Friday, February 1, 2013

Menziarahi Ustaz Omar Said



Tengah hari semalam (31 Januari), saya bersama-sama 8 orang ahli dan kakitangan Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) telah menziarahi Ustaz Omar Said di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Ustaz Omar kini sedang menjalani rawatan penyakit kanser yang sedang beliau tanggung. Untuk maklumat bersama, Ustaz Omar ialah Timbalan Pengarah Operasi,Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).


Berdasarkan nada suaranya, saya pasti Ustaz Omar begitu gembira sekali menerima kunjung ziarah daripadda saya serta ahli-ahli PERTIS. Beliau tidak henti-henti bercerita khususnya mengenai penyakitnya. Beliau turut bercerita mengenai jadual keluar masuk hospital yang harus beliau lalui setakat ini. Senaskah kitab suci Alquran turut berada di sisi beliau.


(Ustaz Omar di majlis anjuran PERTIS pada 20 ogos 2011).


Ustaz Omar bukanlah asing dengan PERTIS. Beliau pernah hadir beberapa kali dalam majlis anjuran PERTIS. Bila berucap, banyak nasihat dan panduan yang beliau berikan untuk PERTIS dan para ahlinya. Selain itu, beliau juga banyak membantu PERTIS terutamanya dalam aspek tunjuk ajar ke arah menjadi sebuah badan bukan kerajaan yang cemerlang. Justeru, seolahnya menjadi tanggungjawab saya serta seluruh ahli PERTIS untuk mengingati beliau tatkala beliau sedang diuji oleh Allah dengan penyakit yang sedang hadapi. Mudah-mudahan dengan kunjung ziarah serta sokongan moral yang kami berikan, setidak-tidaknya beliau punya sedikit sebanyak kekuatan untuk menghadapi penyakit yang sedang beliau tanggung.



(Ustaz Omar di Majlis anjuran PERTIS pada 28 Januari 2012).

Setelah kira-kira 15 minit, saya serta seluruh ahli dan kakitangan yang hadir meninggalkan wad. Kepada Ustaz Omar dan keluarga, kami juga memohon ribuan kemaafan kerana tiada buah tangan yang sempat kami bawa. Maklumlah rancangan kunjungan ziarah ini dibuat secara tiba-tiba iaitu selepas berakhirnya program Maulidul Rasul anjuran JAWI sebelumnya.


Kepada Ustaz Omar, saya serta seluruh warga PERTIS sentiasa berdoa semoga Ustaz sentiasa tabah dalam menghadapi ujian Allah ini. Kami juga tidak lupa berdoa semoga ustaz segera sembuh dan dapat menjalani kehidupan seharian seperti sediakala.


Salam dari Kuantan.






No comments: