Salah satu ciri penting Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) ialah ia telah ditubuhkan oleh golongan cacat penglihatan serta ditadbir oleh golongan tersebut di peringkat jawatankuasa yang lebih dikenali sebagai Majlis Presiden. Begitu juga di peringkat negeri, ia turut sama ditadbir oleh golongan yang cacat penglihatan. Manakala kakitangannya pula terdiri sama ada mereka yang berpenglihatan dan juga mereka yang cacat penglihatan.
Setelah 50 tahun bergerak, pertubuhan ini semakin membesar sama ada dari aspek strukturnya mahupun dari aspek keahliannya. Kini hampir di setiap negeri di Malaysia ada cawangan SBM. Manakala statistik terkini menunjukkan keahliannya sudah melebihi 5 ribu orang. Saya begitu optimis keahlian SBM akan terus bertambah memandangkan kemampuan pertubuhan ini memenuhi kehendak ahlinya terutama dalam kalangan golongan muda.
Saya tidak menafikan iaitu SBM juga tidak sunyi daripada dilanda masalah dan krisis. Maklumlah bumi mana yang tidak pernah ditimpa hujan dan lautan mana yang tidak bergelombang. Namun demikian, seingat saya masalah dan krisis yang dihadapi oelh SBM tidak sampai ke tahap pendaftarannya dibatalkan sebagaimana yang pernah menimpa beberapa pertubuhan lain. Sekaligus ia membuktikan kemampuan golongan cacat penglihatan khususnya ahli-ahli SBM itu sendiri untuk mengurus dan mentadbir pertubuhan mereka dengan baik dan teratur. Situasi ini juga dibantu oleh tiadanya unsur cuai atau unsur khianat dari dalam SBM itu sendiri. Walaupun ada yang tidak setuju dengan pemimpin tertentu, setakat ini ahli-ahli SBM telah bertindak dengan matang. Tindakan mereka tidaklah sampai marahkan nyamuk kelambu pula yang dibakar.
Walau bagaimanapun, setiap ahliSBM harus faham iaitu walaupun harapan kita agar panas hingga ke petang, tetapi tidak mustahil jika hujan turun secara tiba-tiba pada waktu tengah hari. Sekiranya ahli-ahli SBM leka dan alpa, maka tidak hairan SBM boleh turut terjebak ke dalam kancah krisis yang tidak terduga. Perkara seumpama inilah yang sama-sama kita harus membendungnya dari awal sekiranya ada tanda ia akan berlaku.
Tonggak kepada kekuatan SBM terletak pada ahli-ahlinya, tetapi tonggak kepada kemajuan dan kejayaan SBM amat bergantung kepada kreativiti, inovasi serta sifat futuristik Majlis Presiden SBM itu sendiri. Sekiranya Majlis Presidennya lesu, lemah, tidak bermaya, maka akan lesu, lemah dan tidak bermayalah SBM walaupun punyai keahlian berlaksa atau berketi ramainya. Justeru, Majlis Presiden SBM harus dibarisi oleh mereka yang benar-benar mempunyai sifat kepimpinan yang luhur serta keikhlasan yang tinggi.
Pemilihan barisan pimpinan tertinggi SBM secara demokratik sudah lama diamalkan. Para ahli SBM berpeluang untuk menentukan barisan pemimpin mereka sekali dalam tempoh dua tahun. Ini bermakna, sekiranya kesilapan berlaku dalam pemilihan pemimpin SBM kali ini, maka kita harus menanti dua tahun lagi untuk membuat perubahan pula. Oleh itu, para ahli SBM khususnya yang akan hadir dalam mesyuarat dwitahunan kali ini sepatutnya tidak memandang remeh terhadap soal pemilihan barisan pemimpin yang baru yang bakal menerajui SBM untuk tempoh dua tahun yang akandatang. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna.
Bagi memastikan kita akan membuat pilihan yang betul dan tepat, maka terlebih dahulu para ahli harus mengetahui dengan betul kriteria seseorang pemimpin yang layak dan boleh dipilih untuk memimpin SBM bagi tempoh dua tahun yang akan datang. Seperti mana yang telahsaya nyatakan tadi, kesilipan membuat pilihan, kita terpaksa menunggu dua tahun lagi untuk mengubahnya. Beberapa kesilapan yang pernah dilakukan sebelum ini tatkala memilih pemimpin harus dikenal pasti supaya ia tidak diulangi lagi.
Sebelum seseorang calon pergi lebih jauh untuk merebut tempat dalam Majlis Presiden, perkara penting yang kita semua harus tahu ialah apakah tujuan sebenar seseorang calon itu masuk bertanding. Ada calon tertentu masuk bertanding bukan disertai dengan sifat kesungguhan yang sebenar. Ada calon yang sekadar bertanding kononnya hanya untuk “test market” atau “test power”. Ada juga yang masuk bertanding sekadar untuk menjadi “pengacau” semata-mata. Jika mana-mana ahli mesyuarat dapat kenal pasti jenis calon yang seperti ini, maka calon sebegini harus ditolak dari awal-awal lagi. Perkara mengenai pentadbiran SBM bukannya boleh dibuat main-main. Sekiranya dari awal lagi sudah terserlah sikap ketidaksungguhan yang jelas, maka masa hadapan SBM pasti akan hancur jika puak seperti ini berada di teraju pentadbiran.
Apabila seseorang ahli SBM berhasrat untuk jadi pemimpin organisasi ini, mereka seharusnya sudah mengetahui beberapa perkara asas mengenai SBM itu sendiri. Mereka seharusnya sudah memahami perlembagaan SBM dengan baik. Mereka juga sepatutnya sudah mengetahui sedikit latar belakang dan sejarah SBM. Mereka juga sudah mempunyai maklumat tertentu tentang SBM seperti keahlian terkini, kedudukan kewangan secara umum, aktiviti terkini, masalah dan cabaran terkini dan seumpamanya. Mereka juga sepatutnya sudah membaca dokumen mesyuarat beberapa tahun yang lalu agar lebih memahami isu dan cabaran yang sedang mendepani SBM. Kalau perlembagaan SBM pun tak mahir, isu dan cabaran yang sedang menanti SBM pun tak tahu, maka tak payahlah nak tonjolkan diri untuk menduduki Majlis Presiden. Buat malu saja.
Saya tidak nafikan iaitu salah satu kriteria seseorang pemimpin walau di mana sekali pun ialah mereka mesti berupaya untuk bercakap. Kepetahan bercakap seseorang pemimpin memang satu aset yang tidak boleh diketepikan. Namun demikian, SBM tidak memerlukan pemimpin yang hanya banyak cakap. Mereka yang hanya banyak cakap kebiasaannya tidak tahu bekerja dengan betul. Tong kosong kalau dipalu memang kuat bunyinya, tapi seninya langsung tak ada. Antara tanda-tanda orang semacam ini ialah mereka tahu mengkritik tetapi tidak disusuli dengan cadangan yan konstruktif. Mereka juga hanya tahu melihat kekurangan orang lain tetapi tidak pernah melihat kekurangan diri sendiri. Mereka juga amat tidak suka kalau ditegur. Oleh itu, kepada yang berhasrat untuk jadi pemimpin dalam SBM, pastikan anda kurang bercakap supaya masa dan tenaga yang ada boleh dicurahkan untuk berfikir dan bekerja.
Ahli-ahli mesyuarat yang juga bakal pemilih nanti juga harus memastikan bahawa setiap calon mempunyai rekod perkhidmatan yang baik atau cemerlang sebelum ini. Kecemerlangan ini boleh diukur sama ada berlandaskan perkhidmatannya dalam SBM di mana-mana peringkat ataupun menerusi kecemerlangan perkhidmatannya di tempat lain sebelum ini. Rekod perkhidmatan cemerlang ini amat penting agar kesinambungan kecemerlangannya dapat diteruskan dalam Majlis Presiden SBM pula. Bilamana Majlis Presiden sudah dibarisi dan dipenuhi oleh mereka yang cemerlang, maka saya penuh yakin SBM pasti akan dapat menggapai era kecemerlangan dengan lebih pantas lagi.
Selain itu, ahli-ahli mesyuarat juga harus memastikan para calon yang bertanding nanti tidak mempunyai rekod perkhidmatan yang sudah dicemari dengan pelbagai virus penyalahgunaan kuasa atau penyelewengan pelbagai bentuk. Perkara sebegini amat penting supaya SBM akan terhindar daripada virus seperti ini. Adalah amat tidak bijak jika puak seperti ini diberi peluang di SBM dengan alasan dan tanggapan mungkin mereka akan berubah setelah dipilih untuk menerajui SBM. Kita perlu ingat, teraju kepimpinan SBM bukan untuk jadi uji kaji tahap kesedaran dan keinsafan seseorang.
Di samping itu, Para pemimpin SBM mestilah sentiasa berakhlak mulia, jujur, ikhlas, merendah diri, tidak sombong dan tidak lupa diri. Barisan pemimpin yang telah dipilih harus faham SBM bukan organisasi yang boleh diperkudakan untuk menaikkan nama sendiri. Setiap pemimpin harus bekerjasama di antara satu sama lain bak tungku tiga sejerangan. Mana-mana pemimpin tidak boleh bersikap umpama enau dalam belukar yang hanya melepaskan pucuknya sendiri demi untuk menggapai cita-cita peribadi.
Selanjutnya, para pemimpin SBM juga harus berupaya memacu organisasi ini ke arah yang lebih cemerlang lagi. Saya tidaklah mengatakan pada masa ini SBM tidak cemerlang. Namun demikian, masih ada lompong-lompong kosong yang perlu diisi agar SBM benar-benar berada di landasan yang jitu untuk ke destinasi yang lebih cemerlang. Untuk itu, para pemimpin SBM harus berani melaksanakan anjakan paradigma yang lebih besar agar SBM dapat dipacu dengan lebih cepat untuk menuju ke arah kecemerlangan yang lebih disegani.
Sejarah pemilihan SBM tahun 2012 membuktikan iaitu title tertentu yang dimiliki oleh seseorang bukan jaminan dia akan diterima oleh para ahli untuk memimpin SBM. Di sinilah terserlahnya keberanian dan keunikan para ahli SBM. Mereka sudah ada selera tersendiri tatkala memilih pemimpin. Ini satu perkembangan kematangan yang amat saya banggakan. Berbeza dengan apa yang berlaku pada tahun 2000 terutamanya dalam isu yang melibatkan pembelian bangunan. Ketika itu saya perhatikan ahli-ahli amat terpengaruh dengan title dan profesion seseorang hingga mereka terlupa dengan realiti isu yang sedang dkputuskan waktu itu. Justeru, saya amat berharap agar seluruh ahli SBM akan berupaya mengekalkan kematangan yang ada agar SBM tidak membuat kesilapan kali yang ke seterusnya.
Selaras dengan era ledakan maklumat masa kini, maka sudah menjadi suatu kemestian bagi memastikan agar seluruh ahli SBM merupakan kumpulan insan yang sentiasa bermaklumat. Perkara sebegini boleh dicapai dengan pelbagai kaedah. Apatah lagi pada masa ini ramai yang sudah mempunyai pelbagai alat dan sistem canggih yang berupaya akses kepada pelbagai bentuk maklumat. Dengan adanya pelbagai bentuk maklumat, maka kita akan berupaya untuk membuat pertimbangan dan keputusan dengan lebih wajar lagi terutamanya yang berkaitan dengan organisasi kita.
Saya amat sedar berita panas yang sedang bertiup kencang dalam kalangan ahli SBM masa kini. Insha-Allah saya akan membuat penjelasan mengenainya tidak lama lagi.
No comments:
Post a Comment