Saturday, January 26, 2013

Kalimah Allah Masih Menjadi Isu



Sehingga hari ini, kalimah Allah terutamanya yang dikaitkan dengan bible dalam bahasa Melayu masih diangkat sebagai satu isu. Berdasarkan fenomena yang wujud atau diwujudkan isu ini seolahnya merupakan satu isu yang besar dan serius. Benarkah begitu?


Selaku orang Islam, kita semua harus beriktiqad dengan sesungguhnya dan dengan penuh yakin bahawa Allah adalah Tuhan dan Tuhan hanyalah Allah. Maknanya bila disebut sahaja Allah, maka Dia adalah Tuhan yang Maha Esa yang wajib kita semua sembah. Bila kita sebut sahaja Tuhan, sebenarnya Dia adalah Allah yang tiada yang lain yang boleh diumpamakan dengan-Nya. Demikianlah.


Perkara di atas menjadi penegasan saya kerana ada sesetengah orang Islam dalam kalangan bangsa Melayu yang kononnya beriktiqad bahawa Allah ialah Tuhan bagi umat Islam sahaja. Manakala bila disebut tuhan ia boleh jadi tuhan bagi penganut Hidu, Buddha atau pun Kristian. Bagi saya, mereka yang beriktiqad sedemikian boleh menjurus kepada ksesatan dan juga kekufuran. Barang dijauhkan Allah daripadanya.


Sebagai orang Islam tanpa mengira apa bangsa sekali pun, kita harus sentiasa beriktiqad bahawa Allah adalah Tuhan yang satu dan bersifat esa yang layak untuk disembah. Justeru, bila kita menyebut kalimah Tuhan sekali pun, maka ia selama-lamanya adalah sebanding dengan Allah kerana dalam pengakuan syahadah, kita sudah pun mengaku bahawa Tiada Tuhan yang disembah selain Allah. Maknanya antara Tuhan dan Allah adalah sama dan tiada bezanya buat selama-lamanya. Sayugia saya nyatakan di sini bahawa bangsa Melayu mula kenal Allah sebagai Tuhan setelah kemunculan Islam di kawasan nusantara. Sebelum itu, orang Melayu mengenali tuhan dengan pelbagai nama lain yang berkait rapat dengan kepercayaan yang menjadi anutan bangsa Melayu waktu itu.


Dalam kalangan bangsa Arab, kalimah Allah yang merujuk sebagai tuhan sudah lama berkembang dan digunakan. Sewaktu di zaman Rasulullah S.A.W., kalimah Allah digunakan bukan sahaja oleh umat Islam, bahkan golongan kafir turut menggunakannya sebagai merujuk kepada tuhan. Sewaktu hendak bertolak ke medan perang Badar, Abu Jahal telah berdoa di sisi Kaabah untuk kemenangan tentera Quraisy dengan menggunakan kalimah Allah. Dalam perjanjian Hudaibiyah pula, Suhail bin Amr turut menggunakan kalimah Allah pada bahagian awal perjanjian tersebut dan ia tidak dibantah oleh Rasulullah. Ini adalah kerana iktiqad Allah sebagai Tuhan yang bersifat esa yang menjadi pegangan Rasulullah dan sekalian umat Islam amat jauh bezanya dengan konsep Allah yang menjadi kepercayaan kepada Suhail bin Amr dan orang Quraisy ketika itu.


Pada hari ini pun, kalimah Allah masih digunakan dalam bible dalam bahasa Arab (setakat yang saya dimaklumkan). Bahkan khutbah agama Kristian turut dilaksanakan dalam bahasa Arab dan sudah tentulah kalimah Allah dalam khutbah berkenaan turut sama digunakan. Setakat yang saya maklum juga, ia tidak pula mendapat bantahan daripada orang Arab yang beragama Islam bahawa kalimah tersebut tidak boleh digunakan oleh bangsa mereka yang bukan beragama Islam. Maknanya penggunaan kalimah Allah oleh mereka yang bukan beragama Islam tidak pernah menjadi isu dalam kalangan bangsa Arab. Demikianlah.


Kita semua maklum bahawa Alquran diturunkan dalam bahasa Arab. Bahasa Arab pula akan menjadi bahasa kepada penghuni syurga kelak. Walau bagaimanapun, tiada larangan khusus tentang penggunaan kalimah Allah dalam bahasa Arab untuk penganut yang bukan Islam. Alquran bukan dalam bahasa Melayu. Bahasa Melayu pula tidak akan menjadi bahasa rasmi kepada penghuni syurga kelak. Adakah bahasa Melayu ini lebih istimewa dan lebih tinggi martabatnya daripada bahasa Arab?


Adakalanya, orang Melayu memang gemar menganuti keunikan tertentu. Dalam perlembagaan Persekutuan, antara syarat untuk menjadi Melayu ialah mesti beragama Islam. Namun demikian, ia bukanlah benteng dan jaminan bahawa orang Melayu tidak akan selama-lamanya boleh menjadi murtad. Bila orang Melayu ada yang murtad, golongan demikian hendak dibangsakan dengan bangsa apa pula?


Begitulah juga dengan penggunaan kalimah dalam bible berbahasa Melayu. Adakah pengharaman penggunaan kalimah dalam bible yang berbahasa Melayu mampu menghalang penyebaran unsur kristian ke atas orang Melayu?


Apabila kalimah Allah tidak lagi dibenarkan digunakan dalam bible yang berbahasa Melayu, bagaimana pula dengan kalimah Allah yang terdapat dalam kitab-kitab bible berbahasa Melayu yang dibawa masuk ke negara ini dari negara-negara jiran? Perlukah kalimah berkenaan ditukar kepada kalimah lain sebelum ia dibawa masuk ke negara kita? Adakah kalimah Allah yang sudah sedia tertera dalam kitab bible yang berbahasa Melayu yang dibawa masuk ke negara ini mendapat pengecualian daripada larangan berkenaan? Siapa yang hendak menjawab persoalan-persoalan ini?


Menurut maklumat daripada beberapa rakan yang berasal sama ada dari Sabah mahupun Sarawak, penggunaan kalimah yang berkaitan dengan Allah dalam kalangan orang bukan Islam di negeri-negeri berkenaan bukanlah satu perkara baru. Kalimah-kalimah seperti “insha-Allah”, “alhamdulillah”, ungkapan salam dan sebagainya sudah sebati dalam kalangan sebilangan daripada mereka. Bila ada ungkapan dalam bentuk pengucapan, sudah tentulah ada juga dalam bentuk tulisan. Apa yang hendak kita buat dalam berhadapan dengan fenomena sebegini? Adakah larangan penggunaan kalimah Allah terbatas hanya dalam bentuk tulisan sahaja? Adakah ia mendapat pengecualian dalam bentuk pengucapan? Adakah ia juga bermakna, walaupun tidak boleh digunakan dalam bible tetapi kalimah berkenaan boleh disebut dalam khutbah Kristian yang disampaikan dalam bahasa Melayu? Secara teorinya, kalau sudah ada bible dalam bahasa Melayu, tentulah sudah ada khutbah agama Kristian yang pernah disampaikan dalam bahasa Melayu!


Adakah keputusan tidak membenarkan kalimah Allah digunakan dalam bible berbahasa Melayu dibuat atas pertimbangan politik atau dibuat setelah mengambil kira kepentingannya dari aspek akidah?


Orang Melayu memang suka menimbulkan fenomena yang pelik-pelik. Perkara yang sebenarnya tidak menjadi isu sering diangkat sehingga jadi isu yang memeningkan kepala otak bangsa itu sendiri. Demi untuk menjadi yang secupak itu segantang, mereka yang terbabit sanggup berdemo pula. Manakala media tertentu pula akan sedaya upayanya membesarkan apa yang sebenarnya masih terpencil. Agaknya inilah yang dikatakan orang lebih sudu dari kuah!


Walhal golongan yang telah menolak atau mempermainkan hukum-hakam Allah secara terang-terangan merupakan isu sebenar yang perlu ditangani dengan segera. Jika tidak ia dikhuatiri akan merebak dan menjadi pegangan dan keyakinan oleh para penyokong tegar puak berkenaan. Anehnya isu sebegini didiamkan dengan enteh berapa ribu bahasa.


Benarkah hukum hudud tidak ada dalam Alquran? Bagaimana pula status akidah mereka yang berusaha membantu menghalang pelaksanaan hukum hudud? Benarkah wanita yang sudah begitu terdesak ekonominya boleh melakukan pelacuran untuk menampung keperluan asas mereka?


Adakah isu penggunaan kalimah Allah dalam bible berbahasa Melayu lebih utama, lebih besar dan lebih aula untuk ditangani daripada isu-isu di atas?


Saya sentiasa merasa hairan, mengapa orang Melayu gemar sangat untuk menimbulkan dan berkonflik atas isu-isu yang akan merugikan dan melemahkan bangsa mereka sendiri?


Perlu saya jelaskan di sini, tulisan ini merupakan pandangan peribadi saya dan ia sama sekali bukan mewakili pandangan atau pendirian mana-mana pihak, pertubuhan atau individu lain.


Salam dari Kuantan.



1 comment:

Unknown said...

Assalamu'alaikum, Saudara Blogger dan rakan-rakan sekalian.

Sekadar perkongsian pandangan: Sepanjang apa yang saudara sebutkan, ia merupakan fakta sejarah yang sahih. Namun begitu, seperti biasalah juga, isu sebegini akan sengaja dicetus para propaganda asabiyah demi meraih simpati, sokongan dan ihsan untuk, kalau tak melampau untuk saya sebutkan, kekal berkuasa, walhal, merekalah yang selama ini menyebabkan bukan Islam salah faham tentang Islam. Acapkali, bila seorang bukan Melayu, khasnya Cina, memeluk Islam, pasti akan timbul prejudis daripada ahli keluarga dan rakan sebangsanya, konon orang itu "masuk Melayu ..."; sedangkan, hakikat Melayu sebagai bangsa seperti bangsa mereka bolehlah saya katakan, tidak pernah diperjelaskan lantaran masing-masing sibuk memperjuangkan hak bangsa melebihi kepentingan awam lain. Justeru, bila timbul cadangan sebegitu (penggunaan kalimah Allah dalam Bible Melayu kepada penduduk Sabah dan Sarawak) oleh YB LGE baru-baru ini, masing-masing bagaikan mau tunjuk hero-lah sehingga tergamak berlagak samseng seperti mengadakan protes dan berhasrat membakar Bible berbahasa Melayu ... Sedangkan, seperti yang saudara sebutkan, kenyataan celupar tanpa berselindung sesetengah pemimpin terhadap hukum Allah dan sunnah Rasul tidak pula diambul serius, kan? Malah, di kalangan agamawan dalam pentadbiran itu sendiri, turut bagaikan redha terhadap kemungkaran serupa itu. Jadi, bila dah munculnya kesesatan dan kekeliruan, barulah masing-masing nak menuding jari; jadi, salah siapakah semuanya ini?

Namun demikian, alhamdulillah, baru-baru ini, sepanjang pemerhatian saya, Majlis Syura Ulama PAS telah mengambil pendirian tegas akan isu ini serta telah diperjelaskan kepada kepimpinan di kalangan Pakatan Rakyat. Ia kemudiannya disusuli pertemuan muhibbah Al-Fadhil Tok Guru Nik Aziz dengan seorang paderi terkemuka wilayah utara di Pulau Pinang baru-baru ini pada siri kunjungan beliau ke sana. Semoga setelah ini, tiada lagi sentimen perkauman dan keagamaan oleh pihak-pihak berkepentingan jika kita benar-benar inginkan Malaysia tercinta ini stabil dan makmur di bawah berkat, rahmat dan ampunan-Nya, insha Allah.

Terima kasih.