Friday, March 22, 2013

Azzimuddie Kiram Meninggalkan Pelbagai Persoalan



Tragedi pencerobohan rakyat Sulu ke atas kedaulatan negara kita khususnya Sabah masih lagi belum selesai. Setakat ini tiada jaminan dan kepastian bila tragedi ini akan benar-benar dapat ditamatkan. Kerajaan sendiri masih tidak dapat memberi sebarang kepastian bila dan berapa lama tragedi ini akan berlarutan. Ini baru sekitar 200 orang penceroboh yang masuk menceroboh. Tidak dapat dibayangkan jika negara kita diceroboh oleh ribuan pengganas asing, entah berapa lama pula masa yang akan diambil untuk operasi pembersihan.


Di sini, bukanlah niat saya untuk memperkecilkan kemampuan dan pengorbanan pasukan keselamatan kita. Bagi saya, mereka telah berkorban dengan penuh keikhlasan dan semangat keperwiraan yang tiada tolok bandingnya. Harapnya tiada sesiapa yang akan cuba menyalahtafsirkan apa yang saya tulis di atas.


Dalam soal pencerobohan pengganas Sulu yang sedang berlaku, antara nama yang paling menonjol dalam kalangan pengganas tersebut ialah ketuanya sendiri iaitu Azzimuddie Kiram. Beliau ini dikatakan raja muda Sulu. Beliau juga merupakan adik kepada Jamalul Kiram III, salah seorang sultan Sulu yang masih bertakhta tanpa kuasa itu.


Namun demikian, setelah meneliti beberapa sumber maklumat, beberapa persoalan mula timbul khususnya mengenai Azzimuddie Kiram ini. Antara maklumat yang baru didedahkan ialah kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saudara Rafizi Ramli.

Bagi saya, pendedahan ini amat memeranjatkan. Selaku rakyat Malaysia, kita merasa cukup sedih dan kecewa dengan apa yang telah berlaku. Antara persoalan penting yang telah didedahkan termasuklah:


  1. Azzimuddie Kiram pernah memiliki kad pengenalan Malaysia berwarna biru.
  2. Azzimuddie Kiram pernah berkhidmat sebagai kakitangan awam Sabah dengan menjawat jawatan Penolong Pegawai Daerah (ADO)
  3. Mungkin ramai lagi orang asing yang telah mendapat kad pengenalan biru seperti Azzimuddie Kiram.

Sehingga kini, pihak kerajaan masih membisu seribu bahasa dengan pendedahan yang telah dibuat oleh Saudara Rafizi Ramli. Di sini, adalah tidak tepat jika saya dikatakan condong kepada pendedahan Rafizi Ramli. Walau bagaimanapun, bukti yang telah dikemukakan oleh beliau kukuh dan meyakinkan. Sikap membisu seribu bahasa oleh pihak kerajaan setakat ini menambah lagi keyakinan orang ramai dengan pendedahan yang telah dibuat oleh Rafizi dan PKR.


Sesungguhnya pemberian kad pengenalan dan kewarganegaraan kepada orang asing tanpa saluran yang sah merupakan satu jenayah kenegaraan yang sukar untuk dimaafkan. Pihak dan individu yang terlibat sebenarnya telah menggadai kedaulatan negara secara senyap dan secara tidak bertanggungjawab. Jika sahih Azzimuddie Kiram dan puak yang sewaktu dengannya telah memperolehi kad pengenalan sejak dekad 70-an lagi, ini bermakna aktiviti menggadaikan negara telah lama berlaku. Kesan daripada jenayah kenegaraan berkenaan hanya dapat dirasai dan dilihat setelah berpuluh tahun ia dilakukan. Ini juga bermakna, pihak dan individu yang telah memberikan kewarganegaraan secara tidak sah kepada puak-puak berkenaan langsung tidak berwawasan dan sangat berfikiran singkat.


Menurut sumber berkenaan lagi, Azzimuddie Kiram pernah memiliki kad pengenalan berwarna biru. Ini juga bermakna, beliau bukan sekadar penduduk tetap, tetapi merupakan warganegara “yang sah”. Oleh kerana Azzimuddie Kiram dikatakan pernah menjawat jawatan selaku Penolong Pegawai Daerah di Sabah, maka tidak hairanlah beliau amat arif dengan selok-belok muka bumi Sabah. Maka itulah juga pada hari ini, tatkala beliau dan rakan-rakan sepengganasnya melancarkan keganasan, beliau agak sukar untuk dikesan. Ini kerana Azzimuddie dan gerombolannya amat arif di hutan mana, di bukit mana, di pulau mana atau dilembah mana untuk lari dan menyembunyikan diri. Akhirnya yang susah siapa dan pihak mana pula sebenarnya yang telah menyusahkan negara kita?


Sebelum ini ada pihak yang kononnya melemparkan dakwaan bahawa ada individu tertentu yang menjadi dalang kepada pencerobohan pengganas Sulu berkenaan. Selanjutnya ada pula pihak yang sepuak dengan sipendakwa tadi menggesa pula agar satu suruhanjaya hendaklah ditubuhkan untuk menyiasat sidalang berkenaan. Pendedahan yang dilakukan oleh Rafizi Ramli ini telah mengalih perhatian orang ramai mengenai dalang sebenar yang perlu disiasat. Sepertimana yang saya nyatakan sebelum ini, pihak yang terlibat dengan pemberian kad pengenalan tanpa saluran yang sah merupakan penjenayah negara yang sepatutnya tiada ampun baginya. Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai pemberian kad pengenalan palsu di Sabah memang kena pada masanya.


Sesungguhnya orang yang sering membuat dan melaksanakan rancangan jahat selalu lupa pada firman Allah yang antara lain mafhumnya: “Mereka merancang dan Allah juga mempunyai rancangan, dan Allah adalah sebaik-baik perancang” (Ayat 54, Surah Ali Imran, juzuk 3).


Di samping itu, persoalan juga timbul, dalam kalangan pengganas Sulu yang telah menceroboh, berapa ramai pula yang pernah mendapat kad pengenalan Malysia secara tidak sah? Jika Azzimuddie Kiram dikatakan mahir dengan selok-belok Sabah, sudah tentulah para pengikutnya yang turut sama pernah mendapat kad pengenalan secara tidak sah itu punya kemahiran yang serupa. Maka itu, tidak hairanlah mereka mahir dengan selok-belok setempat. Akibatnya, mereka sukar dikesan dan sekaligus menyukarkan operasi pembersihan. Persoalan lain juga timbul, berapa ramai pula dalam kalangan penduduk di Sabah sendiri telah diberikan kad pengenalan tanpa mengikut saluran yang sah?


Selama ini, kita sering mendengar ada segelintir pemimpin yang terpekik dan menjerit dengan mengatakan bahawa mereka akan pertahankan kedaulatan negara walaupun seinci. Ada juga antara mereka yang melaungkan kononnya biar putih tulang jangan putih mata. Ada juga yang terlolong menyatakan salah satu prinsip Rukun Negara iaitu kesetiaan kepada raja dan negara. Apakah makna semua kata-kata di atas bilamana ada dalam kalangan mereka ini yang telah mengadai kedaulatan negara melalui pemberian kad pengenalan secara tidak sah?


Sebenarnya persoalan hakiki yang terbentang di hadapan kita bukan lagi si dalang kepada pencerobohan pengganas Sulu. Bagi saya persoalan yang lebih besar dan utama ialah siapakah petualang sebenar yang telah menggadai kedaulatan negara dengan memberikan kad pengenalan biru kepada orang asing tanpa mengikut saluran yang sah. Sang petualang inilah yang perlu dicari sehingga ke lubang cacing. Setelah dapat nanti, beliau perlu dikenakan tindakan yang sekeras-kerasnya untuk menjadi pengajaran kepada generasi yang terkemudian. Dalam mengambil tindakan keada sang petualang ini, janganlah ada mana-mana pihak yang memilih bulu pula. Jika sang petualang itu nanti merupakan orang besar atau mantan orang besar, maka tindakan ke atasnya mungkin ringan atau tiada tindakan langsung. Sebaliknya jika sang petualang itu merupakan tokoh an puak yang selama ini tidak sehaluan dengan parti pemerintah, maka mereka akan dikenakan tindakan yanglebih berat. Kononnya untuk menghargai jasa dan sumbangan yang pernah dicurahkan. Ingatlah, susu sebelangan pasti rosak walaupun dengan setitik nila Cuma. Sesungguhnya sang petualang ini bukan sahaja tidak patriotik, bahkan ereka mengkhianati pula tanah air tercinta ini. Ingatlah, sekiranya kita gagal belajar daripada sejarah, kita pasti akan dihukum dengan mengalaminya semula.





No comments: