Tuesday, March 19, 2013

Meninjau MAB Dari Jauh



Pada Sabtu lalu, khabarnya ada pertemuan yang berbentuk dialog antara pihak pengurusan Persatuan Orang-orang Buta Malaysia (MAB) dengan masyarakat cacat penglihatan di sekitar Kuala Lumpur. Dialog berkenaan telah pun diadakan di premis MAB sendiri. Khabarnya juga ramai golongan cacat penglihatan telah hadir dalam dialog berkenaan. Saya sendiri tidak dapat hadir kerana ada mesyuarat penting di ibu pejabat PERTIS. Walau bagaimanapun, serba sedikit maklumat mengenai dialog berkenaan sampai juga ke telinga saya.




Khabarnya, dialog berkenaan yang sepatutnya berakhir pada jam 1 tengah hari, telah berakhir setengah jam lebih awal. Bahkan, saya turut juga mendapat khabar bahawa majlis dialog berkenaan telah berakhir dalam situasi yang tidak ceria. Ada semacam yang tidak kena dan tidak sehaluan antara pihak pengurusan dengan para hadirin. Jika benar, ia merupakan sesuatu yang agak malang, khususnya kepada masyarakat cacat penglihatan sendiri. Mengapa saya kata demikian?Kerana golongan cacat penglihatan gagal untuk menjadi kumpulan pendesak yang benar-benar berkesan terhadap MAB. Ini ditambah dengan sikap pihak pengurusan MAB sendiri yang sering memandang sinis terhadap desakan, keluhan serta pandangan yang diutarakan oleh golongan cacat penglihatan.


Tiada siapa yang dapat menafikan peranan dan sumbangan MAB terhadap golongan masyarakat cacat penglihatan di negara kita selepas 62 tahun penubuhannya. Pelbagai projek, kegiatan dan sumbangan telah dilaksanakan oleh MAB untuk kesejahteraan golongan cacat penglihatan. Namun demikian, apabila MAB telah melaksanakan sesuatu di luar peranannya terhadap golongan cacat penglihatan, ia tidak bermakna golongan cacat penglihatan boleh menutup mulut begitu sahaja. Walaupun hanya sekadar sebagai pengguna perkhidmatan yang disediakan oleh MAB, masyarakat cacat penglihatan turut bertanggungjawab untuk menegur dan memperbetulkan MAB bila dirasakan perlu. Bukankah tegur-menegur dan nasihat-menasihati adalah amalan murni? Adakah pihak pengurusan tertentu dalam MAB terlalu maksum sehingga akan terjunam darjat mereka bila mendengar dan akur dengan pandangan baik daripada masyarakat cacat penglihatan?






Saya tidak nafikan bahawa selama ini masyarakat cacat penglihatan telah menggunakan pelbagai cara bagi membolehkan pihak MAB supaya membuka lubang telinga mereka walaupun sedikit terhadap keluhan yang diutarakan. Namun demikian, sepertimana yang telah saya nyatakan, setakat ini segala tindakan cara baik dan cara lembut yang telah dilakukan tidak berkesan. Pihak pengurusan MAB masih dengan sikap mereka yang sentiasa memekakkan telinga terhadap apa jua keluhan yang telah diutarakan selama ini. Mengapa demikian?


Antara sebabnya bagi saya ialah sikap sesetengah daripada pihak pengurusan MAB yang melihat golongan cacat penglihatan tak ubah sekadar golongan pengemis, peminta sedekah atau mungkin juga selaku pecacai yang hanya layak untuk menelan apa sahaja yang disuapkan kepada mereka. Sebab itulah bila ada dalam kalangan cacat penglihatan yang mempertikaikan pengurusan kewangan MAB, pihak pengurusan mengatakan itu soal dalaman. Bagi saya adalah tidak menjadi suatu kesalahan bagi mana-mana individu yang cacat penglihatan untuk mempersoalkan mengenai pengurusan kewangan MAB selagi individu berkenaan punya bukti dan fakta kukuh mengenainya. Lagipun selama ini pun MAB juga sering “minta sedekah” secara terhormat daripada orang ramai kononnya untuk membantu orang buta! Kutip duit atas nama orang buta, tapi siapa yang kenyang?


Keadaan ini diburukkan lagi dengan sikap dan perangai sesetengah orang buta sendiri yang “mudah kenyang” bila terima apa yang dikenali sebagai bantuan. Bila dapat bantuan sedikit, mereka akan lupa pada permasalahan yang lebih besar yang sedang dihadapi. Ada juga yang sampai berlagak kononnya diiktiraf sebagai juara dalam kalangan orang buta. Benar ke begitu!


Selain itu, selama ini orang ramai dan pihak penderma tidak pernah persoalkan ke mana wang yang telah mereka dermakan kepada MAB telah dibelanjakan. Ini mungkin kerana golongan penderma telah mendermakan wang mereka dengan begitu ikhlas sekali. Keikhlasan mereka sehingga ke tahap “memberi dengan tangan kanan, tangan kiri pun tak tahu”. Demikianlah ikhlasnya golongan penderma berkenaan. Sebenarnya, selain daripada ikhlas menderma, pihak penderma juga mengharapkan agar wang sumbangan mereka itu diurus dengan baik oleh para pengurus yang ikhlas juga. Mereka juga amat mengharapkan semoga wang yang mereka derma itu tidak dibazirkan untuk hal-hal yang tiada kena-mengena dengan orang buta. Mereka pasti kecewa bila dapat tahu wang yang mereka dermakan itu hanya mengenyangkan si celik terpilih sahaja.


Oleh itu, bagi saya, adalah tidak menjadi suatu kesalahan jika sekali-sekala para penderma bertanya ke mana wang yang banyak yang telah mereka sumbangkan dibelanjakan. Adakah ia benar-benar telah memanfaatkan golongan sasar? Di atas kertas mungkin pelannya cukup baik dan amat cantik. Walau bagaimanapun, siapa tahu bila diselak kertasnya, baru terserlah keserabutan yang ada di bawahnya.


Di samping itu, sepertimana yang telah saya nyatakan di atas, ia juga berpunca daripada kegagalan masyarakat cacat penglihatan keseluruhannya untuk muncul selaku kumpulan pendesak yang kuat dan berkesan. Selama ini, orang buta hanya bersemangat dan kuat bersorak dan sorakan mereka pula tak ke mana. Khabarnya juga dalam dialog Sabtu lalu ada yang bersorak sampai hilang suara mereka sekejap. Betul ke? Apa yang sepatutnya orang buta lakukan ialah berusaha dan bekerja kuat dengan disertakan bukti, fakta dan data yang kukuh untuk menyedarkan masyarakat khususnya penderma MAB bahawa selama ini sebahagian wang sumbangan mereka tidak dapat dimanfaatkan oleh sebilangan orang buta sendiri. Kalau hanya dengan seorang Terry atau seorang Guna ataupun seorang Haji Majid, ia sama sekali tidak mencukupi untuk menggerakkan masyarakat cacat penglihatan sebagai kumpulan pendesak yang benar-benar berkesan. Sepatutnya (kalau boleh) semua orang buta yang benar-benar tidak berpuas hati dengan peranan MAB masa kini harus melaksanakan tindakan lain secara profesional, rasional dan secara komprehensif.


Selama ini masyarakat cacat penglihatan sekadar mendesak menerusi dialog ataupun melalui surat terbuka dalam talian (internet). Selain itu desakan juga sekadar berupa cerita-cerita di belakang tentang itu dan ini mengenai MAB, tapi bila berhadapan menikus tanpa bahasa. Cara sebegini jauh panggang dari api untuk mendatangkan hasil yang benar-benar diharapkan.


Setelah tindakan sebegini dilaksanakan, ia tidak memberi sebarang bekas kepada pihak pengurusan MAB. Dengan erti kata lain, pihak pengurusan MAB tidak pernah merasa gusar dan tak pandang walaupun dengan sebelah mata tentang kelhan atau rayuan daripada masyarakat cacat penglihatan.


Sebenarnya dialog antara pihak pengurusan MAB dengan masyarakat cacat penglihatan bukanlah baru-baru ini sahaja dianjurkan. Seingat saya ia pernah dianjurkan beberapa kali sebelum ini. Manakala isu yang diutarakan pula lebih kurang sama sahaja dari dahulu hingga sekarang. Mengapa isunya sama? Jawapannya ialah, kerana pihak MAB gagal untuk menyelesaikan isu berkenaan sejak dari dahulu lagi. Sebagai contoh, apa yang telah dilakukan oleh MAB selama ini untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh golongan penjaja tisu jalanan? Setakat ini tiada langkah yang benar-benar berkesan yang telah dilakukan oleh MAB untuk mengatasi masalah ini. Mengapa? Kerana ia tiada kepentingan dengan pihak pengurusan MAB itu sendiri!


Di samping itu, segelintir kecil golongan cacat penglihatan khabarnya juga pernah meluahkan rasa tidak puas hati mereka dengan cara “amuk kecil”. Ia mungkin dilakukan oleh seorang dua individu yang gagal mengawal perasaan masing-masing. Ternyata cara sedemikian juga tidak memberi sebarang bekas kepada MAB. Dalam hal ini, MAB amat menyedari hakikat iaitu selagi orang buta sekadar pengguna perkhidmatan, mereka tidak akan boleh berbuat apa-apa terhadap MAB. Bahkan mereka juga tiada hak, tidak layak dan tiada kuasa untuk menunjuk ajar MAB bagaimana untuk mengurus dan mengendalikan hal ehwal orang buta. Demikianlah.


Oleh itu, jelaslah bahawa desakan dan tindakan sebilangan golongan cacat penglihatan untuk memperbetulkan hala tuju MAB selama ini tampak sia-sia belaka. Bagi saya, anjurkanlah dialog sekerap mana pun, atau tulislah surat berkajang-kajang sekalipun, selagi pihak pengurusannya bertelinga kuali, maka selagi itulah desakan yang dibuat walaupun ke arah kebaikan tidak sekali-kali akan berkesan. Apa yang telah diluahkan dalam majlis dialog tak ubah bagai mencurah air ke daun keladi sahaja. Bak kata orang muda-muda, buang air liur sahaja. Tulislah surat dalam apa bentuk sekalipun, sama ada surat layang, surat terbang atau surat khabar, MAB tidak pernah gentar dengan semua itu.


Memandangkan hampir semua kaedah tidak mendatangkan sebarang hasil yang dikehendaki, maka sudah tiba masanya masyarakat cacat penglihatan mengubah cara, corak serta strategi perjuangan supaya ia lebih berkesan dan mencapai objektifnya. Sudah tiba masanya kaedah yang lebih profesional diguna pakai supaya suara keluhan yang ingin dikumandangkan benar-benar bergema dandapat didengar oleh masyarakat umum.


Apakah yang patut dilakukan lagi oleh masyarakat cacat penglihatan untuk menjadi kumpulan pendesak yang berkesan yang seterusnya dapat mengubah MAB supaya selari dengan kepentingan golongan cacat penglihatan?


  1. Tubuhkan satu badan pemantau MAB dalam kalangan golongan cacat penglihatan secara formal
  2. Pastikan ia dipimpin oleh mereka yang berwibawa dan berkaliber dalam kalangan cacat penglihatan sendiri
  3. Kumpulkan semua bukti, fakta dan data mengenai penyelewengan MAB seberapa banyak yang boleh
  4. Dokumentasikan semua bukti, fakta dan data yang diperolehi secara tertib dan tersusun dan kalau boleh dalam dua bahasa, Melayu dan Inggeris
  5. Dokumentasikan juga segala saranan dan cadangan untuk memperbetulkan arah tuju MAB
  6. Kumpulkan seberapa banyak tandatangan daripada orang buta untuk menyokong semua perkara yang telah didokumentasikan
  7. Serahkan dokumen berkenaan kepada semua pihak luar yang dirasakan berkepentingan untuk tindakan lanjut

Dalam menjayakan lagi usaha ini, seeloknya janganlah ada dalam kalangan orang buta yang cuba untuk menjadi juara secara berseorangan. Semua keputusan dan tindakan harus dilaksanakan secara bersepakat. Ingat bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Mungkin ada percubaan untuk menyatukan keputusan dan tindakan dalam kalangan masyarakat cacat penglihatan dalam menghadapi kemelut dengan MAB, tetapi setakat ini ia tampak kurang berkesan. Punca dan sebab mengapa ia boleh terjadi demikian harus dicari dan untuk masa yang akan datang perkara sedemikian harus dielakkan. Demikianlah jika kita ingin beroleh kejayaan pada masa hadapan. Jika tidak, kita semua akan terus di takuk lama. Menyalaklah sekuat mana pun, bukit nan masih busut tidak akan runtuh walaupun sekepal tanah.


Walau bagaimanapun, jika usaha berkenaan sudah dilaksanakan dan didapati tiada bukti, faka dan data kukuh yang menunjukkan bahawa penyelewengan telah berlaku di MAB, maka semua pihak harus akur dengan hal berkenaan. Kalau tiada bukti sahih, jangan cari bukti palsu. Kalau tiada data sebenar, jangan cipta data palsu. Demikianlah.






Saya sekadar memberikan saranan dan cadangan untuk kebaikan bersama. Mana-mana pihak boleh mencubanya demi kelangsungan kesejahteraan masyarakat cacat penglihatan keseluruhannya. Dengan cara ini, tidaklah nanti kita dikatakan hanya pandai mengkritik semata-mata. Sepatutnya semua kritikan harus disusuli dengan saranan membina. Demikianlah.


Saya juga amat maklum, untuk menyatukan golongan masyarakat cacat penglihatan bukanlah sesuatu yang mudah. Maklumlah masing-masing dengan kepentingan masing-masing. Namun demikian, jika tiada siapa yang memulakannya dan menggerakkannya maka sampai bila-bila pun nasib dan kemelut yang sedang dihadapi dengan MAB tidak akan ke mana. Ingatlah, kita sendirilah yang harus mengubah nasib sendiri dan bukannya pihak lain.


Di sini, saya sekadar melontarkan pandangan terhadap kemelut yang sedang melanda. Terpulanglah kepada mana-mana pihak yang berkaitan untuk menelitinya dengan rasa tanggungjawab dan dengan sikap lebih positif. Saya juga punya hasrat yang serupa dengan golongan cacat penglihatan yang lain iaitu untuk melihat MAB berada di landasan yang betul sebagaimana tujuan asal penubuhannya kira-kira 62 tahun yang lalu. MAB tidak boleh berbangga hanya kerana merupakan sebuah badan bukan kerajaan untuk golongan cacat penglihatan terkaya atau berbangga kerana memiliki bangunan tersergam paling cantik. Sepatutnya MAB harus merasa bangga jika dapat memberi perkhidmatan terbaik dan terunggul kepada golongan sasarnya. Lagipun itu jugalah harapan dan hasrat mereka yang selama ini merupakan penyumbang kepada kekayaan, kemewahan serta kunggulan MAB.







No comments: