Hudud merupakan antara topik paling hangat dan adakalanya panas yang sedang diperkatakan ramai khususnya di negara kita. Pelbagai lapisan masyarakat tidak mengira siapa tidak terkecuali memperkatakan hukum jenayah syariah tersebut. Masing-masing bercakap dengan berbekalkan tahap maklumat dan kefahaman yang tidak sama mengenai hudud. Daripada orang politik hinggalah kepada golongan pengganggur, isu hudud tetap diikuti dengan penuh minat. Bahkan orang bukan Islam pun turut terjebak dengan isu berkenaan.
Berdasarkan bentuk ulasan dan komen yang dilontarkan, maka jelaslah pemahaman tentang hudud amat pelbagai dan berbeza-beza pula. Bahkan kepelbagaian pemahaman hukum berkenaan turut wujud dalam kalangan orang Islam sendiri. Maka itulah pendirian orang Islam di negara ini tentang hudud masih tiedak sekata. Usaha-usaha untuk “mensekatakan” pandangan dalam kalangan umat islam mengenai hal ini pun masih belum nampak akan ada hasilnya.
Sepertimana yang sebahagian kita maklum, perintah pelaksanaan hudud sememangnya terdapat dalam Alquran. Manakala Alquran pula merupakan kitab suci yang wajib diimani dan dipercayai seratus peratus oleh umat Islam kerana ia salah satu daripada 6 perkara dalam rukun iman. Sesiapa yang tidak percaya atau menolak isi kandungan Alquran walaupun satu huruf, ia boleh mengakibatkan gugur iman (barang dijauhkan Allah daripadanya).
Justeru, mana-mana individu yang mengatakan hukum hudud tidak terdapat dalam Alquran, maka dia sudah sesat dalam nyata. Hukum hudud bukan ciptaan ahli fikah, sebaliknya ia adalah titah perintah Allah kepada hamba-hamba-Nya. Inilah akibatnya kalau baca Alquran menerusi terjemahan semata-mata. Sampai sekarang saya tidak pernah dengar ada pihak yang berani meminta agar orang kenamaan yang telah membuat dakwaan sedemikian agar bertaubat. Takut ke?
Sejak tahun 1993 lagi, ada pihak yang mendakwa hukum hudud yang hendak dilaksanakan di Kelantan bukan hukum hudud Islam, sebaliknya ia adalah hukum hudud PAS. Namun demikian, sampai sekarang pihak yang membuat dakwaan sedemikian masih gagal membuktikan perbezaan antara hukum hudud PAS dengan hukum hudud Islam. Lain kali kalau hendak mengenal maknikam, belajarlah dengan jauhari, jangan belajar dengan tukang besi.
Sampai sekarang pun saya masih tidak faham mengapa orang takut sangat dengan hukum hudud. Jika kita kaji sedikit mengenai hukum berkenaan, ia hanya menghukum orang yang membuat salah, itu pun jika cukup syarat dan cukup saksi yang adil. Hukum Shariah sama sekali tidak menghukum orang yang tidak bersalah. Bahkan jika hukum berkenaan dilaksanakan dengan sempurna, ia merupakan pembela kepada golongan yang tidak bersalah. Oleh yang demikian, mengapa kita harus takut atau mudah untuk ditakutkan dengan hukum berkenaan? Adakah kita sebahagian daripada golongan yang sedang berbuat salah yang akan tertempias oleh hukum berkenaan?
Apa yang lebih malang lagi, ada dalam kalangan umat Islam di negara ini sendiri yang mempermainkan hukum berkenaan. Kononnya jika hukum hudud dilaksanakan maka banyaklah akan kedapatan sup tangan. Cuba buktikan berdasarkan fakta sejarah di mana-mana negara lain yang telah melaksanakan hukum berkenaan maka kedapatan banyak sup tangan? Ingat, terlajak perahu boleh diundur, kalau terlajak kata, boleh kufur dan tercabut iman! Ada juga yang mengatakan, kalau sudah habis batu nanti hendak rejam dengan apa pula? Inilah bahananya bila hukum Allah diukur dengan lojik akal semata-mata.
Satu lagi pandangan kononnya mengatakan hukum hudud tidak sesuai untuk dilaksanakan di negara yang berbilang kaum dan berbilang kepercayaan seperti Malaysia. Sejarah telah membuktikan hukum berkenaan sesuai untuk dilaksanakan di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa. Negara Islam Madinah di mana tempat pertama telah dilaksanakan hukum Islam merupakan sebuah negara yang terdiri daripada berbilang bangsa dan agama. Selain orang Arab, di Madinah pada ketika itu juga ada orang Yahudi dan Rumawi. Selain orang Islam, penduduk Madinah ketika itu juga terdiri daripada orang musyrikin, munafiqin, majusi dan Yahudi. Kepelbagaian bangsa dan agama sama sekali tidak menghalang bagi hukum Shariah tersebut untuk dilaksanakan dengan cukup sempurna. Apa kurangnya Malaysia dengan Madinah ketika itu?
Kini hukum hudud yang mulia itu seakan sudah jadi mainan orang politik pula. Mereka menggunakan hukum hudud untuk mencabar pihak lawan. Mereka juga turut mempersendakan hukum hudud dengan menakutkan pihak lain. Hukum hudud turut digunakan untuk memecah-belahkan lawan politik masing-masing. Secara umumnya, orang-orang politik bukan membela hukum hudud, sebaliknya mempersendakannya pula. Orang politik yang Islam atau yang bukan Islam, dua kali lima sahaja.
Oleh kerana daif dan hinanya umat Islam di negara kita sudah berada di tahap yang amat rendah, mereka tidak mampu untuk membela hukum Allah tersebut daripada terus dihina dan dipersendakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Justeru tidak hairanlah bilamana hukum yang mulia itu terus-terusan dipersendakan waima oleh umat islam sendiri.
Media massa arus perdana juga tidak berperanan sebagaimana sepatutnya. Bahkan ada antara media berkenaan yang turut sama tumpang semangkuk dalam menghina dan merendahkan hukum Allah tersebut. Mereka turut bersekongkol dengan orang-orang politik tertentu dengan memberikan gambaran negatif terhadap hukum Allah tersebut. Mereka turut sama bersubahat dengan puak jahil dalam mempersendakan hukum berkenaan. Puak-puak ini langsung tidak rasa bersalah apatah lagi rasa berdosa tatkala mempersendakan hukum Allah yang mulia itu.
Sendaan dan hinaan terhadap hukum hudud di negara kita boleh dikatakan dilakukan hampir setiap hari dan dalam pelbagai bentuk dan cara. Akhirnya yang keliru dan celaru ialah orang awam. Oleh kerana tiada penerangan yang betul dan berkesan oleh mana-mana pihak di negara kita, maka hukum hudud akan terus menjadi hukum yang mengeliru dan mencelarukan. Yang terus keliru dan celaru bukan sahaja orang bukan Islam, bahkan ramai lagi Orang Islam yang masih celaru dan keliru dengan hukum berkenaan. Inilah padahnya jika pihak-pihak yang berkenaan takut untuk berperanan dengan betul.
Selaku umat Islam, kita harus ingat Allah mewajibkan pelaksanaan hukum hudud bukan untuk dipersendakan. Ia juga bukan untuk jadi bahan tarik tali di antara pelbagai pihak. Hukum hudud juga tidak sepatutnya digunakan oleh orang politik untuk mendapat keuntungan politik semata-mata.
Pada masa ini, umat Islam di Malaysia masih lagi punya kuasa politik biar pun ia semakin lemah gara-gara perpecahan sesama sendiri. Sepatutnya kita harus menggunakan apa yang masih ada untuk berusaha agar suatu hari nanti hukum Allah yang mulia itu akan terlaksana juga di tanah air kita. Penerangan yang betul tentang hukum syariah harus diberikan kepada rakyat jelata secara berkesan dan secara berterusan. Untuk itu, pelbagai kaedah dan pelbagai saluran media harus digerakkan supaya suatu hari nanti pemahaman orang ramai terhadap hukum Allah yang mulia itu akan dapat dibetulkan dan dapat ditingkatkan.
Namun demikian, apa yang sedang berlaku nampaknya tidak ke arah itu. Umat Islam di negara ini masih jauh untuk sekata dalam hal hukum hudud. Masing-masing dengan kepentingan masing-masing. Titah perintah Allah tidak diberi keutamaan yang betul. Nampaknya kepentingan peribadi dan keuntungan politik puak-puak tertentu lebih diutamakan. Konsep wasatiah (kesederhanaan) seakan sudah disalahertikan. Adakah mereka yang sentiasa memberi alasan untuk menolak pelaksanaan hukum Allah tergolong dalam kalangan ummatan wasatan?
Oleh kerana wujudnya kekeliruan dan kecelaruan dalam kalangan umat Islam sendiri, maka tidak menghairankan bilamana golongan bukan Islam tidak dapat pemahaman yang betul dan sahih mengenai hukum Allah yang mulia itu. Hari ini, kita hanya mampu mendengar sahaja hukum Allah yang mulia itu dihina dan dipersendakan oleh pelbagai pihak tanpa sebarang tindakan berkesan untuk membendungnya.
Lebih malang lagi, mereka yang berusaha untuk melaksanakan hukum berkenaan dilabel pula dengan pelbagai label yang negatif. Golongan berkenaan dikatakan pelampau agama, golongan ekstrim dan fundamentalis. Walhal dalam Alquran Allah menggambarkan golongan almusrifun ialah mereka yang menolak apa yang telah ditetapkan oleh Allah.
Dalam Alquran, Allah telah mewajibkan umat Islam untuk berpuasa sebagaimana yang terkandung pada ayat 183 dari surah Albaqarah. Kewajipan yang serupa juga terdapat untuk pelaksanaan hukum qisas sebagaimana dalam ayat 178 dari surah Albaqarah juga. Sewaktu bulan Ramadhan, tindakan yang tertentu akan dikenakan oleh pihak yang berwajib ke atas orang Islam yang didapati makan atau minum di khalayak ramai pada siang hari. Malangnya tindakan yang bersesuaian tidak dikenakan ke atas mereka yang telah mempersenda dan menghina hukum hudud. Walhal status wajib kepada kedua-duanya (qisas dan puasa) adalah sama.
Dalam hal ini, saya amat tertarik dengan perkembangan yang sedang berlaku di Negara Brunei Darul-Salam. Oleh kerana adanya kesepaduan yang jitu dalam kalangan pelbagai pihak ke arah pelaksanaan hukum Syariah Islam secara menyeluruh di negara berkenaan, maka pelbagai langkah yang betul sedang diambil. Ini termasuklah dalam memberikan penerangan dan kefahaman kepada orang ramai terhadap hukum berkenaan.
Dalam hal ini, media massa terutamanya radio dan televisyen Brunei telah memberikan maklumat, penerangan dan penjelasan yang cukup mantap mengenai hukum syariah yang telah mula dilaksanakan di negara berkenaan. Setiap hari radionya akan memperdengarkan info yang mencakupi pelbagai aspek mengenai hukum jenayah syariah kepada pendengar. Ia merangkumi keadilan dan kebaikan hukum jenayah syariah, perbezaan antara hukum jenayah syariah dengan undang-undang sivil, perbezaan objektif di antara kedua-dua undang-undang berkenaan dan juga kesan plaksanaan kedua-dua undang-undang tersebut terutamanya kepada masyarakat dan juga sistem bernegara. Tiada sedikit pun saya mendengar siarannya memperkecilkan apatah lagi mempersendakan hukum hudud.
Bermula dengan titah ucapan ke bawah duli baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei, siaran radionya akan memperdengarkan petikan-petikan ucapan daripada tokoh-tokoh lain yang berwibawa yang menerangkan tentang keadilan dan kebaikan hukum hudud kepada individu, masyarakat dan juga kepada negara. Para juruhebahnya juga turut sama menghebahkan apa yang betul mengenai hukum hudud. Dengan ini, sekalian rakyat akan sentiasa dapat memperolehi info yang sahih mengenai pelbagai aspek hukum hudud. Maka akan terhindarlah daripada apa jua bentuk kekeliruan dan kecelaruan. Dengan erti kata lain, seluruh lapisan masyarakat Brunei bersatu dan berpadu ke arah melaksanakan hukum Allah di bumi mereka.
Oleh itu, setiap hari saya akan mendengar radio Brunei untuk mendapatkan info lanjut yang amat berguna tentang hukum jenayah syariah. Info yang diketengahkan mudah difaham oleh semua orang. Penerangannya jelas dan mudah. Alangkah baiknya jika siaran dan penerangan yang serupa dapat saya dengan menerusi media massa negara sendiri!
Semoga Allah menambah barakah kepada raja dan negara Brunei. Semoga Allah sentiasa memberikan pertolongan yang seluas-luasnya kepada Yang Di-Pertuan Negara Brunei dalam melaksanakan hukum Allah di negaranya. Semoga Allah benar-benar menjadikan negara Brunei sebuah negara “Baldatun Toibatun Warabbun Ghafur”. Selepas ini, harapnya tidak adalah orang yang menyuruh saya tukar warganegara pula!
Sebagai umat Islam, pendirian saya tentang hukum hudud adalah jelas. Kalau pun hari ini kita masih belum mampu untuk melaksanakannya, ia tidak sepatutnya berada pada takuk ini buat selama-lamanya. Usaha perlu digerakkan agar suatu hari nanti hukum Allah akan dapat dilaksanakan secara menyuluruh di negara kita tanpa sebarang prejudis oleh mana-mana pihak.
Hubaya-hubayalah kita semua, barang siapa yang mengatakan hukum hudud tidak sesuai dalam negara yang berbilang bangsa, mereka hendaklah segera bertaubat. Barang siapa yang pernah mengatakan hukum hudud tidak ada dalam Alquran, dia hendaklah segera bertaubat. Barang siapa yang menjadi penghalang kepada pelaksanaan hukum hudud, dia juga hendaklah segera bertaubat. Barang siapa yang menghina dan mempersendakan hukum hudud, dia hendaklah segera bertaubat. Barang siapa yang sering mencipta alasan untuk menolak hukum hudud, dia hendaklah bertaubat. Jangan sampai nyawa sudah di ghargharah baru teringat hendak insaf. Kematian boleh menemui kita pada bila-bila masa sahaja. Bagaimanakah nasib orang yang mati dalam keadaan sangsi dan masih mempertikaikan hukum hudud? Barang dijauhkan Allah kita daripada yang demikian itu.
No comments:
Post a Comment