Bagi golongan cacat penglihatan seperti saya, tongkat merupakan alat yang sangat penting khususnya ketika ingin bergerak ke mana-mana. Mungkin bagi mereka yang berpenglihatan, tongkat bolehlah diumpamakan seperti mata. Walaupun tamsil sedemikian kurang sesuai, tetapi itulah tamsil yang paling hampir kalau kita ingin membuat perbandingan.
Pagi tadi, saya telah meninggalkan rumah sebagaimana yang dijadualkan. Dari rumah, isteri saya telah menghantar saya ke stesen LRT Taman Melati. Dari situ, saya ke stesen KL Sentral pula secara bersendirian. Destinasi selanjutnya ialah ke Putrajaya dengan menaiki ERL. Dari Putrajaya pula, saya akan menumpang En. Ahmad Bustamam untuk ke Johor Baru.
Hendak jadi cerita, tatkala saya bergerak dari stesen LRT menuju ke kaunter ERL Transit, tiba-tiba seorang yang tidak saya kenali telah melanggar tongkat saya. Mungkin kerana pelanggaran tersebut agak kuat, akibatnya tongkat saya telah patah, tetapi talinya masih tidak putus. Walau bagaimanapun, tongkat tersebut tidak boleh lagi saya gunakan dengan sempurna. Orang yang melanggar tongkat saya tadi terus berlalu tanpa sepatah kata, walaupun dengan berkata “maaf”. Agaknya inilah yang dikatakan langgar lari.
Saya termenung sebentar memikirkan bagaimana cara untuk saya meneruskan perjalanan. Destinasi agak jauh lagi, sedangkan saya bersendirian.
Akhirnya, dengan memberanikan diri dan dengan terpaksa menebalkan muka sedikit, saya menahan orang lain yang sedang lalu dan terus meminta pertolongan untuk membawa saya ke kaunter ERL Transit. Alhamdulillah wanita tersebut dengan senang hati telah membantu saya. Di kaunter tiket pula, setelah urusan membeli tiket selesai, saya terus memberitahu wanita yang sedang bertugas mengenai situasi saya yang kepatahan tongkat dan memohon agar beliau dapat usahakan supaya seseorang kakitangan lain dapat membantu saya untuk ke ERL. Alhamdulillah kakitangan ERL mudah membantu. Saya telah dapat menaiki ERL dengan mudah dengan bantuan kakitangan yang terlibat.
Di stesen Putrajaya Cyberjaya pula, sekali lagi saya bernasib baik kerana salah seorang penumpang ERL dengan mudah telah menawarkan pertolongannya kepada saya. Saya telah dibawanya ke tempat menunggu yang berhampiran dengan stesen ERL itu sendiri. Dari sini, barulah En. Rasyid dan Cikgu Fakaruddin datang dan mengambil saya. Kami bertiga menumpang kenderaan En. Ahmad Bustamam untuk sama-sama ke Jb. Alhamdulillah untuk ke sekian kalinya, pada sekitar jam 12.15, kami berempat telah selamat tiba di sebuah hotel yang letaknya di Stulang Laut.
Di sini, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah sudi dan sangat bermurah hati untuk membantu saya dan seterusnya memudahkan perjalanan saya dalam situasi di mana tongkat yang selama ini menjadi mata saya telah patah. Kalau ikutkan hati, hendak juga saya kembali semula ke rumah untuk mengambil tongkat yang baru. Namun demikian, saya rasa tindakan sedemikian hanya akan membuang masa sahaja.
Kepada rakan-rakan senasib yang lain, mudah-mudahan kisah kecil yang saya kongsikan ini akan sedikit sebanyak memberikan teladan dan pengajaran kepada kita semua. Kalau menuju ke destinasi yang jauh, seeloknya bawalah lebih dari satu tongkat. Bila ditimpa musibah seperti ini, jangan panik, bertenang dan fikirkanlah jalan penyelesaiannya. Jangan sesekali menyesal dan bersungut kerana ia hanya akan membuang masa sahaja.
Salam dari JB.
lafaz takbir raya dan maknanya
5 months ago
No comments:
Post a Comment