Setiap tahun, sudah menjadi budaya di negara kita untuk menyambut hari keputeraan baginda Rasulullah S.A.W. dengan pelbagai acara. Tidak cukup dengan itu, sambutan hari keputeraan baginda Rasulullah juga merupakan hari cuti umum di seluruh negara. Setiap kali sambutan pula, akan dihebahkan pula satu tema. Tema sambutan ini pula akan berubah pada setiap kali sambutan. Sejak beberapa tahun ini, Anugerah Maulidul Rasul pula telah diperkenalkan bersempena dengan sambutan keputeraan Rasulullah S.A.W. Demikianlah masyarakat di negara kita telah membudayakan sambutan hari keputeraan insan yang menjadi junjungan kita semua.
Dalam kesempatan ini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada sesiapa yang bakal terpilih untuk menerima pelbagai anugerah bersempena dengan maulidul Rasul tahun ini. Seeloknya, jadikanlah anugerah yang diterima itu sebagai pendorong untuk menjadi manusia yang lebih taat dengan apa yang telah disampaikan oleh baginda Rasulullah. Apatah lagi anugerah itu dianugerahkan bersempena dengan sambutan maulidul Rasul S.A.W.
Dalam sejarah, ada disuratkan beberapa peristiwa menarik yang berlaku sewaktu Rasulullah diputerakan. Oleh kerana yang lahir itu merupakan seorang bayi lelaki, maka kelahirannya telah menjadi kebanggaan kepada seluruh kerabat Bani Hasyim. Ia telah mengalpakan mereka sebentar bahawa yang lahir itu merupakan seorang anak yang sudah menjadi yatim gara-gara bapanya telah meninggal dunia sebelum sempat putera itu lahir.
Kerana terlalu gembira, salah seorang bapa saudara Rasulullah iaitu Abu Lahab sampai menghunus pedangnya sambil memberi amaran kepada sesiapa yang cuba mengganggu bayi yang baru lahir tersebut akan menerima akibat yang buruk. Di samping itu, oleh kerana terlalu suka juga, Abu Lahab telah membebaskan salah seorang hambanya. Oleh kerana pada masa itu hamba merupakan barangan mewah dan sebagai tanda ketinggian martabat seseorang tuan, maka pembebasan seorang hamba oleh Abu Lahab menunjukkan betapa suka dan gembiranya beliau dengan kelahiran Rasulullah S.A.W. Bagi Abu Lahab, bayi lelaki yang baru lahir ini diharap akan muncul sebagai tokoh yang bakal mengharumkan nama Bani Hasyim di hari kemudiannya. Harapan Abu Lahab itu ternyata menjadi kenyataan kemudiannya tetapi dalam konteks yang berlainan dan bukan dalam acuan sebagaimana yang dikehendaki oleh Abu Lahab.
Sebagai tanda kegembiraan dan kesyukuran, Abdul Muttalib telah menamakan cucunya yang baru lahir itu dengan nama “Muhammad”. Dalam bahasa Arab, “Muhammad” bermaksud “yang sangat terpuji”. Kalimah berkenaan tidak pernah digunakan sebagai nama kepada mana-mana orang dalam masyarakat jahiliyah sebelum kelahiran baginda Rasulullah. Bila ditanya oleh pemuka Quraisy kepada Abdul Muttalib mengapa beliau memilih nama itu untuk dinamakan kepada cucu barunya? Abdul Muttalib menjawab, supaya dia (Muhammad) akan sentiasa menjadi pujian sama ada di bumi mahupun di langit.
Di luar kota Makkah pula, kelahiran baginda turut meninggalkan tanda di Parsi dan juga di Rom. Di Parsi, tiang-tiang yang selama ini menjadi kemegahan puak Majusi tiba-tiba telah tumbang serentak dengan kelahiran baginda. Manakala di rom pula, istana maharajanya telah retak di satu bahagian juga serentak dengan kelahiran baginda. Ia memberi petanda bahawa kedua-dua kuasa besar ketika itu akhirnya nanti akan tumbang di tangan tamadun baru yang akan lahir tidak lama lagi. Ternyata sejarah telah membenarkan apa yang tersirat kemudiannya.
Apabila Rasulullah meningkat dewasa, ternyata baginda sememangnya menjadi kebanggaan Bani Hasyim. Seluruh keluarga Bani Hasyim berbangga dengan Nabi Muhammad bukan kerana hartanya, atau kerana pangkatnya, tetapi kerana ketinggian budi dan akhlak yang ada kepada baginda. Bukan setakat Bani Hasyim, bahkan seluruh penduduk Makkah menggelar baginda dengan “Al-Amin” yang bermaksud orang yang amanah atau dipercayai. Tiada seorang pun khususnya di Makkah yang membantah gelaran tersebut dikaitkan dengan Nabi Muhammad. Seperkara lagi, gelaran sedemikian bukan dipinta sendiri oleh Nabi Muhammad, sebaliknya ia merupakan gelaran spontan yang datang secara ikhlas daripada hati sanubari penduduk Makkah yang diberikan kepada insan mulia yang tidak pernah ditemui sebelumnya.
Walaupun penduduk Makkah amat mengetahui bahawa Nabi Muhammad merupakan anak yatim piatu, tiada harta, tiada pangkat dan darjat, hidup pun menumpang kasih dengan bapa saudaranya, Abu Talib, tiada adik-beradik, tetapi mereka tetap memuliakan baginda. Bahkan kesemua kekurangan yang ada tidak pernah dianggap sebagai suatu kekurangan pula. Berbeza dengan orang selain Nabi Muhammad, kekurangan sedemikian akan dianggap sebagai kekurangan yang membuatkannya dilihat tiada martabat dan tidak berdarjat.
Jika diteliti sirah, perubahan terbesar dalam hidup baginda Rasulullah berlaku selepas baginda dilantik oleh Allah sebagai rasul akhir zaman. Selaku utusan Allah, Nabi Muhammad telah menyampaikan kepada manusia apa sahaja yang telah diwahyukan kepada baginda tanpa menyembunyikannya walau satu huruf sekali pun. Maka lahirlah Islam sebagai satu-satunya agama yang diredhai Allah sampai bila-bila.
Sesungguhnya, wahyu pertama bukan setakat garis pemisah antara zaman jahiliyah dengan tamadun Islam, tetapi ia juga merupakan garis penamat kasih sayang sesetengah manusia kepada Rasulullah. Abu Lahab, sebagai contoh, antara orang yang begitu gembira dengan kelahiran Nabi Muhammad suatu ketika dahulu yang telah menghunuskan pedangnya sebagai tanda orang pertama yang akan membela baginda sekiranya berlaku apa-apa yang tidak diingini, kini setelah anak saudaranya itu dilantik sebagai Rasul akhir zaman, sekali lagi telah menghunuskan pedangnya dengan menyasarkan batang tubuh Nabi pula sebagai sasaran mata pedangnya. Ia adalah gara-gara Abu Lahab tidak mengasihi Nabi Muhammad dengan sepenuh jiwa dan raga. Abu Lahab kemudiannya muncul antara orang Makkah yang paling kuat memusuhi Nabi Muhammad. Kerana kuatnya permusuhan ke atas Rasulullah yang telah ditunjukkan oleh Abu Lahab, maka Allah telah menurunkan satu surah yang mencerca Abu Lahab (rujuk surah Almasad, surah ke-111 dalam Alquran).
Banyak pengajaran yang boleh kita sama-sama teladani daripada kisah yang menimpa Abu Lahab. Walaupun kisahnya Cuma secebis, tetapi pengajarannya seluas fikiran. Kalau pun kita begitu beriya menyambut hari kelahiran Nabi Muhammad, tetapi kita masih memusuhi baginda sama ada melalui hati sanubari, perbuatan, perkataan atau sebagainya, maka tidak akan bermakna hidup kita sama ada di dunia apatah lagi di akhirat nanti. Lebih malang lagi jika nasib yang bakal menimpa golongan berkenaan persis sama dengan apa yang telah ditimpakan oleh Allah ke atas Abu Lahab.
Bersempena dengan hari keputeraan junjungan mulia, Nabi Muhammad, marilah kita sama-sama bermuhasabah dengan diri sendiri, sejauh manakah kita telah melanggar pesanan baginda sama ada dalam aspek politik, sistem kenegaraan, ekonomi, sosial, kerohanian dan sebagainya. Kita seharusnya menunjukkan kasih sayang kita kepada Rasulullah bukan setakat setahun sekali atau bukan semasa baginda dilahirkan semata-mata sebagaimana Abu Lahab, tetapi sebagai tanda kasih kita kepada baginda, marilah kita sama-sama mengikuti apa-apa sahaja suruhan baginda dan seterusnya meninggalkan apa-apa sahaja yang baginda tegah.
Salam dari Kuantan.
lafaz takbir raya dan maknanya
5 months ago
No comments:
Post a Comment