Monday, June 30, 2014

Abu Zarin Husein Kembali Ke Rahmatullah (Catatan Lewat)



Sebagaimana yang mungkin kita semua sudah maklum, Abu Zarin Husein telah kembali ke rahmatullah malam tadi. Khabarnya beliau telah terjatuh lebih dahulu sebelum disahkan meninggal dunia.

Dalam tempoh sebulan ini sekurang-kurangnya sudah 3 rakan kita yang sudah dijemput Ilahi. Mesejnya ialah giliran kita juga semakin hampir.

Kali terakhir saya bertemu dengan Allahyarham ialah di surau MAB beberapa minggu lalu ketika sama-sama mengerjakan solat maghrib berjemaah.

Kepada ahli keluarga Allahyarham, takziah diucapkan. Bersama-samalah kita berdoa semoga Allahyarham akan ditempatkan bersama dengan para solihin.

Alfatihah ....


Sunday, June 29, 2014

Mari Kita Sama-sama Bantu Yusiran



Yusiran Ahmad merupakan salah seorang rakan senasib yang memang dikenalai khususnya dalam kalangan golongan cacat penglihatan. Sebagaimana yang kita sama-sama maklum, sebelah kakinya telah dipotong akibat penyakit kencing manis. Semasa kedua-dua belah kakinya masih sihat, beliau sekadar bekerja sendiri bagi menyara kehidupannya. Walaupun beliau bersuara merdu ketika menyanyi, kelebihan yang ada padanya tidak membawa sebarang erti untuk kehidupannya.

Setelah kakinya dipotong beberapa tahun lalu, beliau telah dibawa balik ke kampung halamannya. Maklumlah jika di Kl pun tiada siapa yang akan benar-benar peduli padanya. Demikian beritahu arwah ibunya kepada saya ketika saya mengunjungi Yusiran di kampung hampir setahun lebih yang lalu.



Setelah ibunya meninggal dunia, mungkin kerana tidak betah lagi tinggal di kampung, Yusiran telah membawa dirinya kembali semula ke KL. Sebagai salah seorang rakan senasib, saya amat faham mengapa beliau kembali semula ke KL walaupun beliau amat memahami kesusahan yang bakal ditempuhinya di KL. Kasih ibu tidak mungkin sama dengan kasih saudara. Saya tidaklah mengatakan beliau dibuang saudara. Hakikatnya menumpang kasih dengan ibu jauh bezanya dengan menumpang kasih dengan saudara.

Di Kl, Yusiran menumpang ihsan rakannya yang baik hati. Beliau tinggal di tingkat 3, flat Seri Langkawi. Jarang benar beliau turun ke bawah. Maklumlah sudahlah cacat penglihatan, kaki sebelah pula sudah dipotong. Ia memang menyukarkannya untuk turun naik sebagaimana biasa. Jika benar-benar mustahak sahaja beliau akan turun ke bawah. Waktu selebihnya beliau akan duduk di rumah rakannya sahaja.

Yusiran memang tidak mempunyai sebarang pekerjaan. Justeru, beliau hanya menumpang ihsan rakan, jiran serta rakan-rakan yang prihatin. Setakat yang saya maklum, untuk makan tengah hari Yusiran akan mendapat ihsan daripada sebuah kedai makan berhampiran. Untuk makan malam pula, ada jiran yang akan memberinya makanan. Selagi ada ihsan sebegini, Yusiran akan dapat makan. Demikianlah.

Menurut Yusiran, beliau ada memohon bantuan daripada Baitulmal Wilayah Persekutuan, tetapi sudah 6 bulan tiada siapa yang membantunya. Masalah utamanya ialah beliau tidak dapat mengisi borang permohonan sebagaimana diperlukan. Dalam hal ini, rasanya tidak menjadi kesalahan jika ada pegawai daripada Baitulmal yang sudi mengunjungi Yusiran dan sekaligus membantunya untuk mengisi borang permohonan sepertimana yang diperlukan.

Ketibaan bulan Puasa kali ini juga tidak membawa sebarang makna kepada Yusiran. Beliau akan menjalani kehidupannya juga seperti biasa. Kehidupannya akan terus bergantung kepada ihsan orang lain. Bila saya tanya tentang hari raya nanti, Yusiran sekadar memberitahu kemungkinan besar beliau tidak pulang ke kampung seperti dulu-dulu.

Saya sering ketengahkan Yusiran untuk dibantu bukan kerana ibu saya dan arwah ibunya merupakan rakan baik dan lama, tetapi kerana Yusiran benar-benar perlu dibantu. Sejak kematian ibunya, beliau semakin kesunyian. Hari ini hari Yusiran, esok lusa belum tahu hari siapa pula.

Bersempena dengan bulan Ramadhan yang penuh barakah ini, marilah kita sama-sama membantu Yusiran. Tak dapat sumbang banyak, sedikit pun memadai. Kalau tak dapat menyumbang wang ringgit, dapat beri sokongan moral pun sudah mencukupi. Kepada mereka yang berhasrat untuk memberi sumbangan berbentuk wang, boleh sumbangkan secara tunai terus kepada beliau. Sumbangan ke dalam akaun bank tidak praktikal kerana Yusiran amat sukar untuk ke bank bagi membuat pengeluaran.

Yusiran boleh dihubungi di talian rakannya 019-3944047.

Kepada mereka yang sudi membantu, setinggi-tinggi terima kasih diucapkan. Semoga Allah akan memberi balasan yang setimpal dengan keikhlasan kita, insha-Allah.


Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan



Ahlan wasahlan wamarhaban ya ramadhan ....

Tatkala berkumandang sahaja azan maghrib tadi, tentunya kita merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadhrat Allah kerana kita telah diberi peluang sekali lagi untuk bertemu dengan Ramadhan kali ini. Serentak dengan itu juga, tentunya kita akan teringat sebilangan orang yang kita kasihi atau yang dekat dengan kita yang telah bersama kita pada Ramadhan yang lalu tetapi kali ini tidak lagi beserta kita ketika kita melangkah ke detik pertama awal Ramadhan kali ini. Dalam konteks itu, kita masih beruntung dan masih diberi peluang. Alhamdulillah sebanyak-banyaknya.



Kelebihan serta keberkatan bulan Ramadhan memang tiada taranya. Terpulang saja kepada kita untuk merebutnya. Semoga Allah memberikan kita kekuatan untuk melaksanakan kewajipan yang telah diwajibkan ke atas kita bersempena dengan bulan Ramadhan kali ini. Mudah-mudahan juga Allah akan memberikan kepada kita kekuatan, kesihatan, kesenangan serta kelapangan untuk melakukan apa jua bentuk kebaikan bersempena dengan kehadiran Ramadhan kali ini.

Mudah-mudahan juga kehadiran Ramadhan kali ini akan membawa perubahan kepada diri kita daripada buruk kepada baik dan daripada baik kepada yang lebih baik. Sia-sialah Ramadhan yang kita lalui jika tiada sebarang perubahan khususnya yang berkaitan iman jika tiada langsung perubahan pada diri kita.

Bersempena dengan Ramadhan kali ini juga, saya suka berpesan kepada diri sendiri dan juga kepada mereka yang suka mendengar pesanan, marilah kita berpuasa seluruhnya dan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga semata-mata. Maknanya, selain daripada selera yang kita puasakan, sama-samalah juga kita puasakan hati kita, lidah kita, telinga kita, tangan kita serta kaki kita.



Kepada seluruh muslimin dan muslimat di mana jua anda berada, saya ucapkan selamat berpuasa dan salam Ramadhan. Marilah sama-sama kita manfaatkan Ramadhan kali ini semaksimumnya kerana tiada jaminan yang kita akan bertemu lagi dengan Ramadhan yang akan datang.

Ramadhan Karim.


Monday, June 23, 2014

Barisan Pimpinan SBM 2014-2016



Mesyuarat dwitahunan ke-10 Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) telah berlangsung dari 20 – 22 Jun 2014. Berikutan daripada mesyuarat berkenaan, maka pemilihan barisan pimpinan SBM bagi sesi 2014-2016 telah diadakan. Sebagaimana yang telah saya nyatakan lebih awal, 3 tempat telah dimenangi tanpa pertandingan. Pemilihan telah berlangsung untuk jawatan naib presiden dan 8 orang Ahli Majlis Presiden.

Berikut adalah senarai barisan pimpinan SBM 2014-2016:

Tuan Haji Mohd Nazari bin Haji Osman (presiden)
Cikgu Mohamad Fekkeri bin Md Jusoh (naib presiden)
En. Rosyam bin Sidek (Setiausaha Agung)
Pn. Jasmin Khoo (bendahari)

Manakala 8 orang Ahli Majlis Presiden ialah:
1. Pn. Fadhilah binti Abdul Aziz;
2. Cik Anisah binti Ismail;
3. Dr. Wong Huey Siew;
4. En. Mustaza bin Mohd Zain;
5. En. Moktar bin Soon;
6. Cik Siti Huraizah binti Ruslan;
7. En. Ahmad Samsuri bin Muhammad;
8. En. Loh Kong Kenn.

Secara sepintas lalu, populariti En.Loh Kong Ken nampaknya menurun sedikit jika dibandingkan dengan keputusan pemilihan dua tahun lalu. Manakala En. Mohd Bukhari pula merupakan satu-satunya calon yang tewas untuk merebut 8 tempat dalam Majlis Presiden. Walau bagaimanapun, En.Bukhari seharusnya tidak merasa dukacita dengan kegagalan untuk mendapat tempat dalam Majlis Presiden. Khabarnya undian yang anda perolehi agak banyak juga dan bukannya sekadar 17 undi sahaja.

Kepada mereka yang telah terpilih, tahniah diucapkan. Hakikatnya anda semua telah terpilih untuk memimpin sebuah badan bukan kerajaan yang paling ramai dianggotai oleh golongan cacat penglihatan di negara ini. Anggaplah ia sebagai suatu amanah.

Kepada yang telah dipilih, selamat bertugas!


Sunday, June 22, 2014

Tahniah Kepada Tuan Haji Mohd Nazari Osman



Pada ketika ini, mesyuarat dwitahunan Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) sedang berlangsung. Ia berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur. Sejak awal lagi, topik yang menjadi perbualan hangat ialah mengenai pertandingan untuk jawatan dalam Majlis Presiden SBM. Saya juga turut dibabitkan dalam kehangatan topik berkenaan.

Awal pagi tadi, saya mendapat maklumat, Tuan Haji Mohd Nazari Osman telah berjaya mengekalkan kawatannya selaku Presiden SBM untuk tempoh dua tahun lagi. Ini bermakna, Tuan Haji Nazari bukan sahaja berjaya kekal selaku presiden SBM sekurang-kurangnya sehingga 2016, mungkin yang lebih manis lagi baginya ialah bilamana beliau berjaya mempertahankan jawatannya tanpa bertanding. Tiada sesiapa yang mencabar kedudukan beliau selaku presiden SBM setidak-tidaknya untuk masa ini.



Sejak awal lagi, saya ada memberitahu kepada rakan-rakan yang terdekat bahawa buat masa ini kedudukan Tuan Haji Nazari selaku presiden SBM sukar untuk dicabar oleh sesiapa pun. Ini kerana corak kepimpinannya dalam SBM boleh diterima oleh sebahagian besar ahli. Mereka merasa selesa dengan pelbagai aktiviti yang sedang dan telah dilaksanakan oleh SBM sama ada di peringkat pusat mahupun di peringkat negeri.

Mereka yang ada niat dan berhasrat untuk mencabar kedudukan Tuan Haji Nazari selaku presiden SBM juga mungkin telah berfikir berkali-kali. Jika tiada isu besar dan tanpa asas kekuatan yang jitu kedudukan Tuan Haji Nazari tidak mungkin dapat dicabar dengan mudah. Sejarah pemilihan tahun 2012 mungkin telah banyak memberi pengajaran kepada semua pihak. Kedudukan dan gelaran seseorang bukan jadi ukuran utama kepada sebahagian ahli SBM. Ahli-ahli SBM sudah ada selera mereka yang tersendiri dalam membuat pilihan untuk barisan pimpinan SBM.

Kemenangan Tuan Haji Nazari tanpa dicabar boleh ditafsirkan daripada pelbagai sudut. Berkemungkinan besar, majoriti ahli SBM sudah selesa dengan corak kepimpinan beliau. Maka itulah sebahagian besar ahli SBM merasa tiada ada keperluan untuk menggantikan presiden SBM sekarang dengan orang lain.

Saya juga tidak menafikan ada mendengar konon khabarnya ada sebahagian ahli yang kurang berpuas hati dengan corak kepimpinan Tuan Haji Nazari. Walau bagaimanapun, berkemungkinan juga golongan berkenaan tidak mempunyai kekuatan yang mencukupi untuk mencabar kedudukan Tuan Haji Nazari.

Insha-Allah, jika ada kesempatan, saya akan cuba mengulas faktor-faktor kemenangan Tuan Haji Nazari pada kesempatan yang lain.

Selain Tuan Haji Nazari, En. Rosyam sidek dan Pn. Jasmin Khoo juga berjaya mengekalkan jawatan masing-masing juga tanpa pertandingan. En. Rosyam berjaya mempertahankan kedudukan beliau selaku Setiausaha Agung SBM. Manakala Pn. Jasmin Khoo pula tiada yang mencabar kedudukannya selaku bendahari SBM.

Kepada ketiga-tiga penjawat utama SBM yang telah menang tanpa pertandingan, saya ucapkan setinggi-tinggi tahniah. Kita masih menanti pengisian untuk sebilangan tempat lagi dalam Majlis Presiden. Keputusannya akan diketahui menjelang tengah hari nanti.

Saya sendiri tidak dapat menghadiri mesyuarat dwitahunan SBM pada kali ini. Saya berada di Port Dickson bagi menyertai program lain.


Thursday, June 19, 2014

SBM Dan Pendirian Saya




Satu berita hangat yang tersebar meluas terutamanya selepas saya tidak lagi mmenganggotai AJK Pusat Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) ialah saya akan bertanding untuk jawatan nombor satu dalam Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM). Dengan erti kata lain, saya akan mencabar kedudukan presiden SBM yang ada sekarang. Ada juga berita yang mengatakan tujuan saya meninggalkan barisan pimpinan PERTIS ialah untuk beralih kepada SBM pula.

Bermula 1 Jun lagi, saya telah menerima banyak panggilan telefon, email serta SMS yang bertanyakan mengenai hal tersebut. Beberapa pandangan mengenai kemungkinan hasil keputusan pertandingan antara saya dengan presiden SBM sekarang juga turut kedengaran. Ada yang mengatakan saya akan tewas jika berlaku pertandingan. Ada juga yang mengatakan saya ada peluang besar untuk menang.

Ada juga dalam kalangan pemanggil yang memberikan beberapa sebab mengapa saya harus bertanding untuk mencabar kedudukan presiden SBM yang ada sekarang. Mereka juga turut mengutarakan kepada saya beberapa alasan mengapa presiden SBM yang ada sekarang harus diganti dengan orang laian iaitu saya sendiri. Bahkan ada beberapa pemanggil yang menyatakan kesediaan untuk berkempen habis-habisan jika saya benar-benar bersetuju untuk mencabar kedudukan presiden SBM sekarang. Kepada mereka, terima kasih banyak saya ucapkan.

Selain itu, ada juga rakan-rakan yang memberikan pandangan sebaliknya. Bagi mereka, saya tidak sesuai untuk bertanding dalam barisan pimpinan SBM. Golongan ini turut mengemukakan beberapa hujah sebagai asas pandangan mereka. Saya hormati pandangan rakan-rakan sedemikian, tetapi keputusan akhir tetap di tangan saya juga.

Setiap pendapat, pandangan dan luahan saya dengar dengan teliti. Mana yang patut dan sesuai, saya akan catat agar tidak lupa. Ia juga merupakan catatan yang akan saya gunakan sebagai sebahagian daripada bahan analisis saya kelak.

Sebelum ini, saya ada menyatakan ada 3 sebab mengapa saya tidak mempertahankan kedudukan saya selaku YDP PERTIS baru-baru ini. Tiada satu pun sebab bahawa saya akan bertanding di SBM. Ini bermakna, tujuan saya melepaskan kedudukan di PERTIS bukanlah untuk beralih kepada SBM pula.

Untuk maklumat semua, saya telah pun menyatakan pendirian saya mengenai hal ini kepada beberapa orang tertentu pada 4 dan 5 Jun lagi. Antaranya saya telah memaklumkan pendirian saya sebelum ini kepada pengerusi PERTIS Terengganu. Saya juga ada memaklumkan hal yang sama kepada dua orang yang masih menganggotai Majlis Presiden SBM sekarang. Oleh yang demikian, pendirian dan keputusan yang saya buat tiada kena-mengena dengan kurang atau lebihnya sokongan untuk saya jika saya masuk bertanding. Ia merupakan pendirian dan keputusan saya sejak awal lagi.

Kepada rakan-rakan yang telah menyatakan sokongan untuk saya jika saya bertanding, saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih. Yang telah menyatakan sokongan dan kesediaan untuk berkempen bagi pihak saya bukannya seorang atau dua orang, jumlahnya entah berapa orang.

Dengan ini, dengan penuh sukacita ingin saya maklumkan iaitu saya tidak berhasrat untuk bertanding bagi mana-mana tempat dalam Majlis Presiden SBM dalam mesyuarat dwitahunan SBM ke-10 bagi tahun 2014. Harap semua maklum.


Sunday, June 15, 2014

Kenangan Bersama Allahyarham Aziz Syarif



Allahyarham Aziz Syarif telah kembali ke rahmatullah pada 9 Jun 2014 di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Jenazahnya telah disempurnakan pada keesokan harinya. Menurut maklumat yang diterima, jenazahnya telah dikebumikan di Sungai Ramal, Kajang. Saya tidak sempat menziarahi jenazahnya buat kali terakhir.

SMS terakhir beliau kepada saya ialah pada 7 Mac 2014 yang lalu seperti berikut:

Boyot,sms alamat pertis,

Tujuan beliau meminta alamat PERTIS ialah untuk mengajukan permohonan sedikit bantuan untuk dirinya. Berdasarkan surat beliau, maka PERTIS telah meluluskan sedikit bantuan kewangan untuk beliau bagi tempoh 3 bulan dan boleh dipertimbangkan selepas 3 bulan berkenaan berakhir. Rupa-rupanya sebelum berakhir 3 bulan yang pertama, beliau telah dijemput Ilahi. Demikianlah hubungan di antara Allahyarham Aziz dengan PERTIS di saat-saat akhir hidupnya. Walaupun itu merupakan SMS terakhir beliau kepada saya, tetapi saya ada menemuinya di Brickfields beberapa kali selepas daripada SMS berkenaan.

Saya mula mengenali Allahyarham Aziz Syarif pada tahun 1981. Ketika itu saya di tingkatan 1 manakala Aziz pula di tingkatan 4 dan bersekolah di SMPK Setapak. Walaupun kami belajar di sekolah yang berlainan, tetapi kami tinggal di asrama yang sama iaitu asrama SMPK Setapak. Sejak dari bangku sekolah lagi, Aziz seorang yang sangat periang, mudah ketawa dan suka bergurau dengan rakan-rakan. Di mana ada Aziz, di situ ada keriuhan.

Salah satu sikap Aziz yang tidak mungkin dilupakan oleh rakan-rakan rapatnya ialah beliau gemar menolong kawan. Suatu ketika, beberapa rakan termasuk saya dan Aziz merancang untuk berpuasa sunat. Saya tidak ingat bersempena apa. Waktu sahur, kami makan mi megi sahaja. Aziz yang tolong masak mi megi tersebut. Waktu kami sama-sama makan mi berkenaan, salah seorang daripada kami bertanya Aziz, “Kau makan apa Ziz?” Aziz menjawab, “Tak apalah, aku dah kenyang.” Salah seorang daripada kami faham Aziz tak ada apa yang boleh beliau buat sahur. Lalu seorang yang lain yang kebetulan ada me megi lebih telah memberi sebungkus kepadanya.

Setelah meninggalkan bangku sekolah, Aziz mula menjalani hidup secara berdikari. Beliau pernah bertugas di sebuah institusi kewangan terkemuka sebagai operator telefon. Walau bagaimanapun, setelah bertugas untuk beberapa tahun, Aziz telah membuat keputusan untuk berhenti kerja. Setelah beberapa ketika, beliau bertugas pula di sebuah syarikat terkenal yang menjual pelbagai alat kelengkapan rumah. Di situ pun beliau tidak lama kerana turut memutuskan untuk berhenti kerja.

Boleh dikatakan sebahagian besar hidupnya dihabiskan dengan menetap di Brickfields. Aziz akan meninggalkan Brickfields hanya untuk keperluan tertentu seperti mencari rezeki. Sebagai orang bujang, sudah tentulah gerai-gerai makan di serata Brickfields menjadi “dapurnya”. Seperti saya katakan tadi, di mana ada Aziz di situlah akan ada keriuhan dan kemeriahan. Gelak dan tawanya sentiasa menghiasi suasana di sekelilingnya.

(Aziz pada 26 Ogos 2011)


Mungkin tidak ramai yang tahu, Aziz juga seorang yang pemurah yang sangat ikhlas. Saya masih ingat lagi, pada dekad 90-an lalu, ketika itu PERTIS merancang untuk menganjurkan majlis berbuka puasa. Maklumlah sebagai sebuah persatuan baru ketika itu, kedudukan kewangan masih belum teguh. Bantuan yang diterima pun masih kurang daripada yang diperlukan. Selaku Naib Yang Di-Pertua ketika itu, saya telah ditugaskan untuk mencari dana bagi majlis berkenaan. Manakala saya pula tidak kenal siapa-siapa pun orang besar, orang korporat atau orang politik. Orang yang saya kenal rapat ialah rakan-rakan yang tinggal di Brickfields atau yang sering ke Brickfields untuk pelbagai tujuan. Jadi kepada merekalah saya akan meminta bantuan kewangan. Seingat saya, bila saya minta bantuan untuk tujuan di atas, ia pasti tidak mengecewakan. Kalau pun tidak banyak, sepuluh dua puluh pasti mereka beri. Demikianlah ikhlasnya rakan-rakan kita ketika itu. Aziz adalah antara rakan yang pasti saya minta bantuan. Beliau akan menghulurkan kepada saya RM 50 atau RM 100. Sambil menghulur beliau akan berpesan, “Kau jangan tulis aku yang beri.” Seorang lagi rakan yang sedemikian ialah Abang Karim (Allahyarham Abdul Karim Dalib). Setiap kali menghulurkan wang untuk tujuan di atas, beliau akan berpesan “Kau jangan beritahu sesiapa pun aku yang beri.” Saya sekadar menjawab “Insha-Allah.” Dalam diam saya amat mengagumi keikhlasan mereka. Dalam diam juga saya belajar daripada mereka untuk menjadi orang yang ikhlas. Kini kedua-duanya sudah dijemput Ilahi. Jadi wajarlah saya menulisnya di sini buat teladan untuk kita yang masih ada.

Satu lagi peristiwa yang tidak mungkin luput dari ingatan saya ialah kenangan ketika saya bersama Allahyarham dan seorang lagi rakan, Raja Zainuddin, ke Genting Highlands. Ia juga berlaku pada awal dekad 90-an yang lalu. Ketiga-tiga kami merupakan cacat penglihatan. Suatu tengah hari, Aziz dan Raja Zainuddin telah mengajak saya ke Genting Highlands. Mulanya saya agak ragu. Walau bagaimanapun, selepas kedua-dua rakan saya meyakinkan saya, akhirnya saya bersetuju untuk menyertai mereka.

Dari Brickfields, kami ke hentian bas Pekeliling. Dari sana, kami menaiki bas ke Genting Highlands. Di Genting Highlands, kami ke bahagian permainan. Kami main redah sahaja. Bila perlu, kami tanya orang keliling. Mungkin kerana ketiga-tiga kami cacat penglihatan, jadi semua permainan yang kami sertai percuma belaka.

Kadangkala Aziz penakut orangnya. Salah satu permainan yang kami sertai akan membawa kami ke atas. Saya pun sudah lupa nama permainan tersebut. Mungkin kerana takut, Aziz dalam diam tidak menaiki permainan berkenaan. Jadi saya dan Raja Zainuddin sahajalah yang naik. Mulanya kami tak tahu Aziz tak naik sekali. Tatkala permainan berkenaan mula bergerak, saya memanggil nama Aziz tapi tiada jawapan. Salah seorang penumpang lain memberitahu, “rakan awak tak naik sama”. Tahulah kami Aziz tinggal di bawah.

Setelah permainan tamat dan kami turun semula ke bawah, tiba-tiba Aziz bersuara, “hebat ya tak permainan tadi”. Untuk memendekkan cerita, saya pun berkata, “Sudahlah Ziz, aku tahu kau tak naik tadi, tak payah cakap banyaklah!” Aziz kehairanan dan sambil ketawa beliau bertanya, “Macam mana kau tahu?” Lalu saya menjawab, “Mata aku berada di mana-mana saja.” Saya dan Raja ketawa besar kerana cubaan Aziz untuk menipu kami gagal.

Pada masa itu, orang ramai juga boleh naik kereta kabel yang akan membawa melintasi sebuah tasik. Kami bertiga juga tidak melepaskan peluang berkenaan. Walaupun kami tidak nampak, tetapi kakitangan di situ langsung tidak bersikap prejudis dan memandang rendah kepada kami. Kami diberi peluang untuk naik sama kereta kabel berkenaan dan secara percuma pula. Mulanya Aziz enggan naik kononnya sudah letih. Kami tahu itu Cuma alasannya sahaja. Setelah dipujuk berkali-kali, akhirnya Aziz naik juga. Bila berada di tengah-tengah tasik, kereta kabel tersebut akan berhenti seketika untuk memberi peluang kepada para penumpang menikmati keindahan panorama. Saya merasa bersyukur kerana kakitangan Genting yang mengiringi kami amat memahami dan tidak diam macam tikus jatuh ke beras. Beliau akan memberi penerangan tentang keindahan panorama di situ.

Manakala Aziz pula duduk diam membisu seribu bahasa. Raja Zainuddin membisik kepada saya, Aziz diam kerana takut. Lalu saya pun berkata kepada Aziz, “Ziz, cuba kau lompat tiga kali!” Aziz sekadar mendengus sahaja. Kemudian saya berkata lagi, “Ziz, macam mana ya, kalau tiba-tiba kabel putus?” Aziz berkata pula, “diamlah!” Kemudian beliau bertanya kepada kakitangan yang mengiringi kami, “Bila kita nak sampai ke seberang?” Kakitangan tersebut menjawab, “sekejap lagi.” Saya dan Raja Zainuddin ketawa besar sekali lagi kerana kami sedar Aziz memang dalam keadaan takut.

Aziz juga merupakan seorang yang mempunyai suara yang merdu dan pandai menyanyi. Seingat saya, beliau sering ikut bertanding dalam karnival nasyid anjuran Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) beberapa kali. Justeru, kemerduan suaranya masih tersimpan dalam bentuk MP3 ramai rakannya. Mungkin kerana peluang masih belum terbuka, maka Aziz tidak dapat menggunakan bakat nyanyian yang ada padanya untuk pergi lebih jauh lagi dalam bidang seni suara.

Satu lagi keistimewaan yang ada pada Allahyarham ialah kebolehannya sedikit-sedikit untuk berbahasa Tamil. Walaupun perbendaharaan katanya tidak sebanyak mana, yang istimewanya ialah lenggok Tamilnya yang menjadi. Kata seorang rakan yang berbangsa Tamil, kalau orang tidak melihat wajahnya, tentulah orang akan anggap Aziz orang Tamil.

(Aziz di PPUM pada 22 April 2012)


Masih segar dalam ingatan saya ketika saya menziarahi Allahyarham Aziz di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di mana ketika itu kakinya baru sahaja dipotong akibat penyakit kencing manis. Bila Aziz menyedari kehadiran saya, beliau terus menyapa saya sambil berkata “Yot! Dah kena tebas ya tak!” Hati yang mula sedih pun pasti berubah jadi ketawa pula. Jururawat di situ ada memberitahu saya, Aziz tidak boleh duduk diam dan suka merayau dengan kerusi rodanya.

(Aziz dengan wajah bersahaja ketika menerima rawatan di PPUM pada 22 April 2012)


Tatkala di akhir hayatnya, Aziz yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan, agak kerap juga berada dalam kesempitan wang. Namun demikian, rakan-rakannya tidak berkira dalam membantu beliau. Ada sahaja rakan-rakan yang akan membantu beliau walaupun sekadar sepuluh dua puluh. Walaupun ketika itu sudah ketiadaan sebelah kaki, namun begitu Allahyarham seakan tidak kenal erti kesedihan. Keriangan dan keriuhan yang beliau pamirkan seolah-olah tiada apa yang berlaku. Walaupun kesempitan hidup kian menghimpitnya, tetapi rasa murung seolah-olah masih enggan singgah ke wajah Allahyarham Aziz. Allahyarham terus tabah menjalani hidupnya dengan caranya sendiri.

(Aziz ketika menerima bantuan daripada PERTIS pada 24 Januari 2013)


Di kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada rakan-rakan serumah Allahyarham, iaitu Cikgu Mad Nor, Saudara Osman Nordin dan juga Saudara Firdaus kerana cukup tabah dalam melayani Aziz. Anda bertigalah yang paling mengetahui dan paling memahami watak semula jadi Allahyarham. Walaupun sama-sama cacat penglihatan, tanpa pertolongan anda bertiga, tidak mungkin Allahyarham dapat dibawa ke PPUM untuk rawatan penyakitnya. Anda juga yang lebih memahami betapa sukarnya untuk memujuk beliau agar ke hospital untuk rawatan. Rakan ketawa mudah dicari, rakan menangis anda bertigalah orangnya.

Kini Aziz sudah dijemput Ilahi. Beliau pergi untuk selama-lamanya dan tidak akan kembali lagi. Yang tinggal hanya kenangan manis tatkala beliau bersama-sama kita. Saya pasti rakan-rakan beliau akan merasai kehilangan dan kesunyian tanpa suara riang Allahyarham.

Rakan-rakan yang lain tentu juga ada bermacam kenangan manis dan indah bersama Allahyarham. Yang baik itu marilah sama-sama kita canangkan. Mana yang sesuai itu kita jadikan pengajaran. Sebagai tanda persaudaraan dan persahabatan abadi, marilah kita sama-sama bacakan Alfatihah kepadanya setiap kali kita teringat kepada Allahyarham. Itulah tanda persaudaraan sejati bak air dicincang tidak akan putus. Brickfields kehilangan seorang lagi warganya yang selama ini menjadi mercu kepada kemeriahan suasana di sekitarnya.

Sesungguhnya Allahyarham Aziz telah pergi demi menyahut panggilan Yang Esa. Beberapa orang rakan kita juga telah mendahului Allahyarham Aziz sebelumnya. Hanya kita yang masih menanti giliran untuk menyusuri mereka. Esok atau lusa entah siapa dalam kalangan kita yang akan menemui gilirannya pula. Hanya Dia Yang Esa yang lebih mengetahuinya. Sentiasalah kita berdoa semoga bila sampai giliran kita nanti, kita akan kembali kepada-Nya dalam keadaan redah dan diredhai, insha-Allah.