Sunday, February 12, 2012

Majlis Maulidul Rasul Anjuran PERTIS - JAWI

Semalam (11 Februari), saya telah berkesempatan menghadiri majlis sambutan Maulidul Rasul peringkat PERTIS Pusat. Majlis berkenaan telah dilangsungkan di Dewan Datuk Dr. Ismail Salleh di MAB, Brickfields, Kuala Lumpur. Majlis berkenaan merupakan anjuran bersama antara Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).



Menurut saksi mata, kehadiran dalam majlis semalam juga amat memberansangkan. Dewan utama di Kompleks MAB memang penuh dengan hadirin yang ingin sama-sama beroleh sedikit sebanyak ilmu daripada ceramah yang disampaikan dan juga barakah daripada menghadiri majlis ilmu.



Oleh kerana pagi semalam merupakan hari bekerja bagi saya serta semua rakan sejawat yang berkaitan, maka saya telah tiba agak lewat sedikit ke lokasi majlis. Walau bagaimanapun, oleh kerana sewaktu tiba ceramah masih rancak berjalan, maka saya berkesempatan untuk mendengar ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Ibrahim. Bagi saya, ceramahnya bagus, menarik dan tidak membosankan. Adakalanya sekalian yang hadir diajak sama bernasyid yang merupakan antara selingan dalam ceramah Ustaz Muhammad Ibrahim.



Saya juga turut difahamkan, sebelum acara ceramah, majlis telah diserikan dengan persembahan marhaban daripada kumpulan marhaban PERTIS. Di sini, saya tidak lupa mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada En. Ali Yahya yang sudi menjadi tenaga pengajar kepada kumpulan marhaban di bawah naungan PERTIS.



Setelah selesai ceramah, barulah acara perasmian dilangsungkan. Tetamu kehormat dalam majlis kali ini ialah Yang Berbahagia Datuk Zamani Sulaiman, Setiausaha Dewan Negara, merangkap penasihat PERTIS. Manakala juruacara majlis pula ialah Cik Siti Huraizah Ruslan.



Sebagai mendahului sesi acara perasmian, saya selaku Yang Di-Pertua PERTIS telah diminta untuk berucap. Saya sekadar menyampaikan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan padu khususnya bagi menjayakan majlis sambutan Maulidul Rasul anjuran PERTIS peringkat pusat dengan kerjasama daripada JAWI. Dalam ucapan saya juga, tidak lupa saya menyelitkan peringatan kepada semua yang hadir supaya menggunakan hanya Alquran Braille yang sahih. Jangan menggunakan Alquran Braille yang ada kesalahan, apatah lagi kalau jumlah kesalahan yang ada sekitar 17 kesalahan.



Selesai ucapan aluan daripada saya, tiba pula giliran Ustazah Azizah Che Hassan yang juga merupakan Ketua Penolong Pengarah (KPP) Jawi untuk menyampaikan ucapannya. Dalam ucapannya, beliau juga turut mengucapkan terima kasih kepada PERTIS kerana sudi untuk bekerjasama dengan JAWI dalam menganjurkan majlis seperti ini. Beliau juga ada mengambil beberapa contoh mengenai ketinggian dan kemuliaan akhlak Rasulullah untuk dijadikan contoh pula oleh umat baginda.



Setelah itu, tampil pula Yang Berbahagia Datuk Zamani bagi menyampaikan ucapannya dan seterusnya merasmikan majlis Maulidul Rasul anjuran PERTIS Pusat dengan kerjasama JAWI. Beliau sekali lagi mengucapkan terima kasih terutamanya kepada JAWI kerana sudi bekerjasama dengan PERTIS.



Selaku Yang Di-Pertua PERTIS, sekali lagi saya ingin menyampaikan ucapan setinggi-tinggi terima kasih khususnya kepada pihak JAWI kerana tidak jemu-jemu untuk terus bekerjasama dengan PERTIS. Saya amat berharap agar kerjasama seumpama ini bukan sahaja akan berterusan, bahkan akan bertambah erat dan berkat lagi hendaknya.

Saya suka mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada barisan urusetia penganjur yang telah bekerja keras bagi memastikan agar majlis semalam berjalan dengan lancar. Tanpa kerjasama baik daripada kalian, tentunya pelbagai kecacatan dalam majlis bakal berlaku.



Saya juga tidak lupa mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua hadirin yang telah sudi melapangkan masa untuk menghadiri majlis anjuran PERTIS dengan kerjasama JAWI. Tanpa kehadiran dan sokongan daripada anda semua, tentulah majlis semalam tidak nampak serinya. Sokongan dan dokongan padu daripada anda semua akan meningkatkan semangat kami selaku barisan kepimpinan PERTIS untuk menganjurkan lebih banyak lagi majlis ilmu bagi manfaat kita bersama, insha-Allah.

Selain itu, di akhir majlis, saya dimaklumkan mengenai satu perkara yang tidak seharusnya berlaku dalam majlis semalam. Saya bersyukur kerana tiada mana-mana individu yang tertempias dengan kelemahan penganjuran yang tidak disengajakan itu yang “mengamuk” hingga boleh mencemarkan majlis. Selaku YDP PERTIS, saya memohon maaf yang sebanyak-banyaknya. Insha-Allah, dalam penganjuran majlis lain, kami selaku barisan kepimpinan PERTIS akan mencuba sedaya-upaya agar kelemahan semalam tidak akan berulang lagi.

No comments: