8 Mac 2013 baru sahaja berlalu. Ini bermakna, tempoh parlimen dan semua Dewan Undangan Negeri (DUN) (kecuali Sarawak) sudah berada dalam masa kecederaan. Pilihanraya Umum ke-12 telah pun diadakan pada 8 Mac 2008. Ini bermakna, pada 8 Mac 2013, tempoh parlimen di peringkat Persekutuan serta tempoh hampir kesemua DUN di peringkat negeri sudah melebihi 5 tahun. Walaupun baki masa yang ada masih lagi sah untuk parlimen berfungsi, tetapi tempohnya sekarang amat terbatas. Akan tiba tempoh maksimumnya di mana jika parlimen dan DUN tidak dibubarkan juga, maka ia akan terbubar dengan sendirinya.
Di negara kita, amat jarang sekali berlaku di mana pembubaran parlimen dilakukan tatkala tempohnya betul-betul di titik maksimum. Bila hal sebegini berlaku, tentu ada yang tidak kena terutamanya kepada pihak yang mempunyai authority untuk memberi nasihat bagi membubarkan parlimen. Mungkin inilah antara ciri-ciri demokrasi ala Malaysia.
Antara ciri-ciri demokrasi ala Malaysia dalam konteks pilihanraya umum termasuklah:
- Tiada tarikh tetap untuk pembubaran parlimen atau DUN
- Tarikh pembubaran parlimen atau DUN merupakan hak istimewa kepada ketua kerajaan yang sedang berkuasa sama ada di peringkat Persekutuan mahupun di peringkat negeri
- Adakalanya pembubaran parlimen atau DUN dibuat bila dirasakan keadaan dan mood pengundi menyebelahi pihak yang berkaitan?
Justeru, rasanya tidak keterlaluan kalau saya merumuskan bahawa antara sebab berlaku kelewatan pembubaran parlimen dan kebanyakan DUN ialah kerana pihak yang mempunyai authority untuk menasihati pembubaran tersebut berpendapat bahawa suasana masa kini masih tidak menyebelahi mereka jika pilihanraya umum diadakan sekarang. Maka itulah juga, ada sebuah negeri yang sebelum ini diberitakan akan membubarkan DUN negeri berkenaan selepas Tahun Baru Cina, tetapi masih belum melakukannya mungkin kerana pihak yang berkenaan juga merasai hal yang serupa.
Berbalik kepada topik asal perbincangan, di peringkat Persekutuan (parlimen) dan di kebanyakan negeri, Barisan Nasional (BN) merupakan badan siasah yang sedang membentuk kerajaan pada masa ini. Justeru, di bahu parti berkenaanlah terletaknya kuasa dan tanggungjawab untuk menasihati ketua negara dan ketua negeri masing-masing untuk membubarkan parlimen dan juga DUN.
Apabila parlimen tidak dibubarkan setelah tempohnya melebihi 5 tahun, tentulah ada yang tidak kena terutamanya kepada parti BN itu sendiri. Maknanya sehingga ke saat ini, BN masih tidak bertemu masa dan ketika yang betul-betul baik untuknya membubarkan parlimen. Agaknya nujum Pak Belalang pun masih tidak terjumpa dalam bekas air jampinya tarikh yang sesuai untuk BN membubarkan parlimen dan seterusnya mengadakan pilihanraya umum ke-13. Ertinya, jika parlimen dibubarkan dan pilihanraya umum dilaksanakan pada masa ini, ada kemungkinan kedudukan BN selaku kerajaan bakal tergugat?
Saya bersetuju dengan sesetengah penganalisis yang berpendapat bahawa masa yang paling sesuai untuk BN membubarkan parlimen dan DUN dan seterusnya mengadakan pilihanraya umum ialah di sekitar Jun – September tahun lalu. Walaupun pada ketika itu, sudah wujud beberapa isu yang dikatakan boleh memberi pukulan pengsan kepada BN, tetapi isu-isu yang ada ketika itu tidaklah sukar dan kompleks seperti yang sedang dihadapi pada masa ini.
Apabila pilihanraya umum ditangguhkan seperti sekarang, BN harus menjana idea untuk tampil dengan pelbagai skim bantuan yang berbentuk kewangan kepada orang ramai. Semakin lama penangguhan tarikh pilihanraya, maka semakin bersusunlah skim bantuan berbentuk kewangan yang harus diumumkan dan dilaksanakan. Skim bantuan sedemikian pula harus meliputi pelbagai lapisan rakyat dengan kepelbagaian latar belakang ekonomi pula. Sampai bila keadaan sebegini harus berterusan? Dari mana pula kerajaan akan mengorek wang jika skim bantuan sebegini harus dilaksanakan secara berterusan? Cara ini sebenarnya beri ikan atau beri pancing?
Sebaliknya, bila pilihanraya umum dilaksanakan, rasanya ia bakal merupakan noktah kepada pelbagai skim bantuan yang sedang berleluasa sekarang! Saya tidaklah bermaksud selepas pilihanraya umum nanti, semua skim bantuan berbentuk kewangan akan dihentikan dengan serta-merta, tetapi kemungkinan yang ada ialah sebahagian daripada skim bantuan berkenaan akan dihentikan atau jumlah wang bantuan akan dikurangkan.
Selaku individu, ahli-ahli politik turut merasai bahananya apabila tarikh pilihanraya umum dilewatkan. Maklumlah, mereka juga tidak boleh lari dari realiti memerlukan wang untuk mempertahankan statusquo yang ada. Walaupun kempen pilihanraya belum bermula secara rasmi, tetapi kempen secara tidak rasmi mungkin sudah lama bermula. Ia termasuklah kempen untuk mencari pengaruh, kempen untuk merebut senarai nama sebagai calon, kempen untuk mempertahankan kerusi yang sedang disandang, kempen untuk mempertahankan jawatan yang sudah sekian lama dipegang, kempen promosi untuk diketengahkan sebagai calon, kempen untuk ambil hati pengundi, belanja upah blogger dan macam-macam lagi. Seandainya pilihanraya umum sudah pun diadakan pada hujung tahun lepas, sudah tentulah perbelanjaan berterusan sebegini tidak perlu difikirkan lagi. Apakan daya, kita memang tidak boleh melawan takdir.
Lagi pun kita semua harus faham, sampai bila pun wang tidak mungkin dapat memuaskahn kehendak kita selaku manusia. Sampai bila pun wang tidak akan cukup. Bila diberi, kita dan mereka akan minta lagi. Demikianlah.
Ingat-ingatlah pesan Tun Perak kira-kira 500 tahun lalu, katanya, anak harimau jangan diajar makan daging, kelak kita ditangkapnya. Dalam konteks sekarang, ia bolehlah ditakrifkan sebagai, golongan yang tidak pernah cukup dengan wang ringgit jangan dipujuk dengan wang, kelak yang tukang beri wang itu pula yang bakal merana.
Selain itu, apabila pilihanraya umum dilewatkan, ia sebenarnya telah memberi ruang masa yang lebih kepada pihak pembangkang untuk berkempen. Gerak kerja pembangkang yang lebih tersusun, lebih bersemangat serta lebih bermotivasi tentunya akan melancarkan pergerakan golongan pembangkang untuk berkempen di setiap inci pelosok negara. Situasi semakin memudahkan apabila ahli-ahli politik pembangkang tidak mempunyai sebarang komitmen dalam kerajaan Persekutuan dan di kebanyakan kerajaan negeri. Lagipun kelazimannya para pemimpin pembangkang senang didekati, mudah mesra serta tidak mempunyai protokol tertentu yang sering menjadi halangan untuk orang ramai mendekati mereka. Sudah tentulah mereka mempunyai masa yang cukup baik dan masa yang lebih banyak untuk menjelajah ke seluruh negara untuk memujuk rakyat agar menyebelahi mereka dalam PRU kali ini.
Manakala sebilangan anggota parti yang sedang memerintah pula terpaksa bergerak dalam situasi lebih rasmi dan berprotokol. Oleh kerana kesibukan tugas dan ketiadaan masa, maka seringkali terjadi di mana tanggungjawab sebagai pemimpin kerajaan dan tugas selaku pemimpin parti siasah disekalikan sahaja. Justeru, sudah menjadi kebiasaan bagi kebanyakan pemimpin parti pemerintah ketika hadir dan berucap untuk merasmikan sesuatu majlis, pada masa yang sama turut sama berkempen dan berpolitik. Antaranya dalam ucapan perasmian sesuatu majlis, para pemimpin berkenaan akan menyelitkan permitaan atau rayuan agar orang ramai berdiri teguh di belakan parti pemerintah. Tidak cukup dengan itu, mereka akan mencela pula puak pembangkang walaupun dalam majlis rasmi. Jadi, bila orang-orang politik dari puak kerajaan mengatakan puak pembangkang mengamalkan politik sempit, ia tak ubah bagai menepuk air di dulang, terpercik juga ke muka sendiri.
Di samping itu, apabila pilihanraya umum dilewatkan, kemungkinan timbul isu-isu lain yang mungkin boleh merugikan parti pemerintah. Isu terbaru yang paling hangat kini ialah penampilan Azlan Lazim, bapa Saiful Bukhari yang telah membuat pengakuan dalam satu sidang media bahawa anaknya (Saiful Bukhari) telah digunakan oleh orang tertentu untuk mengaibkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes lewat. Maknanya selama ini ada konspirasi politik untuk membenam Datuk Seri Anwar. Demikianlah antara pengakuan Azlam Lazim. Pengakuan seperti ini boleh mendatangkan laba yang cukup besar kepada pembangkang khususnya kepada Datuk Seri Anwar sendiri. Manakala di pihak pemerintah pula, ia boleh mendatangkan bala besar pula. Tahu ke beza antara laba dan bala?
Sekiranya pilihanraya umum telah diadakan pada separuh kedua tahun lepas, pastilah isu-isu yang sedang membala BN ketika ini tidak sempat timbul. Apakan daya, kita tidak boleh melawan takdir! Bila pilihanraya umum dilewatkan lagi, ada kemungkinan akan timbul lagi isu-isu lain yang bakal memberi laba lagi kepada PR dan yang akan menambah bala pula kepada BN. Kita harus ingat, dalam situasi sekarang, semakin sukar untuk kita menjangka apa yang akan timbul dan siapa pula yang akan muncul. Siapa yang akan ternganga nanti?
Satu lagi isu yang masih belum reda ialah mengenai pencerobohan orang Sulu ke Atas Lahad Datu dan Semporna. Memang kita semua sefakat iaitu kedaulatan negara merupakan sesuatu yang tidak boleh dikompromikan. Biar putih tulang, jangan putih mata; sama-sama halau petualang, agar negara kita sejahtera. Walau bagaimanapun, sebab dan akibat daripada peristiwa berkenaan akan dilihat dalam konteks politik yang berbeza sama ada oleh BN mahupun PR. Orang BN mula mempersoalkan seni kata lagu yang sering dikumandangkan oleh Datuk Seri Anwar yang antara lain berbunyi, “Sabah nak hilang”. Selama ini seni kata tersebut dipandang sepi sahaja dan dianggap sebahagian daripada kaedah Datuk Sri anwar berceramah. Kini setelah peristiwa pencerobohan berkenaan, golongan tertentu mula mengkaji dan mentafsir apa yang tersirat di sebalik seni kata berkenaan.
Manakala para penyokong dan pendokong PR pula akan mempersoalkan bagaimana sianu dan sifulan boleh memiliki kad pengenalan Malaysia? Benarkah ******** merupakan ahli UMNO? Betulkah ******** pernah bertugas sebagai Penolong Pegawai Daerah Lahad Datu? Sekiranya pilihanraya umum telah selesai diadakan pada hujung tahun lepas, sudah pastilah isu-isu sebegini tidak mampu untuk menggoyahkan BN lagi. Apakan daya kita memang tidak boleh melawan takdir!
Selain itu juga, gara-gara melewatkan pilihanraya umum, ada sekumpulan puak yang debar jantungnya kian kencang. Kian lewat pengumuman tarikh pilihanraya, kian hebat goncangan jantung kalbunya. Golongan yang saya maksudkan ialah puak pelompat bebas yang wujud di Dewan Rakyat selepas PRU ke-12 lalu. Secara tidak rasmi, puak pelompat bebas ini diketuai oleh Pasir Mas. Antara ahli-ahli lain termasuklah Padang Serai, Kulim Bandar Baru, Bayan Baru, Bagan Serai serta Wangsa Maju. Kumpulan ini turut disertai oleh 3 pelompat bebas di DUN Perak serta seorang pelompat bebas di DUN Selangor. Di saat-saat akhir, golongan ini turut disertai oleh seorang pelompat buangan di parlimen dan seorang pelompat buangan di DUN Selangor. Mengapakah saya mengatakan debaran mereka kian kencang?
Dalam pilihanraya umum ke-12 lalu, kesemua pelompat bebas dan pelompat buangan di atas telah bertanding dan memenangi pilihanraya atas tiket PKR dan juga PAS. Sayangnya, di pertengahan musim, mereka telah melompat keluar dari parti siasah yang telah mereka wakili lalu mengisytiharkan diri mereka sebagai wakil bebas. Hanya 2 orang yang telah dibuang (dipecat) daripada parti siasah yang telah diwakili dalam PRU ke-12 lalu.
Kini, bila PRU ke-13 sedang diambang, maka kian kencanglah goncangan batin mereka. Apa tidaknya, masing-masing sedang busy mengenal pasti posisi yang paling strategik setidak-tidaknya untuk mempertahankan statusquo dan posisi politik yang sedia ada. Amat mustahil untuk mana-mana di antara mereka untuk kembali berpaut pada parti siasah yang telah mereka khianati. Manakala UMNO pula bagi saya tidaklah semudah yang disangka untuk memberikan kerusi mereka kepada individu yang sudah ada sejarah pengkhianatan parti siasah. Saya rasa, dalam hal ini, UMNO mungkin akan memberi laluan dan peluang hanya kepada individu yang benar-benar berstatus winnable candidate. Adakah di antara mana-mana individu daripada puak pelompat bebas atau pelompat buangan yang berstatus sedemikian?
Gara-gara pilihanraya umum dilewatkan, golongan pelompat bebas dan pelompat buangan juga tidak terlepas daripada menerima bahana goncangan batin yang hebat. Agaknya kalau kita telek dengan teleskop atau kita dapat tinjau melelui setlit, mungkin kita berpeluang untuk menyaksikan sendiri kekuatan goncangan jiwa puak berkenaan. Bukan itu sahaja, kekuatan goncangannya pun berkemungkinan boleh diukur dengan skala richtor.
Sesungguhnya gara-gara melewatkan pilihanraya umum kali ini, ia telah mewujudkan fenomena dilema kepada pelbagai pihak. Ada yang berdebar dalam diam. Ada yang cuba menangguk di air keruh. Ada yang merassa laba dan tidak kurang yang terima bala. Seandainya pilihanraya umum sudah selesai pada separuh kedua tahun lepas, pastilah fenomena sebegini tidak terjadi. Apakan daya, kita memang tidak boleh melawan takdir!!!
No comments:
Post a Comment