Sunday, February 3, 2013

Benarkah Pengarah Eksekutif MAB Telah Undur?



Sejak dua tiga hari lepas, saya ada terdengar maklumat kononnya Pengarah Eksekutif Persatuan Orang-Orang Buta Malaysia (MAB) telah undur? Saya sendiri tidak pasti, sama ada beliau benar-benar telah undur atau maklumat ini merupakan sekadar khabar angin sahaja. Salah seorang kakitangan MAB memberitahu saya, beliau turut mendengar khabar bahawa 31 Januari lalu merupakan hari terakhir buat pengarah eksekutif berkenaan. Benarkah begitu?





Menurut seorang lagi kakitangan MAB, beliau juga turut mendengar khabar kononnya 31 Januari lalu merupakan hari terakhir buat pengarah eksekutif berkenaan. Katanya lagi, walau bagaimanapun, sehingga waktu bekerja berakhir pada 31 Januari lalu, tiada sebarang pemberitahuan secara rasmi bagi mengesahkan khabar angin berkenaan. Manakala seorang lagi kakitangan MAB memberitahu saya, Sama ada beliau masih ada atau tidak itu bukan lagi persoalan utama, katanya lagi, sejauh manakah kesan calar yang telah beliau tinggalkan yang bakal ditanggung oleh golongan cacat penglihatan secara keseluruhannya. Beginilah kalau sudah jadi watak kontrovesi, soal pengunduran pun boleh jadi tanda tanya besar!


Sebenarnya, sama ada beliau berundur atau diundurkan (jika benar), ia hanyalah merupakan kaedah pengunduran beliau sahaja. Persoalannya, jika sahih pengarah eksekutif yang seorang ini benar-benar undur, adakah pengunduran berkenaan dapat menyelesaikan beberapa kontrovesi yang sedang melanda MAB? Adakah pengganti beliau (jika benar beliau undur) berupaya memulihkan reputasi MAB yang telah tercalar khususnya dalam kalangan golongan cacat penglihatan di negara ini?


Setakat yang saya maklum, MAB merupakan badan bukan kerajaan untuk golongan cacat penglihatan yang paling banyak menerima bantuan khususnya daripada kerajaan. Bantuan tersebut termasuklah geran kewangan, pembayaran gaji kepada sebilangan kakitangan, serta lain-lain bentuk bantuan, sama ada daripada kerajaan Persekutuan mahupun daripada beberapa kerajaan negeri. Justeru, tidak hairan dengan hanya memerhatikan bangunan Kompleks MAB yang ada sekarang, ia sudah cukup menerangkan bahawa NGO ini merupakan antara badan bukan kerajaan yang kukuh dari aspek kewangannya.


Soal Jawab
Dari mana MAB dapat wang? Dari beberapa sumber
Banyak ke wang yang diperolehinya? Berjuta agaknya
Bagaimana MAB mendapat wang? Dengan mengatakan mereka memberi perkhidmatan kepada orang buta
Adakah wang yang mereka perolehi itu benar-benar telah disalurkan kepada golongan sasar? .... entahlah!
Benarkah pengarah eksekutif sekarang akan undur? .... Harap-harapnya begitulah


Jika benar pengarah eksekutif sekarang telah undur, namun beberapa perkara yang telah beliau laksanakan yang tidak mendapat “restu” daripada golongan cacat penglihatan tetap di situ dan tidak akan undur sebagaimana pengunduran “pengasasnya”. Antaranya termasuklah binaan fountain di bekas tempat meletak kenderaan di hadapan kompleks MAB itu sendiri. Sehingga kini pun, ramai golongan cacat penglihatan merasakan bahawa binaan air pancut tersebut sekadar untuk mencuci mata mereka yang masih ada penglihatan.





Jika benar pengarah sekarang sudah undur, tentulah tempat beliau ada yang mengganti. Siapa yang akan mengambil alih tempat mantan pengarah eksekutif berkenaan? Ini satu lagi perkara sensasi yang masih belum ada jawapan pasti. Benarkah salahseorang ahli Council yang akan menjadi care takernya?


Antara objektif penubuhan MAB sejak awal lagi ialah untuk memberikan perkhidmatan kepada golongan yang cacat penglihatan. Secara dasarnya, MAB merupakan sebuah badan sukarela yang ditadbir oleh kebanyakan mereka yang berpenglihatan di peringkat Council. MAB telah ditubuhkan sejak tahun 1951 lagi. Justeru ia merupakan badan bukan kerajaan untuk golongan cacat penglihatan tertua sekali di negara kita. Selain itu, MAB juga dilihat badan bukan kerajaan yang paling kukuh ekonominya jika dibandingkan dengan lain-lain badan bukan kerajaan yang sama status dengannya.


Dengan pelbagai kelebihan dan keistimewaan yang dimiliki oleh MAB, maka sudah seharusnya MAB sentiasa dapat memberikan perkhidmatan terunggul kepada golongan sasar. Apalah gunanya jika wang banyak, ekonomi kukuh, sokongan kerajaan juga kuat, tetapi perkhidmatan yang diberikan tidak sepadan dengan pelbagai faedah dan kelebihan yang sedang dinikmati oleh MAB itu sendiri. Apa yang lebih membimbangkan, acap kali juga MAB tidak peka dengan kehendak serta keperluan golongan sasar. Pembinaan fountain merupakan mercu tanda kepada kegagalan MAB untuk mendengar keluhan golongan sasarnya.


Sejak akhir-akhir ini, MAB telah melaksanakan beberapa perkara yang dirasakan tidak menguntungkan khususnya kepada golongan sasar. Sebagai contoh, dalam kawasan premis MAB itu sendiri masih banyak ruang kosong yang tidak digunakan. Mengapa perlu ada rancangan untuk menghantar sekumpulan pelatih untuk menjalani latihan tertentu sehingga ke Rawang? Apa sebenarnya agenda tersembunyi di sebalik program sia-sia seperti ini? Siapa pula yang meraih laba daripada projek ini?


Usaha untuk menaik taraf tahap latihan di bawah anjuran MAB amat baik. Ia sekaligus akan mampu untuk meningkatkan lagi tahap profesionalisme dalam kalangan para pelatih yang bakal dikeluarkan. Namun demikian, program yang murni seperti itu akan tercalar jika ada agenda tersembunyi di sebalik pelaksanaannya. Dengan erti kata lain, semua pihak harus benar-benar ikhlas apabila mengendali dan menguruskan MAB. Adalah amat malang sekali jika ada pihak yang bersikap sambil menyelam minum air dalam menguruskan MAB. Saya dan seluruh warga cacat penglihatan di negara ini benar-benar berharap perkara seperti itu tidak menjadi kenyataan di MAB. Adakah hasrat murni ini merupakan satu realiti hari ini?


Kalau dahulu MAB merupakan badan yang cukup berauthoriti dalam hal ehwal sistem tulisan Braille. Bahan-bahan bacaan Braille yang dihasilkan oleh MAB bermutu tinggi dan sering menjadi rujukan pelbagai pihak. Nama-nama seperti Puan Elinah Karim dan juga Puan Leow merupakan antara mereka yang amat cekap dengan tulisan Braille walaupun kedua-duanya merupakan golongan yang berpenglihatan. Namun demikian, MAB gagal mengekalkan apa yang pernah dimilikinya suatu ketika dahulu. Mantan pengarah eksekutif MAB )kalau beliau telah undur) tahu ke hal seperti ini?


Sekiranya MAB sibuk untuk menghadapi pelbagai kontrovesi, bila pula masa ia dapat memberi tumpuan dan perhatian kepada isu-isu yang sedang dihadapi oleh golongan cacat penglihatan di negara ini? Apakah peranan berkesan yang telah dimainkan oleh MAB dalam membantu pihak kerajaan untuk merealisasikan dasar 1% penempatan golongan OKU (khususnya OKU penglihatan) di sektor awam? Sejauh mana pula MAB telah berperanan untuk membantu golongan penjaja tisu dan pemuzik buta jalanan dalam mengharungi kehidupan yang kian mencabar? Adakah sekadar mengutip dan menyimpan statistik semata-mata? Isu penjaja tisu dan pemain muzik jalanan dalam kalangan orang buta merupakan isu yang seakan masih belum ada penghujungnya. Di mana-mana sahaja masyarakat umum akan memperkatakannya. Saya yakin majoriti Ahli Council pasti menyedari hakikat ini kerana mereka pasti dapat menyaksikannya hampir setiap hari. Apa tindakan berkesan yang telah mereka laksanakan untuk memperbaiki keadaan? Apa pula peranan yang telah dimainkan oleh MAB dalam membantu golongan cacat penglihatan yang berbakat dalam bidang muzik terutamanya di peringkat sekolah? Sejauh mana pula pihak MAB telah menyalurkan maklumat, info, statistik serta saranan membina dalam melonjakkan usaha bagi mengangkat bidang muzik untuk menjadi suatu profesion yang benar-benar dapat menjamin masa depan golongan cacat penglihatan?


Sebenarnya banyak lagi isu-isu yang sedang melanda golongan cacat penglihatan yang memerlukan bantuan dan pertolongan daripada badan-badan seperti MAB untuk menyelesaikannya. Saya amat yakin, sekiranya semua pihak khususnya di MAB memberikan tumpuan dan perhatian yang betul, berfokus serta ikhlas untuk membantu, pasti isu-isu sebegini akan dapat ditangani dengan lebih berkesan. Bahkan banyak lagi isu lain yang boleh ditangani dengan baik dan secara menyeluruh pula. Hasilnya golongan cacat penglihatan juga yang akan dapat menikmatinya.


Sesungguhnya MAB tidak boleh dijadikan sebagai batu loncatan oleh mana-mana pihak bagi mencapai agenda tersembunyi masing-masing. Saya tidaklah mengatakanbahawa ia sudahpun terjadi, tetapi saya dan seluruh golongan cacat penglihatan amat berharap agar ia tidak akan terjadi. Semoga harapan tidak tinggal harapan semata-mata.


Walaupun ahli-ahli Council bukan dipilih oleh majoriti golongan cacat penglihatan, tetapi mereka menjawat jawatan selaku ahli Council atas nama orang buta dan mengendalikan sebuah organisasi yang berfungsi untuk memberikan perkhidmatan kepada orang buta. Organisasi ini pula mendapat pelbagai geran dan bantuan daripada pelbagai pihak serta akan mengutip derma juga atas nama orang buta. Majoriti ahli Council faham ke perkara-perkara seperti ini?


MAB harus kembali ke landasan asal penubuhannya. Seandainya D.R. Bridges masih hidup masa ini, saya rasa beliau juga akan turut merasai dukacita dengan apa yang menimpa MAB hari ini. Walaupun salah seorang Ahli Council pernah mendakwa bahawa beliau mengenali D.R. Bridges secara peribadi, tetapi pada pemerhatian saya ahli Council yang seorang ini sebenarnya telah gagal meneruskan aspirasi dan apa yang pernah dihasratkan oleh mendiang Bridges itu sendiri. Ahli Council yang seorang ini bukan sahaja bersuara bagai tidak bermaya, tetapi saya rasa beliau juga telah gagal untuk menguruskan bidang tugasnya secara lebih tegas dan berkesan.


Salam dari Jengka.





No comments: