Semalam saya telah ke Langkawi untuk menghadiri satu mesyuarat anjuran Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia. Alhamdulillah segalanya telah berjalan dengan baik dan selamat. Sekitar jam 6.30 petang, saya telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi. Kalau tak silap, ini merupakan kunjungan kali ke-6 saya ke pulau lagenda ini. Kesemuanya atas tugas rasmi.
Untuk ke Langkawi kali ini, saya telah menggunakan perkhidmatan Air Asia. Kebetulan pula, saya berseorangan sahaja tanpa isteri dan Luqman. Maklumlah menghadiri tugas rasmi dan tidak melibatkan mereka berdua pula.
Kali ini, saya dijadualkan menaiki pesawat AK5336 jam 5.25 petang. Sekitar jam 3.45 saya tiba di LCCT. Biasalah kalau seorang, jadi saya harus menggunakan kemahiran OM yang ada agar pergerakan saya tidak terganggu. Bila saya turun sahaja dari bas, seorang lelaki terus menghulurkan bantuan dan membawa saya ke kaunter Air Asia yang tidak jauh dari tempat bas berhenti tadi. Di kaunter saya langsung tidak menghadapi masalah. Kakitangan yang bertugas segera menghulurkan bantuan. Setelah melihat boding pass yang telah sedia saya print out dari rumah lagi, kakitangan berkenaan terus meminta bantuan dari rakan setugasnya untuk membawa saya masuk ke balai berlepas. Semuanya berjalan dengan sungguh lancar.
Setelah duduk sekitar setengah jam, beberapa orang rakan setugas yang akan turut menghadiri mesyuarat yang sama tiba. Sebenarnya kami tidak pun merancang untuk menaiki pesawat yang sama. Ia berlaku secara kebetulan. Antara rakan yang turut sama tiba ialah Cikgu Noorazlan. Kehadiran beliau semakin memudahkan pergerakan saya. Cikgu Noorazlan memang seorang yang ringan tulang dan mudah untuk menolong. Sejak saya kenali beliau beberapa tahun lalu, begitulah sifat beliau.
Walaupun waktu berlepas sedikit lewat, namun ia tidak mendatangkan sebarang masalah kepada saya. Penerbangan juga lancar sahaja.
Kali ini perkhidmatan yang saya terima dari kakitangan Air Asia sangat memuaskan. Ia berbeza dengan apa yang pernah saya lalui pada 10 Mac tahun lalu ketika ingin menaiki pesawat Air Asia di Kota Bharu. Jadi benarlah apa yang pernah saya simpulkan ketika itu, iaitu pengalaman pahit yang saya alami ketika itu bukan kerana polisi Air Asia, sebaliknya ia berpunca daripada sikap diskriminasi dan prejudis segelintir kecil kakitangannya terhadap orang seperti saya. Keadaan lebih buruk bilamana kakitangan yang pendek akal cuba pula melaksanakan sesuatu perkara secara memandai-mandai.
Di ruang ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada En. Syahril dan En. Boney (kakitangan Air Asia di LCCT). Ucapan terima kasih juga saya tujukan kepada Cik Wani, kakitangan kabin Air Asia yang juga telah melayan saya dengan baik ketika dalam penerbangan. Saya juga tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada rakan setugas yang turut sama membantu saya sehingga saya merasa cukup selesa.
Salam dari Pulau Langkawi.
lafaz takbir raya dan maknanya
4 months ago
No comments:
Post a Comment