Sunday, June 15, 2014

Kenangan Bersama Allahyarham Aziz Syarif



Allahyarham Aziz Syarif telah kembali ke rahmatullah pada 9 Jun 2014 di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Jenazahnya telah disempurnakan pada keesokan harinya. Menurut maklumat yang diterima, jenazahnya telah dikebumikan di Sungai Ramal, Kajang. Saya tidak sempat menziarahi jenazahnya buat kali terakhir.

SMS terakhir beliau kepada saya ialah pada 7 Mac 2014 yang lalu seperti berikut:

Boyot,sms alamat pertis,

Tujuan beliau meminta alamat PERTIS ialah untuk mengajukan permohonan sedikit bantuan untuk dirinya. Berdasarkan surat beliau, maka PERTIS telah meluluskan sedikit bantuan kewangan untuk beliau bagi tempoh 3 bulan dan boleh dipertimbangkan selepas 3 bulan berkenaan berakhir. Rupa-rupanya sebelum berakhir 3 bulan yang pertama, beliau telah dijemput Ilahi. Demikianlah hubungan di antara Allahyarham Aziz dengan PERTIS di saat-saat akhir hidupnya. Walaupun itu merupakan SMS terakhir beliau kepada saya, tetapi saya ada menemuinya di Brickfields beberapa kali selepas daripada SMS berkenaan.

Saya mula mengenali Allahyarham Aziz Syarif pada tahun 1981. Ketika itu saya di tingkatan 1 manakala Aziz pula di tingkatan 4 dan bersekolah di SMPK Setapak. Walaupun kami belajar di sekolah yang berlainan, tetapi kami tinggal di asrama yang sama iaitu asrama SMPK Setapak. Sejak dari bangku sekolah lagi, Aziz seorang yang sangat periang, mudah ketawa dan suka bergurau dengan rakan-rakan. Di mana ada Aziz, di situ ada keriuhan.

Salah satu sikap Aziz yang tidak mungkin dilupakan oleh rakan-rakan rapatnya ialah beliau gemar menolong kawan. Suatu ketika, beberapa rakan termasuk saya dan Aziz merancang untuk berpuasa sunat. Saya tidak ingat bersempena apa. Waktu sahur, kami makan mi megi sahaja. Aziz yang tolong masak mi megi tersebut. Waktu kami sama-sama makan mi berkenaan, salah seorang daripada kami bertanya Aziz, “Kau makan apa Ziz?” Aziz menjawab, “Tak apalah, aku dah kenyang.” Salah seorang daripada kami faham Aziz tak ada apa yang boleh beliau buat sahur. Lalu seorang yang lain yang kebetulan ada me megi lebih telah memberi sebungkus kepadanya.

Setelah meninggalkan bangku sekolah, Aziz mula menjalani hidup secara berdikari. Beliau pernah bertugas di sebuah institusi kewangan terkemuka sebagai operator telefon. Walau bagaimanapun, setelah bertugas untuk beberapa tahun, Aziz telah membuat keputusan untuk berhenti kerja. Setelah beberapa ketika, beliau bertugas pula di sebuah syarikat terkenal yang menjual pelbagai alat kelengkapan rumah. Di situ pun beliau tidak lama kerana turut memutuskan untuk berhenti kerja.

Boleh dikatakan sebahagian besar hidupnya dihabiskan dengan menetap di Brickfields. Aziz akan meninggalkan Brickfields hanya untuk keperluan tertentu seperti mencari rezeki. Sebagai orang bujang, sudah tentulah gerai-gerai makan di serata Brickfields menjadi “dapurnya”. Seperti saya katakan tadi, di mana ada Aziz di situlah akan ada keriuhan dan kemeriahan. Gelak dan tawanya sentiasa menghiasi suasana di sekelilingnya.

(Aziz pada 26 Ogos 2011)


Mungkin tidak ramai yang tahu, Aziz juga seorang yang pemurah yang sangat ikhlas. Saya masih ingat lagi, pada dekad 90-an lalu, ketika itu PERTIS merancang untuk menganjurkan majlis berbuka puasa. Maklumlah sebagai sebuah persatuan baru ketika itu, kedudukan kewangan masih belum teguh. Bantuan yang diterima pun masih kurang daripada yang diperlukan. Selaku Naib Yang Di-Pertua ketika itu, saya telah ditugaskan untuk mencari dana bagi majlis berkenaan. Manakala saya pula tidak kenal siapa-siapa pun orang besar, orang korporat atau orang politik. Orang yang saya kenal rapat ialah rakan-rakan yang tinggal di Brickfields atau yang sering ke Brickfields untuk pelbagai tujuan. Jadi kepada merekalah saya akan meminta bantuan kewangan. Seingat saya, bila saya minta bantuan untuk tujuan di atas, ia pasti tidak mengecewakan. Kalau pun tidak banyak, sepuluh dua puluh pasti mereka beri. Demikianlah ikhlasnya rakan-rakan kita ketika itu. Aziz adalah antara rakan yang pasti saya minta bantuan. Beliau akan menghulurkan kepada saya RM 50 atau RM 100. Sambil menghulur beliau akan berpesan, “Kau jangan tulis aku yang beri.” Seorang lagi rakan yang sedemikian ialah Abang Karim (Allahyarham Abdul Karim Dalib). Setiap kali menghulurkan wang untuk tujuan di atas, beliau akan berpesan “Kau jangan beritahu sesiapa pun aku yang beri.” Saya sekadar menjawab “Insha-Allah.” Dalam diam saya amat mengagumi keikhlasan mereka. Dalam diam juga saya belajar daripada mereka untuk menjadi orang yang ikhlas. Kini kedua-duanya sudah dijemput Ilahi. Jadi wajarlah saya menulisnya di sini buat teladan untuk kita yang masih ada.

Satu lagi peristiwa yang tidak mungkin luput dari ingatan saya ialah kenangan ketika saya bersama Allahyarham dan seorang lagi rakan, Raja Zainuddin, ke Genting Highlands. Ia juga berlaku pada awal dekad 90-an yang lalu. Ketiga-tiga kami merupakan cacat penglihatan. Suatu tengah hari, Aziz dan Raja Zainuddin telah mengajak saya ke Genting Highlands. Mulanya saya agak ragu. Walau bagaimanapun, selepas kedua-dua rakan saya meyakinkan saya, akhirnya saya bersetuju untuk menyertai mereka.

Dari Brickfields, kami ke hentian bas Pekeliling. Dari sana, kami menaiki bas ke Genting Highlands. Di Genting Highlands, kami ke bahagian permainan. Kami main redah sahaja. Bila perlu, kami tanya orang keliling. Mungkin kerana ketiga-tiga kami cacat penglihatan, jadi semua permainan yang kami sertai percuma belaka.

Kadangkala Aziz penakut orangnya. Salah satu permainan yang kami sertai akan membawa kami ke atas. Saya pun sudah lupa nama permainan tersebut. Mungkin kerana takut, Aziz dalam diam tidak menaiki permainan berkenaan. Jadi saya dan Raja Zainuddin sahajalah yang naik. Mulanya kami tak tahu Aziz tak naik sekali. Tatkala permainan berkenaan mula bergerak, saya memanggil nama Aziz tapi tiada jawapan. Salah seorang penumpang lain memberitahu, “rakan awak tak naik sama”. Tahulah kami Aziz tinggal di bawah.

Setelah permainan tamat dan kami turun semula ke bawah, tiba-tiba Aziz bersuara, “hebat ya tak permainan tadi”. Untuk memendekkan cerita, saya pun berkata, “Sudahlah Ziz, aku tahu kau tak naik tadi, tak payah cakap banyaklah!” Aziz kehairanan dan sambil ketawa beliau bertanya, “Macam mana kau tahu?” Lalu saya menjawab, “Mata aku berada di mana-mana saja.” Saya dan Raja ketawa besar kerana cubaan Aziz untuk menipu kami gagal.

Pada masa itu, orang ramai juga boleh naik kereta kabel yang akan membawa melintasi sebuah tasik. Kami bertiga juga tidak melepaskan peluang berkenaan. Walaupun kami tidak nampak, tetapi kakitangan di situ langsung tidak bersikap prejudis dan memandang rendah kepada kami. Kami diberi peluang untuk naik sama kereta kabel berkenaan dan secara percuma pula. Mulanya Aziz enggan naik kononnya sudah letih. Kami tahu itu Cuma alasannya sahaja. Setelah dipujuk berkali-kali, akhirnya Aziz naik juga. Bila berada di tengah-tengah tasik, kereta kabel tersebut akan berhenti seketika untuk memberi peluang kepada para penumpang menikmati keindahan panorama. Saya merasa bersyukur kerana kakitangan Genting yang mengiringi kami amat memahami dan tidak diam macam tikus jatuh ke beras. Beliau akan memberi penerangan tentang keindahan panorama di situ.

Manakala Aziz pula duduk diam membisu seribu bahasa. Raja Zainuddin membisik kepada saya, Aziz diam kerana takut. Lalu saya pun berkata kepada Aziz, “Ziz, cuba kau lompat tiga kali!” Aziz sekadar mendengus sahaja. Kemudian saya berkata lagi, “Ziz, macam mana ya, kalau tiba-tiba kabel putus?” Aziz berkata pula, “diamlah!” Kemudian beliau bertanya kepada kakitangan yang mengiringi kami, “Bila kita nak sampai ke seberang?” Kakitangan tersebut menjawab, “sekejap lagi.” Saya dan Raja Zainuddin ketawa besar sekali lagi kerana kami sedar Aziz memang dalam keadaan takut.

Aziz juga merupakan seorang yang mempunyai suara yang merdu dan pandai menyanyi. Seingat saya, beliau sering ikut bertanding dalam karnival nasyid anjuran Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) beberapa kali. Justeru, kemerduan suaranya masih tersimpan dalam bentuk MP3 ramai rakannya. Mungkin kerana peluang masih belum terbuka, maka Aziz tidak dapat menggunakan bakat nyanyian yang ada padanya untuk pergi lebih jauh lagi dalam bidang seni suara.

Satu lagi keistimewaan yang ada pada Allahyarham ialah kebolehannya sedikit-sedikit untuk berbahasa Tamil. Walaupun perbendaharaan katanya tidak sebanyak mana, yang istimewanya ialah lenggok Tamilnya yang menjadi. Kata seorang rakan yang berbangsa Tamil, kalau orang tidak melihat wajahnya, tentulah orang akan anggap Aziz orang Tamil.

(Aziz di PPUM pada 22 April 2012)


Masih segar dalam ingatan saya ketika saya menziarahi Allahyarham Aziz di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di mana ketika itu kakinya baru sahaja dipotong akibat penyakit kencing manis. Bila Aziz menyedari kehadiran saya, beliau terus menyapa saya sambil berkata “Yot! Dah kena tebas ya tak!” Hati yang mula sedih pun pasti berubah jadi ketawa pula. Jururawat di situ ada memberitahu saya, Aziz tidak boleh duduk diam dan suka merayau dengan kerusi rodanya.

(Aziz dengan wajah bersahaja ketika menerima rawatan di PPUM pada 22 April 2012)


Tatkala di akhir hayatnya, Aziz yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan, agak kerap juga berada dalam kesempitan wang. Namun demikian, rakan-rakannya tidak berkira dalam membantu beliau. Ada sahaja rakan-rakan yang akan membantu beliau walaupun sekadar sepuluh dua puluh. Walaupun ketika itu sudah ketiadaan sebelah kaki, namun begitu Allahyarham seakan tidak kenal erti kesedihan. Keriangan dan keriuhan yang beliau pamirkan seolah-olah tiada apa yang berlaku. Walaupun kesempitan hidup kian menghimpitnya, tetapi rasa murung seolah-olah masih enggan singgah ke wajah Allahyarham Aziz. Allahyarham terus tabah menjalani hidupnya dengan caranya sendiri.

(Aziz ketika menerima bantuan daripada PERTIS pada 24 Januari 2013)


Di kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada rakan-rakan serumah Allahyarham, iaitu Cikgu Mad Nor, Saudara Osman Nordin dan juga Saudara Firdaus kerana cukup tabah dalam melayani Aziz. Anda bertigalah yang paling mengetahui dan paling memahami watak semula jadi Allahyarham. Walaupun sama-sama cacat penglihatan, tanpa pertolongan anda bertiga, tidak mungkin Allahyarham dapat dibawa ke PPUM untuk rawatan penyakitnya. Anda juga yang lebih memahami betapa sukarnya untuk memujuk beliau agar ke hospital untuk rawatan. Rakan ketawa mudah dicari, rakan menangis anda bertigalah orangnya.

Kini Aziz sudah dijemput Ilahi. Beliau pergi untuk selama-lamanya dan tidak akan kembali lagi. Yang tinggal hanya kenangan manis tatkala beliau bersama-sama kita. Saya pasti rakan-rakan beliau akan merasai kehilangan dan kesunyian tanpa suara riang Allahyarham.

Rakan-rakan yang lain tentu juga ada bermacam kenangan manis dan indah bersama Allahyarham. Yang baik itu marilah sama-sama kita canangkan. Mana yang sesuai itu kita jadikan pengajaran. Sebagai tanda persaudaraan dan persahabatan abadi, marilah kita sama-sama bacakan Alfatihah kepadanya setiap kali kita teringat kepada Allahyarham. Itulah tanda persaudaraan sejati bak air dicincang tidak akan putus. Brickfields kehilangan seorang lagi warganya yang selama ini menjadi mercu kepada kemeriahan suasana di sekitarnya.

Sesungguhnya Allahyarham Aziz telah pergi demi menyahut panggilan Yang Esa. Beberapa orang rakan kita juga telah mendahului Allahyarham Aziz sebelumnya. Hanya kita yang masih menanti giliran untuk menyusuri mereka. Esok atau lusa entah siapa dalam kalangan kita yang akan menemui gilirannya pula. Hanya Dia Yang Esa yang lebih mengetahuinya. Sentiasalah kita berdoa semoga bila sampai giliran kita nanti, kita akan kembali kepada-Nya dalam keadaan redah dan diredhai, insha-Allah.


No comments: