Sunday, May 20, 2012

Menziarahi Allahuyarham Pak Yob

Baru-baru ini, saya ada memaparkan kisah mengenai En. Ayob bin Endot menerusi blog ini, atau lebih mesra dengan panggilan Pak Yob sahaja. Beliau merupakan penghidap kencing manis. Gara-gara penyakitnya, akhirnya kaki beliau terpaksa dipotong.



Pada 1 Mei lalu, iaitu setelah selesai mesyuarat PERTIS Negeri Sembilan, saya serta beberapa orang rakan telah menziarahi beliau di rumahnya. Rupa-rupanya itulah pertemuan kami yang terakhir dengan Pak Yob. Masih segar dalam ingatan saya suasana ketika kami menziarahi beliau ketika itu.

Petang tadi, sekitar jam 3.45 petang, saya menerima SMS daripada Tuan Haji Nazari yang memaklumkan tentang kepulangan Pak Yob ke rahmatullah. Setelah mendapat berita berkenaan, saya segera memutuskan untuk hadir dan memberikan penghormatan terakhir kepada Allahuyarham Pak Yob. Kebetulan pula, petang tadi saya tidak mempunyai urusan yang benar-benar mustahak dan urusan yang ada boleh ditangguhkan dahulu.

Dalam perjalanan ke Taman Tasik Jaya, Senawang, saya telah menghubungi En. Abdullah Abu bakar untuk pengesahan lanjut. En. Abdullah merupakan bendahari PERTIS Negeri Sembilan. Ternyata En. Abdullah terkejut dengan berita tersebut. Beliau kemudiannya telah membantu saya untuk mendapatkan pengesahan lanjut mengenai kepulangan Pak Yob ke rahmatullah. En. Abdullah juga turut memaklumkan alamat rumah Pak Yob serta panduan untuk sampai ke rumah Allahuyarham. Terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan kepada En. Abdullah.



Sekitar jam 5.30 petang, saya sekeluarga tiba di Surau Alhikmah yang letaknya tidak berapa jauh dari rumah Pak Yob. Ketika itu Jenazah Pak Yob sedang disembahyangkan. Alhamdulillah saya juga sempat menyembahyangkan jenazah Pak Yob.



Setelah selesai solat jenazah, sekali lagi saya merafakkan kesyukuran ke hadhrat Ilahi kerana diberikan peluang untuk rapat dan seterusnya menyentuh jenazah Allahuyarham. Tuan Imam yang bertugas turut membantu saya dengan mengambil tangan saya dan menyentuhkannya di bahagian kepala, badan dan sebelah kaki. Saya tidak lupa memanjatkan doa yang patut-patut untuk Allahuyarham.



Berdasarkan maklumat yang dapat saya perolehi daripada isteri Allahuyarham, Pak Yob telah menghembuskan nafas terakhirnya di hospital Seremban pada kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi. Menurutmnya lagi, Allahuyarham Pak Yob telah dimasukkan ke hospital berkenaan pada Isnin lalu.



Sekitar jam 5.45 petang, jenazah Pak Yob diangkat perlahan-lahan ke kenderaan jenazah yang sedia menanti di perkarangan surau. Oleh kerana kebetulan saya juga berada hampir dengan jenazah, maka saya dapat merasakan suasana sedih khususnya dalam kalangan keluarga terdekat Allahuyarham Pak Yob.



Bersama-samalah kita merafakkan doa ke hadhrat Allah agar roh Pak Yob sentiasa dalam rahmat serta peliharaan Allah setiap ketika. Manakala kepada ahli keluarga Allahuyarham, bersabarlah menghadapi saat yang paling sedih ini.



Sesungguhnya hari yang dijanjikan Allah untuk Pak Yob telah tiba. Manakala hari yang sama yang dijanjikan untuk kita pula pasti akan tiba juga, hanya masa, hari dan tarikhnya sahaja yang sengaja dirahsiakan oleh Dia yang mencipta kita. Selamat pergi diucapkan kepada Pak Yob. Kami pasti akan menyusul anda pada hari yang telah dijanjikan untuk kami pula.



Kita yang masih meminjam nyawa ini sering lalai dengan kematian, sedangkan kematian pula tidak pernah alpa untuk menemui kita bila tiba masanya. Gara-gara kelalaian sebeginilah maka ramai antara kita yang seronok menipu, mencuri, memutar, membelit, mengadu domba, memfitnah, mendengar fitnah, menghasut, mudah dihasut, dan macam-macam lagi. Sedangkan kematian merupakan suatu peringatan kepada yang masih hidup. Hanya golongan yang bebal hati sahaja yang tidak tersentuh bila berlakunya kematian.



Di sini, saya tidak lupa untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Tuan Haji Nazari Osman di atas kesudiannya berkongsi berita tentang kepulangan Pak Yob ke rahmatullah. Beliau merupakan orang pertama yang telah memaklumkan kepada saya mengenai berita berkenaan menerusi SMS. Selain itu, Tuan Haji Nazari juga turut hadir untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahuyarham Pak Yob. Memang wajar pun bila Tuan Haji Nazari datang dan memberi penghormatan terakhir kepada Pak Yob. Selain sebagai rakan yang rapat, Tuan Haji Nazari merupakan presiden Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) peringkat kebangsaan manakala Pak Yob pula merupakan pengerusi SBM peringkat Negeri Sembilan.

Daripada Allah kita datang, dan kepada Allah juga kita akan kembali.

No comments: