Thursday, January 24, 2013

Salam Maulidul Rasul



Untuk ke sekian kalinya, pada hari ini (12 Rabi’ul-Awwal) seluruh umat Islam menyambut hari lahirnya junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Sambutan hari keputeraan baginda Rasulullah S.A.W. merupakan hari yang teramat istimewa kepada kita dan juga buat seluruh alam maya. Ini adalah kerana baginda Rasulullah diutus adalah sebagai rahmat kepada seluruh alam maya.


Sesungguhnya keistimewaan dan kehebatan baginda Rasulullah S.A.W. tiada taranya sampai bila-bila. Tiada mana-mana makhluk lain di alam maya ini yang mampu menandingi kehebatan, keagungan serta keistimewaan sebagaimana yang telah dianugerahkan kepada baginda Rasulullah S.A.W. Demikianlah istimewanya seorang insan yang bernama Muhammad bin Abdullah.




Justeru tidak hairanlah bilamana hari keputeraan baginda Rasulullah S.A.W. disambut dengan cara yang istimewa juga. Kita semua yang merupakan para pencinta Rasul akan memperbanyakkan berselawat ke atas insan yang menjadi junjungan kita semua. Barang siapa yang berselawat ke atas baginda akan mendapat kurniaan tertentu pula daripada Allah S.W.T. Demikianlah antara keistimewaan yang telah dianugerahkan Allah kepada makhluk-Nya. Ia amat jauh berbeza daripada bilamana kita mengingati insan yang lain.


Walaupun baginda Rasulullan S.A.W. telah pun wafat sekitar 1423 tahun yang lalu, namun demikian masih ada pihak yang menaruh perasaan cemburu, busuk hati serta mempunyai rasa permusuhan yang mendalam terhadap baginda. Walhal golongan ini sememangnya tidak pun pernah bertemu pandang dengan baginda. Golongan ini sentiasa berusaha sepanjang masa untuk memburukkan baginda dengan pelbagai cara dan bentuk. Namun demikian, kita teramat yakin, biar apa pun usaha liar yang dilakukan untuk memburukkan baginda, ia pasti gagal buat selama-lamanya.


Kita selaku umat baginda pun kekadang melakukan hal yang pelik juga terhadap baginda. Kita sering berkata bahawa kita kasih dan cinta akan baginda, tetapi pada masa yang sama, kita acapkali juga melakukan perkara-perkara yang tidak disukai baginda! Macam mana tu?




Bersempena dengan hari keputeraan baginda Rasulullah S.A.W. kali ini, marilah kita semua selaku umat baginda merapatkan saf dan bersatu atas nama dua kalimah sebagaimana yang pernah diajarkan baginda. Marilah kita semua melakukan apa jua yang disukai oleh baginda dan menjauhkan diri daripada apa jua yang baginda larang. Sesungguhnya di akhirat nanti syafaat dari baginda juga yang amat kita harapkan. Justeru, sementara menanti ke hari tersebut, marilah kita sama-sama berbuat apa yang baginda telah perintahkan dan meninggalkan apa yang baginda tegah.


Mudah-mudahan dengan mengingati baginda di dunia ini sama ada dalam bentuk perkataan (selawat) mahupun dalam bentuk perbuatan (buat apa yang disuruh dan tinggalkan apa yang baginda larang), insha-Allah baginda Rasulullah akan ingat pula kepada kita di akhirat nanti.


Salam maulidul Rasul S.A.W. bagi tahun 1434 Hijri.







No comments: