Sunday, March 17, 2013

Selesaikan Dahulu Ops Daulat





Serangan pengganas Sulu ke atas Lahad Datu lebih sebulan yang lalu nampaknya sama sekali tidak mengubah senario para ahli politik di negara kita. Walaupun musuh sudah mendarat, berkubu dan seterusnya telah menumpahkan darah pahlawan kita, gelagat dan perangai sebilangan ahli politik kita tetap sama dan serupa. Bahkan sikap sebilangan besar daripada mereka yang cuba menangguk di air keruh di atas peristiwa di Sulu amat menjengkelkan.


Sepatutnya apabila kedaulatan negara kita telah diceroboh walaupun seinci, semua pihak terutamanya ahli politik harus mengenepikan perbezaan politik dan mempamirkan perpaduan dan kesatuan atas nama rakyat Malaysia yang tiada tolok bandingnya demi mempertahankan tanah air tercinta. Bilamana situasi ini dapat direalisasikan, barulah ungkapan “biar putih tulang, jangan putih mata” benar-benar akan dapat dijelmakan. Apabila ahli politik bersatu atas isu kedaulatan, ia pasti akan dituruti oleh para pengikut tegar masing-masing. Barulah akan terserlah perpaduan jati antara sesama kita.


Malangnya hal sebegini tampak jauh pangang dari api. Walaupun pengganas Sulu sedang berkeliaran di sekitar Lahad Datu, peristiwa ini nampaknya telah dikambinghitamkan untuk keuntungan politik pihak-pihak tertentu. Para politikus rakus ini pula tidak pernah merasa bersalah dan berdosa di atas perbuatan sumbang mereka. Malanglah negara kita kerana punya ahli politik yang jauh daripada bersifat patriotik. Mereka hanya tahu menyuruh orang bawahan supaya sentiasa bersikap patriotik. Sikap mereka tak ubah bagai ketam yang menyuruh anaknya supaya berjalan lurus.


Peristiwa pencerobohan pengganas Sulu ke atas Lahad Datu semakin menyerlahkan lagi sifat dan sikap sebenar sebilangan ahli politik negara kita. Sebilangan mereka akan meletakkan “politik” di agenda paling atas dalam setiap tindakan mereka. Golongan rakus ini akan sentiasa berpolitik pagi dan petang, siang dan malam tanpa menoleh keliling lagi. Agaknya kalaulah pengganas Sulu dirasakan boleh memberikan keuntungan politik, puak tersebut mungkin turut akan diperdalangkan!


Sehingga kini, walaupun lebih dari sebulan insiden pencerobohan pengganas Sulu berlaku, mereka masih belum dapat ditumpaskan sepenuhnya. Mereka masih berkeliaran di atas bumi kita. Mereka masih menjadi ancaman kepada rakyat kita. Simpati daripada puak mereka dari tanah leluhur mereka tak pernah luntur. Dengan erti kata lain, selagi Ops Daulat belum selesai, maka selagi itulah kedaulatan dan keselamatan negara kita dalam ancaman.


Dalam soal keselamatan dan mempertahankan kedaulatan negara, ruang yang secukupnya hendaklah diberikan kepada pasukan keselamatan kita untuk menumpaskan musuh yang sedang menceroboh. Untuk itu, apa jua komen, ulasan, pandangan atau kritikan yang boleh mengganggu usaha dan kerja pasukan keselamatan hendaklah dijauhi atau pun dihentikan sepenuhnya. Amat tidak wajar sekali bilamana ada pihak yang melemparkan ungkapan kasar terutamanya kepada pasukan keselamatan kita khasnya yang sedang berjuang di baris hadapan. Ugkapan yang mengkategorikan pasukan keselamatan kita sebagai “anjing” atau “mati katak” sama sekali tidak boleh diterima. Sesungguhnya kenyataan tidak beradab sedemikian bukan sahaja telah memperlekehkan keupayaan mereka, bahkan ia juga akan mengganggu moral pasukan keselamatan kita yang sedang berjuang. Kenyataan sedemikian juga boleh menggores hati kaum keluarga, saudara-mara serta sahabat taulan anggota keselamatan berkenaan.


Bagi saya, sewaktu Ops Daulat sedang berjalan, adalah tidak wajar bagi mana-mana pihak untuk mengeluarkan apa-apa jua kenyataan yang boleh menggugat perpaduan rakyat dan negara. Adalah tidak wajar juga bilamana kenyataan-kenyataan sedemikian dikeluarkan secara terbuka dan berleluasa. Kenyataan-kenyataan seperti sandiwara, kononnya ada pemimpin pembangkang terlibat selaku dalang, atau lain-lain kenyataan yang serupa hanya akan meretakkan lagi kesatuan dan perpaduan dalam kalangan sesama kita.


Selain itu, saya juga merasakan bahawa cadangan supaya RCI (Suruhanjaya Siasatan Diraja) ditubuhkan untuk menyiasat pencerobohan di Lahad Datu tatkala Ops Daulat masih berjalan belum kena pada masanya. Bagi saya, apa yang lebih penting pada masa ini ialah selesaikan dahulu Ops Daulat. Pastikan semua (jika boleh) pengganas Sulu yang menceroboh dihapuskan. Pastikan juga Lhad Datu kembali aman seperti sediakala. Pastikan Ops Daulat dapat diselesaikan secepat mungkin. Jangan ada pihak (jika ada) cuba memanjangkan Ops Daulat walaupun untuk sesaat. Agaknya sikap bersatu hati dalammenangani isu di Lahad Datu ini terutamanya dalam kalangan ahli politik kita merupakan sesuatu yang asing dan terlalu ideal!!!


Sepatutnya hal-hal lain bolehlah diutarakan atau dibincangkan selepas Ops Daulat selesai sepenuhnya. Bila selesai sahaja Ops Daulat, ia bermakna negara ita sudah aman sepenuhnya daripada penceroboh. Ia juga bermakna saki-baki pengganas Sulu sudah pun berjaya dihapuskan. Ia juga bermakna tiada lagi ancaman khasnya daripada pengganas Sulu ke atas wilayah kedaulatan kita. Maknanya negara kita sudah aman dan pulih seperti sediakala.


Apabila situasi ini telah dapat diwujudkanm kama ketika itu kita boleh selesaikan hal-hal yang lain pula. Mana-mana pihak yang mendakwa ada dalang di sebalik pencerobohan pengganas Sulu boleh ketengahkan bukti untuk menyokong dakwaan mereka. Kalau gagal ketengahkan bukti, pihak berkenaan harus bersedia untuk didakwa pula. Ada pihak yang mengatakan kononnya pencerobohan pengganas Slu ada dalangnya dan kononnya dalang berkenaan merupakan dalam kalangan pihak yang satu lagi. Tidak cukup dengan dakwaan berkenaan, pihak berkaitan cadangkan pula supaya RCI ditubuhkan untuk menyiasat dalang berkenaan. Sepatutnya, RCI tidak perlu ditubuhkan jika pihak yang membuat dakwaan sudah punya cukup bukti untuk menyokong apa yang mereka dakwa. Apa yang berlaku seolah-olahnya ada pihak yang hanya tahu mengutarakan dakwaan tertentu manakala bukti lanjut dakwaan tersebut diminta pihak ketiga pula untuk mencarinya. Lagi pun Ops Daulat belum lagi berakhir. RCI yang ada pun belum lagi selesai menjalankan tugas mereka!


Dalam hal ini, kita jangan lupa pada apa yang telah berlaku pada zaman pemerintahan Khalifah Ali bin Abi Talib. Sewaktu Khalifah Ali mula menerajui pemerintahan egara, keadaan tidak aman. Gara-gara pembunuhan ke atas Khalifah Uthman bin Affan sebelumnya, bibit-bibit perpecahan dalam kalangan umat Islam mula menampakkan retak yang menanti belah. Dalam situasi ini, Khalifah Ali tegas mengatakan bahawa beliau tidak mungkin dapat menegakkan undang-undang selagi negara tidak aman. Oleh yang demikian, beliau (Khalifah Ali) telah mengambil segala langkah yang perlu untuk mengamankan negara terlebih dahulu. Pada masa yang sama, ada puak lain yang cuba menangguk di air keruh dengan mendesak Khalifah Ali supaya segera mengambil tindakan ke atas pihak yang dikatakan telah bertanggungjawab ke atas pembunuhan Khalifah Uthman. Apa yang sebenarnya berlaku ialah, desakan puak berkenaan bukanlah benar-benar ikhlas dan bertujuan untuk mencari keadilan, tetapi sebaliknya ia tak ubah bagai ada udang di sebalik batu dengan bertujuan untuk memperoleh laba politik yang semaksimumnya. Dalam hal ini, pandangan Khalifah Ali adalah betul iaitu negara harus aman lebih dahulu barulah keadilan akan dapat ditegakkan. Manakala pihak yang satu lagi pula juga maklum bahawa dalam keadaan yang tidak aman inilah sahaja mereka akan dapat meluaskan pengaruhnya supaya dapat beroleh laba politik yang lebih besar. Demikianlah sejarah mengajar kita.


Nampaknya semua pihak pandai bercakap dengan mengatakan tiada kompromi dalam mempertahankan kedaulatan negara. Ada juga yang menyeru agar semua pihak supaya ketepikan semua perbezaan politik dan bersatu dalam mempertahankan keselamatan tanah air. Namun begitu, ada juga pihak yang sedang menangguk di air keruh daripada peristiwa pencerobohan pengganas Sulu. Selagi sikap double standard ini berleluasa, maka selama itulah perpaduan antara sesama kita sekadar omong kosong yang tak ubah macam sekam padi semata-mata.



No comments: