Thursday, January 22, 2015

Restoran Alfredo's




Petang tadi, tatkala saya dan isteri tercari-cari tempat untuk menjamu selera, sekonyong-konyong kami teringat sebuah restoran yang agak kerap kami kunjungi suatu ketika dahulu iaitu Thai House. Letaknya di Melati utama iaitu hampir di hujung deretan kedai yang ada. Bagi saya, restoran berkenaan adalah antara yang sedap dalam kalangan kategori sederhana sedap. Walau bagaimanapun, restoran berkenaan sudah agak lama tutup. Dengan hasrat untuk melihat apa kemungkinan yang ada pada bekas premisnya, kami berdua pun pergilah ke lokasi bekas restoran Thai House.



Setibanya kami, isteri saya terpandang tertera tulisan “Restoran Alfredo’s”. Ini bermakna sudah ada pengurusan baru di premis berkenaan. Dengan niat untuk mencuba, saya dan isteri pun masuklah ke restoran berkenaan.

Seperti biasa, setelah duduk, salah seorang kakitangannya menghulurkan menu. Setelah dibelek, menunya terdiri daripada masakan ala Thai dan masakan ala Mediterranean. Ini satu penambahan baru jika dibandingkan dengan pengurusan yang lama. Setelah isteri saya membacakan sepintas lalu menu yang tertera, saya dan isteri pun membuat pesanan makanan kegemaran masing-masing. Isteri saya sekadar memesan Italian meat ball. Manakala saya pula sekadar memesan dua nasi putih, telur bungkus, udang butter dan semamgkuk sup daging. Sudah berusia sebegini kena kawal makan. Tak boleh makan ikut nafsu.

Sewaktu menanti pesanan tiba, saya bertanya kepada isteri berapa ramai pelanggan yang ada kerana saya tidak mendengar apa-apa selain bunyi muzik yang sederhana rancak. Isteri saya memberitahu, hanya kami berdua sahaja pelanggan yang ada ketika itu. Wah! Rasa begitu eksklusif pula. Maklumlah dalam restoran yang berhawa dingin dengan selingan bunyi muzik yang sederhana rancak didampingi pula oleh beberapa orang kakitangan, hanya kami berdua sahaja yang menjamu selera!

Tatkala kami berdua sedang asyik menjamu selera, tiba-tiba muncul seorang wanita menyapa saya. Dia memang mengenali saya dan saya juga memang mengenali beliau. Wanita tersebut ialah Pn. Maznah Jahaya, isteri kepada En. Mamduah, pengurus Al-Tasneem Malaysia Sdn Bhd. Untuk maklumat bersama, Al-Tasneem merupakan pengeluar read pen untuk bacaan Alquran Braille. Kami terus mengajak beliau duduk semeja dengan kami. Kini Pn. Maznah juga merupakan pengurus kepada Restoran Alfredo’s. Pada masa yang sama, tugas beliau di Al-Tasneem Sdn Bhd berjalan seperti biasa. Selepas waktu pejabat, beliau akan menguruskan restoran ini pula. Kebetulan pula, lokasi pejabat Al-Tasneem dan restoran Alfredo’s letaknya tidak jauh antara satu sama lain. Jadi semakin mudahlah tugas Pn. Maznah untuk menyelia kedua-dua perniagaannya. Demikianlah.

Menurut Pn. Maznah, restoran ini baru sebulan beliau usahakan. Sebelum ini premis ini sudah kosong untuk beberapa bulan lamanya. Sekitar setengah tahun kami tidak berhubungan antara satu sama lain iaitu setelah saya meletakkan jawatan selaku yang di-pertua Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS). Saya turut bertanya kepada beliau, adakah masih wujud hubungan antara PERTIS dan Al-Tasneem. Katanya, selepas mesyuarat agung pertengahan tahun lepas hingga kini masih belum ada apa-apa hubungan lagi.

Selain itu, saya juga turut bertanya tentang pasaran pen pembaca Alquran Braille yang dikeluarkan oleh Al-Tasneem. Pn. Maznah memberitahu saya, ia mendapat sambutan yang sangat baik daripada pengguna di Indonesia. Majlis pelancarannya juga sudah pun diadakan di Jakarta tidak lama dahulu. Kata Pn. Maznah lagi, di Indonesia terdapat ramai hafiz dalam kalangan golongan cacat penglihatan. Mereka amat memerlukan pen pembaca Alquran Braille untuk memantapkan bacaan dan hafalan masing-masing. Apatah lagi bilamana pen berkenaan amat ringan, tidak tebal dan mudah untuk dibawa ke mana-mana sahaja. Menurut Pn. Maznah lagi, setakat ini, Al-Tasneem sudah mengedarkan sekitar 4 ribu unit pen berkenaan di Indonesia.



Selain itu, kata Pn. Maznah lagi, pen bacaan Alquran Braille beserta beberapa bahan bacaan lain turut mendapat pasaran yang baik di beberapa buah negara Arab. Kesemua tempahan yang berkaitan dengan Braille akan dihasilkan di pejabat Al-Tasneem di Melati Utama. Kemudian ia akan dihantar ke pengguna sasarnya di negara-negara yang berkenaan. Berdasarkan keterangan daripada Pn. Maznah, saya dapat merasakan tidak sia-sia syarikat berkenaan membeli seunit embosser (Braille printer) beberapa tahun lalu. Saya juga turut bertanya, bagaimana pula dengan sambutan daripada pengguna sasar di Malaysia, kami sama-sama ketawa kerana jawapannya masing-masing sudah pun mengerti.

Pada hemat saya, pihak PERTIS harus terus menjalinkan hubungan dengan pihak seperti Al-Tasneem dalam apa bentuk sekali pun. Menerusi hubungan yang sentiasa terjalin, lazimnya akan terhasil idea-idea baru bagi memantapkan hubungan yang sudah sedia terjalin. Jika hubungan yang ada dilesukan, maka akhirnya nanti PERTIS juga yang akan kerugian. Apatah lagi pihak seperti Al-Tasneem boleh menjalinkan hubungan dengan sesiapa sahaja sama ada untuk keperluan pasaran ataupun untuk tujuan inovasi yang berkaitan dengan Braille.

Kepada Pn. Maznah, kami doakan semoga usaha anda dan En. Mamduah akan sentiasa diberkati Allah. Kepada pihak PERTIS pula, saya berharap agar hubungan yang sudah sedia terjalin dengan mana-mana pihak sebelum ini jangan dikendurkan. Maklumlah jika berlaku kekenduran hubungan walaupun sedikit, sudah ada pihak yang siap sedia menanti untuk memulakan hubungan yang baru.


No comments: