Wednesday, June 4, 2014

Coretan Mesyuarat Agung PERTIS Ke-19




Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada barisan pimpinan Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) yang baru. Majoriti ahli telah memberi kepercayaan yang tidak ternilai kepada anda untuk meneruskan kesinambungan kepimpinan PERTIS. Kini di bahu anda terpikulnya amanah dan tanggungjawab bagi memacu PERTIS ke tahap yang lebih cemerlang dan gemilang daripada sebelumnhya.



Di sini, untuk sekian kalinya, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada para tetamu jemputan yang sudi hadir dalam majlsi perasmian mesyuarat agung tahunan berkenaan. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga saya tujukan kepada Dato’ Dr. Mohd Fakhrudin bin Abdul Mukti, mantan duta besar Malaysia ke Mesir kerana kesudiannya untuk merasmikan mesyuarat agung kali ini. Selain itu, saya juga mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Tn. Hj. Wan Muhammad bin Wan Endot, Timbalan Pengarah, Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan Malaysia, atas kesudiannya menghadiri majlis perasmian kali ini. Memang saya ada mengundang BP-Khas, tetapi saya sama sekali tidak menduga yang hadir ialah timbalan pengarahnya.



Di samping itu, saya juga ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada para sukarelawan sama ada dalam kalangan ahli PERTIS sendiri mahupun para individu luar yang sememangnya diundang khas untuk berfungsi selaku sukarelawan. Dengan kerjasama baik daripada kalian, perjalanan mesyuarat agung kali ini telah berjalan dengan cukup baik dan lancar. Kehadiran dan pertolongan kalian juga telah banyak memudahkan ahli-ahli mesyuarat dalam pelbagai urusan. Di sini saya ingin memohon kemaafan khususnya kepada para sukarelawan jika kedapatan sebarang hal yang telah menggores hati ketika melaksanakan tugas di sepanjang mesyuarat berlangsung. Saya akui karenah para ahli PERTIS memang pelbagai. Ada yang begini dan ada pula yang begitu. Saya amat berharap, kalian semua tidak serik untuk menabur bakti lagi kepada insan seperti kami pada masa akan datang.





Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada dua penerima Anugerah Khas PERTIS 2014 iaitu Prof. Madya Dr. Muhammad Mustaqim dan juga Am Bank Islamic. Mereka memang layak untuk menerima anugerah berkenaan tahun ini. Saya akan cuba berkongsi hasil sumbangan salah seorang penerima anugerah berkenaan menerusi blog ini dalam kesempatan selanjutnya, insha-Allah.



Barisan pimpinan PERTIS bagi sesi 2014-2016 ialah seperti berikut:
En. Mohamad Faizal bin Che Yusuf (Yang Di-Pertua);
En. Zamzuri bin Ghani (Naib Yang Di-Pertua);
Pn. Norlita Hanim binti Md Taha (Setiausaha Agung);
(Bendahari Pusat akan dipilih kemudian oleh AJK Pusat);
Cikgu Wan Mohd Suhaimi bin Wan Zawil Abidin (AJK Pusat Biasa);
Pn. Sariyah binti Nordin (AJK Pusat Biasa);
En. Osman Nordin Omar (AJK Pusat Biasa).

Pemeriksa kira-kira dalaman untuk tahun 2014 pula ialah Cikgu Mohd Jais Ismail dan En. Mohd Bukhari bin Zakaria.

Saya juga bersyukur ke hadhrat Allah yang tidak terhingga kerana mesyuarat agung kali ini telah berjalan dengan lancar dan penuh tertib sama ada sewaktu majlis perasmian mahupun semasa mesyuarat berlangsung. Tiada sebarang insiden yang tidak dikehendaki berlaku. Selain itu, para ahli juga cukup matang dalam membangkit dan membahaskan isu-isu berbangkit. Tiada sebarang provokasi melampau dilontarkan. Tiada sampukan tidak beradab kedengaran. Sepertimana yang sering saya tegaskan, perbezaan dalam kalangan sesama kita adalah perkara biasa, tetapi janganlah perbezaan berkenaan mengakibatkan kita tidak rasional, emosional dan tidak profesional. Amat malang jika perselisihan dalam mesyuarat terbawa-bawa pula hingga ke luar mesyuarat.

Mengikut rekod pendaftaran, kehadiran dalam mesyuarat kali ini juga memberangsangkan. Seramai 173 orang telah hadir. Dari jumlah tersebut, seramai 132 orang adalah ahli biasa. Manakala 23 orang pula merupakan ahli sekutu PERTIS. 4 orang adalah anak-anak ahli. 3 orang adalah bukan ahli. 11 orang pula merupakan sukarelawan daripada luar.

Walau bagaimanapun, terdapat segelintir kecil ahli mesyuarat yang telah tidak hadir dengan alasan yang tidak munasabah atau tidak memberitahu kepada PERTIS sebenarnya anda tidak berminat untuk hadir. Anda yang tidak hadir perlu faham iaitu setiap ahli PERTIS yang hadir hanya diminta membayar sebanyak RM 60.00 sahaja (bagi pakej dengan penginapan) sedangkan pada masa yang sama PERTIS telah membayar lebihan sekitar RM 160.00 untuk setiap orang ahli yang hadir. Jadi, bagi ahli yang telah tidak hadir tanpa alasan yang munasabah, anda sebenarnya telah membazirkan wang persatuan. Apa yang paling saya kesal ialah ada seorang bekas AJK Pusat yang tidak hadir langsung sedang tempat beliau telah dibayar penuh oleh PERTIS atas kapasitinya selaku AJK PERTIS. Di saat-saat pihak PERTIS masih menghubungi beliau dan saya dimaklumkan beliau memberitahu akan hadir. Golongan seumpama ini sebenarnya telah menyusahkan PERTIS. Ingat, hari ini anda menyusahkan orang, esok lusa belum tahu lagi siapa sebenarnya yang akan menerima susah!!!

Sehingga tulisan ini saya tulis, persoalan mengapa saya tidak bertanding untuk mempertahankan jawatan selaku Yang Di-Pertua PERTIS masih menjadi bual bicara dalam kalangan rakan dan taulan. Sebenarnya hasrat saya untuk melepaskan jawatan selaku YDP PERTIS bukan saya putuskan sejak sehari dua yang lalu. Saya telah pun memikirkannya sejak dua tahun yang lalu. Saya pernah menyatakan hasrat saya kepada presiden SBM sekarang sewaktu beliau berkongsi luahan rasa sejurus berakhirnya mesyuarat agung khas SBM pada 16 Disember 2012. Semasa kami berbalas SMS dan salah satu daripada SMS saya kepada beliau ada menyatakan bahawa saya akan memegang jawatan YDP PERTIS sehingga tahun 2014 sahaja. Masih simpan lagi ke SMS saya, Tuan Haji?

Beberapa hari sebelum berlangsungnya mesyuarat agung tahunan PERTIS, kisah mengenai kemungkinan saya tidak akan bertanding semakin kerap kedengaran. Pada masa yang sama, saya berada dalam keadaan yang agak sukar dan serba salah. Ada antara AJK Pusat ketika itu memaklumkan bahawa mereka hanya akan menawarkan diri untuk menjadi calon sekiranya saya turut sama bertanding. Saya sama sekali ingin mengelakkan seseorang itu menjadi calon hanya semata-mata kerana saya. Mereka harus yakin dengan kekuatan dan kebolehan diri sendiri. Saya tidak mahu mereka menyandarkan keyakinan diri mereka kepada saya. Saya Cuma seorang insan biasa yang punya terlalu banyak kelemahan. Adalah lebih praktikal jika mereka sandarkan keyakinan diri masing-masing hanya kepada Tuhan Yang Esa. Maka itulah akhirnya saya sekadar mendiamkan diri sahaja bila persoalan sama ada saya akan mempertahankan jawatan YDP diajukan kepada saya.

Kini sudah tiba waktunya untuk saya melepaskan jawatan selaku YDP PERTIS. Saya amat sedar dan insaf, PERTIS memerlukan sentuhan kumpulan pemimpin yang lebih bertenaga, lebih muda, kreatif, tahan uji serta punya semangat kental lagi jitu. Selaku sebuah organisasi, kita harus bersedia untuk menerima perubahan pemimpin dan corak pimpinan. Di samping itu, ahli-ahli PERTIS juga harus memberi peluang kepada ahli lain untuk mempamirkan bakat serta menabur bakti kepada persatuan. Mungkin yang diganti lebih baik daripada yang sebelumnya dan yang tumbuh mungkin lebih baik daripada yang sudah patah. Perkara inilah yang telah saya tekankan dalam ucapan aluan saya dalam majlis perasmian mesyuarat agung tahunan tempoh hari. Setakat yang saya tahu, hanya seorang sahaja ahli mesyuarat yang dapat mengesan apa yang tersirat daripada ucapan tersebut. Maka itulah beberapa kali beliau menyifatkan ucapan saya itu sebagai “ucapan widak”.

Di samping itu, keputusan saya untuk melepaskan jawatan juga adalah disebabkan saya kini harus memberi tumpuan pula kepada 3 perkara lain yang mana pada perkiraan saya amat perlu saya utamakan dalam hidup saya. Setelah mengira, mencongak, mengukur dan memikirkannya dengan halus dan teliti, saya tiada pilihan lagi melainkan harus melepaskan jawatan saya selaku YDP PERTIS bagi memberi tumpuan pula kepada perkara-perkara berkenaan.

Perlu saya tegaskan di sini, walaupun saya bukan lagi YDP PERTIS, saya masih lagi ahli PERTIS. Doa saya untuk kebaikan PERTIS tetap tidak berubah. Sekiranya masih diperlukan, saya bersedia untuk memberi sumbangan buah fikiran kepada PERTIS. Bila ada kesempatan, insha-Allah saya akan hadir dalam program anjuran PERTIS. Jika sebelum ini saya duduk di atas pentas, kali ini saya tiada masalah untuk duduk di bawah pentas pula. Jika sebelum ini saya makan bersama para tetamu dalam majlis rasmi PERTIS, sekarang tiada masalah bagi saya untuk makan semeja dengan ahli biasa PERTIS yang lain. Jika sebelum ini saya sekali-sekala muncul di kaca TV atau di dada akhbar atas kapasiti YDP PERTIS, selepas ini saya tidak bermasalah untuk mendengar atau membaca YDP PERTIS yang baru jika muncul di kaca TV atau di dada akhbar. Dengan erti kata lain, insha-Allah saya tidak akan menjauhkan diri daripada PERTIS. Lagi pun, saya memang sedar, saya tidak lagi berkedudukan sebagai YDP PERTIS bukan kerana ditolak ahli, tetapi ia adalah pilihan saya sendiri.

Kepada barisan pimpinan baru PERTIS, bila anda sudah bersetuju untuk dipilih menerajui organisasi ini, maka laksanakanlah tugas dan tanggungjawab dengan sebaik mungkin. Jangan sekali-kali tempangkan PERTIS dengan mengabaikan tugas dan amanah yang telah anda sendiri bersetuju. Jika benar-benar sudah tidak mampu untuk melaksanakan amanah, pulangkan semula amanah itu dengan baik. Jangan biarkan ia digantung tidak bertali. Akhirnya nanti yang tempang adalah persatuan kita juga.

Di samping itu, jangan sekali-kali bersifat kronisme atau nepotisme dalam berpersatuan. Berilah amanah dan tanggungjawab kepada seseorang kerana kemampuannya dan bukan kerana hubungan baiknya dengan kita.

Jika berlaku penyelewengan wang di mana-mana peringkat atau oleh sesiapa sahaja, maka tindakan segera yang berkesan perlu diambil. Jika tindakan secara dalaman lebih berkesan, maka tindakan sedemikian bolehlah diambil. Sebaliknya jika tindakan secara dalaman tidak lagi berkesan, maka tindakan lain yang lebih wajar hendaklah diambil. Risiko pasti ada tetapi selaku pemimpin kita harus berani menanggungnya.

Sebagai pemimpin, anda wajib mengambil tahu tentang hal ehwal persatuan dari hujung rambut hingga hujung kaki. Jika ada mana-mana orang yang cuba menghalang maklumat sebenar daripada sampai ke pengetahuan anda, ingatlah orang sedemikian amat berbahaya kepada anda dan juga kepada persatuan. Tindakan segera dan wajar harus diambil ke atas orang sedemikian. Jangan tunggu hujan sudah turun baru hendak cari payung.

Di samping itu, jika ada mana-mana individu yang cuba mewujudkan organisasi dalam organisasi, maka ketahuilah bahawa organisasi kita dalam bahaya. Jika tindakan sewajarnya lambat diambil, maka organisasi kita akan musnah dalam sekelip mata.

Apabila kita sudah menjadi pemimpin PERTIS, jangan sekali-kali kita berharap semua orang akan suka dengan kita. Sedangkan Rasulullah lagikan ada orang yang tidak suka kepada baginda, inikan pula kita manusia biasa. Adalah amat salah sama sekali jika selaku pemimpin kita mengharapkan untuk jadi glamour. Sebaliknya selaku pemimpin, walaupun sekadar pemimpin PERTIS, kepimpinan kita pasti akan disoal di akhirat kelak.

Selaku pemimpin PERTIS, kita harus sentiasa ingat iaitu langit tidak selalunya cerah. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula antara sesama barisan pimpinan PERTIS. Jika wujud perselisihan antara sesama AJK PERTIS, cubalah sedaya upaya untuk menyelesaikannya secara dalaman. Jika pertikaian tersebut melimpah ke luar, ia akan mendedahkan PERTIS kepada spekulasi. Selaku sebuah organisasi yang masih kecil, PERTIS masih belum mampu untuk berhadapan dengan suasana spekulasi.

Para pemimpin PERTIS juga harus peka dengan maklumat terkini khususnya yang melibatkan PERTIS. Sebagai contoh, mungkin ada pihak lain yang sedang berusaha untuk menjadikan organisasinya lebih unggul daripada PERTIS dengan cara yang kurang sihat. Dalam menghadapi hal sebegini, para pemimpin PERTIS harus sentiasa bertawakal kepada Allah setiap ketika. Walaupun puak-puak jahat ini ada rancangan, tetapi rancangan Allah adalah yang terbaik.

Para pemimpin PERTIS juga harus berwaspada dengan puak yang bersikap talam dua muka. Sekiranya kurang berhati-hati, mereka akan berperanan umpama api dalam sekam. Jika boleh, para pemimpin PERTIS harus berupaya mengenal pasti tokoh yang bersikap sedemikian.

Para pemimpin PERTIS juga jangan berkira jika harus melakukan kerja lebih, sekali-sekala harus mengorbankan wang poket sendiri atau sekali-sekala mengorbankan masa yang sepatutnya untuk keluarga kepada PERTIS. Selaku pemimpin, perkara-perkara berkenaan seakan sudah menjadi suatu kewajipan. Jika terpaksa untuk berkorban sedemikian, lakukanlah dengan ikhlas dan tanpa sebarang rungutan. Insha-Allah, dengan keikhlasan yang ada, Allah pasti akan menganugerahkan balasan yang lebih baik daripada itu.

Kepada ahli-ahli PERTIS semua, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas sokongan dan kerjasama yang telah kalian berikan kepada saya di sepanjang saya bertugas selaku YDP PERTIS. Berdasarkan daripada respon dan reaksi daripada kalangan ahli sejurus sahaja saya mengumumkan bahawa saya tidak akan mempertahankan jawatan YDP PERTIS, telahan saya mungkin ada benarnya iaitu sokongan kepada saya khususnya daripada para ahli PERTIS masih ada tetapi saya tidak pasti ia sebesar mana. Saya insaf dan sedar iaitu PERTIS bukan hak milik peribadi saya. Sudah tiba masanya saya memulangkan teraju pimpinan PERTIS kepada para ahli untuk membuat pilihan yang baru.

Akhirnya, kepada seluruh barisan kepimpinan PERTIS, saya ucapkan selamat maju jaya. Selagi anda berada atas landasan yang diredhai Allah, anda pasti akan sentiasa mendapat pertolongan Allah.

Saya bukanlah orang yang pandai atau untuk menunjuk bijak. Saya sekadar berkongsi secebis pengalaman yang tidak seberapa.





No comments: