Thursday, August 11, 2011

Sesi Dialog Bersama YB Shahrizat



Pagi tadi, saya berkesempatan menghadiri sesi dialog bersama-sama YB Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Sesi berkenaan telah berlangsung di dewan utama, Kompleks Persatuan Orang-orang Buta Malaysia (MAB), Brickfields, Kuala Lumpur. Saya tiba di Kompleks MAB sekitar jam 10.35 pagi. Kehadiran saya adalah selaku Yang Di-Pertua Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS). Selain saya, PERTIS turut diwakili En. Zamzuri Ghani (Bendahari Kehormat) dan Pn. Arilzoh Mokhtar (AJK Pusat Biasa).



Sesi dialog ini dihadiri bukan sahaja golongan cacat penglihatan semata-mata, bahkan segala jenis OKU turut sama hadir. Selain itu, mereka yang tidak cacat tetapi turut sama hadir bagi mewakili badan-badan bukan kerajaan yang ada kaitan dengan kategori kecacatan tertentu. Seingat saya, saya pernah menghadiri sesi yang sama, juga mewakili PERTIS pada 9 Ogos 2009 (Ahad) yang lalu. Ketika itu, sesi berkenaan telah berlangsung di Hotel Meridian, KL Sentral. Kali ini, ia berlangsung di dewan utama, Kompleks MAB. Saya tidak mahulah membuat apa-apa telahan mengenai tempat penganjuran sesi dialog ini. Anjurkanlah di mana pun, asalkan venue penganjurannya mudah diakses oleh golongan sasar, sudah memadai.

Sekitar jam 11.05 YB menteri pula tiba. Setelah ucapan ringkas daripada YB menteri, maka sesi dialog pun dimulakan. Sesi kali ini dipengerusikan oleh Ketua Pengarah, Jabatan Kebajikan Masyarakat. Agaknya sudah menjadi semacam adat, bila YB menteri turun, maka segala pembesar di kementerian berkenaan juga akan turut sama turun padang. Antara orang besar kementerian yang hadir termasuklah Ketua Setiausaha Kementerian, Timbalan KSU Kementerian, Ketua Pengarah Jabatan kebajikan Masyarakat, Timbalan Ketua Pengarah, beberapa orang pengarah bahagian dan lain-lain lagi. Tidak ketinggalan dan turut sama hadir ialah seorang penolong pengarahnya yang cacat penglihatan.



Format yang digunakan untuk sesi dialog kali ini ialah di mana para peserta dialog akan dibenarkan untuk bercakap mengenai apa sahaja isu yang berkaitan dengan OKU dalam masa yang terhad. Pihak YB Menteri pula akan mencelah jika perlu untuk bertanyakan maklumat lanjut. Rasanya, kakitangan kementerian tertentu pula akan mengambil nota dan catatan untuk keperluan YB Menteri. Majlis telah berlangsung hingga lebih kurang jam 1.40 tengah hari. Pada pendengaran saya, dewan MAB memang penuh dengan para peserta yang merangkumi pelbagai kategori kecacatan serta wakil pelbagai NGO.



Pelbagai isu telah diketengahkan oleh para peserta. Isu-isu yang diketengahkan pula amat berkaitan dengan kecacatan yang dialami. Yang pastinya, lain kecacatan, lain pula masalah/cabaran yang dihadapi. Justeru, ia semestinya memerlukan cara penyelesaian yang berbeza.

Untuk golongan cacat penglihatan, antara isu yang sempat diketengahkan termasuklah isu mengenai trek laluan khas yang kadangkala tidak mesra pengguna, penguatkuasaan yang lemah, isu pengemis, pelaksanaan dasar 1% dalam sektor pekerjaan, serta lain-lain lagi.

Berbeza dengan sesi sebelumnya yang pernah saya hadiri dua tahun yang lalu, dalam sesi kali ini saya tidak bercakap. Saya lebih suka mendengar orang lain bercakap. Saya sekadar mendengar isu-isu yang dibangkitkan dan kemudian cuba membuat analisis sendiri. Pada masa yang sama, saya memberi sokongan moral kepada En. Abbas Asyaari (Pengerusi SBM Cawangan KL/Selangor) yang duduk di sebelah kanan saya supaya bercakap.

Bagi saya, cara turun padang sebegini yang telah diamalkan oleh YB Menteri ada baiknya. Setidak-tidaknya beliau dapat mendengar sendiri daripada golongan sasar mengenai isu dan masalah semasa yang sedang dihadapi. Maknanya, YB Menteri tidak sekadar mendapat maklumat daripada orang tengahnya semata-mata.

Terima kasih banyak-banyak saya ucapkan kepada Cik Siti Hajar kerana sudi membantu saya untuk mengambil foto yang kemudiannya dapat saya muatkan menerusi blog ini.

Saturday, August 6, 2011

Sembang Petang

Iktibar Bersama

Dalam kebanyakan situasi, sukar bagi mereka yang berpenglihatan untuk memahami kami yang tidak berpenglihatan, terutamanya perkara-perkara yang berkaitan dengan perasaan, emosi, naluri, sensitiviti, psikologi atau yang seumpama dengannya. Dalam hal ini, agak sukar juga bagi mereka yang tidak berpenglihatan untuk menerangkan kepada mereka yang berpenglihatan bagaimana kami boleh melakukan sesuatu itu dengan sempurna dalam keadaan tanpa penglihatan. Jadi, untuk memendekkan alkisah, mereka yang berpenglihatan akan membuat kesimpulan mudah, iaitu dengan merumuskan bahawa “hati mereka terang”. Betul ke mereka yang tidak berpenglihatan hatinya sentiasa terang?

Setelah saya melalui pelbagai pengalaman hidup sebagai insan yang ditakdirkan buta bagi tempoh lebih 4 dekad, saya merasakan sebilangan besar mereka yang masih berpenglihatan mempunyai persepsi yang salah mengenai dunia golongan cacat penglihatan. Rata-rata mereka yang berpenglihatan berpersepsi iaitu kecacatan penglihatan yang menimpa seseorang itu menyebabkan golongan tersebut buta segala-galanya. Mereka beranggapan dunia golongan cacat penglihatan gelap seluruhnya sama seperti bilamana mereka (golongan berpenglihatan) menutup mata sendiri serapat-rapatnya.

Benarkah orang yang cacat penglihatannya akan turut cacat dalam semua perkara? Benarkah dunia golongan cacat penglihatan merupakan dunia yang diselubungi kegelapan yang segelap-gelapnya?

Seperkara yang sering kita lupa ialah, cacat atau sempurna fizikal seseorang itu, semuanya adalah kurniaan Allah Yang Maha Kuasa. Jadi, Bila Dia menjadikan seseorang itu cacat, sudah tentulah kecacatan itu akan ditampung pula dengan sedikit kelebihan di aspek yang lain pula. Di sinilah letaknya keadilan Allah. Maknanya, Dia tidak akan menjadikan sesuatu itu sia-sia begitu sahaja. Jika kita berupaya melihat apa yang telah dijadikan-Nya dengan penuh rasa keinsanan, sudah tentulah ia amat menginsafkan kita. Demikianlah.

Sebab itulah juga, walaupun Allah menjadikan seseorang itu buta, tetapi Allah menunjukkan kaedah bagaimana golongan berkenaan berupaya melayari internet. Sebelum kita sama-sama dapat melihat bagaimana golongan cacat penglihatan melayari internet, pernahkah kita terfikir bahawa golongan tersebut juga mempunyai kaedah tersendiri untuk sama-sama tercebur ke dalam dunia ICT? Itu baru satu contoh sahaja mengenai keadilan Ilahi. Walau bagaimanapun, mungkin masih ramai yang gagal mengaitkan sesuatu kecacatan yang telah ditakdirkan itu dengan keadilan Penciptanya. Oleh kerana mereka gagal membuat perkaitan sedemikian, maka ada yang telah mengambil kesempatan dengan memperlekehkan kebutaan seseorang. Bila mereka telah melakukannya, golongan tersebut akan merasa puas.

Bagi mereka yang tidak begitu memahami golongan cacat penglihatan, mereka akan menggunakan cara yang dangkal untuk mempersendakan golongan berkenaan. Untuk mengintai apa yang sedang dilakukan oleh orang buta, ada yang sanggup tukar kasut atau buka kasut terus dan berjalan perlahan-lahan dan tertinjit-tinjit pula. Nasib baiklah kaki mereka tak terkena paku tajam. Kalau sekali-sekali terkena, alangkah padannya muka mereka? Dari aspek pendengaran, mungkin apa yang dilakukan oleh golongan berpenglihatan yang dangkal ini seakan berjaya. Walau bagaimanapun, sedarkah mereka ada dalam kalangan mereka yang tidak berpenglihatan telah dikurniakan Allah dengan pendengaran yang super tajam? Itulah keadilan Allah namanya. Satu lagi, mungkin cara yang digunakan sebagaimana di atas sedikit sebanyak dapat mengelakkan kehadiran mereka daripada dikesan menerusi pendengaran. Bagaimana pula dengan bau ketiak, bau hamis atau bau busuk yang ada pada badan si pengintai berkenaan? Ke mana pula hendak ditinggalkan bau badan masing-masing? Di sini, sekali lagi, Allah itu Maha Adil, tapi ramai yang sering melupainya.

Masih segar dalam ingatan saya hingga kini kejadian yang berlaku pada 11 Mei 2000 (Khamis). Kejadian malang berkenaan berlaku sekitar jam 9.35 pagi. Tempat kejadiannya pun masih segar dalam ingatan. Ketika itu saya sedang mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu di sebuah kelas. Tiba-tiba muncul seorang guru lain (guru berkenaan seorang berpenglihatan) melangkah masuk ke dalam kelas saya secara senyap-senyap, kemudian menghulurkan nota kepada salah seorang murid dalam kelas berkenaan, kemudian berlalu pergi. Sepatah haram perkataan pun tidak keluar dari mulutnya. Kejadian tersebut mungkin sekejap, tetapi ia telah meninggalkan kesan yang cukup mendalam dalam diri saya sehingga ke hari ini. Bahkan beberapa ketika selepas kejadian itu, saya merasa begitu cuak kepada sebahagian besar rakan-rakan sejawat yang berpenglihatan. Alhamdulillah, perasaan yang tidak baik dan tidak adil tersebut dapa saya buangkan sedikit demi sedikit.

Untuk memastikan bahawa si fulan telah masuk ke dalam kelas saya sebentar tadi, saya terus bertanya kepada murid-murid saya ketika itu: “Betul ke, Cikgu fulan masuk tadi?” Salah seorang murid yang hadir menjawab: “Betul cikgu, dia bagi nota pada saya.” Murid yang sama kemudiannya bertanya pula: “... Tapi kenapa dia masuk senyap-senyap, cikgu?” Saya menjawab: “Perangai busuk macam tu kamu semua jangan ikut. Walaupun cikgu yang ada di hadapan kamu ni buta, tapi Allah berkuasa memberitahu pada cikgu apa yang sedang berlaku dengan apa cara sekalipun.” Murid-murid saya ketika itu terdiam sebentar bila mendengar jawapan saya.

Mengapakah rakan sejawat saya itu bersikap sedemikian pada kelas yang sedang saya kendalikan? Adakah beliau akan berbuat perkara yang sama kepada kelas yang sedang dikendalikan oleh rakan-rakan sejawatnya yang berpenglihatan seperti dia? Sedarkah dia, dengan berkelakuan sedemikian, secara tidak langsung dia telah menghalalkan kepada murid-murid saya untuk mempermainkan guru-gurunya yang cacat penglihatan? Bahkan, sedarkah dia, perbuatannya itu akan saya ingat sampai ke akhir nanti? Saya penuh yakin, sehingga ke hari ini pun, rakan sejawat berkenaan tidak tahu bahawa sebenarnya saya mengetahui perbuatan sumbangnya itu. Saya juga yakin, pada hari ini beliau berkemungkinan besar sudah lupa dengan perbuatan busuknya itu.

Saya kongsikan pengalaman ini kepada semua supaya kita sama-sama mengambil iktibar daripadanya. Berdasarkan pengalaman sendiri serta rakan-rakan senasib yang lain, perbuatan busuk seperti ini akan berlaku secara bersiri dan berepisod. Hanya pelakunya sahaja yang berbeza. Ini bermakna, sikap busuk ini ada bukan pada seorang manusia sahaja. Rupa-rupanya ia dimiliki oleh ramai orang dan terdiri daripada mereka yang memegang pelbagai kelas jawatan pula.

Saya yakin, rakan-rakan senasib yang lain juga mempunyai pengalaman masing-masing dalam mengharungi karenah yang ditimbulkan oleh golongan berpenglihatan yang dangkal ini. Adakalanya pengalaman yang kita lalui memang mengguris hati dan perasaan. Sudah menjadi kebiasaan bagi saya, bila saya mengalami situasi seperti di atas, saya akan membaca secara berulang kali surah Abasa dari ayat 1 hingga 4 (surah Abasa ialah surah ke-80 dalam juzuk ke-30). Berdasarkan pengalaman sendiri, dengan membaca ayat-ayat sebagaimana yang saya nyatakan tatkala berhadapan dengan golongan berpenglihatan yang dangkal ini, hati, emosi dan perasaan akan mudah tenang. Maklumlah, ketika orang lain mempersendakan kita, pada masa yang sama Allah tetap membela golongan yang tidak berpenglihatan. Demikianlah adilnya Ilahi.

Coretan ini saya suratkan berdasarkan pengalaman sendiri dan juga rungutan serta keluhan daripada rakan-rakan senasib yang lain.

Sunday, July 31, 2011

Marhaban Ya Ramadhan

Setinggi-tinggi puji dan syukur ke hadrat Allah Yang Maha Kuasa kerana dengan limpah kurnia serta izin dari-Nya kita dapat bertemu lagi dengan bulan Ramadhan tahun 1432 Hijrah. Pada saat ini, tiadalah peertemuan yang paling bermakna, paling syahdu dan paling besar manfaatnya selain pertemuan dengan Ramadhan almubarak (yang diberkati). Cuba renungkan sebentar, ada di antara kerabat kita, rakan dan taulan kita atau pun orang-orang yang kita kenali kini tidak lagi diberi peluang untuk bertemu dengan Ramadhan kali ini lantaran mereka sudah lebih dahulu dijemput Ilahi.

Dengan ketibaan Ramadhan, pelbagai nikmat dan rahmat mencurah turun untuk kita. Pada bulan ini, dibukakan semua pintu syurga; ditutup semua pintu neraka; dibelenggu segala syaitan; diampunkan dosa bagi mereka yang memohon keampunan; dimakbulkan doa bagi mereka yang berdoa; dam berbagai lagi nikmat yang tidak tersurat oleh kita. Nikmat yang terbesar dalam bulan Ramadhan ialah jika kita berpeluang menemui malam Alqadar. Malam yang lebih baik daripada seribu bulan ini disabdakan oleh Rasulullan akan muncul pada 10 malam terakhir dalam bulan Ramadhan. Sejauh manakah kita berusaha untuk memperolehinya?

Kebiasaannya, bulan Ramadhan juga merupakan bulan pesta kerana dalam bulan inilah kita dapat menyaksikan pelbagai pesta diadakan secara serentak. Ada pesta jualan; ada pesta makan; ada pesta beli-belah; ada pesta iklan; dan ada pesta ibadah. Terpulanglah kepada kita untuk memilih pesta yang mana satu yang kita ingin sertai. Teringat saya kepada salah satu SMS yang saya terima sebentar tadi, antara lain penghantar SMS berkenaan mengatakan: “Bulan Ramadhan adalah bulan untuk memberi orang makan, bukan bulan untuk kita makan semata-mata.

Agak menjadi satu kelaziman juga di mana pada beberapa malam pertama, masjid dan surau akan dipenuhi oleh jemaah. Selepas dua minggu Ramadhan, keadaan mula berubah. Surau dan masjid mula lengang sedikit demi sedikit. Sepatutnya, apabila Ramadhan kian di penghujungnya, kita seharusnya semakin kuat beribadat dan surau dan masjid semakin penuh. Ini kerana malam Alqadar akan berlaku pada malam-malam di sepertiga akhir bulan Ramadhan. Demikian antara yang pernah dikhabarkan oleh Rasulullah untuk panduan umat kesayangan baginda.

Selain itu, dalam bulan ini, ada satu aktiviti yang menjadi kelaziman hampir di mana-mana sahaja. Aktiviti yang saya maksudkan ialah apa yang dipanggil sebagai Ihya’ Ramadhan. Aktiviti ini dilaksanakan di masjid, surau, madarasah, sekolah, pejabat, jabatan dan juga di tempat-tempat lain. Secara umumnya, Ihya’ Ramadhan bermaksud menghidupkan bulan Ramadhan dengan ibadah/aktiviti dengan tujuan untuk mencari redha Allah. Ini merupakan satu aktiviti yang bagus dan patut kita sama-sama sertai. Aktiviti yang sudah menjadi tradisi di sesetengah tempat harus disokong dan diberi penambahbaikan dari semasa ke semasa.

Oleh itu, saya suka mengingatkan kepada diri sendiri dan juga kepada sesiapa sahaja yang gemar akan peringatan, marilah sama-sama kita manfaatkan bulan Ramadhan kali ini semaksimumnya. Manalah tahu, ini merupakan Ramadhan akhir buat kita?

Di sini, bersempena dengan ketibaan Ramadhan Al-mubarak, saya serta keluarga ingin mengucapkan selamat menyambut Ramadhan 1432 Hijrah kepada seluruh ahli keluarga, saudara-mara dan juga kepada seluruh pengunjung blog BW. Ucapan salam Ramadhan juga saya tujukan kepada seluruh barisan kepimpinan Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) di semua peringkat, seluruh kakitangan PERTIS serta seluruh ahli PERTIS di mana jua anda berada. Akhirnya, salam Ramadhan juga saya tujukan kepada sekalian muslimin dan muslimat, semoga ibadah kita dalam bulan Ramadhan kali ini akan benar-benar memperolehi redha Allah dari awal hingga ke akhirnya.

Wassalam.

Selamat Hari Pahlawan

Setiap tahun, 31 Julai telah diisytiharkan sebagai Hari Pahlawan. Matlamatnya sudah tentulah untuk mengenang jasa para pahlawan kita yang telah banyak berjasa dalam memastikan agar keselamatan negara sentiasa berada di tahap terbaik. Jasa dan pengorbanan para pahlawan kita memang tiada ternilai walau dengan apa sekali pun. Tanpa mereka sudah tentulah keamanan yang sedang kita sama-sama kecapi kini tidak mungkin dapat kita nikmati.



Selepas perang dunia kedua, era darurat merupakan antara masa yang paling mencabar bagi para anggota keselamatan kita. Parti Komunis Malaya (PKM) waktu itu sedang berusaha keras untuk menubuhkan sebuah republik komunis di Tanah Melayu. PKM telah menggunakan cara kekerasan bagi memenuhi hasrat dan cita-cita jahat mereka. Membunuh, menyiksa, menzalimi, menyusahkan orang dan macam-macam lagi kejahatan merupakan asam garam dalam perjuangan komunis.

Manakala rakyat pula hidup dalam ketakutan. Pelbagai kesusahan terpaksa ditanggung oleh rakyat semata-mata angkara PKM. Generasi hari ini mungkin tidak merasainya, sebab itulah kebanyakan mereka kurang memahaminya. Walaupun saya tidak pernah melaluinya, tetapi setidak-tidaknya saya pernah berbual dan mendengar sendiri pengalaman daripada anggota keselamatan yang pernah berhadapan dengan kekejaman serta situasi genting gara-gara kebuasan komunisme.



Maka itulah, saya amat tidak bersetuju bilamana sedikit masa dahulu ada pihak yang mencadangkan agar pengampunan diberikan kepada saki-baki anggota PKM yang masih bernyawa. Biarlah mereka menghabiskan sisa-sisa nyawa mereka di sana. Pada hemat saya, kalaulah gerombolan ini diberikan pengampunan dan dibenarkan pulang, banyak hati para pahlawan kita yang akan terguris. Jadi, lebih aula dan lebih baiklah bagi kerajaan menjaga hati para pahlawan kita. Saya bukannya beremosi, tetapi saya amat memahami perjuangan dan pengorbanan para perajurit kita. Kebetulan pula bapa saudara (Allahyarham) saya juga bekas anggota keselamatan.

Dalam menghadapi pelbagai provokasi dan kekejaman angkara komunis, pihak keselamatan terutamanya polis dan tentera telah berusaha keras memberi perlindungan kepada rakyat dan negara tercinta. Dalam mempertahankan negara, ada pahlawan yang telah gugur meninggalkan keluarga dan sanak saudara. Ada juga yang telah menjadi cacat akibat terkena senjata musuh. Pendek kata, bila berhadapan dengan musuh, mereka tidak lagi memikirkan keluarga masing-masing, tetapi yang terbentang di hadapan mereka dan perlu dipertahankan ialah tanah air tercinta. Demikianlah pengorbanan pasukan keselamatan kita dalam menjaga rakyat dan negara.

Justeru, amat berpatutanlah jika kerajaan telah menetapkan 31 Julai setiap tahun sebagai hari pahlawan. Pagi tadi, sambutan hari pahlawan telah berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Ini merupakan kali kedua sambutan hari pahlawan tidak diadakan di tugu Kebangsaan sebagaimana kelazimannya sebelum ini. Ke bawah duli Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong telah berkenan mencemar duli berangkat ke upacara sambutan hari pahlawan pagi tadi. Baginda turut disertai oleh para pembesar negara yang lain.

Kepada semua perajurit negara serta mereka yang pernah berkecimpung sebagai anggota keselamatan, selamat hari pahlawan diucapkan.

Promosi Blog

Jika para pengunjung blog ini meneliti senarai pautan di hujung, terdapat sedikit perubahan pada blog yang saya senaraikan. Ada blog tertentu yang tidak lagi saya senaraikan. Manakala terdapat beberapa blog baru yang saya telah masukkan dalam senarai pautan berkenaan. Dengan erti kata lain, saya mempunyai kriteria tertentu dan tersendiri untuk menyenaraikan blog terpilih ke dalam senarai pautan pada blog ini. Matlamatnya ialah supaya para pengunjung dapat dihidangkan dengan bahan-bahan berkualiti, sahih dan terkini. Mana-mana blog yang sudah setahun tidak dikemas kini, layaklah ia tidak lagi disenaraikan dalam pautan BW. Mana-mana blog yang hampir setahun tidak dikemas kini, ia ada harapan untuk tidak lagi disenaraikan dalam masa terhampir.

Antara blog terbaru yang saya senaraikan pada pautan BW ialah SMK St. John Kuala Lumpur. Kebetulan pula, saya adalah bekas murid ST. John dan pernah belajar di sekolah berkenaan bermula dari tingkatan 1 hinggalah ke tingkatan 6 atas. Hari ini, oleh kerana masa yang begitu padat buat masa ini, saya masih belum berkesempatan untuk datang dan menjejakkan kaki di sekolah yang telah banyak berjasa dalam mencorakkan jalan hidup saya pada hari ini. Jadi, kalau tak sempat ke SMK St. John, dapat mengunjungi blognya pun memadailah. Saya juga sempat mengunjungi blog berkenaan. Wah! Banyaknya gambar .... cantiknya! .... ye ke cantik???

Satu lagi blog yang baru saya senaraikan ialah blog pengetua SMK St. John Kuala Lumpur. Di sini, saya ingin melontarkan kekaguman saya kepada pengetua sekolah berkenaan kerana turut tidak ketinggalan dalam mengejar arus perkembangan ICT. Kata sesetengah orang, pengetua selalu sibuk, jangankan hendak menulis pada blog, hendak baca blog pun sampai tidak ada masa. Nampaknya pengetua SMK St. John telah membuktikan bahawa kalau hendak seribu daya, kalau dah tak mahu beribu dalih. Bila kita beralasan, ia menunjukkan kelemahan. Sekalung tahniah ingin saya kalungkan pada pengetua SMK St. John. Melalui blognya, saya juga bertemu dengan blog seorang lagi pengetua sekolah di Kuala Lumpur, tetapi ia belum lagi saya pautkan menerusi blog ini.

Saya juga sempat membaca tulisan pengetua SMK St. John menerusi blognya. Bagi saya, tulisannya sangat baik, dua bahasa lagi. Menerusi tulisan beliau, para pembaca dapat mengetahui pandangan beliau terhadap isu-isu tertentu, aspirasi dan inspirasinya serta harapan beliau terhadap sekolah serta warganya.

Kepada para pengunjung semua, jika ingin ke blog yang telah saya nyatakan, silalah klik (enter bagi pengguna pembaca skrin) pada nama pautan yang berkaitan dalam senarai Laman Sesawang Pilihan di hujung blog ini.

Terima kasih kepada Cikgu Ruby kerana sudi berkongsi info.

Salam dari Kuantan.

Saturday, July 30, 2011

Alquran Braille: Sejarah Yang Terpendam (Bahagian Kedua)

Sejarah Penyalinan Alquran Braille Di Malaysia

Sebagaimana yang telah saya tulis sebelum ini menerusi blog ini, SKPK Princess Elizabeth di Johor Baru merupakan institusi pendidikan khas (cacat penglihatan) pertama yang telah melaksanakan pembelajaran dan pengajaran Alquran Braille di negara kita. Bahkan SKPK Princess Elizabeth merupakan antara institusi terawal yang telah menerima naskah Alquran Braille dari negara Jordan. Perlu saya nyatakan, setakat maklumat yang saya ada, jumlah naskah Alquran Braille yang diterima oleh SKPK Princess Elizabeth ketika itu dari Jordan hanya senaskah sahaja. Sekitar dekad 70-an lalu, naskahh Alquran Berkenaan masih ada lagi dan masih digunakan sebagai panduan oleh Cikgu Sulaiman (Allahyarham) untuk mengajar membaca dan menulis Alquran Braille kepada murid-muridnya.



Di peringkat awal, oleh kerana terdapat pelbagai kekangan, maka usaha-usaha penyalinan Alquran bagi tujuan menghasilkan Alquran Braille yang lengkap masih tidak dapat dimulakan. Oleh itu, pada dekad 50-an dan 60-an, usaha lebih ditumpukan kepada pengenalan kepada huruf-huruf asas hijaiyah Braille, tanda-tanda baris dan sebagainya.

Untuk membolehkan pengajaran dan pembelajaran Alquran Braille dilaksanakan dengan lebih berkesan, maka surahsurah tertentu daripada Alquran, atau sejumlah ayat tertentu telah disalin ke dalam bentuk Braille. Ia dilakukan sendiri sama ada oleh Cikgu Sulaiman Shafie (Allahyarham) mahupun oleh Cikgu Salmah Othman. Setelah ayat atau surah yang diperlukan siap disalin ke dalam bentuk Braille, maka cetakan ayat atau surah berkenaan akan diperbanyakkan dengan menggunakan mesin thermoform. Ianya dilakukan oleh kedua-dua orang guru berkenaan.



Secara ringkasnya, Cikgu Sulaiman dan Cikgu Salmah merupakan dua orang tenaga pengajar agama di SKPK Princess Elizabeth ketika itu. Bezanya, Cikgu Sulaiman merupakan guru agama yang bernaung di bawah Jabatan Agama Islam Johor dan berkhidmat di SKPK Princess Elizabeth dari tahun 1954-1991. Manakala Cikgu Salmah pula merupakan seorang guru agama yang berkhidmat di bawah Kementerian Pelajaran. Beliau telah berkhidmat di SKPK Princess Elizabeth dari awal dekad 70-an hingga ke awal dekad 80-an (maaf tahun sebenarnya saya tidak berapa ingat). Kedua-dua guru berkenaan merupakan guru yang berpenglihatan dan tidak mempunyai latar belakang pendidikan khas. Namun begitu, atas rasa tanggungjawab serta keikhlasan untuk mendidik murid-muridnya yang tidak berpenglihatan, kedua-dua guru berkenaan telah berusaha sendiri untuk mendapatkan kemahiran Alquran Braille dan akhirnya mereka berjaya. Mereka berjaya memahirkan diri mereka dengan ilmu mengenai Alquran Braille, dan mereka juga berjaya mengajar murid-muridnya yang tidak berpenglihatan mengenai kemahiran membaca dan menulis Alquran Braille. Walau bagaimanapun, kedua-dua guru berkenaan sama sekali tidak pernah mengajar mana-mana muridnya supaya mencuri dan mengeksploitasi soft copy Alquran Braille orang lain!

Saya masih ingat lagi, Cikgu Sulaiman pernah membraillekan surah Adh-Dhuha (surah ke-93) hingga surah An-Nas (surah ke-114). Manakala Cikgu Salmah pula pernah membraillekan ayat 1 hingga ayat 108 dari surah Albaqarah. Sebagaimana yang telah saya nyatakan di atas, apabila mereka siap Braillekan ayat/surah berkenaan, ia akan diperbanyakkan dengan mencetaknya menggunakan mesin thermoform. Manakala mencetak dengan mesin thermoform bukanlah sesuatu yang mudah. Ia memakan masa yang lama kerana harus dicetak secara sehelai demi sehelai. Fikirkanlah berapa lama masa untuk mencetak akan diambil bila himpunan ayat/surah yang ingin dicetak mengandungi 30 halaman Braille untuk kegunaan 30 orang murid? Namun, itulah yang telah dilakukan oleh kedua-dua orang guru agama berkenaan. Kegigihan mereka berdua tiada berbagai pada zaman ini. Mereka berdua sahaja yang tahu dan pernah alami betapa penatnya untuk menyediakan ayat/surah ke dalam bentuk Braille untuk murid-muridnya ketika itu.

Pada tahun 1980, Alquran Braille lengkap pertama telah berjaya disalin di negara kita. Ia telah disalin oleh Saudara Mohd Nor bin Awang Ngah. Ia telah disalin dengan menggunakan mesin taip Braille dan kemudiannya dicetak juga dengan menggunakan mesin thermoform. Manakala pihak yang telah mencetaknya ialah Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB). Ia telah dijual dengan harga RM 150.00 ketika itu. Alquran Braille berkenaan telah dicetak ke dalam 30 jilid iaitu satu juzuk satu jilid. Saya merupakan antara yang pernah membelinya daripada MAB dan masih menyimpan satu atau dua juzuk (jilid) Alquran Berkenaan. Saudara Mohd Nor Awang Ngah ialah seorang yang tidak berpenglihatan.

Walau bagaimanapun, Alquran Braille berkenaan tidak dapat digunakan sepenuhnya kerana terdapat banyak kesalahan di sana sini. Di sini, saya tidaklah bermaksud untuk menyalahkan Saudara Mohd Nor Awang Ngah. Bagi saya, beliau telah melakukan yang terbaik mengikut kemampuannya. Pada masa yang sama, kesalahan-kesalahan yang ada sukar untuk dibaiki semula kerana kaedah penyalinan dan cetakan yang digunakan pada masa itu. Kalaupun ia dapat dibaiki, ia tetap akan memakan masa dan kos yang tinggi. Lagipun, setakat yang saya maklum, usaha penyalinan yang telah dilakukan oleh Saudara Mohd Nor Awang Ngah tidak mendapat sokongan padu daripada pihak-pihak yang berkaitan. Selain itu, bilangan mereka yang mahir dengan Alquran Braille juga amat terhad. Maka itulah juga, pelbagai kesalahan yang terdapat dalam Alquran Braille salinan tahun 1980 tidak dapat diperbetulkan dengan lebih sempurna, bahkan ia akhirnya terbiar begitu sahaja.

Pada tahun 1986, Saudara Zahari Ghani (Allahyarham) telah berjaya menyalin Alquran Braille secara lengkap. Sekali lagi, kaedah penyalinan ialah dengan menggunakan mesin taip Braille. Ia kemudiannya telah dicetak dengan menggunakan mesin thermoform. Kalau tak silap saya, beliau telah mengambil masa lebih dari setahun untuk menyalin keseluruhan Alquran Braille. Manakala naskah Alquran Braille yang telah digunakan sebagai rujukan untuk disalin ialah Alquran Braille daripada Indonesia terbitan yayasan Kesejahteraan Islam Indonesia (YAKETUNIS), Djog Djakarta, cetakan tahun 1976.

Setelah Alquran Braille lengkap disalin, Saudara Zahari sendiri telah menyemaknya semula secara perlahan-lahan. Tatkala menyalin Alquran berkenaan, Saudara Zahari sangat berhati-hati. Pengetahuan asas bahasa Arabnya yang agak baik turut memudahkan beliau melaksanakan usahanya. Jika terdapat sebarang keraguan dengan apa yang disalinnya, Saudara Zahari akan membandingkannya pula dengan Alquran bertulisan biasa iaitu dengan bantuan rakan berpenglihatan yang mahir dengan Alquran bertulisan biasa. Selain itu, beliau juga sering menyemaknya dengan mengikut bacaan qari tertentu menerusi pita kaset. Saya boleh menceritakan semuanya ini kerana ia berlaku di hadapan mata saya.

Di sini, saya tidaklah sampai mengatakan naskah Alquran Braille yang telah disalin oleh Saudara Zahari Ghani tiada kesalahan langsung. Namun begitu, salinan yang telah dilakukan oleh beliau jauh lebih baik daripada Alquran Braille salinan Saudara Mohd Awang Ngah. Beliau terus menggunakan naskah Alquran Braille yang disalinnya sehinggalah ke akhir hayatnya. Saudara Zahari Ghani telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tahun 1991. Mudah-mudahan Allah merahmati beliau sepanjang masa.

Sebagaimana yang telah saya nyatakan, Saudara Zahari Ghani telah menyalin Alquran Braille dengan menggunakan mesin taip Braille serta kertas Braille. Setelah lengkap disalin, beliau telah mencetaknya dengan menggunakan mesin thermoform di atas kertas khas yang dikenali sebagai braillon. Cetakan di atas kertas braillon akan membolehkan titik-titik Braille tahan lebih lama, lebih mudah disimpan serta tidak rosak kalau terkena air. Saya sendiri sempat mencetak beberapa juzuk dengan menggunakan salinan asal (master copy) yang telah diusahakan oleh Saudara Zahari Ghani. Pada hari ini, saya dimaklumkan, kebanyakan juzuk (jilid) salinan naskah asal Alquran Braille beliau telah hilang entah ke mana. Namun demikian, cetakan braillon daripada salinan asal berkenaan masih lengkap dan kini masih tersimpan rapi di rumah Allahyarham di Pasir Mas, Kelantan. Oleh kerana salinan yang ada merupakan cetakan di atas braillon, maka ia sama sekali tidak boleh diulang cetak dengan menggunakan mesin thermoform.

Pada dekad 90-an, usaha penyalinan Alquran Braille masih lagi diteruskan. Pada masa itu, Pn. Aminah Ishak yang juga merupakan pengetua Sekolah Menengah Pendidikan Khas Setapak, Kuala Lumpur, telah meminta jasa baik Saudara Mohd Musa Ali untuk menyalinnya di SMPK Setapak. Sebelum itu, Saudara Mohd Musa Ali pernah menuntut di SMPK Setapak pada dekad 80-an. Beliau kemudiannya telah melanjutkan pengajian Alqurannya di Madrasah Alquran Kubang Bujuk, Serada, Terengganu dan berjaya menjadi seorang hafiz. Maknanya, tatkala beliau dipertanggungjawabkan untuk menyalin Alquran Braille di SMPK Setapak, beliau telah pun tamat pengajian Alqurannya dan telah menjadi seorang yang hafaz Alquran. Walau bagaimanapun, atas tuntutan kerjayanya, Saudara Mohd Musa tidak dapat meneruskan usaha penyalinannya. Walau pun demikian, beliau masih sempat menyalin beberapa juzuk Alquran Braille. Ada pihak yang memaklumkan kepada saya, beliau sempat menyalin sehingga juzuk 15. Kaedah penyalinan yang digunakan masih lagi dengan menggunakan mesin taip Braille. Salah satu juzuk yang telah beliau salin masih ada dalam simpanan saya. Pada penelitian saya, penyalinan yang telah diusahakan oleh Saudara Mohd Musa Ali lebih baik dan lebih sempurna. Ini mungkin disebabkan faktor bahawa beliau telah pun menghafaz Alquran. Jadi ia merupakan satu advantage kepada beliau dalam usaha penyalinannya.

(Bersambung di bahagian ketiga).


Catatan tambahan:

1. Saya pernah menulis secara ringkas kisah hidup Cikgu Sulaiman bin Shafie (Allahyarham) menerusi blog ini iaitu posting pada bulan Ogos tahun 2009.

2. Untuk pengetahuan bersama, Cikgu Salmah masih lagi bersama kita. Beliau telah pun bersara sejak tahun 1996 lagi. Pada masa ini, beliau menetap di Johor Baru. Kali akhir saya bertemu beliau ialah pada hujung Februari 2010.

3. Mohd Musa bin Ali kini merupakan seorang guru Alquran dan sedang mengajar di salah sebuah madrasah di Yala, selatan Thailand.

4. Saya juga pernah menulis menerusi blog ini mengenai naskah-naskah Alquran Braille yang ada di Malaysia. Salah satunya ialah Alquran Braille terbitan kerajaan Tunesia. Ia telah diterbitkan pada tahun 1976. Alquran Braille yang dikeluarkan oleh Tunesia juga boleh dibaca oleh sesiapa sahaja yang tahu membaca Alquran Braille, tetapi ia ditulis berdasarkan qiraat Qalun.

Salam dari Kuantan.

Sunday, July 24, 2011

Makan Nasi Dagang Di Rumah MSO

Semalam, sekitar jam 9 lebih malam, saya telah mendapat panggilan telefon daripada En. Mohd Sayuti Omar (MSO). Setelah bertanya khabar ringkas, MSO menjemput saya sekeluarga ke rumahnya keesokan harinya, katanya untuk makan nasi dagang. Sudah tentu undangan sedemikian tidak akan saya lepaskan. Apa yang terbayang dalam hati ialah mungkin MSO akan mengadakan jamuan tertentu. Saya turut membayangkan, sudah tentulah ramai rakan dan sahabatnya yang akan datang ke rumah beliau esok. Demikianlah.

Petang tadi, sekitar jam 5.50 petang, saya sekeluarga pun tiba ke rumah MSO. Bila saya keluar sahaja dari kereta, saya tidak mendengar sesuatu yang meriah. Ini bermakna, rumah MSO mungkin tiada tetamu. Sementara isteri saya membetulkan kedudukan kenderaan kami, saya menyuruh Luqman melihat nombor rumahnya, memang betul itu rumahnya, tapi kata Luqman, tiada tetamu lain. Kenderaan di luar rumah juga tidak banyak. Saya terus membuat kesimpulan, mungkin para tetamunya sudah pulang. Mungkin saya sekeluarga adalah tetamunya yang terakhir.

Setelah menyedari kehadiran saya sekeluarga di luar pagar rumahnya, MSO dan isterinya terus menyilakan kami masuk. Begitu mesra sekali mereka. Bahkan MSO sendiri yang mengalu-alukan saya masuk di muka pintu rumahnya. Saya terus dibawa masuk hingga ke kerusi di ruang tamu. Memang benar, tiada tetamu lain di rumahnya. Hanya saya sekeluarga sahaja.

Setelah bertanya khabar, saya terus bertanya kepada MSO: “Tetamu lain sudah balik ke, En. Sayuti?” MSO menjawab: “Tidak ada tetamu lain, cikgu sekeluarga sahaja.” Saya sedikit terkejut mendengar jawapan daripada MSO. Bayangan saya sebelum ini sama sekali meleset.



Setelah duduk di ruang tamu seketika, saya sekeluarga pun terus dipersilakan ke ruang makan. Di sini sudah tersedia hidangan nasi dagang. Baunya sahaja sudah cukup menyelerakan. Ada ikan tongkol, udang dan ayam. MSO turut sama makan bersama saya sekeluarga. Bila MSO turut sama makan, separuh daripada rasa malu saya untuk makan sudah hilang.



Sambil makan, kami berbual mengenai isu-isu semasa. Isu Bersih 2 masih hangat diperbualkan. Banyak juga kejadian dalam perhimpunan Bersih 2 yang tidak disiarkan menerusi media arus perdana yang sempat diperkatakan. Saya dan MSO turut bertukar-tukar pandangan mengenai beberapa isu lain. Antaranya termasuklah mengenai Ibrahim Ali, kemungkinan pilihanraya ke-13, sedikit mengenai perihal UMNO, serta lain-lain lagi.

Nasi dagang yang dimasak sendiri oleh Kak Naimah (isteri MSO) memang begitu menyelerakan. Maklumlah rempahnya memang didatangkan terus dari Kelantan. Sedar tak sedar, rupa-rupanya saya bertambah 2 kali. Campur dengan pinggan pertama, maknanya saya makan nasi dagang di rumah MSO sebanyak 3 pinggan. Wau!!! Sesiapa yang dapat undangan untuk makan nasi dagang di rumah MSO, rugi kalau dilepaskan peluang keemasan yang datang.



Sebagaimana yang mungkin kita semua telah maklum, pergaulan MSO dengan golongan cacat penglihatan bukanlah asing. Sejak dari kecil lagi, MSO memang bersahabat akrab dengan Md Darus, yang pernah popular suatu ketika dahulu selaku penulis skrip drama radio dan TV dengan nama penanya M Hayat. MSO juga cukup arif dengan penghidupan golongan cacat penglihatan, daripada orang yang bekerja sebagai penjual tisu sehinggalah kepada petugas kakitangan awam seperti saya. Antara nama golongan cacat penglihatan lain yang segar dalam ingatan MSO termasuklah Norazman Sukerman, Shafiri dan juga sahabat saya yang sedang bertungkus-lumus menyiapkan tesis PHD-nya di UKM.

Sekitar jam 7.00 malam, saya sekeluarga pun minta diri untuk pulang. Sebelum pulang, MSO telah menghadiahkan kepada saya sebuah buku yang bagi saya cukup menarik untuk dibaca.



Kepada MSO sekeluarga, setinggi-tinggi terima kasih saya ucapkan di atas kesudian mengundang saya sekeluarga menikmati keenakan nasi dagang di rumahnya. Bagi saya sekeluarga, undangan ini bukansetakat istimewa, bahkan eksklusif. Saya sentiasa berdoa semoga beliau sekeluarga akan sentiasa berada di dalam peliharaan Allah sepanjang masa dengan dilimpahi dengan segala keberkatan, kenikmatan serta kebahagiaan dunia dan akhirat. Insha-Allah hubungan silaturahim sebegini akan terus berpanjangan.

Encik Amran tidak perlu sakit mata bila membaca coretan saya seperti ini!