Friday, January 18, 2013

Saya Tidak Diberitahu Apa-apa



Sekitar jam 9.36 malam sebentar tadi, saya mendapat panggilan telefon daripada salah seorang rakan senasib. Beliau memberitahu, ada satu peristiwa kononnya akan berlangsung di Brickfields pagi esok (Sabtu). Untuk peristiwa berkenaan, sala satu sumber info yang boleh diakses ialah menerusi blog ini. Demikianlah yang sedang tersebar menerusi laman sosial khususnya dalam kalangan rakan-rakan senasib. Kata rakan itu lagi, beliau pun berkunjunglah ke blog ini dengan tujuan untuk mencari info yang dimaksudkan. Malangnya info yang beliau ingin perolehi itu tiada. Untuk memuaskan hatinya, beliau pun meneliti semula beberapa tulisan saya yang lepas, sekali lagi malang kerana info yang ingin beliau perolehi itu masih tiada.


Tercengang juga saya dibuatnya! Sehingga ke saat ini, tiada mana-mana individu atau pihak yang tampil memberi apa-apa maklumat kepada saya mengenai peristiwa yang kononnya akan berlaku esok. Jadi, saya sedikit hairan bagaimana maklumat lanjut kononnya mengenai peristiwa berkenaan dikatakan termuat dalam blog ini?


Secara jujurnya, saya akui iaitu pada awal minggu ini saya ada mendengar khabar angin bahawa kononnya sekumpulan golongan cacat penglihatan akan berkumpul di Brickfields untuk satu bantahan. Siapa yang mereka hendak bantah (kalau ada) pun saya tidak begitu pasti. Bahkan lokasi tepat di mana mereka akan berkumpul pun saya tidak begitu pasti juga. Selanjutnya, saya juga tidak pasti bantahan hendak dibuat dalam bentuk apa, sama ada secara sidang media, demonstrasi,mogok lapar atau sebagainya. Di samping itu, saya juga tidak begitu pasti individu-individu yang terlibat secara langsung khususnya selaku penganjur kepada peristiwa (jika ada) berkenaan. Agaknya mereka ini kumpulan yang bertindak dalam senyap!


Oleh kerana berita yang saya dengar lebih merupakan khabar angin, maka itulah saya tidak menulisnya menerusi blog ini kerana tidak cukup syarat. Lagi pun, tiada mana-mana individu yang terlibat secara langsung dengan peristiwa berkenaan (jika ada) yang memberikan maklumat kepada saya secara terus. Dengan erti kata lain, blog ini tidak terbabit langsung dengan info peristiwa yang akan berlaku esok sebagaimana yang dimaksudkan.


Walau bagaimanapun, jika peristiwa yang dimaksudkan benar-benar berlaku esok dan kebetulan saya berada hampir dengan lokasi peristiwa berkenaan, mungkin saya akan hadir juga selaku penonton. Itu sahaja.



Memang benar, jadual saya pagi esok ialah ke Brickfields. Tujuannya ialah untuk menyaksikan dari dekat beberapa aktiviti anjuran Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) yang kebetulan akan berlangsung di Brickfields. Antaranya termasuklah kelas Alquran Braille dan juga latihan kumpulan berzanji dan marhaban PERTIS.


Dengan ini, saya ingin tegaskan sekali lagi, blog ini tidak mempunai sebarang info sahih mengenai satu peristiwa bantahan yang kononnya akan berlaku esok di Brickfields.


Harap semua maklum.




No comments: