Sunday, November 22, 2009

Laluan Selamat: Adakah Ia Benar-benar Selamat?



Di Brickfields, dan juga di beberapa tempat lain di sekitar Bandaraya Kuala Lumpur, ada satu laluan (track) khas yang dibina di atas sepanjang kawasan pejalan kaki. Tujuan utama laluan khas itu dibina adalah untuk memudahkan golongan cacat penglihatan berjalan tanpa halangan terutamanya yang boleh mendatangkan bahaya kepada golongan tersebut. Ini bermakna, sepatutnya, di atas laluan khas tersebut tidak seharusnya ada sebarang benda, sama ada kenderaan, gerai, atau apa sahaja yang boleh menjadi halangan kepada pejalan kaki khasnya dalam kalangan mereka yang cacat penglihatan.



Sekiranya di atas laluan khas tersebut masih ada sebarang benda atau apa sahaja sehingga ia menjadi halangan kepada pejalan kaki yang cacat penglihatan, maka sudah tentulah objektif pembinaan kemudahan laluan khas tersebut tidak tercapai. Ini bermakna, laluan khas tersebut lebih merupakan perhiasan daripada kemudahan.

Apa yang berlaku, terutamanya di sekitar Brickfields ialah, laluan khas berkenaan bukan lagi merupakan laluan yang selamat dan bebas halangan. Di sesetengah kawasan di Brickfields, adalah menjadi satu fenomena biasa di mana di atas laluan khas berkenaan terdapat pelbagai benda, termasuklah motor sikal atau gerai menjual makanan. Oleh itu, laluan khas yang sepatutnya merupakan laluan bebas halangan, kini sudah merupakan laluan yang penuh dengan cabaran dan rintangan. Ada kalanya, bila pejalan kaki yang cacat penglihatan menggunakan laluan khas tersebut, mereka akan terlanggar benda seperti kenderaan yang diletakkan di atas laluan tersebut. Ada juga pejalan kaki cacat penglihatan yang diminta supaya “ke tepi” oleh pemilik gerai makanan tertentu kerana kawasan laluan khas berkenaan sudah merupakan sebahagian daripada gerai mereka. Sebenarnya, siapa yang sepatutnya ke tepi?



Justeru, janganlah kita merasa hairan bilamana kita melihat ada pejalan kaki cacat penglihatan yang tidak menggunakan laluan khas tersebut. Ada kalanya, tidak menggunakan laluan khas tersebut lebih selamat daripada menggunakannya. Persoalannya, mengapakah fenomena di atas boleh berlaku?

Bagi saya, antara sebabnya ialah kesedaran awam mengenai keperluan laluan khas tersebut kepada golongan cacat penglihatan masih sangat kurang. Kebanyakan orang awam masih kurang faham mengenai “laluan bebas halangan” serta kepentingannya untuk golongan cacat penglihatan. Sebab itulah pihak yang berkenaan tidak pernah merasai apa-apa bila meletakkan kenderaan atau gerai di atas laluan khas tersebut. Mereka tidak peduli walaupun apa yang mereka lakukan telah menghalang keselesan golongan lain.

Selain itu, bagi saya, peranan agensi penguatkuasaan juga masih boleh dipertingkatkan lagi. Mungkin kerana ada di antara pemilik gerai makanan atau pemilik kenderaan yang tidak pernah diberikan peringatan, nasihat atau tidak pernah disaman atas kesalahan yang berkaitan, maka itulah juga mereka merasakan meletakkan kenderaan atau meletakkan gerai di atas laluan khas bukan merupakan suatu kesalahan. Oleh itu, pihak penguat kuasa seperti DBKL, polis atau JPJ disarankan supaya berperanan dengan lebih berkesan lagi agar objektif mewujudkan laluan khas yang bebas halangan dapat dicapai. Sekiranya kesedaran awam mengenai hal ini berada pada tahap yang memuaskan, maka sudah tentulah peranan agensi penguat kuasa dapat dikurangkan.

Selain itu juga, saya turut merasakan peranan badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan golongan cacat penglihatan, khususnya yang beroperasi di Brickfields boleh dipertingkatkan. Umpamanya, para NGO berkenaan boleh menjalankan kempen ke arah menyedarkan komuniti awam di Brickfields mengenai peranan dan kepentingan laluan khas yang bebas halangan kepada golongan cacat penglihatan. Untuk memastikan keberkesanan kempen, para NGO berkaitan boleh melaksanakan kempen secara bersepadu dengan kerjasama daripada agensi penguat kuasa yang berkaitan seperti DBKL, polis atau JPJ. Adalah diharapkan melalui kempen seumpama ini, masyarakat awam di Brickfields lebih memahami mengenai keperluan dan kepentingan laluan khas yang bebas halangan kepada golongan cacat penglihatan.



Sesungguhnya, bagi golongan cacat penglihatan, kemudahan laluan khas yang bebas halangan bukanlah suatu keistimewaan, sebaliknya ia merupakan suatu keperluan.

No comments: