Thursday, February 14, 2013

“Are You Ready For BN?”



Waktu ini, laman Youtube meriah lagi. Kemeriahannya adalah gara-gara tindakan kurang bijak Datuk Seri Mohd Najib Razak, perdana menteri yang dikasihi, yang bertanyakan soalan yang sudah pun ada skema jawapannya bagi majoriti orang Pulau Pinang.






Najib: Are you ready for BN? (3 kali).

Hadirin: No ... (juga 3 kali).


Bahkan jawapan kali ketiga oleh para hadirin kedengaran lebih kuat, lebih yakin dan lebih bersemangat.Apa yang lebih mendukacitakan lagi ialah apabila “insiden” di atas dengan secepat kilat dimuat naik pula ke laman sosial. Ia kemudian dipetik pula oleh beberapa media lain sebagai bahan berita masing-masing. Kesan akhirnya, Perdana Menteri Malaysia yang sangat kita kasihi dipersendakan di ruang maya!


Bagi saya, soalan yang sepatut ditanyakan oleh Najib ialah “Are you ready for election?” Bila soalan sedemikian ditanyakan, maka saya juga yakin majoriti hadirin ketika itu akan menjawab “Yes!” Selepas itu bolehlah dibuat dengan apa jua tafsiran mengikut selera politik masing-masing.


Sebagai soalan alternatif, Datuk Seri Mohd ajib boleh bertanya: “Are you ready for BN and for PSY?” Saya rasa orang ramai mungkin akan menjawab “Yes”, setidak-tidaknya untuk PSY kalau pun tidak untuk BN! Maka akan terhindarlah interaksi spontan antara perdana menteri yang dikasihi dengan para hadirin daripada disensasikan.


Dalam “insiden” di atas, ternyata bahawa orang ramai dapat membezakan antara hiburan dengan politik. Sebab itulah bila ditanya, “Are you ready for PSY?” Hadirin menjawab “Yes!”Mereka gemar berhibur.Mereka juga tidak menolak kehadiran PSY. Pada masa yang sama, mereka tetap punya pegangan politik masing-masing. Apa yang nyata dalam “insiden” tersebut ialah kegagalan Najib sendiri untuk membezakan antara hiburan dengan politik.




Satu lagi situasi yang agak memalukan perdana menteri yang dikasihi ini ialah apabila siartis Korea ini enggan naik ke pentas untuk sama-sama menggaul yee-sang bersama-sama VVIP yang lain. Saya sendiri tertanya-tanya mengapa situasi sedemikian boleh terjadi? Adakah RM2 juta masih tidak cukup untuk beliau naik ke pentas dan bersama-sama para VVIP yang lain?


Situasi semakin memalukan kerana majlis di atas adalah anjuran Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang. Dari sudut hiburan, jelas ia telah mendapat sambutan yang cukup hebat. Manakala dari sudut politik pula, jelas bahawa BN telah mendapat tamparan yang hebat juga.






Ada pihak tertentu yang mengatakan kononnya hadirin yang menjawab “No” bila ditanya “Are you ready for BN” hanyalah beberapa peratus sahaja. Kalau dengar betul-betul video berkenaan, hadirin yang menjawab “Yes” bila ditanya “Are you ready or PSY” sama kuatnya bila mereka menjawab “No” bila ditanya “Are you ready for BN”.


Kalau yang menjawab “No” hanya beberapa peratus sahaja, mana pergi yang selebihnya? Mengapa mereka tidak menjawab dengan pasti bila perdana menteri yang dikasihi ini bertanya “Are you ready for BN?” Mengapa mereka hanya membiarkan sahaja jawapan “No” bermaharajalela menguasai suasana?


Fenomena yang sedang berleluasa kini ialah sebilangan media masih mengatakan rakyat Pulau Pinang menyambut meriah kehadiran Datuk Seri Najib. Selaku golongan yang tidak berpihak, saya pun keliru, adakah kemeriahan orang ramai untuk mengalu-alukan kedatangan Najib atau sebenarna kemeriahan tersebut kerana kehadiran PSY )Park Jae-Sang) yang gah dengan gangnam style itu?


Dalam apa jua perkara, kita seharusnya berpijak di bumi nyata. Apa yang sering berlaku ialah perdana menteri yang amat kita sama-sama kasihi ini sering dibawa jauh dari hakikat yang sebenar. Walaupun orang ramai dengan jelas sudah menjawab “No”, ada pihak yang masih mengatakan bahawa perdana menteri yang amat kita sama-sama kasihi ini mendapat sambutan hangat dan meriah di Pulau Pinang. Kalau kita sudah berpijak di bumi yang nyata, sudah tentulah segala rancangan dan strategi yang dibuat akan berpihak di bumi nyata juga. Sebaliknya jika kita enggan berpijak di bumi nyata dan enggan pula menerima hakikat yang sebenar, maka segala strategi dan rancangan yang dibuat tidak akan berpijak di bumi yang nyata. Siapa pula yang akan melopong nanti?


Suka atau tidak, hakikatnya ialah tarikh pilihanraya semakin hampir. Kesilapan membuat percaturan politik oleh mana-mana kumpulan siasah boleh mengakibatkan kerugian yang cukup besar yang bakal ditanggung oleh kumpulan siasah berkenaan. Dalam hal ini, strategi akhir yang berkesan amat penting dalam menentukan kejayaan sesebuah kumpulan siasah. Kalau sekadar mengambu dan membodek semata-mata ia bukan jauh daripada memadai bahkan ia amat bahaya sekali.


Sebenarnya, Datuk Seri Mohd Najib telah meninggalkan jasa yang besar khususnya kepada golongan cacat penglihatan sendiri. Sewaktu menjadi menteri pendidikan pada era 90-an lalu, Datuk Seri Najib telah “membuka semula pintu” kepada golongan cacat penglihatan yang berkelayakan untuk menceburi bidang perguruan. Maka itulah pada ketika itu, puluhan orang cacat penglihatan yang berkelayakan telah berjaya menjadi guru sama ada guru siswazah mahupun guru bukan siswazah. Sebab itulah bila saya katakan “perdana menteri yang amat dikasihi” ia merupakan keikhlasan yang datang dari lubuk hati yang tulus.


Are you ready for election ....?








No comments: