Hari ini (13 Mei) merupakan Hari Ibu bagi tahun 2012. Bagi sebilangan orang, pada hari seperti hari inilah kita dikehendaki supaya menunjukka kasih sayang yang semaksimumnya kepada ibu sendiri.
Tidak siapa pun yang dapat menafikan tentang pengorbanan seorang ibu. Sebab itu ada kata-kata orang bijak pandai yang antara lain berbunyi: seorang ibu boleh memelihara 10 orang anak, tetapi 10 orang anak belum tahu lagi dapat menjaga seorang ibu. Demikianlah besarnya pengorbanan seorang ibu untuk anak-anaknya.
Saya sendiri pun, jika tidak kerana pengorbanan dari seorang itu, tidak mungkin saya boleh menikmati satu kehidupan sebagaimana sekarang. Kalau hendak diceritakan pengorbanan ibu sendiri, nescaya tidak berupayalah kita untuk melakukannya.
Bagi kita, kasih dan sayang terhadap seorang ibu berterusan sepanjang masa, setiap ketika dan sepenuh masa. Pada setiap kali selepas solat lima waktu, sudah tentulah kita akan memohon daripada Yang Esa supaya sentiasa memberikan keampunan kepada ibu dan bapa kita. Demikianlah kita diajar supaya dapat melakukannya.
Ketika mendengar siaran radio tadi, kerap juga saya mendengar lagu-lagu yang bertemakan ibu dialunkan. Lazimnya, saya akan mendengar siaran radio ketika di dalam kenderaan sahaja. Bila turun sahaja kenderaan, siaran radio pun hilang. Walau bagaimanapun, sebuah lagu yang amat saya minati dendangan Datuk M. Daut Kilau tidak pula kedengaran. Lagu yang saya maksudkan kalau tak silap berjudul Anak Derhaka. Setiap kali mendengar lagu tersebut, saya akan berdoa supaya saya tidak menjadi anak yang derhaka.
Bersempena dengan Hari Ibu hari ini, saya mengucapkan selamat Hari Ibu kepada semua wanita yang bergelar ibu.
Ucapan yang serupa juga saya tujukan khusus kepada yang amat dikasihi lagi siyangi ibu saya dan juga kepada ibu mentua saya.
"Ya Rabb, kasihanilah kedua-dua ibu dan bapa kami sebagaimana mereka mengasihani kami semasa kami kecil".
lafaz takbir raya dan maknanya
5 months ago
No comments:
Post a Comment