Tuesday, January 1, 2013

Selamat Tahun Baru Masihi 2013




Alhamdulillah segala puji hanya untuk-Nya. Kita baru sahaja melangkah ke tahun baru Masihi 2013. Pada saat inilah ramai yang akan bertanya “apa azam baru?” Hakikatnya, masing-masing sibuk dengan rancangan masing-masing bagi mengisi kehadiran tahun Masihi 2013.


Mungkin ada antara kita yang baru sahaja pulang dari mengunjungi tempat-tempat yang menganjurkan pelbagai acara bersempena dengan ambang tahun baru Masihi ini. Pelbagai acara, temasya, hiburan dan macam-macam lagi telah dianjurkan bagi menyambut kedatangan tahun baru. Demikianlah budaya dan cara kita di Malasia.


Saya dan keluarga hanya di rumah sahaja sambil menonton (saya mendengar) menerusi internet perayaan sambutan tahun baru sebuah kerajaan negeri. Seorang ustaz tersohor turut mewarnai acara tersebut. Di samping itu, terdapat juga beberapa orang artis yang sudah “berubah angin” yang turut sama memeriahkan majlis yang dianjurkan.


Bagi jabatan atau agensi kerajaan, firma swasta yang besar serta badan-badan bukan kerajaan yang sudah mantap, kemunculan tahun baru Masihi seringkali akan disertakan dengan takwim yang mengandungi rancangan yang akan dilaksanakan di sepanjang tahun berkenaan. Manakala bagi organisasi yang kecil atau yang masih belum mantap, takwim dan rancangan sedemikian mungkin masih di awang-awangan lagi.


Dalam aspek politik dalam negeri, tahun 2013 merupakan tahun yang penuh dengan debaran. Sama ada suka atau tidak, mahu atau tidak, pilihanraya umum ke-13 pasti akan diadakan pada tahun 2013 ini. Nampaknya akan bertemulah dua angka 13. Apa yang pasti ialah tiada sedikit pun sial pada angka 13 berkenaan. Yang akan dapat sial ialah mereka yang sememangnya sudah menempah sial sejak awal lagi.


Kebiasaannya, menjelang ambang tahun baru Masihi, saya dan keluarga jarang berada di KL. Saya sengaja “melarikan diri” dari KL tatkala sambutan ambang tahun baru sebegini. Pada Kebiasaannya juga, keesokan harinya baru saya sekeluarga akan kembali semula ke KL.


Bersempena dengan ketibaan tahun baru Masihi 2013, saya tidak lupa mengucapkan selamat menyambut tahun baru kepada semua pengunjung blog ini. Semoga tahun baru ini akan lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya untuk kita semua.


Salam dari Kuantan


No comments: