Saturday, February 7, 2015

Sekitar Bukit Jugra




Hampir sebulan yang lalu, iaitu pada 10 Januari (Sabtu) 2015, saya sekeluarga telah berkunjung ke sekitar bukit Jugra, Banting, Selangor. Mungkin masih tidak ramai yang mengetahui iaitu di sekitar bukit Jugra, terdapat beberapa tinggalan sejarah yang berharga. Suatu ketika dahulu bukit itu sendiri pernah berperanan sebagai lokasi penting dalam sejarah pemerintahan negeri Selangor. Dari aspek kedudukannya pula, lokasinya memang strategik khususnya bagi mengawal laluan laut sekitar Selat Melaka. Mungkin disebabkan itulah juga almarhum Sultan Abdul Samad telah memindahkan pusat pemerintahannya dari Bukit Melawati di Kuala Selangor ke Bukit Jugra.




(Sekitar kaki Bukit Jugra)


Saya katakan tidak ramai yang mengetahui mengenai lokasi bersejarah di sekitar Bukit Jugra kerana sewaktu saya sekeluarga tiba di kaki bukit berkenaan, kami ada bertanya kepada beberapa orang awam mengenai tempat-tempat bersejarah yang ada di sekitar tempat tersebut. Setiap orang yang ditanya tidak mengetahuinya dengan tepat. Bahkan ada juga yang langsung tidak mengetahui bahawa di sekitar bukit tersebut ada tempat-tempat yang bersejarah. Bila ditanya dari mana asal mereka, sebahagiannya memang berasal dari kawasan yang berdekatan.



Akhirnya seorang pakcik tua, mungkin usianya sudah menjangkau sekitar 80 tahun, memberitahu saya yang sekitar tempat berkenaan memang ada tempat bersejarah, tetapi beliau tidak dapat memberi maklumat tepat lokasi tempat yang kami hendak tuju. Apa yang menguja saya dan keluarga ialah kesungguhan pakcik berkenaan dengan cuba bertanya pula hal yang sama kepada orang lain yang lalu-lalang di situ. Mungkin niat baiknya ialah untuk membantu kami.


(Catatan dan papan tanda)


Akhirnya kami mengambil inisiatif sendiri dengan meredah naik ke bukit berkenaan. Bukitnya tinggi. Jalan untuk naikke atas bercerun curam. Seakan tidak sesuai untuk kenderaan buruk kami naik ke puncaknya. Kami gagahi juga. Akhirnya kami berjaya juga sampai ke puncak bukit Jugra.



(Sekitar puncak bukit Jugra)


Apa yang terdapat di puncak bukit Jugra ialah sebuah rumah api. Di samping itu terdapat juga Jabatan Mufti daerah. Selain itu balai cerap Jugra juga terdapat di puncak bukit ini.



(aktiviti paragliding)


Rupa-rupanya di puncak bukit ini terdapat aktiviti paragliding. Beberapa orang yang terlibat dengan aktiviti berkenaan sedang sibuk dengan perlatan masing-masing. Pada pengamatan saya, aktiviti sebegini memakan belanja yang agak tinggi. Sebab itulah juga mereka yang terlibat menggunakan kenderaan yang berjenama untuk sampai ke puncak bukit ini. Kalau hendak dibandingkan dengan kenderaan buruk kami, macam langit dengan bumi agaknya.






(Pemandangan dari puncak bukit Jugra)


Selain itu, pemandangan di puncak bukit ini memang mengkagumkan. Dari atas puncaknya kita boleh melihat sekitar laut dengan jelas (menurut saksi mata). Pemandangan pepohonan hijau dan juga perkampungan yang terdapat di kaki bukit berkenaan turut memperkayakan lagi fenomena keindahan alam di sekitar bukit berkenaan. Oleh yang demikian, tidak hairanlan bilamana suatu ketika dahulu kawasan puncak bukit ini merupakan lokasi yang strategik untuk mengawal pergerakan di laut sekitarnya.










(Sisa tinggalan pejabat daerah)


Setelah sekitar 30 minit berada di puncak bukit, saya sekeluarga pun mula turun semula dengan perlahan-lahan. Hampir ke bawah barulah kami dapat melihat sebuah tinggalan bangunan lama. Kami berhenti untuk mengamatinya dengan lebih dekat lagi. Oleh kerana tiada papan tanda yang memberi maklumat lanjut tentang tapak bangunan ini, maka saya terpaksa membuat agakan sahaja. Muanya saya mengandaikan ini adalah tinggalan tapak istana lama tempat bersemayamnya marhum Sultan Abdul Samad. Namun demikian, pencarian lanjut kemudiannya mendapati tapak bangunan berkenaan sebenarnya merupakan bekas pejabat daerah Banting suatu ketika dahulu. Kesilapan membuat andaian ini kerana tiada sebarang papan tanda atau catatan yang memberi info lanjut mengenai fungsi bangunan ini suatu ketika dahulu.





Berdasarkan pemeriksaan menurut kemampuan saya, batu-bata yang digunakan untuk membina bangunan ini dahulu memang dari jenis yang keras. Bak kata rakan-rakan senasib, "kalau langgar tak berbunyi". Ruang dalamnya memang sukar untuk dimasuki. runtuhannya berselerakan di sana sini.

Sewaktu saya sedang mengmati dan memeriksa kawasan sekitarnya, sebuah kenderaan berhenti hampir dengan tapak bangunan berkenaan dan salah seorang daripada mereka menegur kami. Teguran awal berkenaan membawa kepada perbualan yang agak panjang antara kami. Keempat-empat mereka ialah En Osman, En. Riduah, En. Nizam dan En. Nazar. Begitu ramah sekali mereka menegur dan berbual. Di sini saya ingin mengambil kesempatan untuk memohon maaf kepada keempat-empatnya kerana ada sedikit maklumat yang saya kongsikan tempoh hari kurang tepat.



Pada hemat saya, pihak yang berkuasa sepatutnya mengadakan papan tanda atau batu catatan tentang tempat-tempat bersejarah di sekitar bukit Jugra. Kewujudan batu catatan atau papan tanda sedemikian akan memudahkan lagi para pengunjung seperti saya untuk berkunjung ke tempat-tempat sebegini. Ia juga akan dapat mengelakkan daripada membuat kesilapan tentang fungsi sebenar sesuatu tinggalan tapak bangunan lama suatu ketika dahulu.

Sesungguhnya kunjungan saya ke sekitar bukit Jugra masih belum berakhir. Ada lagi lokasi bersejarah yang masih belum saya kunjungi. Insha-Allah jika ada kesempatan lain saya akan ke sana lagi.

Gara-gara naik ke puncak bukit Jugra juga, kenderaan kami terpaksa dibaiki kemudiannya.

No comments: