Sunday, March 3, 2013

Lahad Datu: Keselamatan Negara Menjadi Persoalan



Sebelum saya meneruskan dengan tulisan saya kali ini, Rasanya elok kita sama-sama membacakan surah Alfatihah kepada “almarhum” Inspektor Zulkifli Mamat dan juga “almarhum” Kopral Sabaruddin Daud. Alfatihah ....


Kedua-dua nama di atas merupakan wira dan pahlawan negara yang tiada galang gantinya. Pemergian mereka berdua menghadap Ilahi merupakan pengorbanan dan kehilanganyang tiada duanya. Kesetiaan mereka berdua kepada raja dan negara tidak pernah luntur walau di mana pun mereka bertugas. Apa yang ada dalam diri mereka berdua ialah kesetiaan kepada raja dan negara yang tiada berbelah bagi lagi. Kesetiaan mereka berdua sama sekali tidak pernah terbatas oleh semangat kenegerian yang sempit. Demikianlah.


Di sini, saya juga tidak lupa untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepara kerajaan negeri Pulau Pinang kerana telah sudi menyumbang sebanyak RM 30 ribu seorang kepada kedua-dua pahlawan negara yang telah terkorban di Lahad Datu. Sumbangan tersebut lebih bermakna kerana kedua-dua pahlawan negara tersebut bukanlah anak jati Pulau Pinang.


Tragedi Lahad Datu telah menimbulkan pelbagai persoalan yang mungkin sukar untuk dirongkai. Mengapa pihak keselamatan agak lambat brtindak terhadap kumpulan yang menceroboh? Bagaimana kumpulan bersenjata yang jumlahnya ramai boleh menceroboh ke negara ini dengan mudah? Sejauh manakah kita semua berupaya menjaga kedaulatan dan keselamatan tanah air kita?


Memang siapa pun tidak dapat menafikan bahawa selama ini negara kita berada dalam keadaan aman dan tenteram. Dalam keadaan yang aman dan tenteram inilah, semua rakyat berupaya untuk menjalani kehidupan seharian dengan mudah dan tiada gangguan. Namun begitu, kita jangan lupa pada bidalan orang tua-tua, air yang tenang jangan disangka tiada buaya.


Sebenarnya tatkala negara kita berada dalam aman, ia tidaklah bermakna negara kita bebas daripada pencerobohan asing. Buktinya, pada masa ini negara kita sedang dilimpahi dengan ribuan, bahkan mungkin ratusan ribu pendatang asing tanpa izin (PATI). Bezanya, PATI ini tidak datang dengan bersenjata. Mereka juga (setakat ini) masih tidak mampu untuk menimbulkan keributan dan keganasan sebagaimana yang baru berlaku di Lahad Datu. Walau bagaimanapun, kehadiran gerombolan PATI ini tetap tidak sah di sisi undang-undang negara kita. Kehadiran mereka telah merampas dan menjajah peluang ekonomi dan sosial rakyat negara kita. Setakat ini, bila tiba masa tertentu, puak dan gerombolan PATI ini akan diberi keampunan dan selanjutnya akan dibuka jalan untuk menjadikan kehadiran mereka di negara ini sah di sisi undang-undang. Hal sebegini bukan sekali tapi entah sudah berapa kali. Sebagai salah seorang rakyat di bumi tercita ini, saya sendiri kurang gemar dengan langkah sedemikian. Ia hanya mengakibatkan gerombolan PATI tersebut tidak akan pernah merasa bersalah bila menceroboh ke negara orang. Mereka juga akan selamanya berpendapat bahawa pencerobohan haram mereka akan berakhir dengan pengampunan dan penghalalan.


Persoalannya, bagaimana geromboan PATI ini boleh menerobos masuk ke negara ini dengan mudah? Mengapakah bilangan gerombolan PATI ini ramai dan seakan tiada tanda ia akan susut? Adakah langkah dan usaha pihak berwajib selama ini untuk membanteras gerombolan PATI ini tidak berkesan? Adakah pihak yang berkenaan hanya akan mengambil tindakan berkesan ke atas penceroboh yang bersenjata sahaja? Tidakkah fenomena ini juga merupakan satu lagi bentuk pencerobohan ke atas kedaulatan dan keselamatan negara kita?


Justeru, bila ada pihak yang meragui tahap keselamatan negara, maka ia ada asasnya. Selama ini, negara kita telah pun diceroboh dalam keadaan aman dan secara aman. Oleh kerana pencerobohan sebelum ini telah pun berlaku dalam aman, maka kita tidak pun menghiraukannya. Dengan erti kata lain, pencerobohan secara aman yang berlaku di negara kita selama ini oleh gerombolan PATI hanya dipandang sebelah mata sahaja.


Selaku rakyat negara ini, sudah tentulah kita sama-sama melihat pencerobohan yang berlaku di Lahad Datu baru-baru ini sesuatu yang amat serius. Keadaan lebih menyukarkan lagi apabila gerombolan penceroboh berkenaan beragama Islam. Bukankah setiap orang Islam tanpa mengenal sempadan geopolitik adalah bersaudara? Pada masa yang sama pula, setiap orang Islam harus menghormati hak saudaranya yang lain. Justeru, apa yang dilakukan oleh pihak penceroboh bukanlah satu jihad kerana mereka telah menceroboh kedaulatan dan keselamatan wilayah yang dipunyai oleh saudaranya sendiri.


Satu persoalan yang timbul ialah, mengapa baru sekarang kesultanan sulu baru teringat bahawa Sabah adalah sebahagian daripada wilayah mereka? Bukankah kerajaan Filipina telah pun menggugurkan tuntutan mereka ke atas Sabah pada akhir dekad 80-an yang lalu? Dengan gugurnya tuntutan Filipina ke atas Sabah, ini bermakna Sabah sudah sepenuhnya menjadi milik Malaysia dan orang Sabah. Ia tidak lagi ada kena-mengena dengan kesultanan Sulu. Bahkan sebilangan bangsa Sulu yang kini menetap di Sabah bukan lagi rakyat kesultanan Sulu, sebaliknya mereka adalah orang Sabah dan rakyat Malaysia.


Bagi saya, adalah kurang tepat bilamana kita beranggapan pencerobohan hanya berlaku ke atas negara kita bila berlakunya pencerobohan secara bersenjata. Tidak keterlaluan rasanya jika saya katakan bahawa pencerobohan ke atas kedaulatan dan keselamatan tanah air kita berlaku secara berterusan. Sebab itulah kehadiran gerombolan PATI merupakan satu lagi bentuk pencerobohan!


Jesteru, satu tindakan yang lebih berkesan dan bersepadu harus dilaksanakan oleh pihak yang berkuasa. Jangan bila sudah terhantuk baru tengadah atau bila sudah hujan baru hendak cari payung.


Peristiwa yang berlaku di Lahad Datu akan menyebabkan sebahagian kita teruja ingin tahu mengenai beberapa perkara. Siapa bangsa Sulu ini? Apakah sejarah kesultanan Sulu? Mengapa sehingga sekarang mereka masih menuntut kedaulatan ke atas Sabah? Apa pula status kesultanan Sulu ini dalam konteks kerajaan Filipina? Kesemua persoalan ini mengingatkan saya kepada salah satu kertas sejarah yang pernah saya ambil sewaktu menuntut di Universiti Malaya (UM) dahulu mengenai sejarah Borneo (termasuk Sabah) di bawah kendalian Dr. Ranjit Singh. Bila kita ada pengetahuan mengenai sejarahnya, tentulah sedikit sebanyak kita dapat memahami latar belakang peristiwa yang sedang berlaku. Selain itu, mungkin kita juga dapat membaca apakah kemungkinan yang tersirat di sebalik peristiwa berkenaan.


Khabarnya ada anggota keselamatan kita yang terkorban pula di Kampung Simunul!









1 comment:

Unknown said...

Assalamu'alaikum, Saudara Blogger dan rakan-rakan sekalian.

Tepat sekali: Sebenarnya, Malaysia telah lama diceroboh secara aman. Bahkan, rasanya tidaklah keterlaluan jika rakyat membuat kesimpulan, bahawa, pencerobohan seumpama ini, kecuali pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, sangat berkait dengan penguasa kini. Mana tidaknya? Lihat sahaja pengakuan Dr. Mahathir yang kelihatan "TERPAKSA" apabila disoal-siasat RCI Sabah sebulan dua yang lalu, kan? Sudahlah begitu; dia tidak segan silu mengaitkan Allahyarham Tunku Abdul Rahman juga sebagai agen pembawa PATI, sedangkan apa yang Allahyarham lakukan, ada asas dan alas an tertentu. Justeru, tuntutan pembersihan daftar pemilih oleh BERSIH dan sekalian rakyat, umpamanya, mestilah ditangani seseriusnya dengan tindakan praktikal oleh kerajaan; jangan kerana ghairahkan dunia nan tak seberapa ini, maruah sanggup digadai ... Kelak, berhadapan dengan pertanggungjawaban yang tidak terpikul di sana ...

Terima kasih.