Wednesday, March 20, 2013

Selamat Ulang Tahun Kepada Dato’ Ann Majeed



Hari ini, 20 Mac merupakan hari ulang tahun kelahiran Yang Berbahagia Dato’ Ann Majeed. Pada tahun ini genaplah usia beliau yang ke-85. Beliau telah dilahirkan pada 20 Mac 1928 di Kuala Lumpur.






Yang Berbahagia Dato’ Ann Majeed merupakan guru besar Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Princess Elizabeth yang pertama. Mengikut kajian saya sendiri, beliau juga merupakan anak Melayu pertama yang boleh membaca dan menulis tulisan Braille di negara ini. Beliau telah mempelajari tulisan tersebut mulanya daripada D.R Bridges, seorang pegawai British yang telah dihantar khusus ke Tanah Melayu bagi tujuan memberi perkhidmatan kepada golongan OKU ketika itu. Dato’ Ann Majeed juga merupakan wanita pertama di negara ini yang telah berjaya menjawat jawatan sebagai ketua pengarah, iaitu ketua pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Malaysia.


Hari ini, Dato’ Ann Majeed masih bersama kita. Walaupun nama beliau semakin luput daripada sebutan khususnya mereka yang terlibat secara langsung dengan pendidikan khas penglihatan, namu begitu jasa dan sumbangan yang telah beliau curahkan tidak akan luput ditelan zaman. Dapatlah saya katakan bahawa Dato’ Ann Majeed telah menyediakan asas yang kukuh kepada perkembangan pendidikan khas hari ini.





Kepada yang Berbahagia Dato’ Ann Majeed, saya dengan seikhlas hati mengucapkan selamat ulang tahun ke-85 dengan iringan doa semoga Dato’ dan keluarga sentiasa berada dalam rahmat dan kasih sayang Allah hendaknya sepanjang masa, insha-Allah.


Terima kasih juga saya ucapkan kerana sudi mengundang saya dan keluarga ke rumah Dato’ untuk majlis doa selamat Sabtu ini.





No comments: