Wednesday, May 2, 2012

Corat-coret Perhimpunan Bersih 3.0





Pada 28 April lalu, sebagaimana yang telah dirancang oleh pihak-pihak tertentu, Perhimpunan Bersih 3.0 telah berlangsung dengan hebatnya. Saya sendiri, sejak perhimpunan bersih 1.0 hinggalah yang terakhir semalam, memang tidak menghadirinya. Kebetulan pula, pada hari berkenaan saya telah menghadiri aktiviti Kembara Bahasa anjuran Panitia Bahasa Melayu sekolah saya. Sementara di sebelah petang pula, saya turut mempunyai satu lagi program lain. Justeru, saya terpaksa meninggalkan aktiviti yang sedang rancak berjalan pada sebelah tengah hari. Terima kasih kepada Cikgu Zinaida yang turut memahami.




Hari ini, sama ada menrusi media prokerajaan mahupun melalui media propakatan pembangkang, kisah mengenai perhimpunan Bersih 3.0 masih hangat diperkatakan. Masing-masing mempunyai agenda dan tujuan tertentu bilamana berita dan cerita mengenai perhimpunan Bersih berkenaan masih disemarakkan dalam media masing-masing. Walaupun tajuk utamanya mengenai perhimpunan Bersih, tetapi kedua-dua belah pihak mempunyai perspektif berbeza dalam melihat, menganilisis serta tujuan berita dan cerita berkaitan perhimpunan berkenaan dipaparkan dalam media masing-masing. Demikianlah hebatnya peranan media dalam dunia hari ini.




Justeru, selaku orang biasa, kita harus berupaya menyaring setiap berita, cerita serta maklumat mengenai perhimpunan berkenaan supaya kita dapat melihat kejadian tersebut dari sudut yang lebih adil dan bersih. Pandangan dan ulasan sebilangan orang-orang politik acap kali tidak boleh dipakai kerana pandangan, ulasan dan pendapat mereka sudah terikat dengan kumpulan siasah dokongan masing-masing dan yang lebih teruk lagi apabila segelintir orang-orang politik tertentu seakan cuba memaksa orang lain supaya menerima pandangan dan ulasan mereka.




Bagi sesetengah orang, mungkin merasa sukar untuk mencari kaedah terbaik bagi menyaring setiap berita, cerita atau maklumat tertentu. Di sini, saya suka untuk berkongsi formula mudah bagaimana untuk menyaring berita agar kita dapat menilainya dengan lebih baik dan adil. Bagi saya, individu atau pihak serta media yang paling banyak berbohong ketika bercakap dan sewaktu menyampaikan info merupakan golongan yang tidak boleh dipercayai akan cakapnya. Sebagai contoh, kalau dalam sesuatu majlis jumlah sebenar yang hadir ialah 100 orang, tetapi ada individu dengan sengaja mengatakan jumlah yang hadir hanyalah 10 orang, maka individu berkenaan telah berbohong. Begitu juga, kalau dalam sesuatu majlis jumlah yang hadir adalah seramai 100 orang, tetapi ada individu dengan sengaja mengatakan jumlahnya ialah 1000 orang, maka individu atau media berkenaan juga telah berbohong. Golongan seumpama ini hanya menonjolkan kebodohan mereka dalam matematik. Sebab itulah juga mereka tidak peka kepada berapa jumlah harta negara yang sudah lesap atau dilesapkan, kerana mereka ini memang tidak pandai membilang dan jahil menghitung.




Selain it itu, orang yang gemar melanggar prinsip dan pendirian peribadinya juga amat terdedah dengan kegemaran berbohong. Sebagai contoh, pada zaman dahulukala ada orang yang telah membakar hangus jambatan di belakangnya. Setelah masa berlalu, dia mula merasai pembakaran jambatan tersebut tidak mendatangkan sebarang keuntungan peribadi, lalu dia telah berpatah balik ke seberang haluan. Hari ini, orang yang sama mahu mengajar kita pula bagaimana untuk menilai antara bersih dan kotor. Orang seperti ini juga tidak boleh dipercayai kerana pendiriannya boleh berubah macam lalang kering ditiup angin. Hanya masa sahaja yang akan menentukan bila lalang keringnya it akan dibakar sebagaimana dia pernah membakar jambatan di belakangnya suatu masa dahulu. Demikianlah secebis formula mudah untuk dikongsikan.




Selain itu, ada orang yang mengkategorikan demonstrasi yang berlaku sebagai demonstrasi jalanan. Kebiasaannya bila orang ramai ingin berdemonstrasi, mereka akan keluar ke jalan-jalan raya untuk menunjukkan apa yang terbuku dalam perasaan masing-masing. Kalau mereka sekadar terperap di rumah sahaja, perasaan yang terbuku tidak dapat diluahkan dengan lancar. Silap hari bulan boleh sakit mental dibuatnya. Namanya pun tunjuk perasaan, maka sudah tentulah apa yang terbuku dalam perasaan masing-masing ketika itu harus ditunjukkan di khalayak ramai, baru orang ramai tahu apa sebenarnya yang terbuku.




Yang pelik bin ajaibnya, kalau puak yang tidak sehaluan dengan mereka berdemonstrasi, maka pelbagai istilah dan terminalogi akan dipalitkan kepada golongan yang berdemonstrasi, seperti demonstrasi haram, demonstrasi jalanan, tidak hormati undang-undang dan macam-macam lagi. Tetapi kalau golongan yang berdemonstrasi itu dalam kalangan puak mereka, maka ia akan dibiarkan berlalu begitu sahaja sebagaimana demonstrasi yang pernah berlaku di Kuala Terengganu dan di sekitar Komtar, Pulau Pinang beberapa tahun lalu.




Dalam sejarah orang Melayu, mereka pernah bersatu untuk menentang Malayan Union pada tahun 1946 dahulu. Pada ketika itu, salah satu cara yang digunakan sebagai bentuk penentangan ialah menerusi demonstrasi. Masa itu tidak ada lagi istilah demonstrasi jalanan. Namun demikian, kesannya ialah British akhirnya terpaksa akur dengan kehendak orang Melayu supaya memansuhkan Malayan Union. Dengan itu, walaupun ia sekadar demonstrasi, tetapi kesannya ia dapat mengubah hala tuju Tanah melayu yang cuba dibentuk oleh Britishkepada cita rasa penduduk Tanah melayu sendiri. Apa yang berlaku ketika itu ialah kerajaan British tidak mempekakkan telinga mereka dengan apa yang menjadi tuntutan orang melayu, Sebaliknya mereka telah mendengarnya dengan teliti dan akhirnya telah memenuhi kehendak orang melayu supaya Malayan Union dimansuhkan. Demikianlah hebatnya pengaruh demonstrasi. Di sini, saya sama sekali tidak bermaksud meminta semua orang berdemonstrasi dalam mencapai hasrat dan cita-cita masing-masing. Tetapi apa yang pernah dilakar dalam sejarah oleh orang Melayu begitulah.




Mengenai pelbagai kerugian pula, ini satu lagi perkara yang masih subjektif. Saya ada membaca maklumat berkenaan semasa Bersih 2.0 tahun lalu. Khabarnya di hari demonstrasi berlangsung, ramai juga peniaga yang kehabisan stok pelbagai barangan, terutamanya air mineral dan juga makanan ringan seperti roti. Konon ceritanya ada juga peniaga yang merasa kesal apabila pihak tertentu mengarahkan supaya jalan-jalan tertentu ditutup. Penutupan sedemikian bukan mencegah demonstrasi, sebaliknya telah menghalang pelanggan tertentu untuk datang ke kedai peniaga berkenaan. Demikian info yang saya perolehi.




Satu lagi yang ingin saya sentuh ialah peranan media tertentu yang sehingga ke hari ini masih memainkan isu Bersih 3.0 siang dan malam. Apakah perang saraf seumpama ini masih berkesan lagi? Setakat yang saya maklum, kalau di bandar-bandar atau di kawasan yang ada liputan jaringan internet, perang saraf seperti ini rasanya tidak lagi mendatangkan kesan apa-apa pun. Orang ramai mempunyai pelbagai pilihan media lain untuk meneliti pelbagai berita, cerita serta maklumat mengenai Perhimpunan Bersih 3.0 dalam pelbagai bentuk pula.






Dalam hal ini, saya masih ingat suatu ketika dahulu di mana media yang hampir sama telah memainkan kalimat “Tok Ime Barua” (tok imam barua) yang pernah diucapkan oleh Tuan Guru Datuk Nik Aziz. Bahkan kalimat “barua” yang diucapkan Cuma sekali oleh Tuan Guru Nik Aziz tetapi ia diulang sampai tiga kali oleh media berkaitan. Walau bagaimanapun, ia langsung tidak memberi kesan dan bekas kepada sokongan, dokongan serta persepsi orang ramai terhadap Tuan guru Nik Aziz. Beliau tetap dipandang hormat oleh sebahagian besar masyarakat. Ini kerana mereka amat memahami maksud serta konteks ucapan beliau ketika itu.




Jadi, pada pengamatan saya, bila media yang berkaitan cuba memainkan isu perhimpunan Bersih 3.0 dengan pelbagai komentar, ulasan, pandangan dan seumpamanya, ia tidak memberi bekas bahkan ia semakin memualkan bagi sesetengah orang. Perang saraf seperti ini sudah tidak laku lagi. Jadi harapnya dapatlah tukar sedikit kaedah supaya keberkesanannya lebih terjamin.




Sayugia diingat, saya bukanlah menyokong Perhimpunan Bersih. Sebab itulah setelah tiga kali perhimpunan berkenaan dianjurkan, saya tidak pernah menghadirinya walaupun sekali. Bagi saya, pihak kerajaan tidak boleh memandang sepi begitu sahaja terhadap apa yang disuarakan menerusi Perhimpunan Bersih baru-baru ini. Selaku rakyat tanah air tercinta ini, saya juga sama sekali tidak mahu melihat tanah pusaka tinggalan nenek moyang kita tergadai ke tangan orang lain gara-gara ada segelintir dalam kalangan kita yang sekadar ingin mengekalkan kuasa yang ada.







Saya juga ingin menyuarakan apa yang selama ini saya rasa.


1 comment:

Unknown said...

Assalamu'alaikum, Saudara Blogger dan rakan-rakan pengunjung sekalian.

Alhamdulillah dan terima kasih di atas artikel yang kelihatan simple, tetapi mengandungi makna tersirat. Sekadar berkongsi, sememangnya segala yang saudara katakan mengenai peristiwa hari itu memang benar, hatta agen keselamatan pun, kedapatan sebahagian mereka, hilang pertimbangan dan keadilan ketika bertugas. Umpamanya, ketika saya dan beberapa orang rakan kita yang lan sedang mengikuti lintas langsung perhimpunan itu menerusi www.radiobangsarutama.com/, ketka jam 3 petang, kedapatan juruulas siaran tersebut mengulas penuh kecemasan dan terpaksa menyelamatkan diri bila polis mula mengganas. Begitu juga, kedapatan wartawan untuk siaran tersebut yang telah terkena tembakan gas pemedih mata. Justeru, cukup rasanya ia jadi bukti akan kerendahan martabat dan darjat "professionalism" PDRM kita kini.

Namun begitu, saya juga secara peribadi tidak menyalahkan mereka sepenuhnya, kerana masih kedapatan di antara mereka yang jujur dan ikhlas ketika suasana genting sebegitu. Oleh itu, pada hemat saya, sewajibnya kepimpinan yang ada kini akur akan kehendak massa, bukan gah ikut telunjuk nafsu sendiri. Malah, elok benar rasanya ketika keadaan sebegini, Tuanku SPB Yang Di-Pertuan Agong bertindak menjadi peneutral keadaan, sama ada melantik pentadbiran sementara atau apa sahaja yang difikirkan sesuai, dengan kuasa yang diperuntukkan untuk Baginda dalam Perlembagaan atau menerusi perundingan dengan Majlis Raja-raja. Akhir kata, bersamalah kita doakan agar Dia memenangkan yang benar, sekaligus mensejahterakan negara tercinta ini. Perkenankanlah, duhai Tuhan Semesta Aklam.

Terima kasih dan selamat berjuang.