Setelah saya melepaskan jawatan selaku Yang Di-Pertua (YDP) bagi Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS), satu persoalan penting yang menghujani saya daripada ramai ahli PERTIS ialah, siapa yang akan mengisi kekosongan jawatan tersebut? Dari aspek kepentingan pentadbiran dan pengurusan persatuan, kekosongan jawatan YDP harus diisi dengan seberapa segera yang boleh. Ketiadaan YDP boleh menterencatkan kemajuan dan perkembangan dalam persatuan. Ia juga boleh menimbulkan suasana yang tidak harmonis dalam persatuan itu sendiri. Sedangkan YDP masih ada pun suasana sedemikian boleh ditimbulkan oleh sang makhluk perosak tertentu! Apatah lagi jika kekosongan jawatan YDP dalam PERTIS dibiarkan terlalu lama. Sudah tentulah kesan buruknya akan cepat menjerkah.
Antara lain, Perlembagaan PERTIS Fasal 8 (6) berbunyi:
Bila mana-mana pegawai persatuan meletakkan jawatan atau terlucut jawatannya dalam Jawatankuasa Pusat atau meninggal dunia, calon atau calon-calon yang lain yang telah bertanding untuk jawatan berkenaan di dalam pemilihan yang lepas, menurut urutan bilangan undi terbanyak yang diterima, hendaklah dengan seberapa segera yang boleh dipanggil untuk mengisi kekosongan itu.
Mesyuarat Agung Tahunan PERTIS yang melibatkan pertandingan jawatan YDP terakhir telah diadakan pada tahun 2012. Dalam mesyuarat berkenaan, terdapat dua calon, iaitu saya sendiri dan juga En. Mohd Bukhari bin Zakaria. Saya telah ditakdirkan memenangi jawatan tersebut. Kini, setelah saya melepaskan jawatan tersebut dan berdasarkan peruntukan perlembagaan sebagaimana di atas, maka En. Mohd Bukhari adalah satu-satunya calon yang perlu diutamakan untuk mengisi kekosongan jawatan yang telah saya lepaskan.
Petikan daripada Perlembagaan PERTIS harus saya kemukakan di sini bagi menghilangkan sebarang kekaburan mengenai siapa pengganti YDP yang telah meletakkan jawatan. Lagipun dalam kalangan AJK Pusat PERTIS yang ada sekarang (tidak kesemuanya) ada makhluk yang bebal dengan perlembagaan PERTIS. Kenyataan ini berdasarkan ulasan-ulasan liar yang telah dihantar menerusi email busuk kepada saya beberapa hari yang lalu.
Berdasarkan maklumat sahih yang saya perolehi, En. Mohd Bukhari sememangnya berminat dan bersemangat untuk memikul tanggungjawab selaku YDP PERTIS yang selanjutnya. Kini menjadi tanggungjawab AJK Pusat PERTIS yang masih ada untuk mengadakan mesyuarat dengan seberapa segera yang boleh dan seterusnya menawarkan secara rasmi jawatan YDP PERTIS kepada En. Mohd Bukhari. Sama ada terdapat individu dalam kalangan AJK PERTIS yang masih ada suka atau tidak dengan kehadiran En. Bukhari selaku YDP, hakikatnya “kemaraan” beliau untuk mengambil alih jawatan selaku peneraju utama dalam kepimpinan PERTIS tidak perlu disekat dan dihalang.
Pada pemerhatian saya dari jauh, En. Bukhari nampaknya sudah bersedia untuk mengambil alih teraju kepimpinan PERTIS selanjutnya. Walau bagaimanapun, En. Bukhari juga harus bersedia untuk menerima apa jua keadaan. Maklumlah walaupun nasi sudah sampai ke mulut, jika ditakdirkan ia bukan rezeki kita, nasi itu akan jatuh juga. Sesungguhnya kita adalah insan yang amat kerdil untuk menolak takdir.
No comments:
Post a Comment