Sunday, February 8, 2015

Pemuzik Jalanan Di Hentian PLUS Seremban




Pada 30 Januari (Jumaat) yang lalu, dalam perjalanan pulang ke kampung iaitu sekitar jam 8.45 malam, saya telah singgah di hentian R&R Seremban. Semasa saya tiba, tiada apa-apa perkara yang menarik perhatian saya. Segalanya berjalan seperti biasa sahaja.

Apabila saya hendak meninggalkan hentian tersebut bagi meneruskan perjalanan, saya terdengar bunyi orang memetik gitar dan juga bunyi tiupan seakan bunyi harmonika. Saya meminta agar isteri saya membawa saya ke tempat bunyi tersebut kedengar. Maklumlah orang berpenglihatan, amat mudah untuk menuju ke tampat yang diingini. Setibanya saya, kami dapati seorang lelaki sedang memetik gitar dan pada masa yang sama meniup harmonikanya. Di samping itu, ada sebuah bekas seakan topi dekat orang lelaki berkenaan. Maka maklumlah saya, bukan hiburan percuma dan bukan juga hiburan berbayar. Ia lebih kepada persembahan untuk mencari sumbangan ikhlas sahaja. Orang lelaki yang mengadakan persembahan merupakan seorang yang berpenglihatan.

Menurut saksi mata, ramai juga pengunjung hentian yang memasukkan wang ke dalam bekas yang beliau sediakan termasuk sedikit daripada kami berdua. Mungkin mereka berpuas hati dengan persembahan yang diadakan. Mungkin ada juga yang menaruh belas kepada lelaki berkenaan. Masing-masing menyumbang atas niat dan kepuasan masing-masing. Setakat yang saya maklum, tiada pun reaksi sinis daripada orang ramai terhadap persembahan lelaki berkenaan. Sehingga saya meninggalkan kawasan hentian berkenaan, lelaki tersebut masih meneruskan persembahan beliau dengan aman dan tanpa gangguan daripada mana-mana pihak. Agaknya beliau membuat persembahan dengan kebenaran daripada pihak pengendali PLUS. Maka itulah tidak terdapat sebarang gangguan terhadap persembahan beliau yang dapat berjalan lancar sahaja.

Dalam kalangan rakan-rakan senasib, persembahan sedemikian dikenali sebagai “mengetin”. Menurut rakan-rakan lama, istilah berkenaan muncul kerana pada masa lalu golongan senasib yang mengadakan persembahan sedemikian akan membawa bersama tabung dalam bentuk tin. Bila wang (biasanya wang shiling) dicampakkan ke dalam tabung berkenaan, ia akan menghasilkan bunyi. Maka tahulah mereka ada rezeki sudah mula masuk.

Sejak dahulu lagi, seperkara yang tidak dapat dinafikan ialah apabila rakan-rakan senasib membuat persembahan sedemikian di mana-mana sahaja, persembahan mereka lebih dipersepsikan sebagai mengemis. Bahkan persepsi sedemikian masih menebal dalam kalangan masyarakat kita sehingga ke hari ini. Bahkan ada juga segelintir rakan senasib yang suatu ketika dahulu pernah keluar suara nyanyian mereka di corong radio, tetapi hari ini terpaksa melakukan aktiviti “mengetin” bagi meneruskan hidup. Bagi sesetengah masyarakat, persembahan mereka tetap dipersepsikan sebagai mengemis.

Walaupun aktiviti yang dilakukan sama sahaja iaitu persembahan di khalayak umum dengan mengharapkan sumbangan ikhlas daripada orang ramai, tetapi oleh kerana terdapat perbezaan yang besar dari aspek kesempurnaan fizikal, maka persepsi masyarakat terhadap aktiviti mereka turut sama berbeza. Perbezaan itu pula amat kuat berasaskan kepada perbezaan fizikal antara kedua-dua pihak. Tidak timbul langsung rasa iri, tetapi kita seharusnya memberikan justifikasi yang betul dan persepsi yang adil kepada kedua-dua golongan.

Hakikatnya, halangan dan cabaran kepada golongan yang dikategorikan sebagai “OKU” di negara kita amat kuat berasaskan kepada apakah persepsi masyarakat terhadap mereka. Saya yang sudah bertahun-tahun bertugas sebagai pendidik pun masih ada dalam kalangan orang berpenglihatan yang masih berpersepsi kejayaan saya mendapat jawatan sedemikian lebih disebabkan rasa belas dan simpati pihak tertentu daripada atas dasar kelayakan akademik yang saya ada. Demikianlah.


No comments: