Satu dialog dalam kalangan guru-guru cacat penglihatan telah berlangsung pada 23 Mac 2013 (Sabtu). Dialog berkenaan telah berlangsung di bilik mesyuarat, bangunan pentadbiran, Persatuan Orang-orang Buta Malaysia (MAB). Secara keseluruhannya mesyuarat berkenaan telah berlangsung sekitar satu jam setengah.
Dialog berkenaan telah dipengerusikan oleh Dr. Zakaria Osman. Selain beliau, dialog berkenaan turut dihadiri oleh beberapa orang kakitangan MAB sendiri. Antara mereka termasuklah En. Godfrey Ooi, Cik Jackline, En. Silatul Rahim, En. Fazlin Hizri, Pn. Jamilah serta beberapa orang yang lain. Cikgu Tavasothy yang merupakan seorang pesara guru juga turut hadir. Dalam kalangan guru cacat penglihatan pula, sekitar 15 orang telah hadir.
Antara tujuan dialog ini ialah untuk mengenal pasti masalah terkini yang dihadapi oleh guru-guru cacat penglihatan serta kaedah terbaik untuk mengatasinya. Secara umumnya, guru-guru cacat penglihatan terbahagi kepada tiga kumpulan berdasarkan penempatan masing-masing. Ketiga-tiga kumpulan yang dimaksudkan ialah:
- Mereka yang bertugas di sekolah-sekolah pendidikan khas sepenuhnya;
- Mereka yang bertugas di Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI);
- Mereka yang bertugas di sekolah-sekolah arus perdana (mengajar murid-murid berpenglihatan di sekolah-sekolah biasa).
Ketiga-tiga kategori guru cacat penglihatan di atas menghadapi cabaran dan masalah yang berbeza. Justeru sudah tentulah kaedah penyelesaiannya juga berbeza pula.
Antara punca kepada semua permasalahan di atas ialah sikap pentadbir sekolah yang mempunyai persepsi negatif terhadap mereka yang cacat penglihatan. Punca ini lebih ketara di sekolah-sekolah arus perdana. Golongan pentadbir berkenaan langsung tidak dapat menerima hakikat sejarah bahawa sudah ada segilangan guru cacat penglihatan yang pernah berkhidmat di sekolah-sekolah arus perdana dari mula bertugas sehinggalah mereka bersara. Sepatutnya pengalaman mereka ini ditimba bagi menyelesaikan masalah yang ada. Oleh kerana pandangan dan persepsi negatif terhadap golongan cacat penglihatan begitu menebal sekali, akhirnya sikap sedemikian telah menjadi penghalang kepada golongan pentadbir berkenaan untuk memikirkan jalan penyelesaian yang lebih adil dan munasabah. Demikianlah.
Selain itu, guru-guru cacat penglihatan juga tidak pernah diberikan prasarana yang sepatutnya dan yang secukupnya supaya mereka boleh menjalankan tugas dengan lebih sempurna. Contoh yang paling mudah ialah mengenai penggunaan peralatan ICT. Selama ini, guru-guru cacat penglihatan harus mencari dan melengkapkan sendiri keperluan ICT masing-masing. Ini termasuklah pembelian peralatan, menghadiri kursus kemahiran yang berkaitan dan sebagainya.
Pada masa sama, guru-guru cacat penglihatan ini pula tetap dituntut supaya melaksanakan tugas yang sama dan serupa sebagaimana guru berpenglihatan yang lain. Sebagai kakitangan yang ingin bertugas sama tinggi dengan rakan sejawat yang berpenglihatan, setakat yang saya maklum, jarang sekali guru-guru cacat penglihatan ini mengeluh apatah lagi menolak setiap tugasan yang dipertanggungjawabkan kepada mereka. Mereka terpaksa mencari dan mengguna apa sahaja kaedah asalkan tugas yang diamanahkan dapat diselesaikan dengan sesempurna yang boleh. Adakalanya mereka terpaksa mengorbankan wang ringgit dari kocek sendiri untuk menyelesaikan tugas yang diberi. Demikianlah.
Antara isu yang diketengahkan dalam dialog berkenaan termasuklah saranan sesetengah pihak agar guru-guru cacat penglihatan dipoolkan. Isu untuk poolkan guru-guru cacat penglihatan bukan sesuatu yang baru. Konon kisahnya ada seorang guru yang telah mengalami cacat penglihatan tatkala dalam perkhidmatan telah dipoolkan tanpa pengetahuan guru itu sendiri. Sementara itu, ada sekumpulan guru cacat penglihatan yang sedang berkhidmat juga pernah disarankan untuk dipoolkan atas tujuan tertentu. Konon faktanya, tujuan guru-guru cacat penglihatan berkenaan ingin dipoolkan ialah untuk mendapatkan guru-guru tambahan. Kalau tujuannya untuk memperoleh guru tambahan, mengapa guru-guru cacat penglihatan dimangsakan? Bagi kami, pihak yang seharusnya dipoolkan ialah mereka yang sudah begitu lama mengajar di sekolah berkenaan tapi masih tak tahu Braille lagi! Macam mana, apa rasa?
Sebenarnya isu untuk poolkan guru cacat penglihatan jika dibiarkan boleh menjadi satu “ugutan” yang tidak berasas. Bagi guru-guru yang menjadi mangsa, sudah tentulah ia menimbulkan perasaan yang tidak tenteram. Ini mungkin mengakibatkan boleh menimbulkan gangguan mental yang selanjutnya akan mengganggu prestasi kerjanya.
Manakala tendensi untuk poolkan guru-guru cacat penglihatan ini pula boleh berlaku pada bila-bila masa, oleh mana-mana ketua jabatan yang tidak berhati perut dan boleh menimpa mana-mana guru cacat penglihatan sama ada yang sedang bertugas di sekolah pendidikan khas, di sekolah PPKI ataupun disekolah arus perdana. Demikianlah nasib sibuta. Isu inilah antara perkara yang menjadi topik perbincangan hangat dalam dialog berkenaan.
Mengenai tendensi untuk pool guru-guru yang cacat penglihatan ini, sebagaimana yang saya nyatakan di atas ia bukanlah satu perkara baru. Konon khabarnya, pernah berlaku di mana ada guru yang asalnya berpenglihatan dan setelah beberapa tahun bertugas, guru-guru malang ini hilang penglihatan. Sudah tentulah ia merupakan suatu kejutan yang teramat sangat kepada guru-guru terbabit. Keadaan bertambah buruk lagi bilamana sesetengah pentadbur mengambil jalan singkat dengan mencadangkan supaya guru-guru yang telah hilang penglihatan ini dipoolkan sahaja. Seolah-olahnya pihak yang tidak berhati perut ini selamanya akan kebal daripada turut sama menjadi buta suatu hari kelak!
Selain itu, guru-guru cacat penglihatan agak ketinggalan untuk menghadiri kursus yang bertujuan untuk meningkatkan kemahiran yang diperlukan. Setiap tahun, ada guru yang diminta untuk mengisi borang dengan menyatakan jenis kursus yang diperlukan. Namun demikian, setakat ini ia sekadar untuk “membuang masa dan kertas” sahaja. Walaupun sudah diisi beberapa kali, tetapi ada guru yang mendakwa sehingga sekarang pun kursus yang dipohon masih belum dianjurkan. Kalau ditanya alasan, memang macam-macamlah jawapan yang diberi oleh pihak yang berkaitan.
Di samping itu, masalah yang berkaitan pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) juga turut ditimbulkan oleh guru-guru yang berkaitan. Setakat ini di peringkat sekolah menengah, PBS telah pun dilaksanakan untuk murid tingkatan 1 dan tingkatan 2. Manakala di sekolah rendah pula, pelaksanaan PBS sudah di tahun 3 (kalau saya tidak silap). Masalah utama yang dihadapi oleh guru-guru cacat penglihatan ialah untuk memasukkan data secara online. Cikgu Hisyamuddin menyarankan supaya guru-guru yang terlibat supaya kemas kini penggunaan perisian pembaca skrin yang digunakan. Katanya lagi, jika perisian pembaca skrin yang digunakan ketinggalan, maka ia memang menyukarkan untuk mengisi butiran PBS secara online. Untuk maklumat semua, perisian pembaca skrin ialah perisian yang membolehkan pengguna cacat penglihatan menggunakan komputer biasa. Setakat ini, perisian pembaca skrin yang popular ialah JAWS dan version terkini ialah JAWS 14 (kalau saya tidak silap). Untuk membantu memantapkan lagi penggunaan ICT dalam PBS bagi guru-guru cacat penglihatan, En. Silatul Rahim dan en. Fadzlin dari bahagian ICT MAB bersetuju untuk membuat sedikit study bagaimana aplikasi JAWS boleh diselaraskan dengan sistem yang sedang digunakan oleh PBS. Dalam hal ini, terima kasih yang setinggi-tingginya patut dizahirkan kepada kedua-dua rakan di atas kerana kesudian untuk membantu. Walhal kedua-dua mereka bukan guru pun. Kalau hendak diharap pada pihak lain, agaknya sampai kucing hilang tanduk pun belum tahu akan menolong. Mungkin yang golongan berkenaan tahu ulas, guru-guru buta tak tahu buat kerja. Walhal mereka sebenarnya yang gagal menyediakan prasarana yang sepatutnya untuk guru-guru buta buat kerja dengan sempurna!
Di samping itu, peserta dialog juga bersetuju supaya satu organisasi khas untuk guru-guru cacat penglihatan ditubuhkan. Para peserta juga turut menyarankan agar organisasi berkenaan diletakkan di bawah MAB secara langsung. Saranan ini dipersetujui sebulat suara. Menurut maklumat terkini yang sampai ke pengetahuan saya, saranan ini telah dipersetujui oleh pihak MAB. Insha-Allah, pada awal Mei ini sesi pemilihan AJK-nya akan dilaksanakan.
Pada masa sama, saya juga tidak menolak bahawa ada sesetengah masalah yang timbul berpunca daripada kelemahan peribadi (bukan disebabkan cacat penglihatan) guru yang berkaitan. Ada sesetengah guru yang tidak mengemas kini pengetahuan, maklumat dan kemahiran mereka khususnya dalam bidang ICT. Hal sebegini tidak sepatutnya berlaku. Penguasaan bidang ICT sangat banyak manfaatnya. Menerusinya kita boleh lebih berdikari dalam melaksanakan tugas seharian kita. Gunalah apa jua kaedah asalkan pengetahuan dan kemahiran ICT kita sentiasa dipertingkatkan setiap masa.
Selain itu, ada juga dalam kalangan guru berkenaan yang gagal menepati masa dalam banyak situasi. Kalau sekali-sekala mungkin ia boleh dipertimbangkan dan boleh dimaafkan oleh rakan sejawat kita yang berpenglihatan. Walau bagaimanapun, jika ia sampai ke tahap sudah menjadi habit, tentulah ia dilihat kelemahan kita juga.
Seperkara lagi, kita hendaklah menjauhi daripada memberi seribu satu alasan yang tidak munasabah apabila kita diminta untuk menjalankan satu-satu tugas. Saya mendengar khabar, konon ada dalam kalangan kita yang hanya akan melaksanakan sesuatu tugas jika ada pulangan peribadi untuknya. Sekiranya kita tidak dapat melaksanakan sesuatu tugasan kerana alasan yang munasabah tetapi kurang difahami oleh pihak pentadbir, seeloknya berbincanglah secara bersemuka dengan sikap terbuka dengan pihak pentadbir. Mudah-mudahan masalah yang dihadapi akan dapat diselesaikan dengan cara yang baik dan dengan sikap saling faham-memahami.
Di samping itu, saya turut mendengar khabar dari jauh ada segelintir kecil rakan setugas yang gagal menyempurnakan buku rekod mengajar dengan baik. Buku rekod mengajar merupakan satu dokumen yang paling penting selaku guru. Tidak sepatutnya berlaku di mana buku rekod mengajar itu disediakan dalam bentuk Braille walau apa jua pun alasannya. Walaupun kita adalah pengguna Braille tegar, tetapi buku rekod mengajar harus disediakan dalam tulisan biasa kerana pihak yang akan menilai den menyemak buku berkenaan lazimnya merupakan mereka yang tidak tahu Braille. Kerjasama sebaiknya harus diberikan kepada golongan pentadbir atau pihak nazir agar mereka pula dapat menjalankan tugas mereka dengan penuh keselesaan. Hakikatnya tiada halangan langsung untuk kita menyediakan buku rekod mengajar sebagaimana sepatutnya. Di sinilah pentingnya untuk kita menguasai bidang ICT sebaik mungkin dan dengan apa kaedah jua sekali pun.
Dalam hal sebegini, kita harus akui dan seterusnya perbaiki semua kelemahan yang wujud. Dengan itu, apabila kita memohon sesuatu daripada pihak lain, mereka akan lebih ikhlas untuk memberikan bantuan kepada kita. Fahamilah baik-baik!!!
Pada hemat saya, dialog seperti ini amat berguna kepada golongan sasar. Menerusinya kita boleh berbincang, berkongsi serta boleh bersatu dalam menghadapi pelbagai cabaran yang mendepani kerjaya kita selaku pendidik yang telah ditakdirkan tidak berpenglihatan. Janganlah hendaknya ada dalam kalangan guru-guru cacat penglihatan yang cuba untuk menjadi juara seorang kerana sikap sedemikian hanya akan merosakkan kesatuan dalam kalangan kita. Mudah-mudahan dengan terbentuknya organisasi tetap untuk guru-guru cacat penglihatan, kita akan lebih utuh lagi dalam berhadapan dengan cabaran yang datang.
Di sini, saya tidak lupa untuk mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada pihak MAB di atas kesudian dan kesanggupan mereka untuk menganjurkan dialog di atas. Kesudian pihak MAB untuk meluluskan penubuhan kelab guru-guru cacat penglihatan di bawahnya juga amat dihargai.
Maklumat Tambahan
Antara guru-guru cacat penglihatan yang pernah bertugas di sekolah-sekolah arus perdana dari mula bertugas hingga bersara termasuklah:
- Cikgu Sabaruddin bin Isa
- Cikgu Peter Chin
- Cikgu Mohamed bin Ismail
- Cikgu Mohd Zaki bin Ismail
- Cikgu Tavasothy A/L Pilai
No comments:
Post a Comment