Siang tadi, saya telah menggunakan kenderaan awam untuk menghadiri satu mesyuarat di Air Keroh, Melaka. Mesyuarat kali ini adalah anjuran Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia. Saya akan berada di sini sehinggalah tengah hari Khamis ini, insha-Allah.
Ini bukanlah kali pertama saya menggunakan kenderaan awam darat. Pengalaman yang bakal saya kongsikan juga bukanlah pengalaman saya yang pertama. Saya sekadar ingin kongsikan pengalaman yang ini agar kita sama-sama akan lebih peka tentang keperluan pelbagai kategori penumpang khususnya yang menggunakan perkhidmatan kenderaan awam setiap hari.
Saya telah menaiki LRT dari stesen Sentol untuk menuju ke stesen Tasik Selatan. Dari Tasik Selatan, saya menaiki bas pula untuk ke Melaka. Dari stesen Sentol, LRT berhenti di stesen Titiwangsa, PWTC, Sultan Ismail, Bandar Raya, Masjid Jamik, Plaza Rakyat kemudian Pudu, dan seterusnya beberapa stesen lagi hinggalah sampai di stesen Tasik Selatan. Apa yang berlaku ialah, di setiap stesen yang saya nyatakan tadi, tiada info daripada pihak LRT mengenai nama stesen yang sedang disinggahi. Saya dapat mengetahui stesen mana yang sedang disinggahi oleh LRT berkenaan kerana saya tidak tertidur dan saya harus mengira setiap stesen yang dilalui oleh LRT berkenaan. Sekiranya saya tertidur walaupun sekejap, ada kemungkinan saya akan terlepas stesen. Saya memang pernah mengalami pengalaman sedemikian. Hanya selepas stesen Pudu baru pihak LRT memberi info tentang nama stesen yang disinggahi.
Sepertimana yang saya nyatakan tadi, pihak LRT harus peka dengan kepelbagaian kategori penumpang yang menggunakan perkhidmatannya. Bukan semua penumpang yang akan dapat membaca tulisan yang tertera pada setiap stesen yang disinggahi. Adakalanya orang yang sudah berusia pun mungkin tidak begitu peka dengan nama stesen yang disinggahi jika ia tidak diumumkan secara bersuara oleh pihak yang berkaitan. Apatah lagi kalau penumpang itu adalah penumpang yang macam saya. Apa yang berlaku ketika saya menaiki LRT siang tadi langsung tidak memberi sebarang kesan kepada saya kerana saya tidak tertidur dan seterusnya saya juga peka dengan setiap stesen yang disinggahi oleh LRT. Bagaimana pula kalau saya tertidur, atau ada penumpang lain yang tidak begitu peka dengan stesen-stesen yang disinggahi oleh LRT berkenaan?
Memang salah satu kaedah lain untuk menyelesaikan cabaran sedemikian ialah dengan memberanikan diri dan bertanya kepada penumpang lain. Bagaimana pula kalau kebetulan dalam koch berkenaan, hanya kita seorang sahaja yang menumpanginya dan penumpang lain mungkin berada jauh daripada kita? Bagaimana pula dengan penumpang yang tidak begitu biasa menaiki LRT sedemikian dan tidak pula peka dengan stesen-stesen LRT yang berkaitan?
Di samping itu, ada ketika yang lain pula, info mengenai stesen yang disinggahi diumumkan tetapi perkataan yang diucapkan tidak jelas dan sukar difahami. Bagi yang masih berpenglihatan, mungkin keadaan sebegini tidak mendatangkan apa-apa masalah. Walau bagaimanapun, bagi penumpang lain yang seperti saya, ia mungkin akan mendatangkan masalah pula.
Kalau kita menggunakan LRT dari Terminal Putra ke Kelana Jaya, ia sedikit berbeza. Info mengenai setiap stesen yang disinggahi akan dimaklumkan secara automatik kerana info mengenainya adalah secara berkomputer. Suaranya juga jelas dan terang. Hanya apabila ada gangguan pada sistem infonya baru ia akan mendatangkan sedikit cabaran kepada penumpang seperti saya.
Oleh itu, dengan rasa rendah diri, saya memohon kepada pihak berkuasa LRT yang berkenaan supaya mengumumkan nama setiap stesen yang disinggahi dengan terang dan jelas supaya ia akan memberi kemudahan pula kepada penumpang seperti saya. Saya yakin, penumpang lain yang senasib dengan saya juga mungkin biasa menghadapi cabaran seperti ini. Setiap orang pula mempunyai kaedah tersendiri bagaimana untuk mengatasi cabaran sebegini.
Bagi saya, perkara ini bukanlah besar sangat. Namun begitu, jika tiada kerjasama secara berterusan daripada pihak berkuasa LRT, sudah tentulah penumpang seperti saya tidak begitu merasa selesa bila menggunakan perkhidmatan LRT.
Salam dari Air Keroh, Melaka.
lafaz takbir raya dan maknanya
5 months ago
2 comments:
Lrt Putra lg bagus dpd lrt star. Lrt star sama ngan komuter, ada pemandu yg malas nk umum. Kalo umum pun suara slalu serak2 ayu gitu.
Assalamu'alaikum, Saudara Blogger dan rakan-rakan sekalian.
Terima kasih di atas perkongsian pengalaman ini. Ya, sememangnya benar, sepatutnya sistem pengangkutan, malah apa sahaja perkhidmatan untuk orang ramai yang disediakan oleh mana-mana agensi, peka dengan kepelbagaian kategori pengguna tersebut. Kalau nak cerita fasal LRT, saya biasa mengalami situasi sebegitu bila menaiki perkhidmatan Star LRT, walaupun hanya untuk bersolat Jumaat di Masjid Jamek, Jalan Tun Perak. Malah, adakalanya sistem perkhidmatan pengumuman Monorail turut bermasalah; sama ada terlalu kuat hingga berdempik, tak jelas, malah hilang langsung ...
Sekadar berkongsi juga, perkhidmatan "lift" di Flat Sri Pahang ini, langsung tiada sistem pengumuman, walaupun telah kedapatan nombor tingkat yang hendak dituju dalam tulisan Braille. Lalu, saya juga terpaksa mengira dengan mengagak berapa saatkah ia "tergantung" sejurus naik atau turun untuk memastikan saya benar-benar sampai ke tingkat yang hendak dituju (7 atau bawah). Kadang-kadang, boleh terkeliru dibuatnya bila orang terlalu ramai dan lift itu singgah di mana-mana, tentunya "upon request", sehingga saya terpaksa memberanikan diri untuk bertanya. Barangkali, ini akan kelihatan "remeh" pada pandangan sesetengah pihak, tapi, saya tetap merasakan ia juga penting, lebih-lebih lagi ketika kecemasan atau kedapatan urusan penting yang perlu disegerakan.
Terima kasih dan teruskan lagi perkongsian bermanfaat sebegini.
Post a Comment