Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,
Segala puji ke atas Nabi Muhammad, Rasul junjungan pilihan, selawat dan salam ke atas sekalian ahli keluarga baginda serta para sahabatnya.
Beberapa hari lepas, menerusi salah satu saluran TV, telah muncul satu kenyataan yang berkaitan dengan Alquran Braille. Pastinya, kenyataan sedemikian bukan datang daripada Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS).
Berikutan dengan tersiarnya kenyataan berkenaan, maka beberapa pihak telah menghubungi saya sama ada menerusi SMS, telefon dan juga tidak ketinggalan menerusi skype. Ada yang seakan mendesak agar saya berbuat sesuatu untuk membetulkan fakta dan keadaan. Kata mereka, saya harus melakukan sesuatu agar masyarakat umum tidak terus-terusan dikelirukan oleh pihak-pihak yang berkepentingan dan tidak bertanggungjawab.
Sudah berulang kali saya nyatakan, saya amat malu (setidak-tidaknya kepada Allah) untuk bertelagah dan berkelahi semata-mata kerana Alquran (walaupun ia Cuma Alquran Braille). Ada pihak ketiga pernah mencuba untuk mengusahakan penyelesaian dengan mempertemukan antara saya dengan pihak yang berkenaan tetapi oleh kerana pihak yang satu lagi itu sememangnya tidak mahu menyelesaikan masalah, maka itulah perkara ini tidak dapat diselesaikan sehingga kini.
Walau bagaimanapun, untuk kepentingan masyarakat umum, golongan cacat penglihatan, para dermawan dan juga supaya saya tidak dipertanggungjawabkan lagi selepas ini mengenai Alquran Braille yang berkaitan khususnya di akhiran nanti, maka di bawah ini saya perturunkan beberapa perkara seperti berikut:
1. Berdasarkan bukti yang saya ada, saya penuh yakin bahawasanya soft copy Alquran Braille yang ada dalam simpanan pihak yang satu lagi adalah soft copy yang telah dicuri daripada simpanan Persatuan Orang-orang cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS);
2. Berdasarkan bukti kukuh yang ada dalam simpanan saya juga, Alquran Braille yang dicetak menerusi soft copy curian tersebut, terdapat sekurang-kurangnya 17 kesalahan yang merangkumi beberapa aspek;
3. Soft copy Alquran Braille yang ada dalam simpanan PERTIS merupakan hasil usaha Tuan Haji Muhammad Lee dan beliau telah mengamanahkannya hanya kepada PERTIS sahaja;
4. Hanya Alquran Braille yang dicetak oleh PERTIS sahaja, setakat ini, yang telah menjalani proses penyemakan yang cukup rapi dan secara berterusan daripada para penyemak yang berwibawa;
5. Hanya Alquran Braille cetakan PERTIS sahaja yang telah mendapat pengesahan dan kelulusan daripada Bahagian Teks Dan Kawalan Alquran, Kementerian Dalam Negeri Malaysia.
Saya tidak lagi berminat untuk mengulas perkara ini dengan lebih panjang lebar selepas ini. Alquran adalah milik mutlak Allah. Oleh itu, bagi saya, biarlah Allah sahaja yang menimpakan balasan terhadap golongan yang telah menipu dengan menggunakan Alquran. Ini termasuklah kepada tukang-tukang subahat dan mereka yang hanya tahu mencari rezeki hasil daripada penipuan yang dibuat dengan menggunakan Alquran curian berkenaan.
Dengan ini, saya tidak sekali-kali bertanggungjawab dengan Alquran Braille curian itu serta dengan segala kesalahan yang terkandung di dalamnya.
Sekian, terima kasih.
(Zakaria Yahya)
Salam dari Kuantan.
lafaz takbir raya dan maknanya
4 months ago
No comments:
Post a Comment