Sunday, February 8, 2015

10 Februari




Memang benar kata pujangga, penantian suatu penyiksaan. Setelah menanti buat beberapa ketika, akhirnya tarikh yang dinanti akan tiba juga. 10 Februari ini merupakan tarikh di mana mahkamah tertinggi negara akan mengumumkan keputusan akhir berhubung dengan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tarikh tersebut juga merupakan detik persimpangan dalam hidup Datuk Seri Anwar, sama ada kekal hidup bebas sepertimana sekalian rakyat yang lain, atau merengkok semula ke dalam penjara sebagaimana yang pernah beliau rasai sebelum ini untuk tempoh 5 tahun lagi.

(Anwar Ibrahim pada 9 Januari 2012)


Bagi Datuk Seri Anwar sendiri, beliau cukup yakin akan dibebaskan daripada pertuduhan yang sedang dihadapinya. Beliau amat berharap supaya detik 9 Januari 2012 akan berulang lagi. Turut sama berkongsi keyakinan yang serupa ialah kebanyakan penyokong Datuk Seri Anwar. Ada antara mereka yang masih tidak putus-putus berharap dan berdoa supaya keadilan yang mereka dambakan akan menyebelahi Datuk Seri Anwar.

Pada masa yang sama, ada juga pihak yang mengharapkan agar Datuk Seri Anwar akan didapati bersalah oleh mahkamah. Dengan itu akan terbuka luaslah pintu penjara untuk dimasuki oleh tokoh kebencian mereka. Mungkin mereka juga tidak putus-putus berharap dan berdoa semoga keadilan yang dihajati juga akan menyebelahi mereka.

Khabarnya pihak keselamatan juga sudah bersiap sedia untuk menghadapi apa juga kemungkinan. Namun demikian, pihak keselamatan masih berharap semoga tiada apa yang buruk akan terjadi ekoran keputusan yang bakal diumumkan oleh mahkamah nanti. Seterusnya pihak keselamatan berharap agar seluruh rakyat sudah cukup matang untuk menerima apa sahaja keputusan yang bakal dikeluarkan nanti.

Dalam konteks politik negara, apa yang bakal diputuskan untuk Datuk Seri Anwar pada 10 Februari nanti mempunyai signifikannya yang tersendiri. Oleh kerana Datuk Seri Anwar merupakan arkitek penting dalam kewujudan Pakatan Rakyat (PR), maka sekiranya beliau terpaksa merengkok semula ke dalam penjara, maka ia sudah tentu bakal memberi kesan yang cukup besar terhadap survival PR itu sendiri. Ini ditambah pula bilamana tokoh-tokoh lain yang ada dalam PR buat masa ini masih tidak cukup berwibawa dan berkemampuan sebagaimana Datuk Seri Anwar dalam merapatkan saf dalam PR itu sendiri.

Sebaliknya, jika Datuk Seri Anwar didapati tidak bersalah, maka suasana politik negara akan semakin rancak. Maklumlah semua pihak yang berkepentingan boleh menumpukan lebih perhatian kepada cita-cita politik yang selama ini diidamkan. Usaha untuk menguasai Putrajaya akan diperhebatkan. Walaupun usaha tersebut masih jauh, masih berliku dan buat masa ini amat sukar dicapai, tetapi harapan dan cita-cita tersebut tidak pernah padam daripada sanubari Datuk Seri Anwar Ibrahim dan para penyokong beliau.

Tarikh 10 Februari merupakan detik yang amat dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia dan seantero dunia.


No comments: