedar dan insaf, PERTIS memerlukan sentuhan kumpulan pemimpin yang lebih bertenaga, lebih muda, kreatif, tahan uji serta punya semangat kental lagi jitu. Selaku sebuah organisasi, kita harus bersedia untuk menerima perubahan pemimpin dan corak pimpinan. Di samping itu, ahli-ahli PERTIS juga harus memberi peluang kepada ahli lain untuk mempamirkan bakat serta menabur bakti kepada persatuan. Mungkin yang diganti lebih baik daripada yang sebelumnya dan yang tumbuh mungkin lebih baik daripada yang sudah patah. Perkara inilah yang telah saya tekankan dalam ucapan aluan saya dalam majlis perasmian mesyuarat agung tahunan tempoh hari. Setakat yang saya tahu, hanya seorang sahaja ahli mesyuarat yang dapat mengesan apa yang tersirat daripada ucapan tersebut. Maka itulah beberapa kali beliau menyifatkan ucapan saya itu sebagai “ucapan widak”.

Di samping itu, keputusan saya untuk melepaskan jawatan juga adalah disebabkan saya kini harus memberi tumpuan pula kepada 3 perkara lain yang mana pada perkiraan saya amat perlu saya utamakan dalam hidup saya. Setelah mengira, mencongak, mengukur dan memikirkannya dengan halus dan teliti, saya tiada pilihan lagi melainkan harus melepaskan jawatan saya selaku YDP PERTIS bagi memberi tumpuan pula kepada perkara-perkara berkenaan.

Perlu saya tegaskan di sini, walaupun saya bukan lagi YDP PERTIS, saya masih lagi ahli PERTIS. Doa saya untuk kebaikan PERTIS tetap tidak berubah. Sekiranya masih diperlukan, saya bersedia untuk memberi sumbangan buah fikiran kepada PERTIS. Bila ada kesempatan, insha-Allah saya akan hadir dalam program anjuran PERTIS. Jika sebelum ini saya duduk di atas pentas, kali ini saya tiada masalah untuk duduk di bawah pentas pula. Jika sebelum ini saya makan bersama para tetamu dalam majlis rasmi PERTIS, sekarang tiada masalah bagi saya untuk makan semeja dengan ahli biasa PERTIS yang lain. Jika sebelum ini saya sekali-sekala muncul di kaca TV atau di dada akhbar atas kapasiti YDP PERTIS, selepas ini saya tidak bermasalah untuk mendengar atau membaca YDP PERTIS yang baru jika muncul di kaca TV atau di dada akhbar. Dengan erti kata lain, insha-Allah saya tidak akan menjauhkan diri daripada PERTIS. Lagi pun, saya memang sedar, saya tidak lagi berkedudukan sebagai YDP PERTIS bukan kerana ditolak ahli, tetapi ia adalah pilihan saya sendiri.

Kepada barisan pimpinan baru PERTIS, bila anda sudah bersetuju untuk dipilih menerajui organisasi ini, maka laksanakanlah tugas dan tanggungjawab dengan sebaik mungkin. Jangan sekali-kali tempangkan PERTIS dengan mengabaikan tugas dan amanah yang telah anda sendiri bersetuju. Jika benar-benar sudah tidak mampu untuk melaksanakan amanah, pulangkan semula amanah itu dengan baik. Jangan biarkan ia digantung tidak bertali. Akhirnya nanti yang tempang adalah persatuan kita juga.

Di samping itu, jangan sekali-kali bersifat kronisme atau nepotisme dalam berpersatuan. Berilah amanah dan tanggungjawab kepada seseorang kerana kemampuannya dan bukan kerana hubungan baiknya dengan kita.

Jika berlaku penyelewengan wang di mana-mana peringkat atau oleh sesiapa sahaja, maka tindakan segera yang berkesan perlu diambil. Jika tindakan secara dalaman lebih berkesan, maka tindakan sedemikian bolehlah diambil. Sebaliknya jika tindakan secara dalaman tidak lagi berkesan, maka tindakan lain yang lebih wajar hendaklah diambil. Risiko pasti ada tetapi selaku pemimpin kita harus berani menanggungnya.

Sebagai pemimpin, anda wajib mengambil tahu tentang hal ehwal persatuan dari hujung rambut hingga hujung kaki. Jika ada mana-mana orang yang cuba menghalang maklumat sebenar daripada sampai ke pengetahuan anda, ingatlah orang sedemikian amat berbahaya kepada anda dan juga kepada persatuan. Tindakan segera dan wajar harus diambil ke atas orang sedemikian. Jangan tunggu hujan sudah turun baru hendak cari payung.

Di samping itu, jika ada mana-mana individu yang cuba mewujudkan organisasi dalam organisasi, maka ketahuilah bahawa organisasi kita dalam bahaya. Jika tindakan sewajarnya lambat diambil, maka organisasi kita akan musnah dalam sekelip mata.

Apabila kita sudah menjadi pemimpin PERTIS, jangan sekali-kali kita berharap semua orang akan suka dengan kita. Sedangkan Rasulullah lagikan ada orang yang tidak suka kepada baginda, inikan pula kita manusia biasa. Adalah amat salah sama sekali jika selaku pemimpin kita mengharapkan untuk jadi glamour. Sebaliknya selaku pemimpin, walaupun sekadar pemimpin PERTIS, kepimpinan kita pasti akan disoal di akhirat kelak.

Selaku pemimpin PERTIS, kita harus sentiasa ingat iaitu langit tidak selalunya cerah. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula antara sesama barisan pimpinan PERTIS. Jika wujud perselisihan antara sesama AJK PERTIS, cubalah sedaya upaya untuk menyelesaikannya secara dalaman. Jika pertikaian tersebut melimpah ke luar, ia akan mendedahkan PERTIS kepada spekulasi. Selaku sebuah organisasi yang masih kecil, PERTIS masih belum mampu untuk berhadapan dengan suasana spekulasi.

Para pemimpin PERTIS juga harus peka dengan maklumat terkini khususnya yang melibatkan PERTIS. Sebagai contoh, mungkin ada pihak lain yang sedang berusaha untuk menjadikan organisasinya lebih unggul daripada PERTIS dengan cara yang kurang sihat. Dalam menghadapi hal sebegini, para pemimpin PERTIS harus sentiasa bertawakal kepada Allah setiap ketika. Walaupun puak-puak jahat ini ada rancangan, tetapi rancangan Allah adalah yang terbaik.

Para pemimpin PERTIS juga harus berwaspada dengan puak yang bersikap talam dua muka. Sekiranya kurang berhati-hati, mereka akan berperanan umpama api dalam sekam. Jika boleh, para pemimpin PERTIS harus berupaya mengenal pasti tokoh yang bersikap sedemikian.

Para pemimpin PERTIS juga jangan berkira jika harus melakukan kerja lebih, sekali-sekala harus mengorbankan wang poket sendiri atau sekali-sekala mengorbankan masa yang sepatutnya untuk keluarga kepada PERTIS. Selaku pemimpin, perkara-perkara berkenaan seakan sudah menjadi suatu kewajipan. Jika terpaksa untuk berkorban sedemikian, lakukanlah dengan ikhlas dan tanpa sebarang rungutan. Insha-Allah, dengan keikhlasan yang ada, Allah pasti akan menganugerahkan balasan yang lebih baik daripada itu.

Kepada ahli-ahli PERTIS semua, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas sokongan dan kerjasama yang telah kalian berikan kepada saya di sepanjang saya bertugas selaku YDP PERTIS. Berdasarkan daripada respon dan reaksi daripada kalangan ahli sejurus sahaja saya mengumumkan bahawa saya tidak akan mempertahankan jawatan YDP PERTIS, telahan saya mungkin ada benarnya iaitu sokongan kepada saya khususnya daripada para ahli PERTIS masih ada tetapi saya tidak pasti ia sebesar mana. Saya insaf dan sedar iaitu PERTIS bukan hak milik peribadi saya. Sudah tiba masanya saya memulangkan teraju pimpinan PERTIS kepada para ahli untuk membuat pilihan yang baru.

Akhirnya, kepada seluruh barisan kepimpinan PERTIS, saya ucapkan selamat maju jaya. Selagi anda berada atas landasan yang diredhai Allah, anda pasti akan sentiasa mendapat pertolongan Allah.

Saya bukanlah orang yang pandai atau untuk menunjuk bijak. Saya sekadar berkongsi secebis pengalaman yang tidak seberapa.





Sunday, June 1, 2014

Teks Ucapan



Dibawah ini adalah ucapan saya selaku Yang Di-Pertua Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS dalam majlis perasmian mesyuarat agung tahunan kali ke-19 baru-baru ini. Ia adalah ucapan saya yang terakhir selaku YDP PERTIS.

Ucapan Alu-aluan Yang Di-Pertua
Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS)
Dalam Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Kali Ke-19

Tarikh : 2 Shaaban 1435H / 31 Mei 2014 M (Sabtu)
Tempat : Hotel City Villa, Kuala Lumpur


1. Alu-aluan.

Yang Berbahagia Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Fakhrudin bin Abdul Mukti, mantan duta besar Malaysia ke Mesir dan pensyarah di Jabatan Akidah Dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam, UM, KL; Yang Berbahagia, Datuk Zamani bin Sulaiman, Setiausaha Dewan Negara, Parlimen Malaysia; Yang Berbahagia, Tn. Hj. Wan Muhammad bin Wan Endot, Timbalan Pengarah, Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan Malaysia; Yang Berusaha, seluruh barisan pimpinan PERTIS peringkat pusat dan wilayah; yang dihormati wakil-wakil jabatan dan agensi kerajaan, wakil sektor korporat; yang dihormati, wakil institusi-institusi pengajian tinggi; yang dikasihi wakil-wakil badan bukan kerajaan; para sukarelawan, wakil-wakil media serta para hadirin dan muslimin sekalian.


2. Kesyukuran Dan Penghargaan

Terlebih dahulu, marilah sama-sama kita merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadhrat Allah kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya kita dapat hadir dalam majlis perasmian Mesyuarat Agung PERTIS kali ke-19 bagi tahun 2014. Penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga saya tujukan khas kepada Yang Berbahagia Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Fakhrudin bin Abdul Mukti di atas kesudian beliau untuk hadir dan seterusnya merasmikan mesyuarat agung PERTIS pada kali ini. Walaupun beliau diundang 3 hari sebelum berlangsungnya majlis ini, tetapi dek tingginya sahsiah dan peribadinya, beliau tidak pernah merasakan undangan ini sebagai undangan yang bersifat “bidan terjun”.

Saya juga tidak lupa mengalu-alukan kehadiran semua tetamu jemputan dan juga para hadiran ke majlis ini. Kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan. Mudah-mudahan kehadiran kita semua akan menambah lagi keberkatan dalam majlis ini, insha-Allah. Jika kedapatan cacat cela pada majlis ini nanti, saya terlebih dahulu mohon ribuan kemaafan. Nan elok bawalah pulang, nan buruk tinggalkan saja di sini.


3. Memasyarakatkan PERTIS

Selaku sebuah organisasi yang masih bertatih, PERTIS tidak boleh lari dari hakikat keperluan untuk bekerjasama dengan pihak lain jika ingin terus maju ke hadapan. Untuk itu, pelbagai langkah telah dan akan terus diambil bagi membawa PERTIS ke tengah-tengah masyarakat. Di sepanjang tahun 2013, PERTIS telah berjaya memperluas lagi kerjasama pintar dengan beberapa badan dan agensi. Sebagai contoh, pelaksanaan kerjasama dengan Al-Tasneem Malaysia Sdn Bhd telah berjaya menghasilkan pen pembaca Alquran yang mesra dengan golongan cacat penglihatan. Manakala kerjasama dengan Fakulti Pengajian Quran Sunnah, USIM secara berterusan pula telah berjaya menambah koleksi bahan bacaan bentuk Braille bercorak Islam. Di samping itu, kerjasama yang sedia terjalin dengan jabatan dan agensi seperti Kementerian Pendidikan Malaysia, JAKIM, JAWI, FKM UTM dan sebagainya terus diperkukuh dari semasa ke semasa. Perolehan kontrak 4 tahun berturut-turut untuk penghasilan buku teks KSSR Pendidikan Islam dalam bentuk Braille oleh Kementerian Pendidikan menunjukkan pengiktirafan kemampuan organisasi ini dalam menuyumbang bakti khususnya dalam bidang pendidikan. Pemilihan PERTIS oleh pihak berkuasa tempatan seperti DBKL untuk melaksanakan tanggungjawab audit aksessibiliti kemudahan awam untuk golongan OKU merupakan satu lagi pengiktirafan pihak berwajib kepada organisasi kita. Terkini ialah kerjasama yang mula terjalin di antara PERTIS dengan Shah Alam Convension Center (SACC) dengan tujuan utama untuk mengutip dana bagi penerbitan Alquran Braille.

PERTIS akan mengambil apa jua langkah yang wajar bagi memastikan organisasi ini dapat menjadi wadah yang berkesan kepada golongan cacat penglihatan bagi menyampaikan suara dan harapan mereka kepada masyarakat. Selain itu, PERTIS juga akan berusaha sekuatnya untuk menjadikannya sebagai sebuah organisasi yang dipandang orang dan tempat rujukan dalam bidang yang bersesuaian, insha-Allah.


4. Anjakan Paradigma

Selaras dengan kemampuan yang ada, maka kita telah mula mengora langkah dengan menggunakan sebahagian kemampuan yang ada untuk menghulurkan sumbangan pula kepada pihak-pihak lain yang memerlukan, terutamanya badan dan institusi yang ada kaitan dengan golongan cacat penglihatan. Walaupun sumbangan yang kita beri masih kecil tetapi jika ia dilaksanakan secara berterusan, lama-kelamaan ia akan dapat menukar imej PERTIS daripada sebuah badan yang hanya selaku penerima sumbangan kepada sebuah badan yang sama-sama boleh menyumbang pula. Namun demikian, ia amat bergantung pula kepada kemampuan semasa yang ada. Ia juga selaras dengan hadith daripada Rasulullah S.A.W. yang antara lain mafhumnya, tangan yang di atas itu lebih baik daripada tangan yang di bawah. “hati nyamuk sama dicecah, hati gajah sama dilapah”.


5. Alquran Braille

Untuk maklumat bersama, sehingga kini Alquran Braille yang dihasilkan oleh PERTIS merupakan satu-satunya Alquran Braille yang telah mendapat pengiktirafan daripada JAKIM dan juga kebenaran daripada Bahagian Teks Dan Kawalan Alquran, Kementerian Dalam Negeri Malaysia. Bahkan kita sentiasa mengambil apa jua langkah yang sesuai bagi memastikan kesucian dan ketinggian Alquran yang ada dalam jagaan kita sentiasa terpelihara dengan sebaiknya sesuai dengan tarafnya sebagai mukjizat yang paling agung. Untuk itu, organisasi ini sentiasa menyokong kuat usaha-usaha ke arah penambahbaikan terhadap aspek-aspek tertentu pada Alquran Braille yang sedia ada. Maka itulah PERTIS sentiasa memberi dokong kuat kepada jawatankuasa pembangunan Alquran Braille Mushaf Malaysia. Sayangnya usaha ini seakan terhenti di tengah jalan. Justeru, kami menggesa kepada pihak-pihak yang berkenaan agar tidak mengambil sikap lepas tangan dan tunggu dan lihat terhadap kesinambungan tugas, fungsi dan tanggungjawab jawatankuasa yang telah sama-sama dipersetujui ini. Hal ini saya ketengahkan kerana usaha jawatankuasa ini sudah terhenti lebih dari setahun lamanya. Apa jua yang tidak kena harus diselesaikan secara musyawarah agar golongan sasar akan beroleh manfaatnya dalam masa terdekat.

Di samping itu, pihak yang berwajib juga harus peka dengan naskah Alquran Braille yang dihasilkan oleh pihak-pihak lain. Saya ketengahkan perkara ini agar kita sama-sama dapat menghindarkan Alquran Braille itu daripada disalahgunakan oleh mana-mana pihak yang berkepentingan dan tidak bertanggungjawab. Pihak yang berwajib sepatutnya mengambil maklum, antaranya berapa ramaikah pihak lain yang turut menghasilkan Alquran Braille selain PERTIS? Dari sumber manakah mereka memperoleh soft copy Alquran Braille yang mereka keluarkan? Siapa pula yang menjadi penulis kepada soft copy Alquran Braille mereka? Ada satu laman sesawang yang menceritakan kononnya Alquran Braille yang mereka hasilkan ditulis oleh sifulan tertentu. Sedangkan sifulan yang dimaksudkan tidak langsung berkebolehan dalam bidang berkenaan. Jangan tunggu nasi sudah menjadi bubur atau hujan sudah turun baru hendak mencari payung.


6. Cabaran Masa Hadapan

Selaku ahli PERTIS, kita semua harus memastikan agar organisasi kita akan sentiasa relevan dengan keperluan semasa. Sekiranya kita gagal, kita pasti akan ketinggalan ke belakang. Selain itu, sudah tiba masanya untuk kita sama-sama menjadikan organisasi kita sebagai wadah perjuangan yang lebih berkesan untuk golongan seperti kita. Untuk itu, kita harus berani bersuara demi mendokong kebenaran dan kepentingan ahli masyarakat seperti kita. Kita juga harus berusaha untuk memberi pendedahan dan kesedaran kepada masyarakat tentang keperluan golongan seperti kita. Di samping itu, setiap ahli persatuan harus mengelakkan sebarang peertikaian dalaman yang boleh merosakkan perpaduan antara sesama kita. Perbezaan antara sesama kita adalah perkara biasa, tetapi janganlah perbezaan berkenaan boleh menjadi punca kepada retak, belah dan seterusnya menghancurkan organisasi kita. “Bulat air kerana pembentung, bulat kita kerana muafakat”.

7. Harapan

Marilah kita sama-sama berdoa ke hadhrat Ilahi semoga organisasi kita dan seluruh ahlinya sentiasa beroleh keberkatan daripada-Nya untuk selama-lamanya. Datang dan pergi satu-satu kumpulan pemimpin merupakan lumrah bagi kita yang hidup. Yang tumbuh mungkin lebih baikdaripada yang telah patah dan yang berganti mungkin lebih baik daripada yang telah hilang. Apa yang lebih penting ialah seluruh ahli persatuan mestilah tergolong dalam kalangan mereka yang beriman dan bertakwa kerana kedua-dua elemen ini merupakan syarat penting agar jamaah kita beroleh keberkatan dari langit dan juga dari bumi.


8. Penutup

Akhirnya, sekali lagi saya mengucapkan berbanyak terima kasih khasnya kepada Yang Berbahagia Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Fakhrudin bin Abdul Mukti, mantan duta besar Malaysia ke Mesir, yang telah sudi hadir untuk merasmikan mesyuarat agung PERTIS kali ke-19. Saya juga tidak lupa mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang telah menghulurkan pelbagai bentuk bantuan bagi menjayakan mesyuarat agung kali ini. Ucapan terima kasih saya tujukan juga kepada Syarikat Al-Tasneem Malaysia Sdn Bhd kerana telah menaja pemberian cenderamata untuk para sukarelawan yang bertugas kali ini. Mudah-mudahan mesyuarat agung kali ini akan berjalan dengan baik dan lancar, insha-Allah.

Sekian, terima kasih.


Sunday, May 25, 2014

Abu Bakar Harun Kembali Ke Rahmatullah



Sebentar tadi saya mendapat maklumat iaitu Saudara Abu Bakar Harun, seorang OKU penglihatan, telah kembali ke rahmatullah. Beliau merupakan rakan saya sejak dari sekolah rendah lagi. Sebelum ini, saya turut mendapat khabar Allahyarham menderita sakit. Hasrat untuk menziarah nampaknya tidak kesampaian kerana Allahyarham telah lebih dahulu dijemput Ilahi.

Marilah sama-sama berdoa semoga Allahyarham akan dicucuri rahmat setiap ketika.

Alfatihah ....


PRK Bukit Gelugor: Sekadar Coretan Ringkas



Hari ini (25 Mei), sedang berlangsung pilihanraya kecil (PRK) parlimen Bukit Gelugor, Pulau Pinang. 4 calon bertanding untuk merebut kerusi berkenaan. Pilihanraya kecil ini diadakan berikutan kematian penyandang sebelumnya, Karpal Singh, dalam satu kemalangan jalanraya pada 17 April lalu.

Saya tertarik dengan kenyataan pihak PDRM mengenai pilihanraya kecil ini yang antara lain menyatakan pilihanraya kecil ini merupakan antara pilihanraya paling aman yang pernah diadakan.

Situasi ini mungkin disebabkan hanya satu parti politik yang berstatus “gergasi” sahaja yang terlibat. Satu parti politik lagi mungkin masih berstatus “ikan bilis”. Manakala dua calon bebas pula mungkin masih kurang terkenaal dan tidak begitu menyerlah. Justeru, tiada unsur provokasi melampau yang timbul. Boleh dikatakan suasana kempen hampir sepenuhnya dikuasai oleh DAP.

Rata-rata penganalisis politik sependapat iaitu DAP sudah pasti akan dapat mengekalkan kedudukannya di Bukit Gelugor. Jadi keputusan pilihanraya kecil yang diumumkan nanti hanyalah sekadar untuk pengesahan rasmi sahaja bagi DAP mempertahankan Bukkit Gelugor. Populasi pengundi, kemenangan mendiang Karpal Singh dalam PRU lepas, reputasi mendiang Karpal Singh, dan DAP di Pulau Pinang dan sebagainya merupakan antara faktor bagi DAP untuk mengekalkan penguasaannya di Bukit Gelugor.

Penarikan diri MCA untuk menjadi pencabar di Bukit Gelugor bagi pihak BN sudah merupakan suatu kemenangan moral yang cukup bermakna bagi DAP. Dalam hal ini, nampaknya MCA agak bijak membuat keputusan. Untuk apa bertanding kalau sudah tahu akan tewas. Jika bertanding sekadar untuk menjadi pencabar tanpa kemenangan, itu sekadar membuang masa, tenaga dan wang sahaja.

Mungkin apa yang lebih dinanti-nantikan oleh penganalisis politik dan juga orang awam seperti saya ialah calon manakah yang bakal kehilangan wang pertarungan kelak. Selain itu, kita juga ingin tahu berapakah undi yang bakal diperoleh Ramkarpal.

Dengan kata lain, kemenangan DAP kelak tidak akan membawa apa-apa perubahan pada komposisi kerusi di parlimen. Ia sekadar mengekalkan statusquo yang ada sahaja. Di samping itu, ia juga sebagai penerusan kepada sistem demokrasi yang diamalkan oleh negara kita.


Tuesday, May 13, 2014

Bertemu Dengan Bekas Anak-anak Murid




Malam tadi (12 Mei), saya dengan ditemani isteri berkesempatan untuk ke Universiti Malaya (UM). Tujuan utama saya adalah untuk bertemu dengan beberapa orang bekas anak murid saya yang sedang menuntut di universiti berkenaan. Kebetulan saya dan isteri juga pernah menuntut di universiti yang sama dua dekad lebih yang lalu. Jadi di samping bertemu dengan mereka, kami juga sedikit sebanyak dapat menghimbau semula memori lama ketika menuntut dahulu.

Sekitar jam 10.15 malam, saya dan isteri tiba di hadapan lobi kolej ketujuh. Kalau di UM, Kolej Ketujuh memang amat terkenal sebagai sebuah asrama kediaman yang cukup mesra dengan mahasiswa OKU dari dahulu lagi. Pelbagai kemudahan disediakan untuk golongan mahasiswa berkenaan. Ia tidak tertumpu kepada mahasiswa cacat penglihatan semata-mata. Setakat yang saya maklum, mahasiswa cacat anggota juga turut mendiami asrama kediaman ini. Justeru, eloklah asrama ini diberi apa jua bentuk anugerah sebagai tanda terima kasih dan sokongan moral daripada golongan OKU sendiri. Rasanya NGO OKU penglihatan boleh ambil maklum akan saranan ini.



Tiga orang jejaka yang semakin matang bekas anak murid saya sudah sedia menanti di lobi. Mereka ialah Shahir Ramli, Mohd Rifaat Hussein dan Tarmizi Muslim.



Tidak lama kemudian, 4 orang lagi bekas anak muridsaya yang perempuan pula tiba. Mereka ialah Liana Abdul Hamid, Amirah Fatinah, Nur Farahin dan Siti Aisyah Farouq. Mereka juga kelihatan semakin matang sesuai dengan tahap pendidikan yang sedang mereka lalui.

Kami berbual seketika di hadapan lobi. Shahir memberitahu, Zaki dan Lok Weng Hang tidak dapat hadir kerana masing-masing pulang ke kampung bersempena dengan cuti umum.

Anak-anak murid saya mencadangkan agar kami ke gerai yang terletak di dalam kawasan kolej ketujuh. Saya akur sahaja. Mereka juga memberitahu saya, Sahur tidak lagi beroperasi di kolej ketiga hampir setahun yang lalu. Saya agak terkejut. Sahur (saya memanggilnya Abang Sahur) merupakan pengusaha gerai makanan di Kolej Ketiga yang cukup lama beroperasi. Seingat saya, beliau telah pun mengusahakan gerai tersebut sejak sebelum saya menuntut di UM lagi. Satu lagi keistimewaan Abang Sahur, beliau amat mesra dengan siswa siswi cacat penglihatan.

Di gerai, kami duduk pada satu meja. Sambil makan, kami berbual terutama tentang pelbagai peristiwa tatkala mereka masih belajar di SMPK Setapak. Mereka juga masih mengikut dengan rapat perkembangan di sekolah lama mereka. Maka itu mereka juga tahu bahawa En. Hanafiah telah bersara beberapa bulan lalu.

Dalam diam, saya memerhati tahap kematangan setiap anak murid saya. Nyata mereka semakin matang pada cara berbual, topik perbualan serta adab ketika di meja makan.

Shahir meluahkan rasa tidak puas hatinya tentang layanan oleh sebuah bank dalam kampus yang katanya tidak mesra OKU. Keberaniannya dalam mempertahankan haknya selaku pelanggan sebuah institusi kewangan patut disokong dan dipuji. Nampaknya situasi kakitangan institusi kewangan yang bersikap tidak mesra OKU terjadi di mana-mana sahaja di tanah air tercinta ini. Tarmizi pula bercerita serba sedikit tentang kursus yang diambilnya di Jabatan Sejarah. Siti Aisyah pula seperti biasa, diam dan hanya akan membuka mulut bila ditanya sahaja. Liana dan Farahin masih riuh seperti dahulu. Rifaat pula berpenampilan kemas serta riak muka seakan bakal ahli bijak pandai suatu masa kelak. Amirah Fatinah pula sentiasa tenang walaupun mungkin sedang berhadapan dengan dilema masa depan yang masih belum pasti.





Di gerai ini, saya juga bertemu dengan Kak Zah. Beliau merupakan kakitangan kolej ketujuh iaitu di bahagian dewan makan. Setelah saya perkenalkan diri, beliau dapat mengingati saya semula. Kak Zah mungkin masih ingatkan saya kerana semasa saya menuntut dahulu, saya agak rapat dengan salah seorang anaknya, Sharin yang ketika itu masih di sekolah rendah. Sharin gemar memimpin saya dari bilik ke dewan makan. Kini Sharin sudah beranak tiga. Demikian beritahu Kak Zah.



Sekitar jam 11.45 malam baru saya meminta diri. Kalau hendak diikutkan rasa, mahu juga saya berbual dengan mereka hingga matahari terbit. Apakan daya, masing-masing ada urusan dan tanggungjawab yang perlu dibereskan. Kami berpisah dengan doa dan harapan agar dapat bertemu kembali di lain ketika, insha-Allah.

Kepada murid-murid saya yang masih menuntut di bangku sekolah, contohilah dan ikutilah jejak abang-abang dan kakak-kakak anda yang sedang berada di menara gading. Sesungguhnya situasi di sekolah dengan di menara gading amat jauh bezanya. Hal itulah yang sering saya ingatkan kepada semua murid saya. Tempalah kejayaan dengan kegigihan sendiri dan bukan dengan simpati orang. Kejayaan dengan kegigihan sendiri merupakan pemanis hidup sepanjang hayat. Sebaliknya kejayaan kerana simpati orang mungkin akan jadi ungkitan pula sepanjang zaman.


Sunday, May 11, 2014

Ahli PERTIS Terengganu Kembali Ke Rahmatullah




Salah seorang ahli Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Terengganu, Rahimah binti Embong, telah kembali ke rahmatullah semalam. Namun demikian, tiada maklumat lanjut mengenai bila dan di mana Allahyarhamha telah menghembuskan nafas terakhirnya.

Kepada ahli keluarga Allahyarhamha, takziah diucapkan. Semoga anda semua tabah dan bersabar dalam menerima ketentuan Ilahi ini.

Marilah kita semua berdoa semoga roh Allahyarhamha berada dalam keampunan dan kesejahteraan serta mendapat limpah rahmat Allah setiap masa.

Alfatihah ....