Saturday, March 16, 2013

SBM Terengganu Anjurkan Kelas Hafazan?



Sebelum saya pergi lebih jauh dalam tulisan kali ini, perlu saya natakan bahawa apa yang saya tulis ini atas kapasiti saya selaku ahli SBM. Ia sama sekali tiada kena-mengena dengan kedudukan saya di lain-lain badan bukan kerajaan. Harap semua yang membaca maklum.


Perlembagaan Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) iaitu pada bahagian pengenalannya menyebut:


The Society of the Blind in Malaysia is a non-religious, non-political, national voluntary organisation of blind individuals of all races and from all walks of life resident in Malaysia dedicated to the task of securing equal rights and opportunities for blind people in this country by working collectively and fraternally for the socio-economic advancement of blind people, with the view of enabling them to become responsible, useful and productive citizens.


Mengikut amalan kebiasaan, SBM tidak boleh menjalankan sebarang aktiviti keagamaan atas nama pertubuan berkenaan atau menggunakan dananya untuk tujuan tersebut. Pada pemahaman saya, SBM juga tidak boleh menjalankan sebarang aktiviti keagamaan atas nama pertubuhan walaupun mendapat tajaan atau sumber dana daripada pihak luar.


Walau bagaimanapun, ia bukanlah bermaksud para ahli SBM tidak boleh bergiat dalam apa-apa jua aktiviti berbentuk keagamaan atas sifatnya sebagai individu. Para ahli SBM bebas untuk mengikuti sebarang aktiviti keagamaan di bawah anjuran pertubuhan lain. Selain itu, adalah tidak salah bilamana ahli SBM yang beragama Islam untuk menunaikan ibadah yang berbentuk rukun walaupun dalam premis SBM. Sebagai contoh, bila tiba waktu solat dan kebetulan ahli berkenaan masih berada dalam premis SBM, maka tidak menjadi kesalahan untuknya melaksanakan ibadat wajib berkenaan.


Dalam mesyuarat agung khas SBM yang telah diadakan pada 16 Disember lalu, majoriti ahli turut menolak draf pindaan perlembagaan SBM yang antara lain untuk meminda bahagian Pengenalan dengan membuang frasa “bukan keagamaan”. Ia secara jelas menunjukkan bahawa majoriti ahli SBM ingin supaya statusquo SBM sebagai sebuah pertubuhan yang bukankeagamaan dikekalkan. Demikianlah.


Pada hemat saya, statusquo ini perlu dikekalkan memandangkan SBM merupakan sebuah pertubuhan yang dianggotai oleh mereka daripada pelbagai bangsa, agama dan kepercayaan. Sekiranya ahli SBM yang beragama Islam dibenarkan untuk melaksanakan aktiviti keagamaan, ia sudah tentu menimbulkan rasa tidak puas hati kepada ahli yang bukan Islam. Apabila ahli yang bukan Islam pula melaksanakan aktiviti menurut kepercayaan mereka, ia mungkin menimbulkan rasa tidak puas hati pula kepada ahli yang beragama islam. Kalau ahli yang beragama Islam berupaya mencari tajaan luar untuk menganjurkan aktiviti keagamaan atas nama SBM, para ahli yang bukan Islam juga mempunyai keupayaan yang mungkin lebih lagi untuk tujuan yang sama bagi kepercayaan yang mereka anuti. Sekiranya situasi ini tidak dibendung, sudah tentulah ia bakal menjadikan SBM sebuah pertubuhan yang kucar-kacir suatu hari kelak.


SBM telah melalui sejarah yang agak panjang. Maklumlah ia telah ditubuhkan pada tahun 1964 lagi. Hari ini kepimpinan SBM sedang dibarisi oleh majoritinya ahli yang beragama Islam. Jadi tampak seolahnya kedudukan Islam unggul pada masa ini. Kita tidak seharusnya lupa bahawa pada peringkat awal SBM telah diasaskan oleh majoritinya ahli yang bukan Islam (khususnya bangsa Cina yang cacat penglihatan). Pada ketika itu, kedudukan Islam langsung tidak unggul. Situasi barisan kepimpinan SBM yang ada pada hari ini tidak semestinya akan bertahan buat selama-lamanya. Bak kata orang tua-tua, sekali air bah pantai pasti akan berubah.





Beberapa minggu lalu, saya mendapat maklumat bahawa SBM Cawangan Terengganu bercadang untuk menganjurkan kelas hafazan Alquran. Walaupun dana untuk aktiviti tersebut tidak melibatkan wang SBM (sebagaimana saya diberitahu), tetapi aktiviti berkenaan akan dijalankan atas nama SBM dan di premis SBM Terengganu. Langkah SBM Terengganu ini bukan sahaja bercanggah dengan Perlembagaan SBM itu sendiri, bahkan ia juga seolah-olah mencabar apa yang telah diputuskan dalam mesyuarat agung khas SBM pada 16 Disember lalu.


Bagi saya, langkah SBM Terengganu tidak kena pada tempatnya. Kalau aktiviti berkenaan dianjurkan hanya sekadar untuk mencari populariti, ia sama sekali terkeluar daripada tujuan murni untuk berdakwah. Setakat yang saya maklum, sudah ada sebuah persatuan lain di Terengganu telah pun menganjurkan aktiviti yang sama dan serupa. Jadi, apa perlunya SBM Terengganu menganjurkan lagi aktiviti yang sama? Tidakkah apa yang sedang diusahakan oleh SBM Terengganu hanya mewujudkan persaingan sesama sendiri yang tidak menguntungkan mana-mana pihak? Adakah SBM Terengganu sudah ketandusan aktiviti sehingga terpaksa menganjurkan aktiviti yang bercanggah dengan perlembagaannya sendiri?


Golongan cacat penglihatan di Terengganu, khususnya di sekitar Kuala Terengganu, bukanlah ramai pun. Bila ada dua pertubuhan yang menganjurkan satu aktiviti yang serupa, tidakkah ia menunjukkan ada perpecahan dalam kalangan masyarakat cacat penglihatan di sana? Perbezaan peribadi atau pertikaian persendirian tidak seharusna terbawa-bawa dalam menguruskan pertubuhan yang sedang dipimpin. Itu tidak profesional namanya.


Saya perlu tegaskan di sini, saya bukan anti kepada usaha dan kerja dakwah. Pada masa yang sama, kita harus faham bahawa usaha dakwah perlu dilaksanakan secara bijaksana, berhemah serta dengan cara yang baik dan lemah-lembut. Adalah amat merugikan jika kita wujudkan satu suasana persaingan yang tidak sihat antara sesama sendiri apatah lagi jika ia dilakukan atas nama dakwah. Bila ada dua organisasi menganjurkan satu aktiviti yang sama dan golongan sasarnya pula merupakan puak yang sama juga, itu merupakan satu langkah yang sangat tidak bijak!


Dalam konteks dakwah, kita harus berfikir panjang dan jauh ke hadapan dan bukannya sekadar sehasta atau sejengkal. Gerak kerja dakwah sama sekali tidak akan berkesan jika ia dilaksanakan dengan ada udang di sebalik batu. Jika pelaksanaannya dipancing dengan wang ringgit, ia pasti tidak akan bertahan lama. Percayalah!


Secara keseluruhannya, masyarakat cacat penglihatan di negara ini bukanlah besar sangat. Walau bagaimanapun, setakat ini sudah ada berbelas pertubuhan bukan kerajaan yang kononnya ingin berjuang untuk kepentingan golongan tersebut. Sepatutnya kehadiran banyak badan bukan kerajaan ini menjadi pelengkap antara satu sama lain. Kesemua pertubuhan bukan kerajaan ini seharusnya saling tolong-menolong antara satu sama lain. Amat malang sekali jika kewujudan berbelas pertubuhan bukan kerajaan dalam kalangan cacat penglihatan hanya sekadar untuk mencari nama, mencari pengaruh dan hanya untuk menimbulkan persaingan kurang sihat antara sesama sendiri. Akhirnya masyarakat sasar tidak terbela dan pertubuhan pula menjadi kucar-kacir.






1 comment:

Unknown said...

Assalamu'alaikum, Saudara Blogger dan rakan-rakan sekalian.

Benar. Saya bersetuju 100 % dengan artikel ini. Maknanya, bukanlah kita menolak usaha murni golongan prihatin sebegitu; cuma, harus difikirkan, bukankah matlamat tidak semestinya menghalalkan cara? Malah, tak mampu saya bayangkan nanti, seandainya pindaan perlembagaan SBM pada mesyuarat agung khas mereka yang lalu itu Berjaya, pasti rakan-rakan ahli non-Muslim akan kecewa tak terkata, sekaligus menimbulkan tanggapan negative, kononnya, "Ha, itulah dia, kalau dah kepimpinan Melayu tu, 'guarantee' pertahankan Melayu juga-la ...", sekaligus mencalarkan imej Islam itu sendiri. Ini kerana, pada pengamatan saya yang tak seberapa ini, walaupun Malaysia telah merdeka 55 tahun setengah lalu, sentiment perkauman dan keagamaan masih tebal, apatah lagi bila ianya dijana oleh para munafiqun yang, maklum ajalah, kan, sangat tidak bertanggungjawab lagi sentiasa mengkhianati kedaulatan Negara. Bukankah ini juga sekaligus turut dirasai rakan-rakan kita? Justeru, saya turut berpendapat, kefahaman terhadap perlembagaan itu sendiri mesti diserapkan khasnya kepada kepimpinan pusat dan cawangan dan seterusnya kepada rakan-rakan ahli agar keharmonian sejati akan benar-benar terjalin, insha Allah.

Terima kasih.