Malam tadi, sekitar selepas solat isya, beberapa orang jiran tetangga saya telah mengadakan apa yang dipanggil sebagai pot luck. Saya sekeluarga juga telah turut serta. Sebenarnya ini bukanlah kali pertama majlis seperti ini diadakan. Saya sendiri tidak dapat mengingati sudah berapa kali.
Dalam majlis ini, kami jiran-jiran yang ada dan secara sukarela akan membawa makanan dari rumah masing-masing untuk dimakan bersama-sama. Kelazimannya, lokasi majlis pot luck kami ialah di hadapan rumah en. Aliodin, rumah Ustazah Lili, rumah Lan dan rumah Kak Bi. Selain itu, Datuk Zamani dan Datin Yati yang tinggal berhadapan dengan rumah En. Aliodin juga tidak ketinggalan.
Walaupun majlis sebegini tidaklah sebesar mana, sekadar untuk beberapa keluarga sahaja, namun kemeriahannya tetap ada dan cukup dirasai. Bagi kami, bukan makanan itu yang menjadi keutamaan, tetapi yang lebih peting ialah dengan cara sebegini, ia dapat mengeratkan lagi hubungan antara sesama jiran tetangga. Kebetulan pula keesokanna hari cuti hujung minggu, jadi dapatlah kami duduk lama sedikit sambil bertukar-tukar berita dan cerita.
Kalau pada hari-hari bekerja, masing-masing sibuk dengan urusan dan hal ehwal masing-masing. Jadi bila ada kesempatan seperti ini, sudah tentulah ia dapat memperkukuhkan lagi hubungan silaturahim antara sesama jiran tetangga. Saya penuh yakin, kalau majlis seperti ini diadakan secara berterusan, maka hubungan keakraban antara kita semua akan sampai ke tahap air dicincang tidak akan putus, insha-Allah.
Pada masa lalu, saya pernah berada dalam majlis seperti ini hingga jam 1 pagi. Walau bagaimanapun, pada kali ini saya terpaksa berundur lebih awal. Sekitar jam 11.15 saya mula mencari jalan pulang. Waktu itu, Datin Yati masih duduk melekat leka bercerita. Manakala Datuk Zamani pula sudah lama meninggalkan lokasi majlis.
Kepada jiran tetangga yang terlibat, berbanyak-banyak terima kasih saya ucapkan kerana sentiasa ingat kepada saya setiap kali majlis seumpama ini ingin diadakan. Apa yang dikongsikan dalam majlis malam tadi tak ubah umpama, hati kuman sama dicicah, hati gajah sama dilapah.
Bulat air kerana pembentung,
Bulat manusia kerana muafakat,
Hidup berjiran tolong-menolong,
Dunia akhirat beroleh berkat.
1 comment:
Gendang gendut tali kecapi, kenyang perut umpama vavi, seronok berjiran sejiwa sehati, malang Pak Yah berjirankan tambi
Post a Comment