Khabarnya satu rang undang-undang akan dibentangkan di parlimen selewat-lewatnya Julai ini. Rang undang-undang ini berkaitan dengan melarang para ibu bapa untuk merotan anak. Dengan erti kata lain, perbuatan para ibu bapa yang merotan anak boleh dianggap suatu perbuatan jenayah. Menurut maklumat daripada satu sumber pula, oleh kerana kita telah pun menandatangani konvensyen yang berkaitan dengan hak kanak-kanak (CRC), maka kita haruslah akur kepada ketetapan konvensyen berkenaan. Rasanya selain konvensyen berkaitan CRC, ada lagi beberapa konvensyen lain yang mana negara kita turut sama telah menandatanganinya. Adakah semua kehendak dan keperluan konvensyen berkenaan telah kita penuhi seluruhnya?
Kita mempunyai budaya kita yang tersendiri. Salah satu ciri budaya kita ialah “sayangkan anak tangan-tangankan”. Penggunaan rotan sebagai salah satu cara untuk mendidik bukanlah satu perkara baru. Ia telah pun dipraktikkan dalam masyarakat kita sejak sekian lama. Tanyalah mana-mana golongan tua yang masih ada, pasti mereka dapat merasakan perbezaan sahsiah dan tingkah laku kanak-kanak generasi dahulu dengan kanak-kanak generasi sekarang iaitu selepas penggunaan rotan sebagai salah satu kaedah untuk mendidik dalam masyarakat kita mula berkurangan dipraktikkan. Maka itulah, generasi yang dahulu berjaya melahirkan insan dan bukannya haiwan.
Pada masa dahulu, apabila para ibu bapa menghantar anak-anak mereka mengaji, antara “buah tangan” yang akan dibawa kepada guru ialah rotan. Setelah menyerahkan anak dan rotan kepada guru, ibu bapa akan berpesan kepada guru, jika anak mereka enggan mengaji pukullah mereka asal jangan patah dan cacat cukuplah. Ini menunjukkan bahawa sejak dari dahulu lagi para ibu bapa amat menyedari bahawa rotan merupakan satu elemen yang penting dalam pendidikan. Apabila para ibu bapa berpesan agar anak-anak mereka boleh dirotan tetapi jangan sampai patah riuk atau cacat, ia bermakna para ibu bapa telah memberi keizinan kepada guru untuk merotan anak-anak mereka (jika perlu) dan bukannya mendera. Ini sekaligus membawa erti iaitu para ibu bapa sejak dahulu lagi sudah dapat membezakan antara merotan untuk tujuan mendidik dengan membelasah sehingga membawa kepada penderaan.
Berbeza dengan apa yang sedang berlaku hari ini. Kaedah merotan bukan setakat sudah diketepikan daripada elemen dalam pendidikan, bahkan jika merotan tidak ikut prosedur, pihak yang berkaitan akan berhadapan dengan kemungkinan disaman pula.
Orang tua-tua dahulu kala juga ada berpesan, “kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Salah satu kaedah untuk melentur rebung ialah dengan penggunaan rotan secara wajar. Jika penggunaan rotan secara betul tatkala kita melentur rebung, saya penuh yakin buluh yang bakal dihasilkan merupakan buluh yang cukup tinggi kualitinya, insya-Allah.
Dalam aspek agama Islam juga, kaedah penggunaan rotan secara betul juga diizinkan ke atas kanak-kanak. Antara mafhum satu hadith ada menyebutkan, iaitu, suruhlah anak-anak kamu bersolat selepas mereka berusia 7 tahun dan pukul (rotan) mereka sekiranya mereka enggan bersolat selepas berusia 10 tahun.
Mengapa Rasulullah S.A.W. berpesan agar merotan anak-anak yang enggan solat setelah mereka berusia 10 tahun? Tentulah tujuannya supaya anak-anak itu kelak menjadi generasi yang solih setelah mereka dewasa. Mengapa hari ini kita sedang berhadapan dengan sebilangan golongan remaja yang bermasalah terutamanya dari aspek akhlak? Kerana kita telah mengabaikan apa yang telah dipesankan oleh Rasulullah dalam mendidik anak terutamanya ketika mereka sudah menjangkau usia 10 tahun.
Dalam hal ini, kita tidak seharusnya terikut-ikut dengan budaya negara orang. Bagi sesetengah negara Barat, prinsip kebebasan yang mereka laungkan akan dilaksanakan sejak generasi mereka di alam kanak-kanak lagi. Sebab itulah perbuatan merotan kanak-kanak tidak lagi dianggap sebagai salah satu daripada kaedah untuk mendidik. Sebaliknya perbuatan merotan kanak-kanak sudah dikategorikan sebagai suatu perlakuan jenayah pula. Justeru tidak menghairankan bilamana kebanyakan megara yang kononnya mengamalkan prinsip kebebasan tanpa batas seperti ini nsudah pun mula melahirkan generasi yang lebih bersifat kehaiwanan daripada sifat keinsanan. Ingatlah, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baiklah kita berbangga dan meneruskan budaya negeri sendiri.
Sekiranya merotan itu tidak baik dan tidak berkesan, maka mustahil Rasulullah ada berpesan agar para ibu bapa merotan anak-anak mereka yang enggan menunaikan solat setelah mereka berusia 10 tahun. Sekiranya kaedah merotan itu bersifat jenayah, maka sudah lama masyarakat kita melakukannya kerana pesan orang tua-tua suruh kita menangan anak-anak kita jika kita sayang kepada mereka.
Apa yang perlu kita bezakan di sini ialah merotan untuk mendidik dengan membelasah untuk mendera merupakan dua perkara yang amat jauh bezanya. Kaedah merotan untuk tujuan pendidikan akan dilaksanakan jika kaedah lain sudah tidak berkesan lagi. Walaupun merotan untuk tujuan mendidik adakalanya akan meninggal kesan (birat) tetapi ia tidak sampai kepada mencederakan sehingga kanak-kanak tersebut menjadi cacat. Ia sekadar peringatan kepada kanak-kanak tersebut agar tidak mengulangi lagi perbuatan salahnya itu.
Manakala membelasah untuk tujuan penderaan pula dilakukan oleh mereka yang tidak langsung menggunakan akal fikiran yang waras untuk suatu tindakan yang wajar.Ia lebih menjurus kepada sifat untuk melepaskan geram. Acap kali juga kanak-kanak yang dibelasah dan didera itu tiada melakukan kesalahan pun. Perbuatan seperti inilah yang perlu dibendung oleh semua pihak.
Oleh itu, kita harus benar-benar berkemampuan untuk membezakan antara merotan untuk tujuan pendidikan dengan membelasah untuk tujuan penderaan. Istilah “merotan” dengan “membelasah” pun sudah jauh perbezaannya. Hasrat untuk membendung perbuatan membelasah dengan tujuan mendera memang baik. Walau bagaimanapun janganlah pelaksanannya dilakukan dengan cara kerana marahkan nyamuk habis kelambu dibakar. Hanya kerana untuk membendung perbuatan penderaan ke atas kanak-kanak, maka nilai-nilai positif yang ada pada kaedah merotan juga dinegatifkan dan dikategorikan pula sebagai perlakuan jenayah.
Kita semua harus faham, tugas dan tanggungjawab para ibu bapa bukan sahaja untuk melahirkan anak semata-mata atau sekadar untuk memberi makan dan minum kepada mereka. Selain itu, tugas para ibu bapa juga bukan sekadar untuk memenuhi segala keperluan material setiap anak yang dilahirkan. Setelah pasangan ibu bapa memperoleh cahaya mata, tugas berat sedia menanti mereka. Tugas berat yang dimaksudkan ialah agar cahaya mata yang dilahirkan itu menjadi insan dan bukannya haiwan.
Ingatlah, salah satu daripada amalan anak Adam yang tidak akan putus walaupun setelah kematiannya ialah doa daripada anak yang solih. Bagaimanakah kita akan dapat manfaat daripada doa seseorang anak setelah kematian kita kelak jika sifat solih yang dimaksudkan itu tidak ada lagi pada anak yang kita lahirkan? Singkaplah semula kisah sejarah mereka yang alim dan bijak pandai yang terdahulu di mana salah satu kaedah pendidikan yang diguna pakai oleh guru-guru mereka ialah dengan kaedah rotan (bila perlu). Apabila seseorang murid itu dirotan (bila wajar), ia merupakan suatu perkara yang cukup menyakitkan. Walau bagaimanapun setelah kanak-kanak itu dewasa, peristiwa kena rotan yang pernah dilaluinya pasti merupakan suatu peristiwa yang manis dan cukup memberi kesan positif dalam hidupnya.
Justeru, mengklasifikasikan merotan kanak-kanak sebagai suatu perlakuan jenayah secara tidak berhati-hati boleh mendatangkan pelbagai implikasi negatif dalam pelbagai aspek.Ia tidak selari dengan budaya masyarakat kita yang telah pun diamalkan sejak berkurun lamanya. Ia juga tidak sehaluan dengan petikan mafhum hatith sebagaimana di atas. Jika kita ingin tahu apa yang akan berlaku pada negara pada masa depan, maka lihatlah apa yang sedang berlaku kepada generasi mudanya pada hari ini. Jika kita dapat lihat apa yang sedang berlaku kepada generasi muda hari ini, maka renungkanlah kembali bagaimana kita telah mendidik mereka ketika mereka masih kanak-kanak dahulu.
Dengar cakap enggang
Nanti Makan buah belolok
Ikut budaya orang
Nanti terjun masuk lubuk.
No comments:
Post a Comment