Monday, February 11, 2013

Puan Jamilah Abu Bakar Kembali Ke Rahmatullah



Sebentar tadi, saya mendapat berita bahawa Pn. Jamilah/Maziah binti Abu Bakar telah kembali ke rahmatullah. Menurut sumber berita, beliau telah menghembuskan nafas terakhirnya pagi ini di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Ketika ini, urusan berkaitan jenazah masih berlangsung. Buat masa ini, berita yang dimaklumkan ialah jenazah beliau akan dikebumikan di sekitar Kuala Lumpur.


Pn. Jamilah merupakan seorang pesara kerajaan. Selain itu, beliau juga seorang yang cukup aktif dengan badan bukan kerajaan. Beliau merupakan bekas Naib Presiden Pertubuhan Orang cacat penglihatan Malaysia (SBM) sehingga tahun lalu. Beliau juga pernah menganggotai Jawatankuasa Kod Braille Bahasa Melayu (Pindaan) beberapa tahun lalu.


Beliau seorang yang periang dan cukup disenangi oleh rakandan taulan. Antara perkara yang mungkin tidak akan dilupakan oleh sekalian rakan ialah di mana beliau sering mengadakan majlis rumah terbuka. Dalam majlis berkenaan, semua rakannya akan diundang tanpa mengira bangsa. Sesungguhnya kehilangan beliau akan dirasai oleh setiap orang yang mengenali beliau.


Kepada keluarga Allahyarham, saya meminta berbanyak maaf kerana tidak dapat menziarahi jenazah beliau buat kali terakhir kerana saya masih berada di luar Kuala Lumpur.


Bersama-samalah kita berdoa semoga Allahyarham sentiasa dicucuri rahmat Allah setiap ketika dan beliau akan ditempatkan bersama-sama dengan golongan solihin. Kita semua pasti akan menyusuli beliau tidak lama lagi, hanya saatnya sahaja yang sengaja dirahsiakan.


Alfatihah ....


Salam dari Jasin, Melaka.







No comments: