Sunday, February 1, 2015

Harga Minyak Turun Lagi




Tirai bulan Februari 2015 dimulakan dengan pengumuna daripada pihak yang berkuasa mengenai penurunan harga minyak. Menurut sumber berita, harga minyak rhon97 turun daripada RM2.11 kepada RM2.00 seliter, iaitu turun sebanyak 11 sen. Manakala harga rhon95 turun daripada RM1.91 kepada RM1.70 seliter, iaitu turun sebanyak 21 sen seliter. Sementara itu harga disel pula turun sebanyak 23 sen, iaitu daripada RM1.93 kepada RM1.70 seliter.

Dengan pengumuman penurunan harga ini, ia bermakna bagi tahun 2015 ini sahaja harga minyak sudah diturunkan sebanyak 2 kali. Kali pertama ia diturunkan ialah pada awal Januari 2015. Walau bagaimanapun, sepertimana yang sudah diduga oleh 99% rakyat negara ini, penurunan harga minyak ini tidak langsung membawa kepada penurunan harga barangan yang lain. Harga barangan lain tetap sama sepertimana harganya sebelum pengumuman penurunan harga minyak awal Januari yang lalu.

Nampaknya dalam konteks ini kuasa pasaran lebih unggul daripada kuasa pihak yang berkuasa. Pihak yang berkuasa sekadar mampu untuk menurunkan harga minyak, tetapi tidak berkeupayaan untuk memaksa harga pasaran lain-lain barangan supaya ikut sama turun selaras dengan penurunan harga minyak. Situasi ini digawatkan lagi bilamana kuasa pengguna juga turut lemah dan tidak mampu berbuat apa-apa bagi menurunkan harga barangan yang lain. Para pengguna hanya mampu mengeluh, mengeluh, mengeluh dan terus mengeluh. Itu sahaja.

Selepas ini, jika tiba masanya di mana harga minyak akan dinaikkan semula, maka akan menderu-derulah kenaikan untuk harga barangan lain. Kononnya kos itu dan ini sudah meningkat. Sedangkan hal yang serupa tidak pun berlaku apabila harga minyak diturunkan. Demikianlah.

Akhirnya wal asal balik hasil, kalau bercakap itu fasal memang tidak akan ada hasil.


No comments: