Pada 4 Mei lalu, YAB Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak telah mengadakan lawatan sehari ke negeri Cik Siti Wan Kembang. Saya melihat, lawatan tersebut lebih merupakan lawatan seorang presiden UMNO daripada seorang perdana menteri. Ini kerana lawatan beliau banyak dipenuhi dengan acara dan program kempen untuk Barisan Nasional (BN). Bahkan tidak keterlaluan jika saya katakan, lawatan kali ini lebih kepada untuk menganalisis sejauh mana BN mampu untuk merampas kelantan daripada PAS dalam pilihanraya umum yang akan datang.
Sebagaimana biasa, kalau orang politik mengadakan lawatan, maka pelbagai janji politik ditaburkan buat tatapan orang setempat. Selain itu juga, pelbagai keburukan pentadbiran negeri pula yang dihamburkan dengan harapan untuk diseranah oleh rakyat jelata negeri berkenaan. Sudah menjadi darah daging politik khususnya orang Melayu untuk mendidik sekalian anak buahnya untuk mempercayai dan menelan bulat-bulat apa sahaja yang dilakukan oleh parti politik tertentu sebagai benar, baik, betul, bagus, tepat, kena pada masanya, bijak, dan macam-macam lagi hingga kadangkala ia boleh menjadikan orang lain muak dan mual mendengarnya. Kalau parti politik yang berkenaan mengata dan mempersendakan lawanya, ia dikira halal dan patut serta mesti didokong dan disokong kalau boleh oleh semua orang. Perbuatan sedemikian juga wajib diredhai oleh para pendokong dan penyokongnya yang ingin mempamirkan kesetiaan kepada parti politik berkenaan. Sebaliknya, kalau ianya daripada parti lawannya, maka ia dikatakan sebagai bohong, fitnah, itu, ini dan macam-macam lagi. Dengan erti kata lain, kebenaran itu bukan lagi terletak pada fakta dan peristiwanya, tetapi ia menjurus kepada siapa yang memperkatakannya.
Seperkara lagi, saya turut terdengar kononnya jumlah orang ramai yang mendengar amanat daripada YAB perdana menteri puluhan ribu ramainya. Bahkan konon khabarnya jumlahnya lebih ramai daripada para penunjukperasaan yang terlibat dalam Prhimpunan Bersih 3.0 seminggu sebelumnya. Oleh kerana sudah menjadi kebiasaan cara berpolitik UMNO/BN untuk melebih-lebihkan angka kalau peristiwa berkenaan melibatkan parti tersebut dan merendah-rendahkan angka kalau ia melibatkan parti-parti politik pembangkan, maka jumlah orang ramai yang disebut turut sama mendengar amanat YAB perdana menteri di Gua usang turut juga menimbulkan keraguan sesetengah orang walaupun ia mungkin betul. Oleh itu dan lain kali, kenalah betulkan yang biasa supaya orang ramai akan percaya pada angka yang betul!
Hal sebegini nampaknya masih tidak berlaku di Kelantan. Orang kelantan mempunyai gaya dan stail mereka yang tersendiri dalam menilai kebolehupayaan dan kejujuran satu-satu parti politik atau individu politik. Justeru, negeri Kelantan pernah berada di bawah pemerintahan PAS dan juga pemerintahan UMNO/BN. Bahkan Tuan Guru Nik Aziz sendiri pernah tewas di parlimen Bachok dalam pilihanraya umum ke-7 pada tahun 1986.
Untuk maklumat bersama, PAS pernah memerintah Kelantan sejak tahun 1959 hinggalah tahun 1978. Manakala UMNO/BN ula pernah mentadbir Kelantan antara tahun 1978 hingga tahun 1990. PAS kembali menguasai pentadbiran negeri Kelantan melalui pilihanraya umum ke-8 pada tahun 1990 hingga kini. Sejak tewas dalam pilihanraya 1990, UMNO/BN tidak pernah kenal letih dan jemu untuk berusaha merampas semula Kelantan daripada PAS. Sifat tidak mudah berputus asa sebegini memang cukup baik, tetapi apa yang diusahakan itu sahaja yang menjadi pertikaian dan dianggap sia-sia oleh sesetengah pihak.
Kalau dihitung dan dicongak (saya tidak mahulah dikatakan bodoh matematik), sejak tahun 1959, rakyat Kelantan telah memberi peluang kepada UMNO/BN untuk memerintah negeri tersebut selama kira-kira 12 tahun. Manakala PAS pula telah diberikan peluang untuk memerintah Kelantan selama kira-kira 41 tahun, satu jangka masa yang bukan sekejap.
Mengapa orang Kelantan memberikan masa yang lebih lama kepada PAS untuk mentadbir Kelantan berbanding dengan UMNO/BN?Adakah rakyat Kelantan tidak pandai menilai atau tidak tahu memilih?Apa istimewanya PAS sehingga ia lebih diterima dan apa celanya UMNO/BN hingga ia lebih lama ditolak dari kaca mata orang Kelantan?
Sesuai dengan jolokan “Serambi Makkah” kepada Kelantan, maka tidaklah menghairankan bilamana Islam merupakan antara elemen yang paling utama bagi mana-mana kumpulan siasah untuk mentadbir negeri atau kepada mana-mana individu yang akan diangkat sebagai menteri besar. Sesuai dengan citarasa majoriti rakyat Kelantan, maka sesebuah parti politik itu mestilah mempunyai ciri-ciri Islam yang nyata sama ada pada namanya, pada aktivitinya dan juga pada jiwa pemimpinnya. Inilah antara ciri keistimewaan yang ada pada PAS yang yang tiada pada UMNO/BN.
Selain itu, PAS juga sering dibarisi oleh para pemimpin yang berjiwa ulamak. Ini juga satu lagi bonus kepada kejyaan PAS selama ini dalam menambat hati para pengundi Kelantan. Maka itulah, tidak menghairankan juga pada tahun 1978, rakyat Kelantan telah menolak PAS dan memberi peluang kepada UMNO/BN untuk memerintah.Antara sebab-sebab PAS ditolak ketika itu ialah kerana wujudnya percakaran dalaman dalam PAS Kelantan ketika itu. Selain itu, peranan UMNO yang sama-sama menjadi dalam gabungan BN turut menyumbang kepada kejatuhan PAS dalam tahun 1978. Jadi kita jangan merasa hairan bilamana ada cadangan ke arah penyatuan politik orang Melayu menerusi penggabungan atau penyatuan antara UMNO dan PAS, ia semacam satu fobia kepada sebilangan pemimpin PAS. Maklumlah, bagi kita selaku umat Islam, tidak seharusnya terkena patukan ular sebanyak dua kali pada tempat yang sama. Demikianlah.
Walaupun kejayaan PAS kembali berkuasa di Kelantan pada tahun 1990 dikaitkan juga dengan masalah dalaman dalam UMNO sehingga memaksa Tengku Razaleigh Hamzah menubuhkan satu kumpulan siasah yang lain dan turut bersama PAS ketika itu, namun perubahan dalaman yang berlaku dalam PAS turut menyumbang kepada kekuatan semula PAS ketika itu. Kekuatan tersebut telah dipulihkan bilamana Datuk Asri dan beberapa orang rakan yang setia dengan beliau telah meninggalkan PAS pada dekad 80-an. Hasilnya, PAS mula dikuasai oleh satu kumpulan yang berjaya meletakkan parti tersebut ke satu landasan yang relevan dengan kehendak dan kemahuan rakyat khususnya di Kelantan.
Fakta di atas diperkukuhkan lagi apabila setelah mendapatkan semula kuasa dari rakyat menerusi pilihanraya umum ke-8 pada tahun 1990, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nikmat telah dipilih selaku menteri besarnya. Pemilihan Tuan Guru Nik Aziz merupakan satu pemilihan yang betul dan kena pada selera rakyat Kelantan. Akhlak, sifat zuhud, sikap merendah diri, mesra dan mudah dampingi yang ada pada Tuan Guru Nik Aziz bukan dibuat-buat, bukan sandiwara seorang ahli politik dan juga bukan bentuk hipokret seorang pemimpin. Malahan sifat dan sikap sedemikian sudah berakar umbi dalam jiwa beliau sejak sekian lama. Demikian saya pernah dimaklumkan oleh beberapa orang yang boleh dipercayai.
Justeru, tidaklah mengairankan jika ada pihak yang menyimpulkan bahawa selagi Tuan Guru Nik Aziz masih sebagai menteri besar kelantan, maka selagi itulah PAS akan terus berkuasa di negeri tersebut. Bahkan ada juga segelintir rakan yang membuat rumusan yang lebih radikal, antara lain mereka berkata, usia kekuasaan PAS di Kelantan samalah dengan usia Tuan Guru Nik Aziz dalam politik negeri tersebut. Wallahu aalam.
Sejak akhir-akhir ini, tokoh-tokoh politik BN sering datang ke kelantan dengan pelbagai janji dan harapan. Ada yang pernah berkata, orang Kelantan akan mendapat sebuah stadium yang baru jika BN berkuasa di negeri tersebut. Ada juga yang menjanjikan sebuah leburaya baru jika BN diberikan peluang untuk berkuasa semula. Beberapa tokoh BN juga turut menjanjikan penyelesaian yang menyuluruh terhadap masalah bekalan air bersih di Kelantan jika mereka berkuasa.
Kalau di negeri-negeri lain, janji-janji sedemikian seringkali menguntum bebunga harapan yang segera berputik dan berbuah kepercayaan yang akan meranapkan harapan pihak pembangkang lain untuk berkuasa. Walau bagaimanapun, setakat ini ia nampaknya tidak menjadi di Kelantan. Bagi majoriti rakyat kelantan, isu royalti minyak yang mereka lihat ada unsur ketidakdilan kerajaan pusat terhadap negeri mereka lebih besar daripada bekalan air bersih yang sering dicanangkan oleh pihak UMNO/BN. Sebenarnya sebahagian besar orang Kelantan semakin merasai ketidakadilan itu bila mereka membandingkan apa yang berlaku di Terengganu dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan pusat ke atas negeri mereka atas isu yang sama.
Kalau disusuri sejarahnya, masa pemerintahan PAS dan Tuan Guru Nik Aziz dalam tempoh hampir 22 tahun bukanlah sentiasa tenang dan aman. Adakalanya ujian dan cabaran yang melanda telah meletakkan kerajaan PAS di Kelantan tak ubah umpama telur di hujung tanduk. Tentu semua masih ingat hasil pilihanraya umum 2004, kerajaan PAS telah memperolehi 24 kerusi di dewan undangan negeri (DUN), manakala UMNO/BN pula telah berjaya meraih sebanyak 21 kerusi. Keadaan diburukkan lagi bilamana menerusi pilihanraya kecil pada Disember 2005, satu lagi kerusi milik PAS di Pangkalan Pasir telah jatuh ke tangan UMNO/BN. Ini bermakna, PAS hanya mempunyai satu kerusi lebih sahaja daripada UMNO/BN. Kalau ikut hukum akal, kerajaan PAS boleh ditumbangkan pada bila-bila masa sahaja. Namun takdir dan perancangan Allah tiada siapa yang boleh mengatasinya. Kedudukan genting sedemikian berjaya dipertahankan sehinggalah ke pilihanraya umum ke-12 pada tahun 2008. Dalam pilihanraya tersebut PAS berjaya memperolehi 38 kerusi, PKR 1 kerusi dan UMNO/BN pula 6 kerusi. Kejayaan besar yang dikecapi ketika itu mungkin berkat kesabaran tinggi oleh semua barisan kepimpinan PAS Kelantan. Ia juga menunjukkan rakyat Kelantan secara majoritinya mempunyai cara tersendiri dalam menilai setiap wakil yang mewakili mereka di peringkat DUN.
Sebenarnya, bagi seorang yang telah pun menceburikan diri dalam kancah politik sejak 36 tahun lalu, YAB Datuk Seri Najib amat menyedari hakikat iaitu teramat sukar untuk menguasai semula Kelantan daripada PAS setidak-tidaknya buat masa ini. Namun demikian, sebagai menunjukkan gentleman dalam politik, Datuk Seri Najib serta UMNO/BN harus meneruskan usaha mereka bagi menguasai Kelantan sampai entah bila. Mungkin bagi Datuk Seri Najib dan UMNO/BN, mereka tetap berpegang kepada “usaha tangga kejayaan”. Sedangkan kuat berusaha masih belum berjaya, lagikan pula kalau tidak memulakan usaha, sudah tentulah bayang-bayang kejayaan tak mungkin kelihatan.
Sementara itu, bagi PAS pula, sokongan dan dokongan sebahagian besar rakyat Kelantan tidak akanselamanya berkekalan. Apa yang telah menimpa parti itu pada tahun 1978 seharusnya dijadikan teladan yang amat berguna. Adalah satu kesilapan yang dahsyat jika barisan kepimpinan PAS Kelantan menganggap dokongan dan sokongan rakyat Kelantan terhadap mereka tidak mungkin tergugat kerana sejarahnya tidak sedemikian. Dalam hal ini, ingatlah baik-baik firman Allah yang antara lain mafhumnya: “Jika kamu bersyukur nescaya aku (Allah) akan tambahkan (nikmat-Nya) untuk kamu, dan jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku (Allah) amat pedih”.
Sesungguhnya persaingan antara UMNO dan PAS khususnya di Kelantan merupakan persaingan dua kuasa politik utama orang Melayu. Di antara kedua-duanya masih belum boleh bersatu lagi buat masa ini sama ada atas nama bangsa mahupun atas nama agama.
lafaz takbir raya dan maknanya
5 months ago
1 comment:
Assalamu'alaikum, Saudara Blogger dan rakan-rakan pengunjung sekalian.
Hebat! Ulasan penuh fakta! Teruskan lagi; semoga artikel ini dikira antara usaha jihad, insha Allah.
Ya, memang benar, sejarah pertukaran kerajaan Kelantan antara UBN dan PAS ketika era 1978-90 ada memaparkan suasana tegang kedua belah pihak, di mana saya turut merasai sedikit sebanyak suasana itu ketika penganjuran sukan untuk OKU di Kota Baru pada April, 1988. Ketika itu, kedapatan desas-desus mengaitkan MB ketika itu yang dikatakan punya masalah moral dan kepimpinan sehingga beliau yang sepatutnya datang merasmikan sukan tersebut terpaksa mewakilkan orang lain, kononnya takut dibelasah orang ramai sepanjang jalan. Namun, itulah sahaja cerita yang saya tahu secara langsung; tentang berita-berita penyelewengan dan salah tadbir kerajaan negeri ketika itu, tentunya tak banyak yang saya dapat tahu, dik penguasaan media arus perdana sebelah pihak sehingga kini ...
Dengan itu, tepat benar ulasan saudara, penduduk negeri Cik Siti Wan Kembang itu punya kebijaksanaan tersendiri. Semoga setelah ini, insha Allah, seluruh negara akan ikuti siri teladan baik ini, demi menghapuskan mereka yang, maaf, kalau tak melampau saya katakan, bagaikan "Fir'aun"; balik-balik "Pembangkang hanya pandai cakap aja; so, jangan siapapun antara kamu yang mengundi selain kami ...", ... Nah, tak kan tak boleh guna "common sense", bahawa para sahabat Nabi (4 Khulafa' Ar-Rashidin [maaf, ejaan hanya sekadar memudahkan pemahaman]) pun masih alu-alukan teguran ikhlas dan bernas, kita ni pula, macam mana, kan? Begitu juga, kalau negara dan kerajaan sekluar barat pun sanggup memberi akses media yang adil kepada setiap yang bertanding, mereka (UBN) yang sekian lama mendakwa berjuang atas pelbagai prinsip keadilan, bagaimana pula, kan?
Apapun, pada hemat saya yang masih cetek ilmu ini, setidak-tidaknya arus perubahan yang sedang melanda majoriti masyarakat kita kini yang amat membimbangkan UBN ini, antara bentuk sunnah Allah dalam menegakkan kebenaran dan keadilan hukum-hakam-Nya, dengan rakyat kini makin celik maklumat hasil akses kepada media arus terbuka yang jauh lebih pantas dan benar. Akhirnya, saya turut bersetuju dengan saranan saudara kepada kerajaan negeri dan PAS khasnya dan kepada para pejuang kebenaran amnya agar tidak leka dengan "bayangan kejayaan" ini, seterusnya ketika berkuasa, kerana kealpaan sedetik itu pasti menjemput musuh untuk bertapak semula, dan dikhuatiri untuk jangkamasa lebih lama. Bersamalah kita berusaha dan berdoa agar akhirnya kebaikan abadi untuk semua akan diperolehi menjelang saat genting peperangan itu, seterusnya Malaysia tercinta ini akan sejahtera untuk semua warganya.
Terima kasih.
Post a Comment