Sunday, June 1, 2014

Teks Ucapan



Dibawah ini adalah ucapan saya selaku Yang Di-Pertua Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS dalam majlis perasmian mesyuarat agung tahunan kali ke-19 baru-baru ini. Ia adalah ucapan saya yang terakhir selaku YDP PERTIS.

Ucapan Alu-aluan Yang Di-Pertua
Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS)
Dalam Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Kali Ke-19

Tarikh : 2 Shaaban 1435H / 31 Mei 2014 M (Sabtu)
Tempat : Hotel City Villa, Kuala Lumpur


1. Alu-aluan.

Yang Berbahagia Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Fakhrudin bin Abdul Mukti, mantan duta besar Malaysia ke Mesir dan pensyarah di Jabatan Akidah Dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam, UM, KL; Yang Berbahagia, Datuk Zamani bin Sulaiman, Setiausaha Dewan Negara, Parlimen Malaysia; Yang Berbahagia, Tn. Hj. Wan Muhammad bin Wan Endot, Timbalan Pengarah, Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan Malaysia; Yang Berusaha, seluruh barisan pimpinan PERTIS peringkat pusat dan wilayah; yang dihormati wakil-wakil jabatan dan agensi kerajaan, wakil sektor korporat; yang dihormati, wakil institusi-institusi pengajian tinggi; yang dikasihi wakil-wakil badan bukan kerajaan; para sukarelawan, wakil-wakil media serta para hadirin dan muslimin sekalian.


2. Kesyukuran Dan Penghargaan

Terlebih dahulu, marilah sama-sama kita merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadhrat Allah kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya kita dapat hadir dalam majlis perasmian Mesyuarat Agung PERTIS kali ke-19 bagi tahun 2014. Penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga saya tujukan khas kepada Yang Berbahagia Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Fakhrudin bin Abdul Mukti di atas kesudian beliau untuk hadir dan seterusnya merasmikan mesyuarat agung PERTIS pada kali ini. Walaupun beliau diundang 3 hari sebelum berlangsungnya majlis ini, tetapi dek tingginya sahsiah dan peribadinya, beliau tidak pernah merasakan undangan ini sebagai undangan yang bersifat “bidan terjun”.

Saya juga tidak lupa mengalu-alukan kehadiran semua tetamu jemputan dan juga para hadiran ke majlis ini. Kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan. Mudah-mudahan kehadiran kita semua akan menambah lagi keberkatan dalam majlis ini, insha-Allah. Jika kedapatan cacat cela pada majlis ini nanti, saya terlebih dahulu mohon ribuan kemaafan. Nan elok bawalah pulang, nan buruk tinggalkan saja di sini.


3. Memasyarakatkan PERTIS

Selaku sebuah organisasi yang masih bertatih, PERTIS tidak boleh lari dari hakikat keperluan untuk bekerjasama dengan pihak lain jika ingin terus maju ke hadapan. Untuk itu, pelbagai langkah telah dan akan terus diambil bagi membawa PERTIS ke tengah-tengah masyarakat. Di sepanjang tahun 2013, PERTIS telah berjaya memperluas lagi kerjasama pintar dengan beberapa badan dan agensi. Sebagai contoh, pelaksanaan kerjasama dengan Al-Tasneem Malaysia Sdn Bhd telah berjaya menghasilkan pen pembaca Alquran yang mesra dengan golongan cacat penglihatan. Manakala kerjasama dengan Fakulti Pengajian Quran Sunnah, USIM secara berterusan pula telah berjaya menambah koleksi bahan bacaan bentuk Braille bercorak Islam. Di samping itu, kerjasama yang sedia terjalin dengan jabatan dan agensi seperti Kementerian Pendidikan Malaysia, JAKIM, JAWI, FKM UTM dan sebagainya terus diperkukuh dari semasa ke semasa. Perolehan kontrak 4 tahun berturut-turut untuk penghasilan buku teks KSSR Pendidikan Islam dalam bentuk Braille oleh Kementerian Pendidikan menunjukkan pengiktirafan kemampuan organisasi ini dalam menuyumbang bakti khususnya dalam bidang pendidikan. Pemilihan PERTIS oleh pihak berkuasa tempatan seperti DBKL untuk melaksanakan tanggungjawab audit aksessibiliti kemudahan awam untuk golongan OKU merupakan satu lagi pengiktirafan pihak berwajib kepada organisasi kita. Terkini ialah kerjasama yang mula terjalin di antara PERTIS dengan Shah Alam Convension Center (SACC) dengan tujuan utama untuk mengutip dana bagi penerbitan Alquran Braille.

PERTIS akan mengambil apa jua langkah yang wajar bagi memastikan organisasi ini dapat menjadi wadah yang berkesan kepada golongan cacat penglihatan bagi menyampaikan suara dan harapan mereka kepada masyarakat. Selain itu, PERTIS juga akan berusaha sekuatnya untuk menjadikannya sebagai sebuah organisasi yang dipandang orang dan tempat rujukan dalam bidang yang bersesuaian, insha-Allah.


4. Anjakan Paradigma

Selaras dengan kemampuan yang ada, maka kita telah mula mengora langkah dengan menggunakan sebahagian kemampuan yang ada untuk menghulurkan sumbangan pula kepada pihak-pihak lain yang memerlukan, terutamanya badan dan institusi yang ada kaitan dengan golongan cacat penglihatan. Walaupun sumbangan yang kita beri masih kecil tetapi jika ia dilaksanakan secara berterusan, lama-kelamaan ia akan dapat menukar imej PERTIS daripada sebuah badan yang hanya selaku penerima sumbangan kepada sebuah badan yang sama-sama boleh menyumbang pula. Namun demikian, ia amat bergantung pula kepada kemampuan semasa yang ada. Ia juga selaras dengan hadith daripada Rasulullah S.A.W. yang antara lain mafhumnya, tangan yang di atas itu lebih baik daripada tangan yang di bawah. “hati nyamuk sama dicecah, hati gajah sama dilapah”.


5. Alquran Braille

Untuk maklumat bersama, sehingga kini Alquran Braille yang dihasilkan oleh PERTIS merupakan satu-satunya Alquran Braille yang telah mendapat pengiktirafan daripada JAKIM dan juga kebenaran daripada Bahagian Teks Dan Kawalan Alquran, Kementerian Dalam Negeri Malaysia. Bahkan kita sentiasa mengambil apa jua langkah yang sesuai bagi memastikan kesucian dan ketinggian Alquran yang ada dalam jagaan kita sentiasa terpelihara dengan sebaiknya sesuai dengan tarafnya sebagai mukjizat yang paling agung. Untuk itu, organisasi ini sentiasa menyokong kuat usaha-usaha ke arah penambahbaikan terhadap aspek-aspek tertentu pada Alquran Braille yang sedia ada. Maka itulah PERTIS sentiasa memberi dokong kuat kepada jawatankuasa pembangunan Alquran Braille Mushaf Malaysia. Sayangnya usaha ini seakan terhenti di tengah jalan. Justeru, kami menggesa kepada pihak-pihak yang berkenaan agar tidak mengambil sikap lepas tangan dan tunggu dan lihat terhadap kesinambungan tugas, fungsi dan tanggungjawab jawatankuasa yang telah sama-sama dipersetujui ini. Hal ini saya ketengahkan kerana usaha jawatankuasa ini sudah terhenti lebih dari setahun lamanya. Apa jua yang tidak kena harus diselesaikan secara musyawarah agar golongan sasar akan beroleh manfaatnya dalam masa terdekat.

Di samping itu, pihak yang berwajib juga harus peka dengan naskah Alquran Braille yang dihasilkan oleh pihak-pihak lain. Saya ketengahkan perkara ini agar kita sama-sama dapat menghindarkan Alquran Braille itu daripada disalahgunakan oleh mana-mana pihak yang berkepentingan dan tidak bertanggungjawab. Pihak yang berwajib sepatutnya mengambil maklum, antaranya berapa ramaikah pihak lain yang turut menghasilkan Alquran Braille selain PERTIS? Dari sumber manakah mereka memperoleh soft copy Alquran Braille yang mereka keluarkan? Siapa pula yang menjadi penulis kepada soft copy Alquran Braille mereka? Ada satu laman sesawang yang menceritakan kononnya Alquran Braille yang mereka hasilkan ditulis oleh sifulan tertentu. Sedangkan sifulan yang dimaksudkan tidak langsung berkebolehan dalam bidang berkenaan. Jangan tunggu nasi sudah menjadi bubur atau hujan sudah turun baru hendak mencari payung.


6. Cabaran Masa Hadapan

Selaku ahli PERTIS, kita semua harus memastikan agar organisasi kita akan sentiasa relevan dengan keperluan semasa. Sekiranya kita gagal, kita pasti akan ketinggalan ke belakang. Selain itu, sudah tiba masanya untuk kita sama-sama menjadikan organisasi kita sebagai wadah perjuangan yang lebih berkesan untuk golongan seperti kita. Untuk itu, kita harus berani bersuara demi mendokong kebenaran dan kepentingan ahli masyarakat seperti kita. Kita juga harus berusaha untuk memberi pendedahan dan kesedaran kepada masyarakat tentang keperluan golongan seperti kita. Di samping itu, setiap ahli persatuan harus mengelakkan sebarang peertikaian dalaman yang boleh merosakkan perpaduan antara sesama kita. Perbezaan antara sesama kita adalah perkara biasa, tetapi janganlah perbezaan berkenaan boleh menjadi punca kepada retak, belah dan seterusnya menghancurkan organisasi kita. “Bulat air kerana pembentung, bulat kita kerana muafakat”.

7. Harapan

Marilah kita sama-sama berdoa ke hadhrat Ilahi semoga organisasi kita dan seluruh ahlinya sentiasa beroleh keberkatan daripada-Nya untuk selama-lamanya. Datang dan pergi satu-satu kumpulan pemimpin merupakan lumrah bagi kita yang hidup. Yang tumbuh mungkin lebih baikdaripada yang telah patah dan yang berganti mungkin lebih baik daripada yang telah hilang. Apa yang lebih penting ialah seluruh ahli persatuan mestilah tergolong dalam kalangan mereka yang beriman dan bertakwa kerana kedua-dua elemen ini merupakan syarat penting agar jamaah kita beroleh keberkatan dari langit dan juga dari bumi.


8. Penutup

Akhirnya, sekali lagi saya mengucapkan berbanyak terima kasih khasnya kepada Yang Berbahagia Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Fakhrudin bin Abdul Mukti, mantan duta besar Malaysia ke Mesir, yang telah sudi hadir untuk merasmikan mesyuarat agung PERTIS kali ke-19. Saya juga tidak lupa mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang telah menghulurkan pelbagai bentuk bantuan bagi menjayakan mesyuarat agung kali ini. Ucapan terima kasih saya tujukan juga kepada Syarikat Al-Tasneem Malaysia Sdn Bhd kerana telah menaja pemberian cenderamata untuk para sukarelawan yang bertugas kali ini. Mudah-mudahan mesyuarat agung kali ini akan berjalan dengan baik dan lancar, insha-Allah.

Sekian, terima kasih.


No comments: