Saturday, February 11, 2012

Menghadiri Forum Anjuran PKB

Semalam (10 Februari), saya telah berkesempatan menghadiri satu forum anjuran PKB. PKB adalah singkatan kepada Persatuan Kebajikan OKU Penglihatan Bekerja Sendiri. PKB adalah sebuah pertubuhan yang sah dan pendaftarannya telah pun mendapat kelulusan daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 29 Ogos 2008. Walaupun ahli-ahli PKB terdiri daripada mereka yang bekerja sendiri dan rata-rata mereka bukanlah merupakan golongan yang berpendidikan tinggi (tidak berniat untuk merendahkan mereka), tetapi mereka masih tahu dan sedar untuk menyalurkan suara dan pandangan mereka menerusi sebuah pertubuhan yang sah di sisi undang-undang.



Tujuan penubuhan PKB sama sekali bukan untuk membuncitkan perut dan poket mana-mana individu. PKB juga tidak sekali-kali bertujuan untuk mengutip derma bagi pihak mana-mana syarikat lain. Saya juga penuh yakin, PKB ditubuhkan bukan bertujuan untuk mencuri soft copy kepunyaan orang lain untuk kepentingannya sendiri. PKB merupakan satu pertubuhan khusus untuk membela segolongan cacat penglihatan yang mana selama ini suara dan nasib mereka tidak mendapat perhatian yang sewajarnya daripada mana-mana NGO lain. Bagi saya, langkah segolongan cacat penglihatan yang berkenaan yang telah menubuhkan PKB dan ingin menyuarakan pandangan mereka menerusi pertubuhan tersebut adalah tepat kerana mereka sahajalah yang lebih sesuai untuk mengenengahkan dan selanjutnya membela nasib sendiri.

Forum berkenaan telah dilangsungkan di dewan Datuk Dr. Ismail Salleh, Kompleks MAB, Brickfields, Kuala Lumpur. Menurut saksi mata, jumlah kehadiran adalah sekitar 250 hingga 300 orang. Kebanyakan yang hadir adalah mereka yang tergolong sebagai kumpulan yang bekerja sendiri dalam kalangan mereka yang cacat penglihatan. Selain itu, terdapat juga sejumlah kecil mereka yang sering menjadi pembantu kepada kumpulan cacat penglihatan yang bekerja sendiri juga turut hadir dalam forum berkenaan.

Forum ini juga turut menarik minat beberapa pemimpin kalangan pertubuhan bukan kerajaan dalam kalangan golongan cacat penglihatan. Walaupun kehadiran golongan seperti ini bukan atas nama pertubuhan yang dipimpin atau tempat di mana mereka sedang bertugas kerana tiada jemputan rasmi daripada pihak penganjur, tetapi kehadiran kumpulan seperti ini sekurang-kurangnya merupakan sokongan moral kepada apa yang sedang disuarakan oleh PKB. Antara yang turut hadir ialah Tuan Haji Nazari Osman (presiden SBM), En. Godfrey Ooi serta En. Mohd Fairuz Abdullah (kedua-duanya sedang bertugas di MAB), dan tidak ketinggalan En. Mohd Yasin Abdul Kadir yang kini sedang bertugas di Kementerian Dalam negeri.



Forum ini telah dibarisi oleh tiga orang penalis, iaitu En. Mohd Faizal Che Yusuf (seorang peguam cacat penglihatan), En. Abdul Kadir Sidik (Salah seorang AJK PKB) serta En. Hisyamudin Rais (seorang aktivis sosial yang tidak asing lagi). Moderator forum pula ialah En. Che Omar bin Ahmad.



Saya sendiri telah tiba di lokasi forum sekitar jam 8.45 malam. Ketika itu, pengerusi PKB, YM Raja Zainuddin bin Raja Ghazali, sedang menyampaikan ucapan alu-aluannya. Isi serta mesej yang ingin disampaikan melalui ucapan pengerusi PKB memang ada nasnya. Namun begitu, cara beliau berucap sedikit kurang menarik. Intonasi suaranya tidak selari dengan isi kandungan ucapannya. Kalaulah para peserta forum ada disediakan bantal, sudah lama mereka terlelap dengan tidak sengaja. Sepatutnya beliau harus faham, beliau sedang menyampaikan ucapan aluan dalam satu forum yang bermatlamatkan untuk membela golongan cacat penglihatan yang senasib dengan beliau yang sedang ditindas mengikut kaca mata PKB. Bagaimana semangat untuk membela nasib ahli-ahli PKB dapat dikobarkan jika ucapan pengerusinya sendiri bernada lembik dan tidak bermaya!



Forum kemudiannya diteruskan lagi dengan penalis pertama, En. Mohd Faizal, mengambil giliran untuk bercakap. Beliau nampaknya melihat isu yang sedang berbangkit mengikut kaca mata undang-undang yang sedia ada. Mengikut En. Faizal, dalam Akta Orang Papa 1977, sekiranya seseorang itu menjalankan suatu kegiatan yang boleh menimbulkan simpati orang ramai, maka ia juga boleh dianggap menjalankan kegiatan pengemis. Katanya lagi, perkara inilah yang sering menimbulkan masalah kepada golongan yang cacat penglihatan. Kebiasaannya apa sahaja yang dilakukan oleh golongan cacat penglihatan, seperti menjaja kerepek atau sebagainya, sedikit sebanyak ia pasti boleh menimbulkan rasa simpati orang ramai kepada mereka. Justeru, katanya lagi, peruntukan yang demikianlah yang perlu dipinda supaya ia lebih jelas.

Menjawab satu soalan daripada salah seorang peserta, En. Faizal memberitahu, jika mana-mana pihak seperti media yang mengeluarkan suatu kenyataan yang boleh menggugat reputasi mana-mana individu atau golongan, maka pihak yang merasa tergugat dengan perbuatan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab itu boleh mengambil tindakan saman. Selanjutnya En. Mohd Faizal telah mengkategorikan golongan yang bekerja sendiri ini sebagai penjaja bebas. En. Faizal juga memaklumkan, kerajaan telah menetapkan 1% tempat dalam sektor awam kepada golongan OKU. Malangnya, kata En. Faizal, pada hari ini setelah lebih dua dekad polisi sedemikian dilaksanakan, bilangan kakitangan kerajaan hari ini di sekitar 1.4 juta orang, tetapi bilangan kakitangan OKU hanya berada di sekitar 0.1% sahaja daripada jumlah keseluruhan kakitangan awam.



Forum diteruskan lagi dengan penalis kedua, En. Abdul Kadir Sidik, mengambil giliran bercakap. Beliau mengenengahkan bahawa dalam kalangan mereka yang bekerja sendiri, terdapat pelbagai latar belakang khususnya dalam bidang pendidikan. Ada antara mereka yang langsung tidak pernah mendapat pendidikan. Ada antara mereka yang hanya mendapat pendidikan setakat pendidikan rendah sahaja. Ada segelintir kalangan mereka yang bekerja sendiri pula yang hanya mendapat pendidikan setakat pendidikan menengah, itupun tak habis atau sijil setakat lulus sahaja. Katanya lagi, dengan latar pendidikan yang ada, sudah tentulah ruang dan peluang mereka untuk mendapat perkejaan tetap di mana-mana sektor amat terbatas. Apatah lagi, jika bersaing dengan calon pencari kerja yang berpenglihatan sudah tentulah golongan yang cacat penglihatan ini akan diketepikan secara mentah-mentah. Kata En Abdul Kadir lagi Secara berseloroh, “Peluang kerja untuk orang seperti kami semakin terbatas kerana kami tidak dapat meragut, tidak dapat pecah rumah dan tidak dapat merompak bank.” Selanjutnya En. Abdul Kadir berkata lagi, golongan seperti beliau ada anak isteri yang perlu dibesarkan dan perlu ditanggung, mereka juga perlu makan dan minum untuk hidup, mereka tetap perlu bayar itu dan bayar ini sama seperti orang lain. Dengan itu, Kata En. Kadir, mereka terpaksa berusaha dengan apa cara yang ada untuk menanggung kehidupan sendiri. Kalau pun setakat menjual tisu, ia masih halal di sisi agama. Kata En. Kadir, mentang-mentanglah mereka tidak dapat lari bila dikejar oleh pihak berkuasa, maka itulah golongan cacat penglihatan ini sering menjadi mangsa penangkapan oleh pihak-pihak berkenaan bila mereka menjalankan operasi yang kononnya untuk membanteras golongan pengemis.

Mengenai barang yang sering dibawa pula, En. Kadir menjelaskan, walaupun ia sekadar merupakan tisu, ia tetap barang yang halal untuk dijaja. Tisu yang digunakan bukannya tisu curi, bukannya tisu cetak rompak, bukannya tisu yang dikutip dari longkang atau dari tong-tong sampah. Tisu yang digunakan dibeli dari kedai, dari pusat-pusat membeli-belah atau dari tempat-tempat lain. Bila disebut dibeli, ia sudah tentulah memerlukan modal. En. Kadir seterusnya menyoal, adakah kami ini boleh dianggap pengemis jika barang yang kami jaja walaupun hanya tisu sedangkan untuk memperoleh tisu tersebut kami juga memerlukan modal?

Setelah selesai En. Kadir bercakap, maka tibalah pula giliran En. Hisyamuddin Rais mengambil tempat. Beliau turut mendapat tepukan gemuruh daripada para hadirin. Ini menunjukkan Hisyamuddin Rais sememangnya sudah cukup dikenali dalam kalangan golongan cacat penglihatan. Maka itulah kehadiran beliau cukup dinanti-nantikan. Sebagai memulakan bicaranya, En. Hisyamuddin Rais meluahkan rasa kecewanya kerana forum ini tidak dihadiri oleh golongan yang berpenglihatan yang beliau sebut sebagai golongan penuh keupayaan. Katanya lagi, golongan yang berpenglihatan sepatutnya mengambil peluang ini untuk hadir dan mendengar sendiri apa yang diluahkan oleh golongan cacat penglihatan terutamanya golongan yang sedang menganggap diri mereka sedang ditindas oleh pihak berkuasa terutamanya melalui kempen henti memberi, kami prihatin.



En. Hisyamuddin mengambil contoh mengenai apa yang ada di negara maju seperti di kota London, iaitu bagi rumah-rumah pangsa, sememangnya aras bawah diperuntukkan hanya kepada golongan OKU. Katanya, golongan penghuni OKU tidak ditempatkan di tingkat yang lebih tinggi. Ia menunjukkan betapa prihatinya pihak yang berkuasa di negara berkenaan terhadap golongan OKU. Katanya lagi, persepsi dan sikap masyarakat di negara-negara maju terhadap golongan OKU sememangnya positif. Mereka tidak menganggap golongan OKU sebagai kumpulan ahli masyarakat yang membebankan. Sebaliknya mereka akan memberikan bantuan kepada golongan OKU semaksimumnya.

En. Hisyamuddin turut mengambil contoh bahan yang digunakan untuk membina sebuah jambatan yang tidak jauh dari kompleks MAB. Bahannya daripada marmar. Memang ia kelihatan cantik dan menarik. Walau bagaimanapun, katanya, bahan tersebut tidak sesuai untuk sebuah jambatan kerana ia akan menjadi licin terutamanya ketika hujan. Ini membuatkan pengguna akan mudah terjatuh jika tidak berhati-hati. Ini menjelaskan betapa tidak pekanya pihak yang berkuasa kepada para pengguna. Bagi golongan OKU terutamanya OKU penglihatan, sudah tentulah keadaan sedemikian hanya menambah bahaya kepada mereka.



Oleh kerana keesokannya merupakan hari bekerja bagi saya, maka pada jam 10.40 malam, saya sekeluarga terpaksa meninggalkan majlis. Pada ketika itu, sesi soal jawab masih rancak berjalan.

Ulasan Dan Pandangan

Pada pandangan saya, forum berkenaan telah berjaya dari aspek penganjurannya. Maka itulah ia telah mendapat sambutan yang begitu hangat. Dewan memang penuh sesak.

Para ahli penal telah berjaya bercakap mengenai masalah yang sedang dihadapi oleh golongan bekerja sendiri dalam kalangan golongan cacat penglihatan dengan baik mengikut bidang masing-masing. Isi dan mesej apa yang mereka perkatakan seharusnya didengari oleh mereka yang berkuasa dan juga mereka yang berpenglihatan supaya mereka lebih mengerti perit jerih kehidupan yang harus dilalui oleh golongan sedemikian.

Kesudian En. Hisyamuddin Rais untuk menghadiri majlis semalam patut dipuji. Beliau pun tahu majlis semalam bukan dianjurkan oleh mereka yang ternama dan bukan juga dianjurkan dilokasi yang berprestij. Bahkan majlis semalam tidak pun melalui protokol yang bukan-bukan yang sekadar untuk merumitkan orang ramai semata-mata.

Kepada semua pihak, terutamanya pihak yang berkuasa dan juga pihak media, jika ingin mengetahui lebih lanjut mengenai golongan yang bekerja sendiri dalam kalangan yang cacat penglihatan, sebaik-baiknya bertanyalah sendiri dengan mereka melalui persatuan mereka, iaitu PKB. Sebagaimana yang telah saya maklumkan di awal tulisan ini, PKB merupakan sebuah persatuan yang sah di sisi undang-undang. Hal ini saya utarakan kerana bukan semua orang cacat penglihatan yang benar-benar mengetahui dan menjiwai nasib golongan sedemikian, terutamanya orang buta yang terperasan merasakan diri mereka sudah hebat, yang kononnya merasakan dirinya sahaja yang layak untuk bersuara mewakili golongan OKU terutamanya yang cacat penglihatan.

Kepada pihak penganjur pula, saya mencadangkan agar forum sedemikian patut diadakan lagi dan kali ini tumpukan penganjuran untuk mereka yang berpenglihatan, ahli-ahli politik tanpa mengira parti, pegawai-pegawai tinggi kerajaan terutamanya daripada JKM, pihak polis, wakil-wakil pihak berkuasa tempatan (PBT), pihak media, dan sebagainya. Masalah yang sedang anda hadapi ini mungkin ada dibincangkan dalam mesyuarat-mesyuarat lain, tetapi yang bercakap bagi pihak anda bukan anda sendiri. Sebaliknya ia mungkin disuarakan oleh mereka yang langsung tidak terlibat sebagai golongan yang bekerja sendiri dalam kalangan cacat penglihatan. Jadi, mungkin apa yang dibincangkan ialah bagaimana untuk membanteras dan bukannya bagaimana untuk membuat penambahbaikan demi satu penyelesaian yang lebih adil. Hal sedemikian boleh terjadi kerana pihak yang membuat dasar dan keputusan bagi pihak anda adalah terdiri daripada mereka yang tidak langsung menjiwai apa yang sedang anda semua lalui.

Saya sendiri pernah bertemu dengan seorang cacat penglihatan yang berkelulusan daripada sebuah universiti sedang menjual tisu di satu lokasi sibuk di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur. Maknanya, keperitan hidup bukan sahaja dirasai oleh golongan cacat penglihatan yang sekadar berpendidikan rendah atau menengah sahaja, ia turut menghimpit mereka yang sudah lulus daripada universiti. Bilamana seorang yang berkelulusan universiti terpaksa menjadi penjaja bebas, ia menunjukkan dasar 1% tempat dalam sektor kerajaan untuk golongan OKU tak ubah bagai gula-gula beracun semata-mata.

Saya rasa, ramai ahli masyarakat yang salah faham dengan peranan badan-badan bukan kerajaan khususnya dalam kalangan golongan OKU. Badan-badan sedemikian sama sekali tidak bertanggungjawab untuk membayar kos hidup para individu yang OKU. Badan-badan bukan kerajaan sedemikian juga tidak bertanggungjawab untuk menyediakan tempat tinggal kepada individu OKU khususnya yang sudah berkeluarga. Semuanya itu harus ditanggung oleh individu OKU berkenaan. Oleh itu, mereka terpaksa melakukan apa sahaja asalkan halal demi untuk menyara diri sendiri dan ahli keluarga masing-masing. Hal ini saya kemukakan kerana saya sendiri pernah ditanya oleh orang biasa, katanya: ”Awak tinggal di asrama di Brickfields ke?” Saya katakan: ”Tidak.” beliau terkejut dengan jawapan saya.

No comments: