Wednesday, August 7, 2013

Kita Di Hujung Ramadhan 1434




Masa terlalu cepat berlalu. Saya pernah mendengar ada hadith yang memaklumkan bahawa antara tanda-tanda hari kiamat akan tiba ialah perjalanan waktu semakin cepat. Sedar tak sedar, kita sudah pun berada di hujung Ramadhan bagi tahun 1434 Hijrah. Ini bermakna, kita akan berpisah lagi dengan bulan Ramadhan. Sesungguhnya bulan Ramadhan merupakan bulan yang penuh keberkatan, kelebihan serta keistimewaan yang tersendiri yang tiada pada bulan-bulan yang lain. Maka itulah juga, Nabi Muhammad S.A.W. pernah bersabda yang antara lain mafhumnya, jika kamu mengetahui kelebihan yang ada pada bulan Ramadhan, nescaya kamu akan memintanya untuk sepanjang tahun. Demikianlah.


Sepertimana perpisahan dengan Ramadhan pada masa lalu, perpisahan kali ini juga tidak pernah menjanjikan satu pertemuan semula pada tahun hadapan. Ini bermakna, Ramadhan kali ini mungkin yang terakhir untuk kita! Jika sebelum ini, kita telah menyaksikan bahawa ada dalam kalangan kerabat kita, saudara-mara kita, rakan taulan kita atau orang-orang yang hampir dengan kita tidak lagi berkesempatan untuk bertemu lagi dengan Ramadhan pada tahun ini, hal yang serupa juga tidak mustahil untuk berlaku ke atas diri kita pula pada kali ini. Sesungguhnya saat untuk kita kembali kepada-Nya merupakan antara 5 perkara yang Allah sengaja rahsiakannya daripada pengetahuan makhluk-Nya seperti kita (ayat 34, surah Luqman, juzuk 21).


Berbahagialah orang yang telah mendapat rahmat, maghfirah serta dipelihara daripada siksa neraka oleh Allah bersempena dengan Ramadhan kali ini. Amat malanglah kepada orang yang gagal memperolehi ketiga-tiga perkara tersebut daripada Allah bersempena Ramadhan kali ini. Kerana seperti yang saya katakan tadi, tiada kepastian bagi kita untuk bertemu lagi dengan Ramadhan pada tahun berikutnya.


Insan yang paling beruntung setiap kali kehadiran Ramadhan ialah mereka yang mendapat anugerah lailatul qadar. Barang siapa yang mendapat anugerah tersebut, maka ibadah yang dilakukan pada malam tersebut lebih baik daripada seribu bulan. Demikian Allah telah memberitahu kita menerusi Alquran. Walaupun semua orang boleh dan layak untuk mendapat anugerah tersebut, tetapi anugerah tersebut tidak diberikan kepada semua orang. Hanya mereka yang memenuhi syarat dan kriteria yang telah ditetapkan sahaja yang layak untuk memperolehi anugerah lailatul qadar.


Di saat-saat perpisahan dengan Ramadhan kali ini, kita hanya mampu untuk berdoa semoga Allah memberi peluang dan kesempatan sekali lagi untuk kita bertemu dengan Ramadhan pada tahun berikutnya. Namun begitu, kabul atau tidak permohonan kita itu, ia merupakan hak mutlak mandatori Pencipta kita.


Ramadhan juga merupakan bulan tarbiah. Selain melaksanakan ibadah wajib (puasa), kita amat dituntut untuk melipatgandakan pelbagai amalan sunat di sepanjang bulan berkenaan. Sekiranya amalan-amalan sunat yang telah dilaksanakan pada bulan Ramadhan dapat dikekalkan selepas pemergian Ramadhan, maka ia sebagai tanda bahawa kita telah berjaya melalui proses tarbiah Ramadhan. Sebaliknya, jika tiada perubahan selepas Ramadhan iaitu keadaan kembali kepada asal sebagaimana sebelum Ramadhan, mungkin kita memerlukan kehadiran Ramadhan lagi untuk proses tarbiah yang selanjutnya. Namun demikian, sepertimana yang saya telah nyatakan, tiada kepastian untuk bertemu lagi dengan Ramadhan yang akan datang. Demikianlah ketentuan-Nya yang harus kita sama-sama akur.


Sesungguhnya makhluk di langit dan sebilangan makhluk di bumi akan meratap hiba di saat berpisah dengan Ramadhan.




No comments: